Jumaat, 26 Jun 2015

Travelog : Oh! Riyadh - Perjalanan ke Madinah


Perjalanan ke Madinah


Mac 2014

Seluruh Riyadh meraikan musim cuti sekolah. Suamiku mengambil cuti tambahan jadi kami ada mempunyai banyak masa untuk berziarah. Destinasi kami kali ini ialah Madinah, Mekah dan Jeddah.




Disebabkan waktu solat subuh lebih kurang pukul 5 pagi, jadi kami memulakan perjalanan jam 7.00 pagi. Jarak Madinah dari Riyadh lebih kurang 800++ km. Selepas Bandar Banban terdapat checkpoint pertama berhampiran simpang untuk ke Salbokh, 35 km dari Riyadh. Kawasan padang pasir yang luar dipenuhi dengan khemah-khemah yang mempunyai pagar sekelilingnya. Mungkin beberapa keluarga tinggal bersama. Kawasannya dilengkapi dengan tangki air, seolah-olah mereka menetap di situ. Berhampiran khemah terdapat binatang ternakan seperti kambing dan unta.












Terdapat tempat rehat seperti Sasco yang agak kecil di sepanjang lebuh raya. Ianya menjadi tempat singgah lori di mana pemandu akan berehat sambil minum air panas.
Lengkap dengan surau, tandas dan kedai. Tapi dari pengalaman tandas wanita agak kotor.












Selepas Banban ialah Bandar Industri Sudair. Berbeza
dengan laluan untuk ke Mekah kebanyakan bandar kelihatan dari lebuh raya. Laluan ke Madinah sedikit berbeza kerana kita tidak nampak bandarnya. Kita perlu keluar dari lebuh raya untuk ke bandar tersebut. Kami pernah ke Bandar Sudair yang  besar dan ramai penduduknya yang terletak melebihi 10 km jaraknya dari lebuh raya. Begitu juga dengan hentian rehat, kita perlu keluar dari lebuh raya. Walau bagaimana pun terdapat juga kawasan rehat yang terletak di tepi lebuh raya ke Madinah. Jika kawasan rehat terletak di luar laluan terdapat papan tanda yang memaklumkannya. Selepas 200km perjalanan kami singgah di satu kawasan rehat yang terletak di tepi lebuh raya berhampiran bandar Al Ghat.










Banyak kemudahan di sini termasuk bilik untuk disewa. Jika tidak membawa bekalan makanan di sini ada beberapa kedai yang menjual pelbagai makanan ringan dan berat seperti burger, kebab, jagung dalam cawan, ayam goreng, kentang goreng dan macam-macam lagi. Tandas di sini memang bersih, pertama kali aku ternampak pekerja wanita bertugas di tandas.
















Selepas kawasan rehat ini terdapat simpang ke bandar tradisional bernama Al Ghat. Kelihatan replika teko di kiri kanannya. Terdapat taman-taman sedang di bina berhampiran lebuh raya. Namun taman ini tidak boleh dimasuki terus dari lebuh raya. Berbeza dengan lebuh raya untuk ke Mekah yang terdapat taman-taman besar berhampiran bandar di tepi lebuh raya.










Kami  singgah ke Al Ghat, bandarnya memang luas, kelihatan cantik dan bersih. Dari lebuh raya memang tidak ternampak bandar ini. Terdapat replika bulan penuh, bulan separuh dan anak bulan di atas bukit. Waktu malam akan kelihatan dari jauh.












Kelihatan padang pasir berwarna kemerahan yang cantik di kiri kanan lebuh raya. Meneruskan perjalanan ke Daerah Qassim yang merupakan kawasan pertanian yang penting bagi Arab Saudi. Di sini terdapat bandar kurma dan terkenal dengan unta iaitu  Buraidah dan Unaizah. Qassim terletak 350++ km dari Riyadh. Sama juga kita tidak nampak bandar ini dari tepi lebuh raya.














Melepasi Qassim kelihatan banyak ladang-ladang kurma di tepi jalan. Agak berbeza kerana tidak dibina tembok tinggi atau pagar disekeliling pokok kurma. Jika melalui kawasan ini di waktu musim panas, dapat melihat buah kurma sedang lebat berbuah.













Menakjubkan adanya kawasan penanaman rumput yang luas di tengah-tengah padang pasir. Terdapat juga kawasan penanaman sayur-sayuran yang boleh dilihat dari lebuh raya. Aku kagum dengan usaha mereka menanam sendiri rumput untuk binatang ternakan atau menanam gandum untuk keperluan makanan harian. Sedang bumi ini hanya beroleh curahan hujan di musim bunga sahaja dan tanah berpasir pula. SubhanaAllah.
Kelihatan juga mesin penyiram rumput berdiri gagah di tengah-tengah ladang. Negaraku hujan sepanjang tahun dan bumi subur tapi masih mengharapkan negara jiran membekalkan makanan...Oh.












Bandar Hilaliyah yang besar kelihatan dari lebuh raya. Kemudian Bandar Al Kabra.


















Kawasan lapang memungkinkan berlakunya ribut pasir. Papan tanda berwarna kuning menandakan kawasan sandstorm. Jadi perlu berhati-hati terutama di musim sejuk.







Kelihatan ribut pasir sedang bergerak dari kawasan padang pasir menghala ke lebuh raya. Ianya akan menghasilkan tiupan angin yang kuat sehingga kereta akan bergoyang dengan teruk. Elakkan dari memandu terlalu laju. Putaran angin seperti ini akan lebih banyak kelihatan apabila menghampiri Kota Madinah.








Meneruskan perjalanan, bentuk muka bumi serubah menjadi kawasan berbukit yang diliputi batu-batu. sesekali kelihatan gunung secara solo berdiri gagah. Ini Gunung Huwaiyah, ianya menarik perhatianku kerana kelihatan seperti Table Mountain yang terletak di Cape Town. Cuma saiznya kecil dan tidak begitu tinggi. Ada beberapa lagi gunung-gunung lain.














Kami selalu singgah di kawasan rehat  An Nabhaniyah, dari jauh boleh kelihatan bukit berbatu ini. Sekitar bukit berbatu adalah taman dan terdapat banyak pondok -pondok dibina untuk duduk berehat sambil makan-makan.Juga kemudahan taman permainan. Sebelahnya terdapat kawasan rehat yang lengkap dengan rumah penginapan, stesen minyak, kedai makan dan sebagainya.











Jika cuaca sejuk memang sedap makan di bawah pondok sambil merasa tiupan angin yang begitu segar dan bersih. Selepas hentian ini agak sukar untuk melihat hentian rehat yang selesa seperti ini.
Jom makan nasi Bhukari kambing...













100 km menuju Madinah kelihatan wadi di sepanjang lebuh raya, bersaiz kecil dengan pokok-pokok kurma dan haiwan ternakan. Pekan-pekannya begitu kecil. Tetapi jauh ke dalam terdapat pekan yang besar .Wadi Qusayrah terdapat pekan yang kecil bernama Hinakiyyah tetapi  lengkap dengan hospital.

















Binaan begini kerap kelihatan di tepi lebuh raya. Aku tidak pasti apakah dia? Seperti ditinggalkan tapi adakala ternampak tangki air dan kereta.
















Hampir tidak kelihatan rumah di sekitarnya, binaan seperti ini dibina untuk memudahkan para musafir mendirikan solat. Lengkap dengan tangki air disediakan.


















Batu-batu pejal berwarna hitam memenuhi kebanyakan kawasan apabila semakin menghampiri Kota Madinah. Checkpoint terakhir adalah 30 km sebelum memasuki Kota Madinah.










                                                                             








Alhamdulillah sampai di Kota Madinah pada pukul 3.00 petang setelah 8 jam di dalam perjalanan. Cabaran menanti untuk mencari hotel yang sudah ditempah.















     

                                                                                                                                           zias/riyadh/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...