Ahad, 20 Oktober 2019

Rasa Dapurku (316) - Kuih Abuk-Abuk Sagu


BismillahirRahmanirRahim



Ini kuih lama, susah nak jumpa. Resepi yang mudah disediakan dengan bahan-bahan yang senang 
untuk dicari. Cuma untuk membalutnya, perlu kreatif. Resepi diambil dari FB rasa. Sedap!

Resepi Kuih Abuk-Abuk Sagu
Bahan2: 
1 cawan sagu biji
3 cawan air biasa untuk rendam sagu
1/2 cawan gula merah
2-3 sudu besar gula putih
1/2 biji kelapa parut
1/2 sudu teh garam
Daun pisang yang dilayur

Cara Membuatnya:
1.Rendam sagu dengan air dalam 20 minit. Toskan, pastikan betul-betul kering.
2.Masukkan sagu, kelapa, dan garam dalam sebuah bekas. Gaulkan supaya rata.
3.Campurkan gula merah dan gula putih dalam sebuah bekas lain, gaul rata.


Siap untuk membalut.

4.Daun pisang dibentuk macam corong, masukkan 1 sudu besar sagu dan ratakan. Masukkan
    1 sudu kecil gula. Kemudian masukkan 1 sudu besar sagu lagi ke dalam corong. Ratakan.
5.Bungkus kemas. Kukus selama lebih  kurang 30 minit dengan api sederhana.


Dapatlah 10 biji


Lembut je teksturnya.

Khamis, 3 Oktober 2019

Rasa Dapurku (315) - Sardin Roll


BismillahirRahmanirRahim




Mengimbau kenangan akan resepi pertama yang dipelajari ketika di sekolah menengah rendah.  Antara mata pelajaran yang diambil ketika itu ialah SRT (Sains Rumah Tangga). Terima kasih Cikgu Lim yang telah mengajar aku kemahiran asas memasak dan menjahit. Kedua kemahiran ini masih aku minati hingga saat ini. 

Sardin Roll memang sedap dengan kulitnya yang lembut dan isi sardin yang diminati ramai. Serius sedap, mak mentua yang usianya bakal mencecah 80 tahun pun mampu menghabiskan 2 ketui Sardin Roll ni. Puas betul dapat makan kerana sudah lama aku idamkan. Resepi ini diambil daripada banyakresepi.blogspot.com.

Resepi Sardin Roll Bakar
Bahan Pastri
300 gram tepung gandum
120 gram mentega
Air sejuk (Chiller)secukupnya
Sedikit garam

Cara Membuatnya:
1.Masukkan tepung ke dalam mangkuk besar.
2.Masukkan mentega yang dipotong kecil dan garam. Gaul sehingga menjadi seperti serbuk roti.
3.Campurkan air ke dalam tepung sedikit demi sedikit sambil diadun sehingga menjadi doh yang
   lembut dan licin. Tutup bekas doh dan rehatkan.

Bahan Inti
1 tin besar sardin 
1 biji bawang besar dipotong dadu
2 ulas bawang putih 
1- 2  biji cili merah dihiris nipis ( atau cili padi)
Sedikit garam
Sedikit perahan limau
Sedikit minyak untuk tumis

Sebiji telur - asingkan putih dan kuning telur

Cara Membuatnya:
1.Asingkan ikan sardin dari sosnya, buang tulang ikan dan hancurkan isi ikan.
2.Panaskan minyak dan masukkan bawang besar dan bawang putih. kacau sehingga wangi 
   dan layu.
3.Masukkan isi sardin dan sedikit sosnya. Masukkan perahan limau dan garam secukupnya.
   Kacau sehingga sebati dan masukkan cili.Sejukkan.
4.Canai doh tadi dan dapatkan saiz 4 inci  X 3.5 inci. Masukkan inti dan gulungkan. Sapu hujungnya
   dengan putih telur. Kelar permukaannya dengan pisau.
5.Bakar pada suhu 180 darjah celsius selama 10 minit. Keluarkan dan sapu dengan kuning telur.
   Bakar semula selama 15 - 20 minit.




Dapat 12 biji


Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...