Sabtu, 30 April 2016

Dapurku D'Riyadh (166) - Sayur Bendi Goreng Berempah



Bismillahirrahmanirrahim

Hidangn ini biasanya kelihatan di kedai-kedai mamak di tanah air. Bendi keluaran tempatan agak mahal di Riyadh sehingga mencecah lebih SAR20 sekilo dengan saiznya yang kecil. Mungkin disebabkan ianya menjadi masakan kegemaran orang Arab. Bendi dari negara India lebih menyerupai bendi yang terdapat di Malaysia dengan saiz yang lebih panjang. Bendi yang dikukus atau direbus sekejap memang sedap dijadikan ulam, ianya juga dikatakan berkesan untuk mengelak dari penyakit kencing manis. Bendi yang dihiris nipis kemudian direndam di dalam air panas semalaman, diminum airnya pada esok pagi juga elok untuk menguatkan lutut. 




Resepi Sayur Bendi Goreng Berempah

Bahan2:

300- 400 g Sayur Bendi dihiris nipis secara menyerong
1 biji buah tomato -dibuang biji dan didadu kecil
2 sudu besar tomato/cili  sos
1/2 biji bawang besar didadu
3 ulas bawang putih diketuk
1-2 sudu besar serbuk kari ayam jenama Adabi
Sedikit minyak zaitun
Garam
Sedikit air
Sedikit daun kari

Cara Membuatnya;
1.Panaskan minyak di dalam sebuah kuali. Masukkan daun kari 
   serta bawang besar dan masak sehingga layu. Masukkan bawang
   putih dan serbuk kari. Kacau sekejap.
2.Masukkan buah tomato, sos tomato/cili  dan garam. 
   Tambah air jika perlu.
3.Setelah buah tomato hancur sepenuhnya masukkan bendi
   dan masak sehingga bendi lembut.







Jumaat, 29 April 2016

Dapurku D'Riyadh (165) - Kuih Tepung Pelita



Bismillahirrahmanirrahim

Kuih Tepung Pelita memang sedap dimakan terutama di bulan puasa. Stok kelapa memenuhi ruang sejuk beku peti sejuk...Apa lagi , minggu yang penuh dengan masakan berlemak. Begitu juga dengan stok daun pandan dan daun pisang yang masih berbaki jadi aku tidak mahu bazirkannya begitu sahaja. Bukan senang untuk membelinya di Riyadh. Daun pisang yang dijual di Lulu Hypermarket sebenarnya digunakan untuk diletakkan hidangan ketika makan nasi oleh oleh orang India. Daunnya agak kecil dan nipis. Sudah betul untuk dijadikan acuan Kuih Tepung Pelita. Senget bengik jadinya, tak comel langsung. Terpaksa aku guna belas aluminium yang kecil sebagai ganti. Resepi ini diambil dari Blog azlitamasammanis. Aku ubah sedikit resepinya dengan menambah santan serbuk supaya warnanya menjadi lebih putih.



Resepi Kuih Tepung Pelita.
Bahan2

Lapisan bawah
1 cawan tepung beras
1 cawan gula
5 cawan air
sedikit air kapur
sedikit pewarna hijau
4 helai daun pandan dimesin dengan sedikit air

1.Tepung, air, gula, air daun pandan dan air kapur dicampur
   dan dikacau di dalam sebuah bekas.
2.Masak di atas api sederhana dan kacau selalu sehingga
   adunan masak dan kelihatan berkilat.
3.Terus masukkan ke dalam bekas daun pisang atau aluminium.
  (separuh bekas) ratakan dan biarkan sejuk/keras.





Lapisan atas
4 sudu besar tepung beras
4 cawan santan yang sederhana pekat
2 sudu besar santan serbuk
Secubit garam

1.Masukkan santan, tepung beras dan garam ke dalam sebuah 
    periuk.
2.Masak di atas api sederhana sambil dikacau sehingga adunan
   masak dan pekat.
3.Sudukan santan ke atas lapisan pandan. Biarkan sejuk.








Sedap!

Dapurku D'Riyadh (164) - Jejari Ayam



Bismillahirrahmanirrahim.

Resepi asal adalah Chicken Zinger Burger. Aku sediakan resepi ini untuk dimakan bersama nasi goreng. Resepinya begitu mudah dengan bahan yang sedia ada di dapur sahaja. Ianya sesuai untuk dijadikan burger, atau isian Roti Pita atau Shawarma. Dimakan dengan sos pun sedap juga. Aku mengikut resepi asal yang diambil dari FB. Tetapi jika mahu dimakan begitu sahaja, rasanya elok ditambah sedikit  rempah kari atau serbuk cili sebagai penambah rasa.

Jejari Ayam

Resepi Jejari Ayam
Bahan2:
2 keping dada ayam (tanpa tulang) dipotong memanjang
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung
1/2 cawan tepung beras
2 sudu besar Baking powder
1 biji telur
1 sudu kecil serbuk lada putih
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil garam
Minyak untuk memasak

Bahan2 yang diperlukan

Cara Membuatnya:
1.Campurkan semua tepung dan baking powder ke dalam sebuah
   bekas.
2.Sapukan garam, lada putih dan lada hitam kepada keseluruhan ayam.
3.Pukul telur bersama garam, lada putih dan lada hitam di dalam bekas
   yang berasingan.
4.Panaskan minyak didalam kuali dengan api sederhana.
5.Salut jejari ayam dengan telur kemudian dengan tepung yang 
   disediakan. Ulangi sekali lagi.(2 kali)
6.Goreng ayam yang disalut sehingga masak. Jika terlalu besar
   saiz ayam (untuk burger) tutup kuali dengan penutup supaya
   ayam  lebih mudah masak.


Travelog : Oh! Riyadh (105) - Rindu Iman

Rindu Iman.


Alhamdulillah. Dengan izin Allah SWT aku berpeluang berada di bumi Arab Saudi sepanjang aku bercuti tanpa gaji. Merasai nikmat melalui detik masa dengan rasa yang lebih tenang dan selesa. Tidak perlu memikirkan esok perlu ke tempat kerja. Walau sumber kewangan sendiri sedikit berkurang, namun banyak perkara yang mampu aku lakukan sepanjang tempoh bercuti ini. Aku tidak memiliki minat yang memerlukan sumber kewangan yang banyak, jadi elaun yang diberi oleh suami sepanjang tempoh bercuti semestinya mencukupi. Kecuali melancong....yang ini tidak boleh dielakkan.

Berselfie sebelum berpisah.
Hampir satu tahun setengah aku berpeluang belajar membaca Al Quran secara berjadual ketika berada di Riyadh. Aktiviti yang memang selalu aku impikan dan dambakan. Sememangnya banyak peluang untuk mencari ilmu di sini sama ada secara percuma atau dengan sedikit bayaran. Tawaran dari sekolah-sekolah kerajaan atau secara  individu memang ada tetapi masalah pengangkutan menjadi masalahnya. Setelah mengenali lebih ramai sahabat-sahabat yang menetap di Riyadh, akhirnya aku bertemu dengan seorang pelajar Malaysia yang sudi datang ke rumah untuk mengajar Al Quran. Ustazah Shikin adalah bekas pelajar di Universiti Noura binti Abdul Rahman, universiti khas untuk kaum wanita sahaja di Riyadh. Suami UStazah Shikin yang kami panggil Ustaz Zaki merupakan siswa tahun ketiga di Imam Muhammad Ibn Saud Islamic University, Riyadh.

Iman..sebelum usia setahun.
Selepas solat Maghrib setiap hari Selasa dan Khamis, Saffura menyemak hafazan Al Quran dan aku pula memperbaiki bacaan. Aku mendapat nikmat membaca Al Quran dengan lebih baik dari Ustazah Shikin yang juga merupakan seorang Hafizah. Terasa begitu bermakna apabila dapat membaca secara langsung dengan tumpuan yang diberi Ustazah Shikin. Membaca Al Quran menjadi lebih bermakna dengan bacaan yang lebih baik dari segi makraj huruf dan tajwid sebagai kesinambungan apa yang telah aku pelajari dari Dar al Dhikr.
Kami juga akan bergilir untuk menjaga Iman, anak sulung Ustazah Shikin ketika salah seorang dari kami mengaji bersama Ustazah Shikin. Dari usia sebelum mencapai umur setahun sehingga kini, Iman sudah berusia hampir setahun setengah.
Besar jadi Hafizah na
Semakin cerdik
Minggu lepas (19/4/16) kami diberitahu kelas mengaji terpaksa dihentikan kerana Ustazah Shikin terpaksa pulang ke Malaysia. Berita yang begitu mengejutkan kami di mana aku menjangkakan kelas akan berterusan sehingga beberapa minggu lagi sebelum cuti summer bermula. Terdapat masalah berkaitan dengan tempoh visa Ustazah Shikin berada di Arab Saudi memaksanya pulang dahulu untuk bercuti ke tanah air sebelum suaminya tamat peperiksaan semester ini. Terpaksa kami lepaskan Ustazah Shikin balik walaupun bacaan Al Quran yang aku pelajari baru mencecah Juz 15.

Iman dah jadi orang Arab...makan roti aje

Seminggu berlalu, dua kali kelas mengaji sudah tiada. Terasa sangat ketidakhadiran mereka berdua di rumah kami. Sedihnya tidak dapat mengaji dengan Ustazah Shikin lagi. Walaupun aku sudah memulakan langkah meneruskannya dengan belajar melalui laman blog dan sebagainya tetapi pastinya tidak sama. Lebih mendukacitakan aku ialah tiada teman untuk merasa makanan yang aku sediakan. Biasanya aku akan masak sesuatu untuk dihidangkan kepada Ustazah Shikin setiap kali ada kelas mengaji. Seronok aku membuat eksperimen makanan yang ingin aku sediakan. Ustazah Shikin umpama food tester yang begitu bermakna bagiku. Suka aku tengok Ustazah Shikin menghabiskan setiap hidangan yang aku sediakan walau tanpa sebarang komen, sekadar senyuman. Aku pula yang sibuk bertanya bagaimana rasanya, ok ke dan bermacam lagi soalannya.


Ada mainan dah.

Lebih terasa ialah tiadanya Iman yang comel. Memang seronok melayan Iman yang semakin cerdik dan bijak. Walaupun belum mampu memanggil aku dengan panggilan "tok" seperti yang aku gelarkan kepadanya. Iman begitu mengenali kami dan semakin rapat dengan aku dan Saffura. Tidak pasti bila kami akan berjumpa lagi. Moga Iman membesar menjadi anak yang solehah, berakhlak mulia, membahagiakan ibu dan ayah di dunia dan akhirat. Ada rezeki berjumpa lagi. In Sha Allah. Jazakillahu khairan kepada Ustazah Shikin yang sudi meluangkan masa datang ke rumah untuk menyampaikan ilmu Al Quran. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalasnya. Maaf kan kami di atas segala kekurangan.



                                                                                                                                         zias/riyadh/16

Khamis, 28 April 2016

Dapurku D'Riyadh (163) - Nasi Mandi Ayam Bakar




Bismillahirrahmanirrahim


Beberapa kali aku menangguh untuk menyediakan Nasi Mandi dengan alasan ianya selalu sangat kami makan di luar. Baru-baru ini pun kami menyambut hari lahir Saffura di Restoran Romansiah, kedai makan kegemaran kami. Memang tidak jemu memakan Nasi Mandi atau Nasi Kabshah tapi perlu juga kawal diri. Bukan apa, biasanya sukar untuk menghadkan kuantiti nasi yang dimakan jika dihidang dengan Nasi Arab nih. Cukup nasi, lauk dan sambalnya, satu dulang boleh dihabiskan...ishishish.



Nasi Mandi dari Dapurku D'Riyadh


Tidak susah untuk menyediakan Nasi Mandi. Kali ini aku memotong ayam kepada dua bahagian seperti yang selalu kami makan di Romansyiah. Selalunya aku lebih suka bakar seekor gitu, nampak lebih menggiurkan. Sehingga kini aku belum jumpa lagi rempah Nasi Mandi yang dijual di mall. Tidak seperti rempah Nasi Kabshah yang banyak dijual sama ada dalam bentuk bungkusan atau di dalam bekas juga dijual dalam bentuk timbangan. Nasi Mandi yang berasal dari Yaman ini memerlukan rempah khas yang dipanggil Hawaij. Rempah ini akan disapu kepada ayam. Pun begitu dalam resepi ini aku menggunakan Arabian Spices sebagai ganti.
Resepi asal adalah dengan membakar ayam yang dialas dengan wire rack yang diletak atas periuk yang berisi nasi. Aku ubah di mana aku memasak nasi secara biasa dan ayamnya aku bakar di dalam oven. Aku juga tidak memasukkan sebarang rempah di dalam Nasi Mandi yang aku sediakan ini kerana aku mahu dapatkan warna nasi yang agak lembut seperti yang biasa kami makan di Romansyiah. Aku letakkan pewarna supaya nampak lebih menarik. Mungkin di lain kesempatan aku akan cuba teknik tersebut kerana wire rack belum dibeli.
Nasi Mandi dan Kebab di Romansiah.
Nasi Mandi memerlukan asap arang bagi mendapatkan aroma yang enak. Jangan risau, senang sahaja mengasapkannya. Bau bakaran arang yang menyebabkan penghuninya tidak sabar-sabar lagi mahu menikmati nasi Mandi yang disediakan. Seperti biasa Nasi Mandi dihidang bersama sambal tomato yang dikisar bersama cili dan sedikit daun pudina atau ketumbar. Perah sedikit lemon untuk mengurangkan rasa pedas. Juga salad yang dibuat dari campuran daun salad, timun dan tomato yang dipotong dadu.

Resepi Nasi Mandi Ayam Bakar.

Untuk Ayam Bakar

Menyediakan Rempah Hawaij
6 1/2 sudu besar biji lada hitam
1/4 cawan biji jintan putih
2 1/2 sudu besar biji rempah
1 1/2 sudu besar buah pelaga
1 1/2 sudu kecil biji cengkih
3 1/2 sudu besar serbuk kunyit

Sangai atau goreng tanpa minyak kesemua bahan di atas kecuali
serbuk kunyit. Sejukkan dan kisar halus, guna pengisar rempah
atau kopi. Campurkan dengan serbuk kunyit.
Simpan di dalam bekas kedap udara.Guna bila perlu.

Bahan2
1 ekor ayam (dalam 1 kg) -dibelah dua
1 sudu besar rempah Hawaij/Arabian Spices
(kuantiti rempah bergantung kepada individu)
1/2 sudu kecil kunyit
2 sudu besar mentega yang dicairkan
Garam

Cara Menbuatnya:
1.Campurkan semua bahan dan kacau supaya sebati.
2.Sapukan kepada keseluruhan badan ayam.
3.Perap semalaman atau beberapa jam.


4. Bakar ayam pada suhu 200 C ( 425 F ) sehingga kelihatan mulai
    keperangan (30 minit).Kemudian turunkan suhu kepada 175 C
    (325 F) sehingga ayam masak dan garing. Lebih kurang 1 jam
    20  minit.


Siap Ayam Bakar


Untuk Nasi Mandi

Bahan2
2 cawan beras basmati dibasuh dan direndam 1/2 jam
2 1/2 cawan air atau air rebusan ayam
1 biji bawang besar dipotong dadu
5 biji buah pelaga
5 biji cengkih
1/2 sudu kecil biji lada hitam
1 kulit kayu manis
1 helai daun Bay
2-3 biji cili hijau
2 sudu besar minyak sapi
Satu ketul arang (natural coal)
Aluminium foil
Garam
1 sudu kecil minyak zaitun/masak
Saffron yang direndam dengan air atau
pewarna kuning.


Cara Membuatnya:
1.Panaskan 1 sudu minyak sapi di dalam sebuah periuk.
2.Masukkan bawang besar dan goreng sehingga layu.
3.Masukkan beras dan kacau sekejap.
4.Masukkan buah pelaga, cengkih, lada hitam, kulit kayu
   manis, daun Bay, cili, garam dan air.
5.Masak sehingga hampir kering.
6.Perlahankan api dan masukkan pewarna saffron dan 1 sudu
   minyak Ghee
7.Biarkan sehingga nasi masak sepenuhnya  mengguna
   kan api yang paling kecil.
8.Panaskan arang sehingga membentuk bara api. Masukkan
   arang ke dalam aluminium foil dan curahkan minyak zaitun
   di dalamnya. Letakkan di bahagian tengah periuk dan tutup
   periuk dengan penutup. Biarkan sehingga semua asap habis.

*Boleh juga dimasukkan ayam sekali di dalam periuk nasi
  sebelum dimasukkan arang.







Rabu, 27 April 2016

UCAPAN TERIMA KASIH.


Ulang Tahun Pertama Memory ZiaSaf

 


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sobahul Khair (selamat pagi) / Tobat Masauk (selamat tengahari) / Laila Sa'edah (selamat malam)  dan salam ukhuwah buat tetamu Memory ZiaSaf.

Alhamdulillah Blog Memory ZiaSaf menyambut ulang tahun pertama kehadirannya. Walaupun blog Memory ZiaSaf telah diwujudkan lebih awal dari tarikh tersebut tetapi entri pertama hanya diterbitkan pada tarikh 26/4/2015. Tidak aku sangka setahun sudah berlalu. Sebelum ini aku hanya berminat membaca blog di waktu lapang atau ketika mencari maklumat tentang sesuatu. Tidak pernah terfikir langsung untuk memiliki blog sendiri. Membina blog sendiri begitu asing bagiku walaupun ramai antara kawan-kawan yang aku kenali sudah mengorak langkah ke arah itu. Mujur ada Saffura yang rajin mencari dan mencuba, lalu terhasil juga blog milik kami bersama ini.

Idea untuk mengwujudkan blog sendiri ialah bagi menyimpan dua travelog yang sudah aku siapkan sebelum berhijrah buat sementara waktu ke Riyadh. Rasa kecewa terhadap sikap tidak layan penerbit buku akan travelog yang aku hasilkan, tidak aku biarkan begitu sahaja. Aku juga amat maklum pasti penerbit mahukan penulis yang sudah ada nama untuk diberi keutamaan. Lagi pun aku masih baru di dalam bidang penulisan. Tidak mahu apa yang aku tuliskan dan hasilkan tersimpan begitu sahaja, aku mengorak langkah dengan memasukan travelog yang aku hasilkan di dalam blog. Dengan harapan ianya menjadi rujukan oleh sesiapa sahaja yang mencari maklumat berkaitan. Travelog tersebut mencatatkan pengalaman bercuti di New Zealand dan Istanbul. Banyak catatan asal di dalam buku khas setiap perjalanan yang belum aku jadikan travelog. In Shaa Allah akan aku hasilkan kemudian.

Terdapat banyak catatan pengalaman dan gambar-gambar kembara dihasilkan ketika ini namun aku juga tidak mahu melepaskan peluang untuk memberi sumbangan. Mungkin apa yang aku tuliskan atau paparkan hanya perkara-perkara biasa, namun jika dijadikan panduan dan mendatangkan kebaikan kepada si pembaca, pasti ada ganjarannya. Aku mengharapkan ganjaran pahala berterusan sehingga di alam akhirat. Sebab itu aku ingin sekali berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja. Terima kasih wahai pembaca yang sudi singgah di blogku kerana anda memberi pahala buatku.

Dapurku D'Riyadh pula untuk memudahkan aku merujuk resepi-resepi yang pernah aku cuba. Setelah usia meningkat, terasa ingatan semakin berkurangan. Asyik terlupa bahan-bahan yang perlu dimasukkan terutama masakan yang jarang disediakan. Ada juga resepi yang diturunkan oleh saudara terdekat seperti ibu mertua, emak saudara dan juga rakan rapat. Mana mungkin  jika aku asyik mahu bertanya setiap kali juadah  hendak  disediakan. Lagi  pula  ada di kalangan  ahli keluargaku  yang  agak pandai  'merasa' atau memberi komen. Tahu aje apa-apa bahan yang terkurang atau terlebih. Jadi semua resepi di bawah tajuk Dapurku D'Riyadh telah aku cuba dan sepanjang aku berada di Riyadh.

Sekarang aktiviti memasak menjadi mudah, kerana aku hanya perlu membuka telefon bimbit dan membuka blog aku sendiri. Tidak perlu lagi aku membuka helaian demi helaian buku-buku catatan yang semakin kusam dan dipenuhi warna-warni akibat ditumpahi cili, kicap dan sebagainya. Saffura juga boleh menjadikannya sebagai rujukan apabila mahu memasak makanan kegemarannya nanti. Moga pahala yang berterusan mengalir buat diriku dan sesiapa sahaja yang menjadi penyumbang secara langsung atau tanpa disedari. Walaupun sekadar satu ayat.

Sekali lagi untuk mereka yang tersesat atau sengaja menyesatkan diri di blogku ini uhibbuki (saya sayang awak untuk perempuan)



TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PEMBACA
YANG TELAH SUDI SINGGAH DI BLOG INI.



Selasa, 26 April 2016

Dapurku D'Riyadh (162) - Kuih Kaswi



Bismillahirrahmanirrahim

Akhirnya aku berjaya juga membuat Kuih Kaswi setelah sekian lama menginginkannya. Seperti biasa apabila mahu membuatnya, puas la aku mencari resepinya di FB. Sebelum ini ada sahaja rakan-rakan yang berkongsi resepinya di FB, membuatkan keinginan untuk membuatnya begitu membuak-buak. Blog menjadi rujukan setelah apa yang dicari di dalam FB tidak aku temui. Kali ini aku mengambil resepi dari Blog Azie Kitchen. Aku ikut betul-betul setiap bahan dan arahan yang diberi. Serius ...memang sedap, tidak jemu memakannya. Paling best seluruh ahli keluargaku suka.



Dapat juga aku memberi sepinggan Kuih Kaswi kepada jiranku, Pn Roslina. Ini penting untuk menyatakan rasa terima kasih kerana memberi kapur kepada aku tempoh hari. Namun kelapa parut yang digaul dengan kuih kaswi agak kasar kerana aku memarutnya sendiri. Tapi ianya tidak mempengaruhi rasa sedap kuih kaswi yang dihasilkan. Sebenarnya aku masak di awal pagi kuih kaswi ini untuk sarapan pagi, tetapi tidak sempat dimakan kerana perlu menunggu kuih sejuk dahulu sebelum dipotong. Jadi ianya buat minum petang la pula.


Resepi Kuih Kaswi.

Bahan2:
2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung ubi
2  1/4 keping gula Melaka
1 cawan gula pasir
7 cawan air
1 sudu kecil kapur dibancuh dengan sedikit air.

Cara Membuatnya:
1.Masak gula pasir dan gula Melaka dengan 2 cawan air 
   sehingga mendidih. Sejukkan sehingga agak suam.
   Campurkan air gula bersama air sehingga menjadi 7 cawan
   ke dalam satu bekas besar.
2.Gaulkan bersama tepung gandum dan tepung ubi di dalam
   sebuah bekas.
3.Masukkan tepung yang dicampur ke dalam bekas yang 
   mengandungi air gula tadi.Kacau sehingga sebati dan semua
   larut. Rasa sedikit, jika belum cukup manis boleh tambah 
   gula.
4.Masukkan air kapur dan kacau rata. Tapis ke dalam sebuah
   jug supaya senang menuangnya ke dalam loyang.
5.Panaskan periuk kukus bersama loyang. Masukkan adunan
   ke dalam loyang setelah loyang panas. Kukus selama 1 jam
   menggunakan api yang besar. Balut penutup periuk  kukus 
   dengan kain/tuala.
6.Setelah masak, buka penutup periuk kukus seketika untuk 
   mengeringkan air di permukaan kuih.
7.Potong kuih kaswi setelah benar-benar sejuk dan gaul 
   dengan kelapa parut yang dicamput dengan sedikit garam.



Siap untuk dihidang.


Travelog : Oh! Riyadh (104) - Liqa Pertama dan Terakhir di Riyadh.


 Liqa Pertama dan Terakhir di Riyadh.


Liqa antara program yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Pelajar Riyadh Malaysia (PPRM) dan AJK Komuniti Warga Malaysia  Riyadh. Ianya terbuka kepada semua warga Malaysia dan biasanya menjadi tumpuan kehadiran orang ramai, sehingga  mencecah ratusan orang. Aku dan Saffura pernah menghadiri program lain seperti Muqayyam dan Kursus Hafazan Al Quran. Namun tidak berpeluang untuk hadir ke program liqa kerana setiap kali ada liqa, kami berada di luar kawasan. Alhamdulillah kami dapat hadir ke program liqa terakhir pada musim ini sebelum bermulanya cuti musim panas tahun 2016. Jadi ianya merupakan kehadiran yang pertama dan terakhir bagi kami sepanjang hampir tiga tahun berada di Riyadh.

 Tempat berlangsungnya program.
Program liqa kali ini telah diadakan di Istirahah yang terletak di laluan lebuh raya ke Dammam. Kawasan yang sememangnya menjadi pilihan untuk diadakan program oleh PPRM. Seingat aku, tiga kali program yang aku hadiri bertempat di istirahah yang berlainan yang tidak jauh antara satu sama lain. Istirahah ini paling besar, cantik dan bersih, walaupun tanpa sebarang pokok ditanam buat hiasan. Khemah-khemah kekalnya juga luas dan selesa. Mempunyai dua kawasan padang rumput menghijau yang asli, juga dua kolam renang yang berpagar.

Liqa kali ini membawa tajuk "Sunnah & Syiah di Malaysia" oleh penceramah jemputan yang juga merupakan pelajar sarjana dari King Saud University iaitu Al-Fadhil Ustaz Muhammad Hafiz bin Abdul Basir. Berlangsung pada 22 /4/2016  dan kupasan yang diberi adalah berdasarkan hasil kajian tesis beliau.

Group WhatsApp Family Riyadh begitu meriah dengan pelbagai cerita berkaitan dengan liqa yang bakal diadakan. Menu yang disediakan menjadi topik perbincangan dan gambar lauk pauk yang disediakan turut disertakan. Seperti biasa, jamuan adalah secara potluck jadi semua diminta membawa apa juga jenis makanan dan minuman yang sesuai untuk dimakan bersama. Pun begitu lauk pauk menjadi tumpuan untuk dimakan dengan nasi putih.


Kari ikan disediakan oleh Pn Emy



Sup Tulang disediakan oleh Pn Nani

Kari Ayam disediakan oleh Dr Rosmah@ Emma
Ini yang aku sediakan.

Kami sekeluarga antara yang terawal tiba di tempat liqa diadakan sekitar pukul 4.30 petang. Mendahului kami ialah Dr Rosmah dan suaminya. Ramai pelajar-pelajar Malaysia sudah berada di sekitar bahagian depan istirahah. Aku dan Saffura mengambil kesempatan masa yang ada untuk meninjau kawasan istirahah di bahagian yang dikhaskan untuk kaum wanita. 

Padang yang luas dan tempat bbq juga disediakan


Luas dan selesa

Sesuai buat kaum wanita
Kolam renang pun ada dua.

Hujan turun sebaik sahaja bermulanya aktiviti makan malam di padang berhampiran khemah. Program diteruskan juga selepas kesemua makanan dan minuman dibawa masuk ke  dalam khemah tersebut. Disebabkan situasi yang tidak dijangka itu menyebabkan aku tidak sempat mengambil gambar juadah yang dihidangkan. Suasana agak kalut kerana keterbatasan ruang yang mencukupi untuk meletakkan makanan yang agak banyak. Lauk pauk yang dibawa memang banyak, pelbagai dan sedap belaka. Teringat masak Paru Goreng Bercili oleh Siti Zaleha  dan kerabu Aniza Ghani yang sedap sangat. Ribuan terima kasih kepada Dr Rosmah yang telah sudi berkongsi gambar di dalam group WhatsApp Family Riyadh.


Semakin ramai yang tiba dan duduk berehat di khemah yang disediakan.

Sesi ceramah bermula sebaik sahaja para hadirin selesai mengerjakan solat Maghrib secara berjemaah. Selepas ceramah, terdapat pula sesi soal jawab. Program berakhir sebaik sahaja selesai solat Isyak secara berjemaah. Alhamdulillah. Moga ianya memberi manafaat untuk semua baik dari segi ilmu atau pun ukhuwwah yang sedia terjalin.


Ceramah dimulakan


Kelihatan Pn Wan Salisa dan Pn Rahimah

Jeni, Zita dan Fiza

Semua khusyuk memahami apa yang dikongsikan oleh ustaz

Ida, Fiza, Faeda, Rahimah, Zita, Nani dan Wan Amalina

Dr Fariza yang sentiasa ceria dan menghidupkan suasana

Sesekali berbincang

Solat Isyak sebelum bersurai

Aishah, Sarah dan Saffura .



                                                                                                                    zias/riyadh/16

Isnin, 25 April 2016

Travelog : Oh!Riyadh (102) - Farewell



Farewell

Hadiah perpisahan.
Akhirnya tiket penerbangan pulang ke Malaysia for good telah kami perolehi dan disahkan. In Shaa Allah penerbangan tersebut pada 25/7/2016, kira-kira tiga bulan dari tarikh hari ini. Berita gembira bagi saudara mara di tanah air terutama ibuku dan ibu mertuaku. Kebetulan ada sahabat kami di Riyadh juga akan pulang ke tanah air dalam masa yang terdekat iaitu di akhir bulan April. Bertugas di kedutaan Malaysia, tiba-tiba diminta pulang setelah empat tahun bertugas di Riyadh. Ustazah Hjh Norzita juga seperti aku, sedang bercuti tanpa gaji mengikut suami.

Ustazah Norzita dan Dr Fariza - orang kuat AJK program.
Sahabat-sahabat yang kami sebut ibu-ibu Riyadh mengadakan majlis perpisahan secara ringkas untuk kami berdua selepas usrah bertarikh 7/4/2016. Usrah kali ini diadakan di rooftop  apartmen SriWangi, lokasi yang diminati ramai. Alhamdulillah program usrah yang diadakan dua minggu sekali dengan kerja sama Persatuan Pelajar Malaysia Riyadh (PPMR) amat bermanafaat. Di samping mendapat ilmu berkaitan Islam , ianya mengeratkan lagi tali persaudaraan antara warga Malaysia. Terdapat beberapa program yang dianjurkan oleh persatuan dan dilaksanakan dengan kerjasama AJK yang bertugas secara sukarela. Program-program seperti kafa, usrah, liqa atau muqayyam mampu mengukuhkan silatulrahim yang sedia ada.

Antara yang hadir
Aku akui sepanjang hampir tiga tahun berada di Riyadh inilah sahaja medium yang menawarkan sesi pertemuan sesama kami secara berjadual dan berterusan. Terus terang, pertemuan yang diadakan begitu penting dan bermakna disebabkan ruang yang amat terhad untuk golongan ibu khasnya untuk bersosial. Di samping mendapat ilmu, jamuan yang disediakan secara pot luck betul-betul mengancam diet. Inilah masanya juga kita dapat menikmati pelbagai juadah bercirikan Malaysia. Tambahan pula ibu-ibu Riyadh memang pandai-pandai masak belaka.

Sedang memberi ucapan - sekejap je
Usai usrah, Ustazah Norzita dan aku diminta memberi sedikit ucapan kepada ibu-ibu yang hadir. Walaupun kehadiran pada malam tersebut kurang dari kebiasaannya, rasa meriah tetap ada. Mujur aku dapat mengawal air mata yang hampir tumpah. Terharu kerana diberi penghargaan yang sebegitu rupa, maklum aku adalah antara yang tidak konsisten hadir dalam majlis usrah. Ini disebabkan aku dan Saffura ada sesi mengaji  dan menghafal Al Quran bersama dengan Ustazah Shikin di rumah kami pada setiap hari Khamis malam Jumaat. Pun begitu pihak AJK tetap mahu aku menghadiri majlis tersebut, jadi sesi mengaji pada malam tersebut terpaksa aku batalkan.

Terima tanda mata

Suasana malam yang masih agak sejuk dan berangin di rooftop SriWangi, menjadikan suasana majlis begitu damai dan tenang. Selepas sesi memberi tanda mata, kami menikmati hidangan yang sangat enak terutama nasi tomato yang disediakan oleh Pn Jeni dan Pn Siti Zaleha.Aku pula sempat menyediakan Kuih Cara Berlauk untuk dimakan bersama. Aku berpeluang  bertemu dengan Pn Fauziah Ahmad yang baru berhijrah ke Riyadh kira-kira empat bulan yang lalu. Terima kasih  juga kepada Pn Fauziah Ahmad yang telah sudi berkongsi gambar-gambar yang diambilnya.


Pn Fauziah Ahmad, Tini dan Nora.

Bersama Jeni dan Fiza. Menjamu selera sambil terus berkenal mesra

Bersama Pn Om Mahani, setelah dua tahun tidak berjumpa.

Suasana santai

Juadah yang pelbagai dan enak untuk dipilih.

Wajah-wajah yang akan dikenang kemudian hari.

Pada malam yang sama Dr Fariza mengumumkan rancangan komuniti warga Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pelajar Malaysia Riyadh untuk menyewa serumah yang akan dikosongkan di Sri Wangi. Seluruh bangunan apartmen Sri Wangi kini dihuni oleh warga Malaysia, oleh itu mudah untuk menjalankan aktiviti yang melibatkan rakyat Malaysia. Menjadi harapan agar semua aktiviti di masa akan datang dijalankan di rumah tersebut yang bersambung dengan ruang rooftop tersebut. Jadi tidaklah perlu menyewa Istirahah atau menumpang rumah sahabat yang lain seperti yang dilakukan sekarang. Sebanyak SAR27,000 diperlukan setahun untuk menyewa rumah tersebut. Kutipan sedang diteruskan pada masa ini dan Alhamdulillah jumlahnya sudah mencapai separuh dari jumlah yang diperlukan. Ianya cukup untuk dijadikan bayaran pendahuluan kepada tuan punya bangunan tersebut.

Ikhlan turut dimuatkan di laman FB Komuniti Warga Malaysia Riyadh untuk  membolehkan lebih ramai lagi warga Malaysia di Riyadh memberi sumbangan. Rumah tersebut akan dijadikan Pusat Aktiviti Komuniti Malaysia Riyadh. Terletak di kawasan Hayyu Izdihar, Exit 7.  Pelbagai aktiviti dirancang untuk diadakan di rumah tersebut seperti Kelas Pengajian KAFA (untuk anak-anak) setiap minggu, usrah Ibu-ibu Riyadh, program pelajar yang bersifat dakwah, ilmiah dan ukhuwwah, program keramaian seperti meraikan perayaan/individu/hari/peristiwa tertentu,mesyuarat aktiviti warga Malaysia Riyadh, kelas pengajian agama dan pelbagai lagi.


Walaupun tidak berpeluang bersama ibu-ibu Riyadh lagi, aku sentiasa mendoakan agar setiap program yang telah dan sedang dilaksanakan diteruskan di masa akan datang. Pengalaman pertama tinggal di luar negara begitu bermakna apabila bersama dengan golongan yang berusaha untuk menjadi golongan Ansarullah, yakni pembantu agama Allah. Moga setiap niat dan usaha yang dilakukan adalah ikhlas dan dilaksanakan selari dengan kehendak Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Untuk mereka yang akan berhijrah ke Riyadh, usah risau, ada program untuk anda sekeluarga. Jazakumullah Khairan Katsiran (Semuga Allah SWT akan membalas kalian dengan kebaikan yang banyak) dari kami sekeluarga untuk ibu-ibu Riyadh atas kesudian meraikan kami.



                                                                                                                    zias/riyadh/16                  
                                                                                 

Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...