Khamis, 30 Jun 2016

Dapurku D'Riyadh (189) - Pakora



BismillahirRahmanirRahim

Tazkirah Ramadhan
Sesungguhnya Allah SWT amat mengasihi umat Nabi Muhammad SAW
Umur kita terlalu singkat
...hingga Allah kurniakan Lailatul Qadr untuk menambah umur amal
Umur kita terlalu singkat
...hingga Allah pinta bersilatulrahim untuk memanjangkannya
Umur kita terlalu singkat
...Allah kurniakan puasa enam Syawal seperti berpuasa setahun
Umur kita terlalu singkat
...Allah kurniakan Surah Al Ikhlas seperti membaca sepertiga Al Quran
Umur kita terlalu singkat
..Allah kurniakan solat Di MasjidilHaram seperti solat 100 ribu lebih
di masjid lain.
Umur kita terlalu singkat
...Allah kurniakan solat berjemaah 27x lebih dari solat sendirian
Umur kita terlalu singkat
...Allah kurniakan solat sunat di rumah 25x lebih dari solat di mata orang
Umur kita terlalu singkat
...Allah kurniakan satu huruf bacaan Al Quran dengan 10 pahala
Umur kita terlalu singkat
...Allah kurniakan sesiapa yag beramal soleh/bersedekah,meninggalkan anak
yang soleh, pahala mengalir ke alam kuburnya.
Hidup ini Terlalu Singkat...Jangan sia-siakan...

                                                                        #######

Pakora yang rangup

Pakora merupakan sejenis hidangan yang berasal dari Pakistan. Ianya cukup popular terutama di bulan Ramadhan. Pakora dan Samosa dijual dikebanyakan gerai jalanan di Pakistan umpama gerai goreng pisang di Malaysia. Pertama kali menikmati hidangan yang kelihatan seperti cucur udang ini, membuatkan aku jatuh hati. Rasanya yang rangup dan sedikit pedas cukup menyelerakan. Ianya merupakan hidangan vegetarian di mana menggunakan kentang dan beberapa sayur-sayuran pilihan. Apa lagi aku pun meminta resepi dari Pn Saidah, jiran Pakistan yang telah menjamu kami pada jamuan iftar minggu lepas. Cukup mudah disediakan. Menggunakan tepung kacang kuda  sebagai bahan utama dan dicampurkan dengan beberapa bahan lain. Kebetulan lebihan tepung kacang kuda yang aku guna untuk membuat Maruku masih berbaki. Tepung kacang kuda boleh dibeli di kebanyakan mall di Riyadh.

Pakora yang disediakan Pn Saidah
Maruku untuk Hari Raya...dibuat menggunakan tepung kacang
kuda.


Resepi Pakora
Bahan2:
5-6 sudu besar tepung kacang kuda
2 biji kentang dibuang kulit dan di hiris bulat sederhana nipis
1 biji bawang besar dihiris
Sedikit daun bayam dihiris kecil (tak letak)
Sedikit daun ketumbar dihiris
1 sudu biji rempah/ketumbar (boleh lebihkan)
1 sudu kecil sumak (tak letak pun tak apa)
1 sudu kecil chili flakes/hirisan cili hijau
Garam secukup rasa
Minyak masak
Air secukupnya
*Boleh guna sayuran lain seperti terung,zucchini dan sebagainya.

Tepung kacang kuda

Cara membuatnya:
1.Masukkan semua bahan ke dalam sebuah mangkuk kecuali minyak
   dan air.
2.Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga mendapat adunan yang
   dikehendaki. Agak pekat sedikit.
3.Panaskan minyak di dalam sebuah kuali. Sudukan kentang dan bahan
   lain bersama tepung adunan dan masukkan ke dalam minyak.Ulangi
   dan goreng sehingga garing atau masak. Guna api yang sederhana.

Agak2 kepekatannya


Ranggup walaupun sudah sejuk.



Rabu, 29 Jun 2016

Travelog: Oh! Riyadh (116) - Iftar @ Masjid Nabawi, Madinah.


Iftar @ Masjid Nabawi, Madinah.


Telah bersabda  Rasulullah SAW yang bermaksud,

"Barang siapa datang menziarahiku tanpa tujuan lain kecuali untuk berziarah
kepadaku, maka aku berhak menjadi pemberi syafaat baginya
di hari kiamat."
[HR. Ath-Thabrani dari Ibnu Umar]





Sepanjang Ramadhan, sememangnya hati ini terkenang pengalaman berbuka puasa di Masjid Nabawi, Madinah dan MasjidilHaram di Mekah. Rindu untuk ziarah Rasulullah SAW kian terasa apabila melihat para tetamu Allah berbuka puasa dan beribadat tanpa henti di kedua-dua tempat yang paling diberkati di bumi ini. Terasa mahu terbang ke sana tatkala terkenang ganjaran yang begitu hebat dijanjikan Allah bagi setiap ibadah yang dilaksanakan di sana lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini. Doa yang dipanjatkan diizin oleh Allah lantas membolehkan kami ke sana. Tanpa dirancang terlebih awal, kami membuat keputusan untuk ke sana pada minggu lepas. Alhamdulillah hotel dapat ditempah dengan harga yang berpatutan. Istimewa sekali berpeluang tinggal di bumi ini. Mudah untuk ke dua tempat yang dianjurkan untuk kita untuk berziarah.

Rancangan untuk bertolak selepas selesai mengerjakan solat Tarawih tidak terlaksana dek keletihan. Sekitar pukul 2.00 pagi, pada Hari Jumaat (19 Ramadhan) kami bertolak dari rumah. Jalan raya dipenuhi dengan kenderaan, kawasan padang pasir di kiri kanan jalan raya  dipenuhi orang ramai yang masih berkelah dan menunggu waktu sehingga sahur. Restoran-restoran di sepanjang jalan juga dikunjungi ramai, lebih ramai dari hari biasa. Kereta kelihatan memenuhi kawasan istirahah dan kawasan permainan. Terasa seperti baru pukul 9.00 malam. Suhu pada waktu malam yang agak nyaman, sekitar 30 C, mengundang orang ramai berada di luar rumah. Realiti kehidupan di Riyadh di mana sepanjang malam warganya tidak tidur sehingga selepas waktu fajar. Ianya berlaku di sepanjang bulan Ramadhan, kanak-kanak begitu segar melakukan pelbagai aktiviti. Saffura turut sama terikut dengan tradisi tersebut dengan berjaga sepanjang malam sehingga ke subuh.

Kami berhenti di rehat Sasco yang terletak di tepi lebuh raya tidak jauh dari Sudair sekitar pada pukul 3.00 pagi untuk bersahur dan Solat Subuh. Ramai yang turut berhenti di situ dan menikmati sahur bersama keluarga di atas karpet yang dibentang berdekatan kawasan surau. Alhamdulillah, tandas dan surau di dalam keadaan yang bersih dan terjaga. Maklum, baru-baru ini kerajaan telah memberi amaran akan membatalkan lesen premis yang gagal memastikan tandas di kawasan miliknya bersih. Syukur. Di sini suhu menjadi 28 C dengan angin bertiup lembut dari padang pasir yang berada di sekelilingnya. Nyaman terasa. Kami hanya makan sedikit kerana masih kekenyangan selepas berbuka puasa di rumah Pn Saidah.

Kami hanya berhenti sebentar sahaja dan meneruskan perjalanan ke Madinah. Tiba di sana sekitar pukul 12.00 tengahari. Hotel yang ditempah dibatalkan oleh pihak pengurusan Al Eiman Taibah (SR600 semalam) disebabkan ada masalah dengan tarikh luput kad kredit milik suamiku. Tidak mempunyai banyak pilihan, suamiku menempah bilik di Anwar Al Madinah Movenpick Hotel.Memanglah mahal harga biliknya....SR1800 semalam untuk tiga orang sebilik. Moga Allah membalasnya dengan ganjaran yang berganda. Amin. Pukul 5.00 petang baru kami dapat masuk ke bilik hotel untuk berehat sekejap dan bersedia untuk ke Masjid Nabawi bagi berbuka puasa.



Buat kenangan
Saat dinanti untuk berbuka pun tiba dan kami mengatur langkah untuk ke sana dan masuk ke kawaasan Masjid Nabawi melalui pintu gate 15. Cuaca memang panas dengan suhu melebihi 40 C namun tetamu Allah sudah memenuhi seluruh kawasan dataran masjid tersebut sedang jam baru pukul 6.00 petang. Makanan sedang diagihkan di setiap kelompok yang disediakan. Tetamu Allah sudah bersedia atas hamparan yang disediakan. Aku dan Saffura melalui kawasan-kawasan yang dipenuhi tetamu Allah itu. Kami dipelawa untuk duduk di kawasan dataran masjid namun kami menolaknya kerana kami mahu masuk ke dalam Masjid Nabawi. Bilangan tetamu Allah lebih ramai dari kebiasaan yang pernah kami lihat sebelum ini. Kawasan berbuka puasa untuk kaum hawa juga bertambah sekitar dataran masjid.

Juadah berbuka sedang diedarkan

Bersedia untuk berbuka


Jangkaan kami bahawa keadaan di dalam Masjid Nabawi kurang sesak berbanding di kawasan luar meleset kali ini. Puas kami berpusing di dalam masjid untuk mencari ruang duduk untuk dua orang. Ternyata setiap ruang dipenuhi tetamu Allah dari seluruh dunia. Hampir berputus asa untuk kembali ke dataran masjid. Rezeki kami apabila terdapat sedikit ruang di tepi laluan berhampiran tempat meletak kasut. Tetamu Allah dari Algeria membenarkan kami duduk di sebelahnya walaupun ruang agak sempit. Dengan segera kami diberi bungkusan berisi roti, yogurt dan air minuman. Kurma yang diisi di dalam cawan plastik turut diberi kepada kami. Terdapat pelbagai jenis pemberian makanan yang diberi kepada tetamu Allah seperti buah-buahan, coklat, manisan juga nasi. Bagi kami cukuplah apa yang ada, sesekali menikmati juadah berbuka yang paling sederhana. Terasa nikmatnya apabila roti dicelup ke dalam yogurt dan dikunyak perlahan bersama kurma.Sedap sehingga Saffura mampu menghabiskan sebiji roti besar berbentuk donut tersebut.

Belum diagihkan lagi....

Malamnya kami menunaikan Solat Tarawih bersama lautan tetamu Allah. Sekali lagi amat sukar untuk mendapat tempat untuk solat di dlaam Masjid Nabawi. Tiada pilihan, kami bersolat di tepi laluan antara kawasan ruang solat. Rata-rata ruang solat telah diduduki lebih awal kerana sudah ramai yang beriktikaf di dalam Masjid Nabawi. Jika di luar waktu solat, kita akan melihat kawasan berkarpet merah dipenuhi dengan tetamu Allah yang akan berbaring di seluruh kawasan tersebut. Mereka hanya bangun untuk menunaikan solat dan kemudian tidur semula terutama di waktu siang hari. Solat 20 Tarawih sebanyak 20 rakaat dengan witir mampu kami tamatkan walaupun agak keletihan. Usai Solat Tarawih, makanan buat sahur pula diedarkan di luar kawasan dataran masjid. Yang memerlukan hanya perlu menghulurkan tangan dan menyatakan berapa bilangan yang diperlukan. Semuanya ditanya oleh individu atau pihak tertentu bagi meraihkan pahala bersedekah di bulan Ramadhan.

Solat Tahajud pula bermula pada malam 21 Ramadhan. Aktiviti bersedekah diteruskan semasa bersolat Tarawih. Ketika menanti Imam diganti selepas rakaat ke sepuluh. Ada anak muda yang mengedarkan air minuman yang disejukkan di dalam botol. Ianya betul-betul membantu para tetamu Allah yang kehausan. Maklumlah bukan mudah untuk meredah ribuan manusia yang sedang bersolat untuk minum air di kawasan yang disediakan. Moga Allah memberi ganjaran yang setimpal kepada anak gadis tersebut. MashaAllah sungguh terasa kemurahan masyarakat Madinah dalam melayani tetamu Allah. Makanan begitu mewah diberikan buat kemudahan saudara seIslam. Berkatilah bumi Madinah ...Ya Allah. Jadikan hati ini sentiasa merindui Kota Rasulullah SAW.

Suasana di waktu malam selepas solat

Rakyat Mesir paling ramai menjadi tetamu Allah tahun ini

Terasa kurangnya kehadiran warga dari Turki yang menjadi tetamu Allah pada tahun ini, tidak pasti penyebabnya. Teringat pada tahun 2014, di mana agak ramai warga Turki yang sibuk memberi pelbagai hadiah kepada kami. Bilangan saudara Muslim yang menjadi tetamu Allah bertambah dengan banyaknya tahun ini. Dengan bilangan 6,393,464 visa Umrah dikeluarkan, ianya meningkat sebanyak 6.6%. Jemaah dari Mesir menduduki tempat pertama dari segi kehadirannya  sebanyak 1.2 juta. Pakistan di tempat kedua,Indonesia di tempat ketiga, Turki di tempat keempat dan diikuti oleh Jordan, India, Algeria, Malaysia (215,415 orang) dan UAE. Tidak hairan apabila ada saudari dari Algeria menyatakan aku dari Pakistan...haha. Visa Umrah telah ditutup pada 16 Ramadhan dan musim haji pula akan bermula

Pemandangan sekitar hotel  pukul 1.00 pagi.

Terdapat perubahan di kawasan dataran Masjid Nabawi, di mana terdapat perkhidmatan menyimpan beg. Kali terakhir kami di Madinah pada bulan Februari, perkhidmatan ini belum ada lagi.




Di pintu masuk utama ke Masjid Nabawi, terdapat ruang khas yang menjual pelbagai produk buatan Madinah seperti sejadah, kurma dan coklat. Harganya agak berpatutan. Kali ini tidak kelihatan pula peniaga jalanan yang menjual barangan di sepanjang laluan Masjid Nabawi seperti kebiasaannya. Terasa agak sunyi suasana di sekitar Masjid Nabawi tanpa aktiviti mereka.




Pihak hotel menyediakan sahur bagi menggantikan juadah minum pagi kepada tetamunya seawal pukul 1.00 pagi sehingga pukul 4.00 pagi. Puluhan jenis makanan disediakan. Aku makan dengan agak banyak kerana memikirkan harga yang mahal yang sudah dibayar bersama pakej penginapan. Buat kali pertama kami makan hidangan dari luar , terasa mahu melayan diri yang hampir keputusan idea memasak setiap hari sepanjang bulan Ramadhan ini. Pun begitu terasa malu mengenangkan Rasulullah SAW yang begitu sederhana ketika berbuka dan bersahur, sekadar buah kurma bersama air dan susu. Apatah lagi apabila merasakan dekatnya Rasulullah SAW dengan kami ketika itu. Sedangkan kami gagal mencontohi sunnah Rasulullah SAW Jasad mulia Rasulullah SAW tidak jauh dari tempat di mana kami berada. Ya Allah ampunilah kami atas kelalaian yang telah kami lakukan.


Sahurku.
Kami menziarahi Rasulullah SAW dari kawasan dataran Masjid Nabawi sebelum meninggalkan Madinah pada pukul 11.00  pagi. Suasana agak tenang dengan tetamu Allah sedang berehat dan tidur di bawah payung besar dengan penuh ketenangan. Moga kami berpeluang lagi berziarah ke sini. Amiin.







Lebuh raya terlalu lengang ketika kami di dalam perjalanan menuju ke Riyadh. Buah-buah kurma sudah mulai menguning ditandan sekitar Madinah. Suhu di luar kereta mencapai 45 C. Aku hanya berdoa supaya tiada masalah ketika di dalam perjalanan sejauh 800 km itu. Alhamdulillah kami tiba di rumah beberapa minit sebelum waktu berbuka puasa pada pukul 6.42 petang. Buat pertama kali, kami mengambil masa hanya sekitar 7 jam tempoh perjalanan untuk sampai ke Riyadh dari Madinah. Moga Allah SWT memberkati perjalanan dan ziarah kami ke Masjid Nabawi kali ini.


Hiasan sempenan Ramadhan di hotel

Ruang untuk berbuka puasa bagi yang sedang menungguss
di lobi hotel.


                                        zias/riyadh/16


Selasa, 28 Jun 2016

Travelog : Oh! Riyadh ( 115) - Iftar Bersama Jiran Pakistan.

Iftar Bersama JIran Pakistan

Pelbagai hidangan disediakan

Puan Saidah dan Dr Abid merupakan jiran rapat kami selain dari Dr Tahreem dan En Amir. Kedua keluarga ini berasal dari Pakistan. Walaupun sudah tidak tinggal di blok yang sama, kami masih berhubungan antara satu sama lain. Terutama di bulan puasa kerana setiap malam kami akan bersua muka di masjid berdekatan rumah kami. Sesekali kami mengambil sedikit masa untuk berbual selepas Solat Tarawih. Tidak disangka Puan Saidah sudi mengajak kami untuk berbuka puasa di rumahnya pada hari Khamis lepas. Turut dijemput ialah keluarga Dr Tahreem.

Satay Ayam...
Aku menyediakan satay kerana aku pernah bercerita mengenai makanan popular Malaysia ini kepada mereka. Aku juga membuat Kek Gula Hangus Bersarang Semut sebagai hidangan pencuci mulut setelah puas berfikir hidangan yang sesuai buat mereka. Tepat pukul 6.30 petang, kami bergerak ke Blok A, kediaman universiti. Semua makanan sudah terhidang di dua ruang yang berasingan antara lelaki dan wanita. setibanya kami di rumah Pn Saidah. Dr Tahreem sudah pun berada di depan hidangan kerana masa untuk berbuka bakal muncul bila-bila masa sahaja. Semuanya manis-manis belaka. Semuanya dimasak sendiri oleh Pn Saidah dan anak-anaknya. Aku diminta menganggalkan abaya kerana semua yang berada di situ terdiri dari kaum hawa. Namun aku terpaksa menolaknya kerana tidak mengenakan pakaian bahagian dalam yang sesuai. Aku terlupa, biasanya di dalam majlis seperti itu, mereka akan berpakaian cantik dan berdandan untuk meraikan tetamu.

Satay pun menyelit juga...haha

Air tebu yang dibawa oleh Dr Tahreem. Manis dan segar tanpa
ais. Tidak disangka air tebu ada  dijual di Riyadh. Satu bekas
berharga SR15.


Hidangan yang popular di bulan Ramadhan bagi Pakistani iaitu
Pakora. Memang sedap dan rangup walaupun sudah sejuk.
Pastilah aku meminta resepinya...

Kami makan ringan-ringan terlebih dahulu, kemudian menunaikan Solat Maghrib. Kaum lelaki ke masjid berdekatan. Selepas solat, kami dihidangkan pula dengan Nasi Biryani Ayam. Kami makan sambil berbual mengenai pelbagai isu. Menariknya Dr Tahreem suka Kek Gula Hangus yang aku bawa kerana Dr Tahreem pernah merasainya. Bahkan Dr Tahreem boleh menerangkan kepada Pn Saidah perihal rupa kek yang berlubang seolah sarang semut itu.Semuanya diberitahu oleh rakannya ketika Dr Tahreem belajar di England suatu masa dahulu. Pertama kali juga aku makan nasi di dalam kuantiti yang agak banyak kerana tidak mahu menghampakan tuan rumah yang sudah bersusah payah memasaknya. Kemudian kami dihidangkan pula dengan sejenis manisan bernama Kheer, walaupun sudah terlalu kenyang aku merasainya sedikit. Sedap juga rasanya.

Aku juga berpeluang untuk mengetahui tips untuk minum Gahwa atau Kopi Arab yan dari Dr Tahreem yang dilahirkan di Jeddah itu. Rupanya untuk membolehkan kita minum dengan rasa yang sedap ialah dengan mengambil kopi tersebut bersama dengan kurma secara berselang seli. Patutlah terdapat kurma yang dihidangkan bersama kopi tersebut. Gahwa dikatakan mempunyai banyak khasiat, walaupun rasanya agak pahit dan sedikit berempah ianya tetap diminati ramai. Biasanya aku akan merasa sedikit pening apabila meminumnya. Sesekali aku meminumnya begitu sahaja apabila ada yang menawarkannya.

Nasi Biryani .Pakora memang laku.

Manisan Kheer  hidangan istimewa di hari raya. Diperbuat dari
beras,susu,gula dan minyak sapi.Sejuk dan segar untuk dimakan.

Hidangan yang diperbuat dari kacang dhal dengan susu.


Kami juga turut menikmati kek fresh cream yang disediakan oleh Amma, anak sulung Pn Saidah. Mewah rasanya namun tidak terlalu manis. Tidak cukup dengan apa yang dimakan, pelbagai makanan dibekalkan pula oleh Pn Saidah untuk dibawa balik. Kenyang sungguh, Alhamdulilah. Sempat juga aku bergambar bersama dengan Dr Tahreem yang selama ini aku ceritakan.

Sidrak dan Amma bersama Saffura.Gambar diambil di dalam masjid
selepas  Solat Tarawih.

Bersama Maniya dan Dr Tahreem


Anak2 lelaki Pn Saidah, Taher dan Abdul Rahman
Hadiah buat kenangan untuk Pn Saidah dan Dr Tahreem

Kami mempunyai ramai kenalan dari kalangan warga Pakistan yang turut bekerja di universiti yang sama dengan suamiku. Selain Dr Tahreem dan Pn Saidah, terdapat jiran lain seperti Dr Sama, Pn Sumaila, keluarga Minal dan Pn Tasneem. Masyarakat Pakistan mempunyai tradisi yang hampir sama dengan warga Malaysia di kala bulan Ramadhan. Yakni mereka suka menghantar makanan untuk berbuka. Kerap kali kami menerima pelbagai makanan dari mereka beberapa minit sebelum waktu berbuka. Alhamdulillah banyak kenangan indah bersama mereka untuk dikenang nanti.

Minggu Nasi Biryani....nasi yang dihantar oleh keluarga Minal
beberapa hari lepas.


                                                                    zias/riyadh.16

Isnin, 27 Jun 2016

Nota Ramadhan (5) - Doa di Bulan Ramadhan



Salah satu ibadah yang sangat dituntut kita memperbanyakkan dalam bulan Ramadhan ialah berdoa kepada Rabb sekelian alam. Doa yang dibaca pada malam Lailatul Qadr




Munajat Ramadhan

Ya Allah....Ya Rahman.....Ya Rahim
Dalam dakapan Ramadhan yang suci ini,dengan rasa rendah diri, kami yang kerdil dan hina ini memohon doa dengan penuh pengharapan kepadaMu ya Allah...semoga Engkau sudi mendengar permintaan kami, kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar.

Ya Fattahu Ya  'alim...
Ajarkanlah kami yang lemah ini untuk melihat jalan keluar dari semua masalah yang membelenggu kami,bukakanlah hijab kepada kami yang tidak mampu melihat setiap kebaikan pada kejadian dan takdirMu.Ya Allah...takdirkanlah yang baik2 untuk diri kami,Janganlah Engkau menguji kami pada apa yang tidak mampu kami lalui...Bukakanlah pintu2 rahmatMu untuk kami ya Allah..


Ya Allah Rabbul Jalil
Sejahterakanlah untuk kami dengan kesihatan yang baik, ...supaya dengannya kami dapat beribadah kepadaMu.Ya Allah...ampunkanlah segala dosa kami, kerana kami terlalu banyak dosa kepadaMu Ya Allah...kami lupa akan Engkau ketika sihat, kami ingat akan Engkau ketika sakit. Kami lupa kepada Engkau ketika senang, kami ingat kepadaMu bila ditimpa kesusahan.Kami lupa kepadaMu di saat kami gembira,Kami ingat kepadaMu ketika sedih dan kecewa.Kami habiskan usia muda dengan keseronokan dunia,kami mula mengingatiMu ketika usia sudah tua...justeru ya Allah..ampunilah semua dosa kami...berilah kekuatan kepada kami untuk melawan hawa nafsu dan dunia yang sentiasa melalaikan kami dari mengingatiMu.. ya Allah.

Ya Allah..Ya Rahman...Ya Rahim
Ampunkanlah dosa kedua ibubapa kami, setiap titik susu ibu yang mengalir dalam diri kami...kau gantikan dengan kebajikan untuknya yang boleh membawanya ke syurgaMu ya Allah...ya Rahman...pada setiap keringat yang mengalir pada tubuh ayah kami dalam mencari rezeki kepada keluarga kami, Engkau gantikanlah dengan keampunan yang membawanya ke syurgaMu ya Allah.Sesungguhnya pengorbanan mereka tidak akan mampu kami membalasnya.Bahkan terkadang mereka hidup dalam kesusahan dan kesempitan, sedangkan kami berada dalam kesenangan dan kemewahan...Justeru kurniakanlah kepada kedua ibubapa kami tempat yang istimewa di syurgaMu ya Allah.

Ya Allah
Kami juga memohon ampun untuk kaum kerabat kami, sahabat2 kami dan guru2 kami yang terlebih dahulu pergi meningalkan kami ke alam barzakh...golongkan mereka dalam golongan orang2 yang Engkau redhai...apabila tiba pula giliran kami menuju barzakhMu..maka Kau ambillah kami dalam keadaan yang baik2...dalam keampunan dan rahmatMu ya Allah.

Ya Allah Ya Azizz...
Kurniakanlah kepada kami jiwa yang tenang dan tenteram...hiasilah hati kami dengan sifat syukur,redha,sabar,ikhlas,amanah dan bertanggungjawab...Kau jauhkanlah daripada kami sifat ujub,riak,takabbur,fitnah,mengadu domba,sangka buruk dan khianah.

Ya Rashid...Ya Rahman...Ya Rahim
Jika ada di kalangan kami mereka yang diuji dengan kesusahan, maka kau bantulah mereka,permudahkan urusan mereka,jika ada dikalangan kami mereka yang bersedih hati,berikanlah ketenangan dan jalan keluar keapda mereka,jika ada dikalangan kami sedang berhajat dengan keperluannya,maka tunaikanlah hajat mereka dan cukupkanlah keperluan mereka,jika ada dikalangan kami yang diuji dengan sakit maka sembuhkanlah mereka Ya Allah...agar dapat mereka beribadah bersama kami.Jika ada dikalangan kami yang derhaka kepada ibubapa atau terkurang dalam melayani mereka maka Engkau ampunilah mereka,jadikanlah kami anak2 yang taat dan berbakti..sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar dan Mengasihi...

Ya Allah Ya Malikal Mulk

Ya Razak...Ya Fattahu Ta 'Alim
Kurniakanlah kami rezeki yang halal lagi diberkati dan jadikanlah dengan rezeki itu kami semakin dekat denganMu...sebaliknya janganlah Engkau jadikan kami daripada golongan yang lupa diri setelah mendapat kurniaanMu.

Ya Alla h
Bantulah kami dalam menjalankan urusan agama kami.Elokkanlah urusan dunia kami,yang padanya tempat kami mencari kehidupan.Elokkanlah urusan akhirat kami,yang padanya tempat kami akan kembali untuk selama2 nya...jadikanlah kehidupan kami ini sebagai tambahan segala kebaikan kepada kami dan jadikanlah kematian sebagai ketenangan kepada kami dari segala kejahatan.Sesungguhnya kami ingin kembali kepadaMu dengan jiwa yang tenang.

Ya Allah Ya Zal Jalali Wal Ikram
Ya Allah..Janganlah Engkau jadikan ramadhan ini sebagai yang terakhir buat kami...temukanlah kami dengan Ramadhan yang akan datang...
Tapi andai ini Ramadhan terakhir buat kami,jadikanlah puasa kami sebagai puasa yang Kau rahmati,jadikanlah ramadhan ini paling bererti,penuh dengan cahaya iman,menerangi kegelapan hati kamii menuju redha serta kasih sayangMu ya Allah,,,jadikanlah ramadhan ini sebagai penghapus dosa2 kami..Ya Allah..temukanlah kami dengan lailatul qadr...pilihlah kami di kalangan hambaMu yang dapat beramal di malam al Qadr...Ya Allah terimalah amalan kami...terimalah taubat kami...ampunkanlah segala dosa kami...amankalah kehidupan kami di sana nanti yang kekal abadi...kurniakanlah kepada kami Syurga FirdausMu yang maha luas nikmatnya.

Aamiin3 Ya rabbal'aalamiin....






Selasa, 21 Jun 2016

Dapurku D'Riyadh (188) - Sup Ikan Merah



BismillahirrahmanirRahim

Tazkirah Ramadhan
Salah satu ibadat yang mudah dilakukan di setiap masa oleh sesiapa saja ialah dengan berwudhu' dan kekal dalam keadaan berwudhu'. Berwhudu' dapat mensucikan diri sendiri dan membantu menghalang dari melakukan perkara mungkar. 

Abu Hurairah radhiallahu' anhu berkata, "Aku mendengar Rasulullah sallallahu'alaihi wa sallam bersabda:"Sesunggunya umatku akan dipanggil pada hari Kiamat dalam keadaan bercahaya wajahnya dan tangan kerana bekas wudhu'. Oleh sebab itu, sesiapa di antara kalian yang mampu memanjangkan cahayanya, maka lakukanlah."[muttafuqun'alaihi.HR. Al-Bukhari dan Muslim]

Lebih banyak wudhu', lebih banyak cahaya. Lakukan selalu terutama di bulan Ramadhan. 

############



Hidangan ini memang menjadi pilihan utama di tanah air memandangkan Ikan Merah agak mudah untuk dibeli. Mudah disediakan dan enak dimakan terutama bahagian kepalanya. Sup Ikan Merah memang selalu aku sediakan jika ikan tersebut dibawa pulang ke rumah dan masih segar. Biasanya aku akan masak sambal ikan bilis bersama ulam-ulaman untuk dimakan bersama nasi putih. Sedapnya. Di Riyadh, agak sukar untuk membeli Ikan Merah kerana ianya jarang kelihatan di pasar atau mall. Jika ada pun, harganya amat mahal. Baru-baru ini kami membeli Ikan Merah yang sederhana saiznya. Merasalah Sup Ikan Merah untuk juadah berbuka puasa.


Resepi Sup Ikan Merah
Bahan2:
Ikan Merah
1 biji kentang dipotong dadu
1 biji lobak merah dipotong memanjang
1/2 biji bawang besar*
1 inci halia*
4 ulas bawang putih*
bahan2 * dikisar 
1/2 biji bawang besar dihiris 
2-3 sudu besar serbuk rempah Sup jenama Adabi
Penumis
Minyak Masak
Garam
Batang daun bawang dipotong 1 inci dan di belah dua
Daun bawang dan daun ketumbar untuk ditabur
Air

Cara membuatnya:
1.Panaskan minyak di dalam sebuah periuk. Masukkan penumis
   dan bawang besar yang dihiris. kacau sehingga garing.
2.Masukkan bahan kisar dan kacau sehingga naik bau. Masukkan
   rempah sup dan kacau sekejap.Masukkan sedikit air dan diikuti
   dengan lobak merah dan kentang. Masukkan garam.
3.Kacau sekejap dan masukkan air sebanyak yang dikehendaki.
4.Masukkan batang daun bawang yang dipotong dan biarkan
   sehingga kentang lembut.
5.Masukkan ikan dan biarkan sehingga ikan masak. Perlahankan
   api dan biarkan sehingga kelihatan sedikit minyak terapung.
6.Masukkan sedikit hirisan daun bawang dan ketumbar.Tutup
   periuk dengan penutupnya dan tutup api.


Siap masak.

Dapurku D'Riyadh (187) - Kek Kukus Coklat Cheese



BismillahirRahmanirRahim

Tazkirah Ramadhan
Antara amalan yang boleh diperbanyakkan di bulan Ramadhan ialah Zikrullah. Kita dituntut dalam semua keadaan untuk sentiasa mengingati Allah. Terkandung dalam mengingati Allah atau Zikrullah ialah semua kepatuhan seperti solat, berpuasa , berzikir dan sebagainya. Berzikir merupakan salah satu bentuk mengingati Allah dan sangat tinggi nilainya di sisi Allah Subhaanahu wa Ta'ala dan banyak terdapat perintah dalam Al Quran kepada kita untuk berzikir. Kita dituntut untuk berzikir mengingati Allah Subhaanahu wa Ta'ala  dalam semua keadaan.Kita diperintah untuk berzikir mengingati Allah Subhaanahu wa Ta'ala dalam keadaan senang ataupun susah, dalam keadaan lapang masa atau kesuntukan masa, dalam keadaan aman ataupun dalam peperangan.Juga berzikir ketika melihat kebesaran Allah Subhaanahu wa Ta'ala.Marilah kita memperbanykkan zikrullah di bulan Ramdhan Mubarak ini supaya mudah-mudahan kita memperolehi rahmat dan pertolongan Allah. Moga Allah Subhaanahu wa Ta'ala mengeluarkan kita dari kegelapan disebabkan dosa, kegelapan dunia dan sebagainya dan dibawanya kepada NurNya, dari kegelapan ke dalam cahaya Allah.



Resepi ini aku ambil dari FB Nur Lokman, rakan yang amat dikenali di Riyadh. Pakar kek Lapis dari Sarawak. Sebenarnya aku kurang gemar Kek Lapis tradisi yang banyak dijual di pasaran. Namun kek lapis Pn Nur Lokman agak lain sedikit dengan rasa yang pelbagai dan warna yang menarik. Tidak ada rezeki untuk aku belajar membuat kek lapis dari beliau. Pun begitu banyak resepi yang dikongsi di dalam FBnya yang boleh dicuba. Aku belum berani membuat kek lapis yang diberikan kerana tidak memiliki loyang yang sesuai seperti yang dikehendaki.  Tetapi aku mahu juga mencuba kek yang lebih mudah sediki seperti kek kukus ini. Aku menggunakan bekas yang kecil jadi hanya mampu membuat tiga lapis berbanding dengan resepi asal iaitu lima lapis. Ianya memberi pengalaman kepada aku sebelum aku mencuba kek lapis lain yang pada pandanganku agak rumit untuk disediakan. Adunan ini agak banyak, jadi dapatlah aku hantar kepada beberapa orang jiran berhampiran untuk dimakan selepas solat Tarawih.

Resepi Kek Kukus Coklat Cheese
Bahan2 dan cara Membuatnya:
Bahan A
1 cawan serbuk koko
1 cawan gula halus
1 cawan susu segar
1 cawan minyak masak atau mentega cair
1/2 cawan susu pekat
- Masak semua bahan A sehingga sebati dan sejukkan
3 biji telur gred A
1 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
-Pukul telur sehingga kembang
-Masukkan Bahan A dan pukul lagi sehingga sebati.
-Masukkan tepung dan baking powder, pukul perlahan
  sehingga sebati(guna whisk)

Lapisan Cheese
500g cream cheese
120 g gula halus
2 biji telur Gred A
50 ml air biasa
50 g tepung gandum
1 sudu besar susu pekat
-Pukul semua bahan kecuali telur sehingga sebati.
-Masukkan telur dan pukul sehingga sebati.



2 adunan sudah siap
-Panaskan periuk kukus.
-Kukus selapis demi selapis sehingga massak.
-Biar sejuk sebelum dipotong.


Travelog : Oh! Riyadh (114) - Iftar Ramadhan 1437H



Iftar Geng Haji 1435H

Alhamdulillah tahun ini kami berpeluang berbuka puasa bersama rakan-rakan dari Group Haji. Pn Hjh Amy telah sudi menjadi tuan rumah untuk membolehkan masjlis yang pertama kali tersebut diadakan. Malang sekali tidak ramai yang dapat hadir ke Iftar yang diadakan. Ada yang ke Mekah dan Madinah, juga yang sudah mula pulang ke tanah air untuk memulakan cuti musim panas. Aku pun agak lewat memberi jawapan untuk hadir namun mengingatkan janji yang telah dbuat, akhirnya kami bertiga turut sama di majlis tersebut. Dua minggu sebelumnya, kami turut mengadakan perjumpaan di rumah Pn Hjh Amy. Pertemuan sambil makan-makan itu diadakan memandangkan aku dan keluarga akan kembali ke tanah air. Sangka kami ianya adalah program terakhir, rupanya tidak. Sambil berbual, kami merancang untuk berbuka puasa bersama-sama.Tarikh pun ditetapkan oleh tuan rumah di minggu pertama Ramadhan Mubarak.

Rakan Haji 2014 - Fauziah, Amy, Siti Zaleha, Dr Nurazlin, Dr Evi, Dr, Zuhaira, Hamidah dan Nadia.



Sibuk berbual sehingga terlupa ambil gambar sebanyaknya

Sekali lagi kami bertemu pada 10 Jun 2016 untuk berbuka puasa bersama-sama. Aku menyediakan Cendol dan Kurma Ayam. Hidangan lain termasuk Laksa Beras yang dibuat oleh Siti Zaleha dan pelbagai lauk serta kuih muih. Lega dapat menunaikan janji untuk belanja kawan-kawan merasai hidangan cendol di Riyadh. Ramai yang bertanya di mana aku membeli isi cendol....haha...sebenarnya amat mudah untuk menyediakan homemade cendol. Tidak perlu ada kedai mamak pun.....Resepi ada di Dapurku D'Riyadh.

Siap.

Seperti biasa, kami sekeluarga antara yang terawal tiba di rumah Pn Amy. Sempat juga aku membantu Pn Amy yang sedang menyediakan Roti John dan Telur Dadar. Masa berlalu dengan cepat dan kami pun berbuka puasa bersama-sama dengan pelbagai hidangan yang menyelerakan. Walaupun tidak ramai namun terasa begitu meriah, seolah berada di tanah air kerana semua makanan adalah cita rasa Malaysia. Seperti biasa, kami makan dan makan sambil berbual sehingga terlupa untuk aku merakamkan gambar. Mujur Pn Amy memuatkan beberapa keping gambar di FBnya, jadi dapat aku masukkan gambar tersebut di sini. Kami terpaksa berundur diri lebih awal kerana mahu menunaikan Solat Terawih di surau berdekatan rumah kami. Walaupun sekejap namun ianya tetap akan menjadi kenangan manis bulan Ramadhan di Riyadh. Terima kasih buat tuan rumah dan rakan-rakan yang turut serta dalam iftar tersebut.

Laksa Penang tetap menjadi pilihan.

Kurma Ayam, Sweet Sour Ikan Bawal, Daging goreng dengan kacang panjang,
sambal belacan pun ada.

Pelbagai kuih muih termasuk Kuih Lompat Tikam

Makan-makan


Kaum lelaki..

Pada keesokan harinya, kami menerima jemputan berbuka puasa di rumah sahabat kami iaitu Tn Hj Mohd Kamal dan Pn Hjh Fauziah Agos. Kami ke sana juga atas alasan untuk berkenalan dengan Ibu dan Ayah Pn Hjh Fauziah Agos yang sedang berada di rumah mereka. Tidak ketinggalan untuk mengambil Kicap Kipas Udang yang dihajatkan. Kerap kali juga kami mendapatkan bantuan Pn Hjh Fauziah dan keluarga untuk membawa barang-barang yang sudah kehabisan stok. Walaupun aku merasa agak malu untuk meminta tolong namun Pn Hjh Fauziah selamba aje mahu membantu. Maklum beliau kerap kali dikunjungi keluarga dari Malaysia seperti anak-anaknya atau ibubapanya. Setiap kali ahli keluarganya mahu ke Riyadh, pasti beliau bertanya jika ada yang mahu aku kirimkan. Kebetulan stok kicap kami habis kerana dua botol kicap yang dibawa sudah rosak, entah apa penyebabnya. Susah betul jika tidak ada kicap di dapur sedangkan ada peminat tegar kicap di rumah.

Pn Hjh Fauziah Agos dan keluarga. (Dari FB)

Kami dihidangkan dengan Bubur Lambuk ala-ala Kampung Baru, Pecal, Nasi dan berbagai jenis lauk. Aku pula sekadar membawa buah Strawberi yang aku salutkan dengan coklat. Aku tidak memasak apa-apa sebagai menghormati permintaan tuan rumah. Asyik berbual dengan ibu Pn Phj Fauziah Agos sehingga terlupa untuk aku merakamkan sebarang gambar. Kami mengikut Pn Hjh Fauziah Agos bersama suaminya ke Masjid King Khalid yang terletak tidak jauh dari rumah mereka. Masjid besar yang berwarna putih itu kerap kami lalui ketika di dalam perjalanan ke rumah Pn Hjh Fauziah Agos atau ke rumah Pn Hjh Wan Salisa. Ianya merupakan antara masjid terbesar di Riyadh yang kerap kali menjadi pilihan orang ramai.

Juga dikenali sebagai Umm Al Hammam Mosque

Terdapat pegawai yang bertugas di pintu masuk untuk memeriksa barang yang dibawa. Kanak-kanak tidak dibenarkan masuk. Puas juga kami merayu supaya dibenarkan Saffura masuk bersama aku dan Pn Hjh Fauziah namun tidak dibenarkan. Terdapat ruang solat khas bagi ibu-ibu dengan anak-anak kecil di luar bangunan masjid namun ada penghadang yang melindungi dari pandangan orang sekitar. Terdapat juga khemah bertutup dan berhawa dingin berhampiran masjid. Hampir berputus asa sedang Saffura enggan duduk di luar seorang diri. Kami bernasib baik apabila Saffura dibenarkan masuk ke dalam bangunan masjid apabila kami mengambil laluan di pintu lain. Kami terus ke tingkat atas bangunan masjid. Kelihatan ramai petugas yang menawarkan minuman panas dan sejuk juga buah kurma yang berbagai jenis. Suasana di dalam masjid memang cantik dengan permaidani berwarna merah seperti yang dilihat di Masjid Nabawi, Madinah.

Pintu masuk untuk nisaa'
Semua tetamu yang berada di dalam masjid terdiri dari golongan dewasa dan berusia. Golongan muda juga agak ramai memenuhi setiap inci ruang solat. Tiada ruang kosong langsung yang kelihatan. Kotak-kotak tisu disediakan dengan agak banyak bilangannya di setiap baris. Tisu memang menjadi keperluan utama di mana-mana masjid atau surau di Riyadh sepanjang waktu. Selepas solat Isya' diadakan solat Jenazah. Sebelum solat Terawih dilaksanakan, lampu-lampu utama ditutup bagi memberi suasana yang lebih khusyuk ketika solat. Memang terasa mendamaikan dengan suasana yang agak kelam. Bacaan imam yang agak lantang sesekali bernada hiba dan sedih menyebabkan ramai yang menanggis. Bunyi tangisan jelas kedengaran di setiap ruang yang padat dengan orang ramai. Ada yang menganggis dengan agak kuat apabila imam membacakan ayat-ayat berkaitan balasan api neraka. Sewaktu doa ketika solat Witir terakhir, lebih ramai yang meratap hiba dengan penuh harapan agar doa diterima. Beruntung bagi mereka yang memahami setiap butir doa yang dipanjatkan.

Terdapat jualan di kawasan berhampiran jalan berdekatam masjid

Suasana di sekitar kawasan masjid begitu meriah dengan pelbagai aktiviti jualan yang diadakan. Kami sekadar memandang dari jauh. Keadaan agak sesak dengan bilangan kenderaan yang banyak yang mahu meninggalkan kawasan masjid. Kawasan masjid yang agak luas memudahkan kunjungan orang ramai ke masjid tersebut. Terima kasih kepada Pn Hjh Fauziah Agos yang begitu baik hati membekalkan lauk pauk untuk makan sahur. Pastinya juga untuk iftar yang diberikan. Moga diberi kesihatan dan dimurahkan rezeki.


Aiskrim dan kurma menjadi tumpuan.

Iftar anjuran Ibu-ibu Riyadh juga telah diadakan buat pertama kalinya pada tahun ini pada 15 Jun 2016. Telah diadakan di rumah Pn Hjh Kaironisa dan Tn Hj Azrin. Walaupun aku tidak berpeluang untuk ikut serta namun majlisnya begitu meriah sekali dengan kehadiran  warga Malaysia yang agak ramai.


                                                                                                                                                                                                                      zias/riyadh/16

Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...