Rabu, 5 April 2023

Doa Khatam Al-Quran Ramadan

 BismillahirRahmanirRahim



Salam 15 Ramadan buat pengunjung blog ni. Semoga kita semua dikurniakan kesihatan yang terbaik untuk meneruskan ibadah di bulan yang mulia ini. 

Pastinya ramai yang sedang berusaha untuk khatam al-Quran di bulan yang juga sinonim dengan 'Bulan al-Quran".

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185, yang bermaksud: "Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai hidayah (petunjuk) kepada manusia dan keterangan-keterangan tentang petunjuk dan pemisah antara yang hak dan yang batil."

Berikut adalah doa khatam al-Quran yang boleh dibaca.

Semoga ianya memberi manfaat dan doanya diterima.


Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekelian alam, pujian orang-orang yang bersyukur dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

Dan selawat dan salam ke atas rasul kita Muhammad  dan juga ke atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

Ya Allah, Tuhan kami terimalah doa kami dan amalan kami, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Yang Maha Mengetahui.

Dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Mengasihani. Tunjukkan dan bimbinglah kami kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus dengan berkat al-Quran.

Ya Allah, kasihanilah kami dengan berkat al-Quran, dan jadikannya sebagai pimpinan, cahaya, petunjuk dan rahmat untuk kami.

Ya Allah, ingatkanlah kami apa yang telah kami lupa dari al-Quran, dan ajarlah kami apa yang kami tidak tahu tentang isi al-Quran, dan kurniakanlah kami keupayaan untuk membacanya pada waktu-waktu malam dan siang, dan jadikanlah al-Quran itu sebagai hujjah untuk kami. 

Wahai Tuhan pemelihara sekelian alam.

Ya Allah, hiaskanlah diri kami dengan keindahan al-Quran, muliakan kami dengan kemuliaan al-Quran dan serikan kami dengan ketinggian martabat al-Quran, dan pakaikan kami dengan pakaian permata al-Quran, masukkan kami ke dalam syurga dengan syafaat al-Quran, selamatkan kami daripada segala bencana dunia dan azab hari akhirat dengan berkat kehormatan al-Quran.

Ya Allah,jadikanlah al-Quran semasa hidup kami di dunia sebagai rakan dan di dalam kubur sebagai kawan yang mesra, pada hari kiamat sebagai pembantu,sebagai cahaya penyuluh,semasa menuju ke syurga sebagai teman, dan sebagai penghadang dan pendinding dari api neraka, dan jadikanlah al-Quran untuk kami sebagai panduan dan ikutan kepada segala kebaikan, dengan limpah kurnia, kemurahan dan kemuliaan-Mu jua ya Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah.

Ya Allah, tunjukilah kami dengan petunjuk al-Quran,selamatkanlah kami daripada api neraka dengan sebab kemuliaan al-Quran, tinggikanlah darjat martabat kami dengan sebab kelebihan al-Quran, dan hapuskanlah dosa kejahatan kami dengan sebab membaca al-Quran, ya Allah, Tuhan Yang Empunya segala macam kelebihan dan ehsan.

Wahai Tuhan kami berilah kami kebaikan di dunia dan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab api neraka.

Allah mencucuri rahmat dan salam sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekalian. Maha Suci Tuhanmu, Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan dari apa yang mereka katakan dan selamat sejahtera kepada sekelian rasul. Dan segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.

Aamiin.


Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...