Sabtu, 29 Januari 2022

Rasa Dapur KakJee (406) - Sayur Bendi Goreng

BismillahirRahmanirRahim


Sayur bendi goreng untuk makan malam yang ringkas dan mudah disediakan. Dimakan sewaktu masih panas, boleh tambah nasi dibuatnya.

Resipi Sayur Bendi Goreng
Bahan-bahan:
15-20 sayur bendi dihiris nipis
1 biji bawang besar dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
Sedikit minyak masak
Sedikit serbuk lada hitam
1 biji telur
1 biji cili merah atau cili padi 
Garam secukupnya.

Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan bawang besar dan bawang putih, kacau hingga garing.
2.Masukkan cili yang dihiris, diikuti dengan sayur bendi. Masukkan sedikit air supaya sayur bendi lembut. Perisakan dengan garam dan lada hitam.
3.Pecahkan telur dan kacau sehingga hampir kering. Siap.



Selamat Mencuba.

Khamis, 27 Januari 2022

Visit My Malaysia - Tasik Timah Tasoh dan Chuping, Perlis.

BismillahirRahmanirRahim




Tasik Timah Tasoh, empangan yang terhasil  oleh pertemuan dua sungai iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh. Tasik yang terbentang luas dengan berlatar belakangan Bukit Cabang dan Banjaran Nakawan yang bersempadan dengan Thailand. Destinasi popular yang dikenali ramai ini, menjadi lokasi seterusnya kembara kami di Perlis.

Kami singgah terlebih dahulu di Tasoh Lake Resort & Retreat. Sebenarnya tersesat. Suasana agak sunyi sebab tidak ramai pengunjung. Kelihatan ianya baru mahu memulakan operasi di mana kebanyakan chalet  kelihatan sudah lama terbiar.

Agak jauh berjalan kaki dari tempat parkir ke kawasan berhampiran dengan tasik. Kelihatan pelbagai binaan menarik yang pernah digunakan untuk berfoto. Sayangnya, kebanyakannya sudah rosak. Ada tawaran untuk menyewa basikal, skuter dan alat-alat permainan untuk kanak-kanak. Pasti tempat ini meriah sebelum PKP.

Terasa agak letih berjalan jauh, sehingga menghilangkan 'mood' untuk berposing.  Kami tidak lama di sini. Ada satu lagi kawasan awam untuk ke tasik dengan mengambil laluan ke kanan. Kawasan ini pun tidak terjaga namun sudah ada aktiviti memancing di sekitarnya. Kami tinggalkan kawasan Tasik Timah Tasoh dengan rasa kecewa.








Sebelum meneruskan perjalanan, kami singgah makan terlebih dahulu di sebuah restoran berhampiran dengan tasik tersebut. Restoran yang turut menawarkan penginapan ini pasti pernah dikunjungi ramai.



Perut dah kenyang, seronok nak jalan lagi. Kami sekadar pusing-pusing melihat sekitar Kangar dan Arau. Aku dan Saffura mahu melihat pemandangan sawah padi yang sedang menghijau berlatarkan bukit. Jadi kami ke Chuping. Tersesat di sebuah perkampungan,


Cantik rumah ni.

Beberapa ekor anjing menyalak ke arah kami, pasti bukan orang Melayu ni. Pemilik rumah yang cantik itu melayan sahaja pertanyaan kami. Fasih cakap utagha. Sempat kami minta izin untuk mengambil gambar di kawasan berhampiran rumahnya. 

Inilah gambarnya.






Cantik!

Ingat nak cari kawasan ladang buah mangga iaitu Harum Manis, jadi kami terus melalui kawasan kampung. Hanya kebun buah mangga yang kelihatan, pastinya pokok-pokok tersebut belum berbuah kerana bukan musimnya.

Pemandangan di sini pun lawa, penduduknya juga orang Siam.

Cari lokasi terbaik.



Segarnya.

Tuan tanah sedang meracun pokok padi.

Sekian kembara kami di negeri Perlis Indera Kayangan yang memakan masa dua hari satu malam. Semoga memberi manfaat.

Ahad, 16 Januari 2022

Visit My Malaysia - Gua Kelam, Perlis.

BismillahirRahmanirRahim



Terletak berhampiran pekan kecil Kaki Bukit. Dahulunya Gua Kelam adalah kawasan perlombongan bijih timah dengan hasilnya yang bermutu tinggi. Mula dibuka pada tahun 1935. Menurut sejarah, En Nayan atau Tauke Nayan yang berasal dari Kg Kechor Mukim Salang dan isterinya Puan Aminah yang berasal dari Wang Kelian memulakan perusahaan mengambil bijih timah di Sungai Pelarit berdekatan Gua Kelam. 

Tauke Nayan akhirnya telah menjual kawasan perlombongan bijih timah tersebut kepada seorang tauke China, Kong Fatt yang menubuhkan Syarikat Perlombongan Kong Fatt. (Sumber info yang diberi)

Kawasan sekitarnya agak luas dengan kawasan  yang sesuai untuk mandi manda dan rekreasi. Kami mengambil kesempatan untuk masuk ke dalam gua , bayaran sebanyak RM1.00 dikenakan.


Pintu masuk ke gua

Laluannya memang cantik.

Kami melalui laluan sepanjang 1.5km, ada laluan anak sungai di bawahnya. Jelas kedengaran bunyi air mengalir deras. Seram la jugak. Sesuai dengan namanya Gua Kelam yang bermaksud gelap, memang suasananya agak gelap. Hanya ada lampu di bahagian tertentu sahaja. Lampu pun berwarna merah atau hijau, samar-samar sahaja. Bunyi kelawar juga kedengaran dan kadang-kadang terpandang.

Aku dan Saffura agak ketakutan dengan suasana yang gelap apatah lagi jika ada haiwan lain yang menakutkan. Sedang suamiku sudah melangkah jauh ke hadapan. Akhirnya aku mengajak suamiku keluar, suspen sungguh. Tapi memang cantik batu kapur yang terdapat di dalamnya.



Tergantung.

Sesekali ada cahaya dari luar masuk ke dalam gua.

Tu dia kelawaq.

Cahaya merah yang menambah lagi rasa seram.

Jom la keluar.

Aliran air sungai dari gua.

Tempat-tempat menarik di Perlis.

"Nak pi mana lepas ni," Tanya suamiku.

"Timah Tasoh." Jawabku.



Sabtu, 15 Januari 2022

Visit My Malaysia - Wang Kelian, Perlis.

BismillahirRahmanirRahim



Pukul 7:00 pagi, kami bertolak dari kangar menuju ke Wan Kelian yang berjarak kira-kira 33 kilometer. Melalui jalan yang agak sunyi, kiri kanan dipenuhi kawasan tanaman seperti pokok getah. Ada sejenis tanaman yang agak luas, kami hanya teka kemungkinan ianya projek pokok gaharu.

Semakin hampir, jalannya agak mencabar dengan menaiki kawasa berbukit dan tidak lurus. Sesekali suamiku membunyi hon agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini. Tidak sukar mencari View Point Wang Kelian kerana sudah banyak kereta dan kelihatan beberapa pengunjung sedang berjalan menuju ke arahnya.

Jalannya

Selepas mendaki bukit, terkejut tengok orang dah ramai.

Sampai di puncak bukit, suasana begitu nyaman dan pemandangannya begitu indah. Ada saki baki awan nipis yang terapung, aku agak kecewa kerana panorama 'awan karpet' sudah hilang. Waktu terbaik untuk melihat fenomena ini ialah pada jam  6:50 pagi sehingga 7:30 pagi. Terlepaslah.

Hanya tinggal sedikit awannya

Semua yang berada di situ sibuk mengambil gambar semaunya, sehingga tidak memperdulikan orang lain yang sedang menanti giliran. Ada beberapa ruang untuk bergambar disediakan namun pastinya bahagian yang tergantung dengan view yang cantik menjadi rebutan. 


Baju, seluar dan tudung yang dibeli kat Pekan Rabu.

Kelihatan Empangan Timah Tasoh.


View cantik, macam kat Cameron Highland

Ladang teh ke tu.

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Wang Kelian. Jalan menuruni bukit dan kami nampak kabus tebal di sebelah kiri jalan. Amat mengujakan.


Waah ada 'awan karpet' kat sini

Sampai di simpang jalan, kami memilih untuk ke kiri jalan. Kami mahu mencari kawasan yang ada 'awan karpet' tadi. Tiba di sebuah kampung, kami dapat melihat dengan jelas kabus tersebut.


Tu haah...

Aku dan Saffura terus berlari menuju ke kawasan berhampiran sawah yang terbentang. Suamiku mencari ruang untuk meletakkan kereta. Kebetulan ada rumah dan tuan rumah sedang berada di halaman rumahnya. Suamiku meminta izin tuan rumah dan mereka berbual mesra. Apa lagi mudah lah untuk aku dan Saffura berlama-lama ambil gambar. Memang puas.

Jom layan gambar-gambarnya.








Promosi


Pokok getah pun ada




Tuan tanah



Kawasan ini berhampiran bandar Satun, Thailand. Menurut tuan tanah,  di sebalik kawasan berbukit itulah sempadannya. Sempat aku bertanya berkaitan kabus tebal yang cantik itu. Katanya, ianya terjadi apabila sebelah malamnya hujan lebat. Menariknya kabus tersebut akan kelihatan sehingga menghampiri tengahari. MasyaAllah, tak sangka ada view secantik ini di Perlis.

Sebaik keluar dari simpang kawasan tersebut, kelihatan Perpustakaan Desa Wang Kelian. Teringat Dana Penulis yang mana aku salah seorang penerimanya. Insya-Allah buku Winter D'Riyadh akan berada di rak buku perpustakaan ini tidak lama lagi. Indah terasa.




Kami meneruskan perjalanan ke sempadan, suasana begitu sunyi tanpa kenderaan lain. Ada sekatan jalan raya oleh Polis dan kami meminta kebenaran untuk melihat kawasan sekitarnya. Pegawai bertugas memberi izin tapi terlebih dahulu memberitahu kepada kami, tiada apa-apa di situ. Kelihatan sebuah kereta dan bas turut ditahan.

Laluan masuk ke Thailand


Ada beberapa orang petugas di situ namun mereka langsung tidak mahu melayan pertanyaan kami. Jadi kami pun balik je la. Tidak jauh dari situ, kelihatan kawasan terbiar berupa kompleks membeli belah yang popular suatu masa dahulu. 

Kawasan ini pernah meriah dan menjadi tumpuan utama pelancong membeli-belah. Kini terbiar mati sejak pemansuhan Zon Aliran Bebas di antara Malaysia dan Thailand pada tahun 2015.



Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...