Isnin, 30 Ogos 2021

Rasa Dapur KakJee (398) - Crepe Durian

BismillahirRahmanirRahim



Awal pagi 3 Ogos 2021, KakJee mendapat panggilan telefon daripada abang kesayangan yang KakJee panggil Abang Mat.

"Ni ada kawan Kak Cik nak pi Putrajaya, kami minta dia tolong bawa durian kat hang."

Terkejut tapi seronok, " Laa susah-susah ja, kami tak boleh pi Putrajaya. La ni kan PKPD."

"Nanti hang telefon dia. Dia kata boleh suruh Grab hantar ke rumah hang dari Putrajaya."

Berusaha sungguh Abang Mat, tak sampai hati nak tolak. KakJee mengaku aja.

"Kami boh dalam kotak polistrin, tahan lah durian yang dah frozen tu. Nanti kami bagi buah manggis dan buah cempedak sekali."

"Okey bang, terima kasih banyak-banyak."

Terharu betul rasanya. Dah lah dalam beberapa minggu ni  Abang Mat sibuk angkut durian dari bukit durian. Kemudian kopek isi durian dan masukkan dalam bekas plastik untuk difrozenkan. Sampai penuhlah peti ais sejuk beku yang baru dibeli. Mujur KakJee sponsor beli.

Abang Mat kesian kat kami yang belum dapat rasa buah durian musim tahun ni. Kakak-kakak yang lain dah merasa. Tahun lepas kami berpeluang balik dan joli sakan dapat makan durian fresh yang dikutip sendiri.

Pukul 9:00 malam, petugas Grab hantar ke rumah dengan bayaran RM40.00. Okey sangat.

Alhamdulillah semuanya selamat. Terima kasih Abang Mat. Semoga sihat dan dalam rahmat Ilahi sentiasa.

Punyalah banyak, 8 bekas plastik besar isi durian. Esoknya KakJee buat bubur kacang durian dan hantar kepada jiran-jiran. Kenduri sikit, semoga pahala diterima oleh Almarhum ayah dan Almarhumah emak yang telah bersusah payah mengerjakan kebun durian tersebut.
 Al Fatihah.

Terima kasih juga Kak cik tolong uruskan dan kawannya yang tolong bawakan ke KL.



Tu dia satu kotak besaq

Ada 8 bekas

Manis.

Puas makan cempedak goreng. Memang tak beli lagi.


Sempatlah KakJee mereka buat Crepe Durian yang sudah lama KakJee inginkan. senang je rupanya buat crepe ni. Untuk mudahkan kerja, KakJee tak buat inti, terus guna isi durian sahaja. Haha... lagi asli dan sedap sangat terutama jika dimakan waktu sejuk. Resipi KakJee ambil kat Buat Orang Lapo

Resipi Crepe Durian (8 biji)

Bahan-bahan Kulit Crepe

4 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung ubi
1 sudu besar tepung kastard
1 sudu besar tepung jagung
1 sudu besar gula halus
1 biji telur
1 sudu kecil minyak masak
40 ml susu segar
150 ml air
1 sudu kecil esen vanila
Sedikit pewarna kuning ( letak saffron)

Cara Membuatnya:
1.Semua tepung diayak dan digaul rata.
2.Masukkan semua bahan lain ke dalam sebuah bekas dan kacau sehingga sebati.
3.Masukkan tepung dalam adunan di atas dan kacau. Tapiskan supaya tidak berketul.
4.Panaskan kuali khas untuk crepe, tuangkan adunan secukupnya supaya ikut sais kuali tersebut.
5.Biarkan permukaan crepe jadi licin dan angkat. Tak perlu diterbalikkan. Buat sehingga habis.

Rasmikan kuali crepe yang dah bertahun beli.


Bahan-bahan Inti

200 ml susu segar
1 sudu besar gula
1 sudu besar tepung kastard
100 gram isi durian

100 gram whipping cream

Cara Membuatnya:
1.Kacau susu segar bersama gula dan tepung sehingga sebati dalam periuk.
2.Masak sehingga pekat dengan api sederhana sambil dikacau.
3.Masukkan isi durian dan kacau hingga sebati. Sejukkan.
4.Whipping cream dipukul hingga kental.

Cara balut.
1.Ambil sekeping kulit crepe, bahagian licin dibawah.
2.Letakkan whipping cream (guna piping beg) kemudian inti durian dan whipping cream untuk tutup inti durian. (KakJee letak isi durian ganti inti durian)
3.Lipat dengan kemas menjadi bentuk segi empat.



Selamat Mencuba.
 

Sabtu, 28 Ogos 2021

Rasa Dapur KakJee (397) - Ikan Salmon Bakar

BismillahirRahmanirRahim




Ini resipi sendiri, tak tahu nak masak apa dengan ikan salmon. Kari dah buat, begitu juga dengan masak kicap. Bakar begitu sahaja pun dah selalu buat. Cuma kali ni KakJee tambah sayur sedikit. Ehh... sedap pula.

Resipi Ikan Salmon Bakar

Bahan-bahan:
2 keping ikan salmon
1/2 batang lobak merah
1/4 biji cili benggala hijau
Sedikit daun ketumbar
1/2 bawang Holland
Cili padi merah
2 ulas bawang putih diketuk
Sedikit serbuk lada hitam
Sedikit minyak zaitun
Garam

Cara Membuatnya:
1.Lumurkan serbuk lada hitam dan garam pada ikan salmon. Perap sekejap.
2.Panaskan minyak zaitun dan masukkan ikan salmon. Biarkan hingga masak di kedua belah.
Angkat. 
3.Masukkan lobak merah ke dalam lebihan minyak, masak sehingga lembut. Masukkan pula bawang putih, bawang Holland, cili benggala, cili padi dan daun ketumbar. Masak sehingga lembut. Angkat dan taburkan atas ikan salmon.
4.Hidangkan bersama nasi. 



Selamat Mencuba.

Rasa Dapur KakJee (396) - Puding Roti Coklat

BismillahirRahmanirRahim



Resipi ini KakJee ambil dari FB Limau Nipis. Kebetulan ada roti dan bahan-bahan lain. Nampak macam sedap je pudingnya. Mudah amat untuk disediakan. Rasanya pun kurang manis sangat, jadi tak lah rasa bersalah kalau makan banyak sikit kan.

Cuma hiasan kat atas tu tak berapa nak kena. Tiada buah strawberi, cuma buah kiwi kuning.

Resipi Puding Roti Coklat.

Bahan-bahan:
4 keping roti dibuang tepinya dan dipotong kecil
3/4 cawan gula putih
1/2 cawan serbuk koko
4 cawan susu perisa coklat
1 biji kuning telur
10 gram serbuk agar-agar

1/2 cawan coklat masakan

Cara Membuatnya:
1.Kisar semua bahan kecuali coklat masakan sehingga halus.
2.Masukkan bahan yang dikisar dalam periuk dan tambahkan coklat masakan.
3.Masak sehingga mendidih sambil dikacau.
4.Basahkan acuan dengan sedikit air.
5.Tuangkan ke dalam acuan dan sejukkan dalam peti sejuk selama 6 jam.
7.Boleh dihias dengan serbuk coklat dan buah yang sesuai.


Selamat Mencuba.




 

Khamis, 26 Ogos 2021

Rasa Dapur KakJee (395) - Kerabu Suun Sotong


BismillahirRahmanirRahim


Lama juga KakJee teringin nak makan Kerabu Suun versi Thai. Kebetulan ada sotong yang masih segar. Teruslah KakJee mereka selepas melihat beberapa resipi di Google. Kebetulan memang dah ada sos cili Thai, mudahlah kerja KakJee. 

Aroma daun ketumbar benar-benar menyelerakan. Ratah saja pun sedap.

Resipi Kerabu Suun Sotong

Bahan-bahan:

1 bungkus suun
1 ekor sotong sederhana besar
1 batang serai dihiris halus
1/2 biji bawang besar dihiris 
1 biji cili merah dihiris
1-2 biji cili api dihiris
Air limau kasturi/nipis secukupnya
Garam secukup rasa
Sos cili Thai secukupnya
Sedikit sos ikan

Cara Membuatnya:
1.Sotong dibuang kulit, dipotong bulat dan direbus sekejap. Toskan.
2.Suun direndam sebentar. Ditoskan. Masak air sehingga mendidih dan tuang ke dalam bekas berisi suun. Biarkan kembang dan toskan.
3.Gaulkan semua bahan dalam sebuah bekas yang sesuai. Perisakan secukupnya.
4.Sebaiknya terus dihidangkan atau dimakan.


Selamat mencuba.




Sabtu, 21 Ogos 2021

Rasa Dapur KakJee (394) - Hash Brown

BismillahirRahmanirRahim



Hash Brown ni KakJee masak untuk sarapan. Tak dak idea nak masak apa, kebetulan banyak pula stok ubi kentang di dapur. Mudah sahaja disediakan dan sedap dimakan sewaktu masih panas. Meh tengok resipinya.

Resipi Hash Brown
Bahan-bahan:
3 biji ubi kentang yang agak besar saiznya
1 biji telur
1/2 biji bawang Holland didadu kecil
2 sudu besar tepung gandum
1 sudu kecil serbuk lada hitam
Garam secukupnya
Minyak zaitun

Cara Membuatnya:
1.Kentang direbus separuh masak. Dibuang kulit dan diparut selepas disejukkan.
2.Campurkan telur, tepung, lada hitam, bawang dan garam. Gaul sebati.
3.Panaskan kuali dan masukkan sedikit minyak zaitun.
4.Padatkan doh dan bentukkan ikut selera. Boleh juga dibuat bulat dengan acuan.
5.Masukkan dalam kuali dan masak sehingga warna perang kedua belah.
6.Angkat dan hidangkan. Boleh dimakan dengan sos atau begitu sahaja.




Selamat Mencuba.

Isnin, 16 Ogos 2021

Rasa Dapur KakJee (393) - Roti Puri

BismillahirRahmanirRahim




Semasa tinggal di Riyadh, jiran KakJee yang bernama Dr Tahrem ada berikan Roti Puri bersama kuah dalca. Dia orang Pakistan dan selalu hantar makanan untuk kami tiga  beranak. Paling sedap ialah Nasi Biryani Hyderabadi, tak boleh lupa. Suaminya yang masak katanya. Jika nak tahu kisah kami di Riyadh, sila la beli buku travelog KakJee yang bertajuk Winter D'Riyadh.

Beberapa hari yang lepas, tergerak hari untuk try. Ada pula kuah kari ikan yang lebih, stok roti paratha pula dah habis. Bila tengok resipi di RASA, macam okay je. Tak perlu diperap lama-lama. Okay la boleh cuba, tapi tergaring la pula.

Resipi yang KakJee ambil ni perlu guna yis, rupanya boleh aje tak letak yis. Menggelembung juga. Lain kali nak cuba tanpa yis pula. Insya-Allah. Kali ni KakJee guna separuh sahaja bahan-bahannya, dapatlah 14 keping roti puri.

Resipi Roti Puri
Bahan2:
2 cawan tepung gandum
3 sudu besar minyak masak
1 sudu besar gula
1 sudu besar yis
1 sudu kecil garam
1 cawan air panas

Cara Membuatnya:
1.Gaul bersama tepung, minyak, gula dan garam sehingga sebati dan berderai macam serbuk roti.
2.Masukkan air sedikit demi sedikit sambil digaul. Uli sehingga menjadi doh tidak melekat.
3.Ambil sedikit doh dan bulat-bulatkan sehingga menjadi sebesar bola pingpong. Rehatkan selama 15 minit.


Selepas 15 minit

4.Canaikan setiap doh menjadi bulat dan nipis. Buat sehingga habis.



5.Panaskan minyak dan masukkan sekeping doh. Simbah minyak atas doh supaya kembung.
Terbalikkan bila keperangan. Angkat dan toskan.



Siap. 

 Selamat Mencuba.

Khamis, 12 Ogos 2021

Ibadah Korban Di Uganda

BismillahirRahmanirRahim


Salam Maal Hijrah 1443H/ 2021M buat semua pengunjung laman blog saya ini. 
 
Sesungguhnya orang-orang yang beriman,
orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah,
mereka itu mengharapkan rahmat Allah,
dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
[Surah al-Ra'd:11]

Semoga kita semua sentiasa ahu mengubah diri ke arah kebaikan demi mendapat redha Ilahi.  Didoakan agar tahun ini mencatatkan kebaikan demi kebaikan buat diri kita. Dengan penuh harapan juga kita mohon agar wabak pandemik yang sedang melanda negara terhapus dari bumi ini. Aamiin ya Rabb.

KakJee ingin berkongsi pengalaman melaksanakan ibadah korban selama tiga tahun berturu-turut di Uganda. Bermula pada tahun 2019, kemudian 2020 dan pada tahun ini 2021. 

Kenapa KakJee memilih untuk berkorban di Uganda? 

1.Yakin dengan pihak yang melaksanakannya.
2.Rasa seronok kerana hasil korban sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.
3.Pengalaman melihat proses yang dilakukan. Semuanya ditunjukkan melalui gambar-gambar dan video. Walaupun tidak berada di tempat kejadian, tetap rasa ada bersama.
4.Harganya masih dalam kemampuan.
                                                                        
Siapa mereka?

Program Kurban di Uganda ini dikendalikan oleh Dr Jamilah Jaafar bersama suaminya Dr Ssekamanya Siraje Abdallah yang merupakan rakyat Uganda. Beliau adalah pensyarah senior di Institut Aminuddin Baki juga seorang penulis buku. Antaranya ialah Laki Aku Negro Kau Peduli Apa dan Afrika Aku Mai Lagi

Turut juga terlibat dalam kerja-kerja komuniti untuk membantu orang susah di tanah air dan di Uganda. Boleh aja ikuti celoteh beliau yang penuh dengan pelbagai idea kadang kala lucu melalui FBnya Jamilah Jaafar.

KakJee suka melaksanakan korban kambing di Uganda, jika kat Malaysia harganya pasti mahal. Kebanyakan binatang korban adalah kambing tapi lembu pun ada juga walaupun tak banyak. Bagi tahun 2021, perbelanjaan untuk melaksanakan korban di sana adalah sebanyak RM430. Semuanya all in termasuk urusan pelaksanaannya. Jika ada wang yang berbaki, mereka akan gunakan untuk aktiviti membuat perigi atau prasarana rumah anak yatim.         

Iklan untuk tahun ini.

Tak silap tahun 2019 Dr Jamilah Jaafar dan suami berpeluang ikut sama dalam proses pelaksaan korban kerana mereka berada di sana. Sayang sekali KakJee tidak menyimpan gambar-gambar sebelum ini. Untuk tahun ini, ada wakil yang melakukannya di rumah anak yatim.

Gambar di bawah adalah aktiviti korban pada tahun ini. Jumlah kambing dalam 100 ekor. Lembu pun ada tapi tak pasti berapa.


Korban lembu.

Ini kambing korban KakJee sebelum disembelih
Comel kan.

KakJee namakan untuk kakak KakJee
Jamilah Abdul Hamid.

Proses melapah daging

Proses membungkus daging



Penerima daging korban. Pernah kami diberitahu mereka berjalan
kaki beberapa kilometer untuk ambil daging korban. Sedihkan.

Ada yang setahun sekali nak boleh makan daging, jadi mereka sangat berharap.

 
Alhamdulillah. Semoga ibadat korban tahun lepas diterima Allah SWT.  Jika berminat untuk turut serta bolehlah berhubung dengan Dr Jamilah Jaafar. Boleh pasang niat mulai sekarang dan mula menabung agar tidak ketinggalan.



Rabu, 4 Ogos 2021

Rasa Dapur KakJee (392) - Sotong Goreng Tepung

BismillahirRahmanirRahim


Kali ini  KakJee nak kongsi resipi yang sedap iaitu Sotong Goreng Tepung. Pertama kali mencuba, memang sedap sampai tak boleh berhenti nak kunyah. Permintaan Saffura sebenarnya yang nak makan hidangan ni. KakJee pun cari kat Google, yang nampak mudah dan ada bahannya adalah resipi di Rasa.

Memang sedap dan rangup. Walaupun resipinya kata tak meletop tetapi meletop juga, mungkin masih ada air kot kat sotong. Takpa, boleh pakai face mask sebagai pelindung muka dan mata sewaktu menggoreng.

Resipi Sotong Goreng Tepung
Bahan-bahan:
5-6 ekor sotong yang sederhana besar dipotong 4/5, toskan
2 ulas bawang putih dikisar
Sedikit garam
Sedikit lada sulah 
1 sudu besar cuka ( guna Apple Cider Vinegar)
1 biji telur dikacau rata
Minyak untuk goreng

1/2 cawan tepung gandum*
1/4 cawan tepung jagung*
1/4 cawan tepung goreng ayam jenama Adabi*
Bahan bertanda * digaul sehingga rata.

Cara Membuatnya:
1.Masukkan cuka dan gaul rata. Ini untuk keluarkan air daripada sotong jadi jangan banyak.
2.Masukkan bawang putih, garam dan lada sulah. Gaul rata dan biarkan 10 minit.
3.Panaskan minyak dalam kuali.
4.Masukkan hirisan sorong ke dalam telur. Celupkan pula dalam adunan tepung. Goreng sehingga keperangan atau masak. Jangan terlalu lama, takut liat pula. Angkat.
5.Ulang sehingga semuanya habis.
6.Sedap dimakan begitu saja. Yummy.





Selamat Mencuba.
 

Ahad, 1 Ogos 2021

Anugerah Dana Penulis 2021

BismillahirRahmanirRahim



Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi yang telah memperkenankan impian aku sebagai penulis buku. Iaitu hasil karya berada di perpustakaan di seluruh negara. Dengan Anugerah Dana Penulis 2021 yang aku perolehi melalui buku Travelog Arab Saudi : Winter D'Riyadh. Bukan itu sahaja, bayaran yang diberi untuk buku ini adalah seperti yang tertulis pada buku. Pasti ianya cukup lumayan kerana penulis tidak perlu memberi sebarang tawaran diskaun. Terasa setiap jerit payah hilang dan terasa lega bukan kepalang.

Jika sahabat penulis menghasilkan buku, mohonlah Dana Penulis yang disediakan oleh Perpustakaan Negara Malaysia ini, jangan lepaskan peluang. Tidak kira buku tersebut diterbitkan sendiri atau penerbit lain. Permohonan hendaklah dibuat oleh penulis sendiri. Dana ini dikhaskan untuk membantu penulis. Permohonan dibuka sepanjang tahun. 

Jika buku diterbitkan pada tahun 2021, buatlah permohonan pada tahun tersebut. Kerana pihak PNM memilih buku pada tahun semasa. Namun ianya akan diproses pada tahun berikutnya. Jadi buku-buku keluaraan tahun 2021, boleh memohon Dana Penulis 2022.

Cara memohon ialah dengan menulis surat beserta maklumat lengkap berkaitan diri penulis dan buku juga sinopsis buku. Jangan lupa sertakan bersama buku tersebut. Ianya boleh diserahkan secara pos atau serahan tangan ke alamat berikut;

Perpustakaan Negara Malaysia
Bahagian Pembinaan Koleksi
Aras G, Anjung Bestari
232 Jalan Tun Razak
50572 Kuala Lumpur

Berdasarkan pengalaman, pihak PNM akan memberi jawapan kepada permohonan tersebut.  Ianya juga memakan masa yang agak lama, lebih kurang setahun. Kerana ianya akan melalui beberapa proses. Antaranya ialah proses penilaian oleh panel yang dilantik untuk memilih buku-buku yang layak. Jika layak, surat tawaran akan dberikan bersama dengan jumlah naskah yang dibeli. 

Penulis perlu melengkapkan borang-borang yang diberi dan diserahkan kembali kepada pegawai PNM. Dalam tempoh tersebut sebaiknya penulis bersedia dengan sejumlah buku yang hendak diserahkan kepada PNM. Jumlah buku bergantung kepada permintaan PNM, paling maksimum ialah 507 naskah berdasarkan bilangan Perpustakaan Desa di seluruh negara.

Semoga info ini dapat membantu penulis yang berminat untuk mendapatkan Dana Penulis ini.


Gambar kenangan sewaktu penyerahan 507 naskah buku Travelog Arab Saudi Winter D'Riyadh di PNM, Kuala Lumpur pada 30 Julai 2021.

Hantar buku di Bahagian Pembinaan Koleksi PNM

CEO membantu

Semak buku satu persatu dan kira supaya cukup bilangannya.


Siap tersusun 507 naskah termasuk 10 tambahan

Sain dokumen yang diperlukan depan pegawai PNM



Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...