Ahad, 17 Februari 2019

Rasa Dapurku (299) - Steambot Tomyam



BismillahirRahmanirRahim



Kenangan menikmati steambot yang sedap ketika bergelar siswi yang muda remaja di USM tetap dalam ingatan. Setiap minggu aku ke pasar malam yang terletak berdekatan Tapak Pesta Pulau Pinang berteman motosikal Suzuki berwarna hijau. 

Hasrat untuk menyediakan sendiri steambot terhasil apabila aku mendapat tahu ada pembekal bahan-bahan basah untuk steambot yang terletak di Prima Saujana. Yang penting bahan-bahan yang halal dan bersih.

Pastinya steambot sedap dimakan beramai-ramai, lalu aku memasang niat untuk mengajak rakan-rakan lain menikmatinya.

Sehari sebelum mesyuarat pertama Unit PSS, aku ditemani Pn Saimah membeli bahan-bahan yang diperlukan. Keesokan harinya, semua barang keperluan untuk menyediakan steambot aku bawa termasuk dapur dan periuk. Tidak lupa aku meminta pertolongan En suami untuk membeli udang segar dari pasar pada pagi kejadian.

Dengan bantuan Pn Farihan, aku menyediakan kuah steambot sebanyak satu periuk besar, biar ramai yang boleh merasainya. Puan Saimah turut membantu, berpeluh kami bertiga menyediakan bahan-bahan yang yang diperlukan di ruang kecil yang begitu terhad saiznya.

Kuah dah siap...panas-panas
Menjelang pukul 10.00 pagi, semuanya sudah siap sedia dan kami pun memulakan mesyuarat. Pukul 12.00 tengahari kami pun menikmati hidangan makan tengahari bersama-sama. Aku begitu suspen kerana inilah kali pertama aku menyediakan steambot tomyam. Namun aku begitu terharu apabila kawan-kawan memberi komen yang positif

"Sedap ...macam makan di kedai" 

Itulah komen mereka. Bolehlah aku kongsikan resepi tersebut.

Tetamu pertama...Bismillah

Tambah lagi...jangan malu-malu

Pn Saimah sedang merebus apa tu....


Pn Farihan (duduk) nampak keletihan.

Resepi Steambot Tomyam (20 orang makan)
Bahan2:
Untuk Kuah Tomyam
1/2 ekor ayam (ambil bahagian tulang)*
5 batang serai - diketuk*
2 inci lengkuas  - diketuk*
1 botol pes tomyam  (250g)*
10-15 biji cili padi - diketuk*
5 ulas bawang putih - diketuk*
5 biji limau sambal - diambil air sahaja
5 tangkai daun ketumbar - asingkan akarnya
1 biji bawang besar Holland - dibelah*
2 biji lobak merah - dipotong memanjang
2 pek Baby Jagung
1 batang saleri (pilihan)- dipotong kasar
1 tangkai daun limau purut
10 ekor udang segar
5 liter air
Garam


Cara Membuatnya:
1.Masukkan air, bahan bertanda * dan akar daun ketumbar ke dalam sebuah periuk dan rebus
   sehingga ayam masak.
2.Masukkan lobak merah, baby jagung dan  daun limau purut, masak dengan api perlahan.
   Masukkan garam.
3.Masukkan udang, daun ketumbar (bersama tangkai), batang saleri dan air limau. Masak 
   sekejap dan tutup api.


Bahan Steambot
Bebola Ikan
Bebola sotong
Bebola udang
Bebola ayam
Fish cake
Jejari ketam
(Aku beli set Yong Tau Fu - macam-macam ada)
1 bungkus bihun dicelur sedikit
2 pek maggi
Sawi pendek
Brokoli
Cendawan Tiram
Cendawan Enoki 
Udang segar
Isi ayam (pilihan)
Daging yang dihiris nipis (pilihan)
Sotong (pilihan)

Cara Menghidang:
Rebus bahan steambot di dalam kuah tomyam sehingga lembut.
Masukkan ke dalam mangkuk bersama kuah.
Sedia untuk dimakan



Mai semangkuk







Khamis, 14 Februari 2019

Rasa Dapurku (298) - Nasi Kabsah Kambing




BismillahirRahmanirRahim



Sudah lama sebenarnya aku tidak menyediakan nasi arab di rumah. Dengan alasan setiap minggu ada jemputan majlis kahwin jiran, keluarga dan sahabat. Satu lagi yang membimbangkan aku ialah tidak mampu untuk menahan selera makan. Kerana aku peminat tegar nasi Arab....hihihi.

Untuk memenuhi permintaan rakan-rakan satu panitia, aku akur sahaja. Nasi Kabsah Kambing menjadi pilihan aku sempena mesyuarat pertama bagi tahun 2019. Alhamdulillah rempah kabsah yang dibeli di Berkat Madinah Sungai Chua begitu sedap. Semasa daging kambing sedang dimasak di dalam pressure cooker selama 1 jam, aromanya cukup menggoda. 

Puan Norbayani : Nasi Arab memang takde kuah ye?
Puan Aslina       : Memang tak ada kuah kak, kalau kat Mekah ada salad dengan cili hijau je.
                            (Puan Aslina baru pulang dari mengerjakan umrah bulan Disember lepas)
Puan Norbayani : Kat Saba ada kuah kari.
Aku                    : Ohhh itu nak memenuhi selera orang Malaysia.

Sebenarnya kuah yang terhasil dari rebusan daging kambing dan rencahnya ada di rumah. Tidak sempat pula aku membawanya. Malamnya kami sekeluarga menikmati nasi kabsah bersama kuah tersebut. Sedaplah pulak.....layan je la.



Menjamu selera bersama rakan-rakan satu panitia di Bilik Cenderawasih

Resepi Nasi Kabsah Kambing (20 orang makan)
Bahan2

Untuk Rebusan daging.

2 kilogram daging kambing - dipotong ikut saiz yang sesuai
4 sudu besar rempah kabsah
1/4 cawan minyak zaitun/masak
2 biji bawang besar dihiris
2 biji tomato dipotong empat

Cara Membuatnya:
1.Panaskan  minyak di dalam periuk tekanan dan tumiskan bawang besar. Kacau sehingga
   keperangan menggunakan api yang sederhana.
2.Masukkan daging kambing dan rempah kabsah, kacau sehingga menjadi warna perang.
3.Masukkan tomato dan air sehingga menutupi daging kambing. Tutup periuk tekanan
   dengan penutupnya dan masak dengan api sederhana selama 60 minit atau sehingga
   daging lembut.
4.Keluarkan daging dari air rebusan tadi.Ambil 1 cawan untuk memasak nasi.
   Selebihnya boleh diperisakan dengan garam untuk dibuat kuah.

Untuk Memasak Nasi Kabsah.


7 cawan (1 kg) beras Nasi Arab dibasuh dan direndam selama 30 minit
1 inci halia*
10 biji bawang putih*
bahan * dikisar
1 biji bawang besar didadu/dihiris
3-5 helai Daun Bay (ikut saiz)
3-5 biji cili hijau
4 sudu besar minyak sapi
4 jenis penumis, lebihkan buah pelaga
3 biji lemon kering
Pewarna Za'faran @ Saffron @ pewarna kuning
Gajus yang telah dibakar atau goreng(pilihan)
1 cawan air rebusan kambing  +  9 1/2 cawan air 
[Nisbah beras : air = 1 : 1 1/2

Cara Membuatnya:
1. Panaskan 2 sudu minyak sapi di dalam sebuah periuk yang sesuai.
    (Boleh juga guna kuali kemudian pindahkan ke dalam periuk)
2. Masukkan bawang besar yang didadu dan goreng sehingga hampir garing.Masukkan
    bahan kisar dan kacau sebentar.
3. Masukkan beras dan goreng sehingga rata (sekejap sahaja)
4. Masukkan air rebusan kambing dan air mengikut sukatan. Masukkan bersama semua 
    bahan lain seperti daun Bay dan penumis.
5. Masukkan limau kering. Perisakan dengan garam. Masak sehingga air kering.
6. Buatkan 2/3 lubang pada nasi yang telah kering dan masukkan pewarna Saffron
    (campurkan dengan sedikit air) atau Saffron yang direndam bersama sedikit air).
    Masukkan cili hijau.
7. Tutup periuk dengan penutup yang sesuai  ( rapat) dan biarkan sehingga nasi masak 
    sepenuhnya. Gunakan api paling kecil. (dalam 30 minit).
8. Letakkan  2 sudu besar minyak sapi setelah nasi masak dan tutup periuk kemudian 
    tutup api.

* Untuk lebih jelas sila lihat Resepi Nasi Kabsah Ayam Untuk Jamuan di dalam blog ini.

Untuk Salata @ Sambal Nasi Arab

7-8 biji buah tomato yang ranum
10 biji cili padi
4-5 biji cili merah
1/4 biji bawang besar
2 tangkai daun ketumbar/ pudina
1/2 biji air lemon
Garam

Kisar semua menggunakan food processor (tanpa air)
sehingga semuanya hancur dan halus.

Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...