Isnin, 16 Mei 2022

Rasa Dapur KakJee (411) - Bubur @ Pengat Nangka.

 BismillahirRahmanirRahim


Buah nangka madu ni sentiasa ada dalam freezer kat rumah KakJee. Ianya pemberian abang Mat, abang KakJee. Jauh tu dari Alor Setar datangnya. Ditanam di rumahnya dan tidak putus-putus berbuah. Malangnya abang Mat tak berapa boleh makan sangat jadi dia frozenkan.

Yang sangat suka buah ni ialah KakJee dan suami. Sebab itulah abang Mat rajin simpankan untuk kami. Beberapa bulan lepas, dia datang ke Kuala Lumpur kerana ada urusan, bersama 6 bekas plastik yang besar tu. Baru-baru ni balik beraya, KakJee bawa balik 2 bekas sahaja sebab tak muat kereta ... hihi. Jadi bekalannya memang tidak pernah putus.

Semenjak tahu khasiat yang banyak dalam buat nangka, lagi lah KakJee suka makan. Terutama kandungan kaliumnya yang tinggi, lebih tinggi daripada pisang.

Senang aje nak masak bubur atau pengat nangka ni. 

Resipi Bubur@ Pengat Nangka
Bahan2:
15 ulas nangka, dibuang biji dan dipotong 4.
1/2 ketul gula Melaka (Jika yang kecil, guna seketul)
2-3 sudu besar gula pasir (ikut manis sendiri)
1 cawan santan pekat
2 sudu besar sagu, direndam
Sedikit garam
Sehelai daun pandan
Air secukupnya

Nangka yang dipotong.

Cara Membuatnya:
1.Masak gula Melaka dan gula pasir bersama satu cawan air dan sehelai daun pandan.
2.Tapiskan air gula dan masukkan  sedikit santan. Masak bersama nangka dan sagu sehingga sagu kembang. Tambahkan sedikit garam.
3.Masukkan baki santan pekat dan kacau sehingga mendidih. Tutup api. 




Khamis, 12 Mei 2022

Album Hari Raya Pertama 2022

 

BismillahirRahmanirRahim


Awal pagi, aku panaskan lauk pauk yang dibawa balik. Kami sarapan dahulu sebelum bergerak ke Masjid Jawi untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Kami lebih selesa untuk solat di sini kerana masjidnya lebih luas berbanding dengan dua masjid lain di Sungai Bakap.

Lebih kurang jam 8:30 pagi kami sampai, namun suasana di persekitaran masjid tidaklah padat seperti biasa. Kami masih dapat meletakkan kereta di kawasan parkir dalam kawasan masjid. Mungkin masih ramai yang belum sampai ke kampung barangkali, maklum lah ramai yang merancang untuk balik ke kampung pada hari Isnin.

Syukur ya Allah kerana kami masih berpeluang menikmati solat hari raya yang lebih sempurna  di masjid. Dua tahun sebelum ini, solat sunat ini hanya mampu dilakukan di rumah berimamkan suami. Peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan. 

Syahdu mendengar laungan takbir hari raya sebelum solat bermula. Yang hadir kebanyakannya mematuhi SOP iaitu memakai pelitup muka. Seronok melihat kanak-kanak yang bergaya dengan baju raya, meriah terasa.

Usai solat, terus ke rumah mak untuk beraya. Mujur mak sempat buat ketupat palas malam tadi, dapatlah aku merasanya dan makan bersama rendang yang aku bawa. 

Sebelum tu, kita posing dahulu.







Ada orang tak nak pakai baju raya...haish.




Jauh mak mentua beraya tahun ini.

Suasana semakin meriah dengan kedatangan kakak sulung, Puan Hjh Aishah yang datang bersama anaknya Wan Suhanis sekeluarga. Kemudian datang adik bongsu Almarhum ayah yang kami panggil Cu Midah bersama anak-anaknya, mereka tinggal berjiran dengan kami. 

Sebenarnya kami menumpang tanah milik keluarga Cu Minah dah mencapai 44 tahun. Lama kan. Jadi sekitar rumah kami adalah keluarga anak-anak Cu Minah. Tapi Cu Minah menetap di Sungai Kerang, Perak. Jadi jarang lah berjumpa, rezeki dapat berjumpa raya tahun ni.

Tapi, semua yang hadir pulang dengan rasa kecewa!

Sebabnya mak tak sempat buat laksa. Setiap kali raya itulah yang dicari, Laksa dengan cucur udang ranggup. Semuanya kalut, ikan pun belum beli. Ialah ingatkan aku nak tolong mak hari Isnin. Kebetulan anak saudara aku. Emy yang tinggal dengan mak beraya dengan mentuanya di Gurun.

Cu Minah yang duduk.









Tapi kami tak putus asa untuk mencari laksa, sasaran kami seterusnya ialah ke rumah kakak ipar, Puan Hjh Jamilah Taib di Taman Ilmu Nibung Tebal. Selalunya hari raya pertama ada laksa. Malangnya tiada siapa di rumahnya. 

Kami terus sahaja je rumah kakakku Puan Jamilah yang tinggal di Sungai Setar. Sebaik sampai aku terus bertanya

"Buat laksa dak."

"Aku buat mi kari, esok baru nak buat laksa."

Haha.... kecewa sungguh. Tapi mi karinya memang sedap. Ada ketam, udang, daging, sotong dan yag lain-lain. Berborak sakan sambil makan lemang, ketupat dengan rendang. Sampai lupa nak ambik gambar la. Aduhai.

Mujur Saffura ada ambik gambar.


Kembali ke rumah penginapan /rumah kebun abang, kami berehat setelah penat beraya. 

Malamnya aku dan Saffura beraya di rumah Mak cik Lijah, adik Almarhumah mak yang tinggal tak jauh dari situ. Kebetulan dua anaknya yang juga sepupu aku balik beraya. Sudah lama tak jumpa, hanya berhubungan melalui FB dan wasap sahaja.

Pak Cik Shaari dah berusia 83 tahun namun kelihatan tidak dimamah usia. Masih sihat dan cergas hanya sesekali lupa dan kurang dengar tapi dia masih ingat aku. Mak Cik Lijah berusia 78 tahun, ada masalah jantung namun kelihatan begitu ceria.



"Makan la ketupat tak cukup lemak tu. Makcik balut ketupat 4 kilo malam tadi. Tak tidoq."

"Kami dari Johor, sampai pagi tadi. Adoih letih sepanjang malam atas jalan." Ujar Kak Mah yang sudah 20 tahun tidak balik beraya.



Rumah Makcik


Lama juga kami berbual, hampir dua jam.

Sewaktu zaman kanak-kanak, banyak masa aku habiskan dengan mereka seramai 7 beradik. Lima lelaki dan dua perempuan. Aku paling rapat dengan Ani sebab kami sebaya. Selalu tidur di rumahnya, dua-dua kami agak lasak. Bayangkan bila tidur sekatil, asyik tolak menolak dan tendang menendang sewaktu tidur.

Indahnya kenangan.

Jom balik, dah lewat malam.





Salam Aidilfitri 1443H

 BismillahirRahmanirRahim

Semoga belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta maaf zahir dan batin buat pengunjung blog ini. Didoakan setiap amalan kita disepanjang buan Ramadan yang lepas dinilai sebagai ibadat. Diberi ganjaran sebaiknya di dunia dan akhirat. Besarlah harapan, agar kita dapat bertemu lagi dengan bulan yang mulia ini tahun depan. Aamiin.

Pastinya kita sudah kembali menjalani rutin kehidupan seperti biasa setelah lebih seminggu berada di bulan Syawal. Banyak kenangan yang dikutip sepanjang sambutan hari raya yang lepas. Ditambah pula dengan beberapa elemen yang tidak diduga, semuanya memberi rasa nikmat yang tersendiri untuk disyukuri. Maklumlah setelah dua tahun tidak menikmati raya dengan sempurna.

Berita bocor berkaitan tarikh hari raya menjadi bualan hangat media sosial. Katanya kemungkinan hari raya pada hari Isnin, 2 Mei 2022. Negara Arab Saudi yang sentiasa menjadi rujukan dijangkakan beraya pada hari Ahad jika anak bulan Syawal kelihatan. Puaslah penafian diberikan dan penegasan kemungkinan raya hari Selasa, seperti yang tertera di kalendar.

Kami sekeluarga bertolak ke kampung di utara jam 9:30 pagi. Rancangan untuk kembali ke kampung seawal hari Jumaan tidak boleh dilaksanakan kerana Saffura masih bekerja (intern) sehingga hari Sabtu. Sebaik melepasi R&R Sungai Buloh, sudah bermula kesesakan di lebuh raya, itu jalan empat lorong. Jadi suami mengambil keputusan untuk mengikut jalan pantai..

Tol percuma bagi pengguna PLUS di hujung minggu menjadikan suasana di lebuh raya sesak. Lega sekejap namun kenderaan hampir tidak bergerak sebelum pekan Tanjung Karang. Namun tidak lah terasa bosan sangat sebab banyak aktiviti di laluan tersebut. Seperti jualan lemang dan kuih raya di gerai tepi jalan. 

Selepas Sabak Bernam, jalan kembali normal sehingga ke susur keluar ke Lumut menuju Teluk Intan. Ianya disebabkan pembinaan lebuh raya baharu yang belum siap. Kami mengambil keputusan untuk berhenti solat terlebih dahulu lebih kurang jam 2:30 petang. Seterusnya melalui Pantai Remis, Sungai Kerang dan keluar di susur keluar Taiping/Bukit Gantang. Jalannya yang agak sempit menjadikan pergerakan kereta agak perlahan terutama di kawasan pekan apabila orang ramai tertumpu ke pasar Ramadan.

Kembali ke lebuh raya, suasana jem kembali semula. Ada masanya kenderaan tidak bergerak, kadang-kadang perlahan ya amat. Namun ada masanya perjalanan lancar namun tidak bertahan lama. Petang kian lewat dan suasana sekitar mulai gelap. Mujur aku sudah bersedia dengan membuat bekalan nasi goreng dan nuget ayam. Air panas pun masih suam di dalam termos.

Ya kami berbuka puasa di dalam kereta sahaja, sukar untuk berhenti di tepi jalan. Walhal waktu tu sudah tinggal lebih kurang lima kilometer ke susur keluar Jawi, tak jauh dah. Tapi masih jem. 

Waktu ni aku sudah diberitahu oleh sahabat yang tinggal di Riyadh, iaitu Wan Saliza. Anak bulan Syawal tidak kelihatan di seluruh Arab Saudi jadi mereka akan berhari raya pada hari Isnin. Genap berpuasa selama 30 hari. Kami masih yakin kita akan beraya hari Selasa kerana suasana agak gelap dan hujan, mana mungkin anak bulan kelihatan kan.

Lebih kurang jam 8:30 malam kami sampai di rumah kebun abang aku, tempat kami tinggal sepanjang berada di kampung kali ini. Ada mak mentua ikut bersama jadi kami tak duduk di rumah mak seperti biasa.

"Depa kata raya esok ni." Beritahu abangku sewaktu kami sedang berbual melalui telefon.

"Tu dia, jenuh lah... tiba-tiba raya." Responku. Sedih pun ada kerana Ramadan sudah meninggalkan kita.

Aduhai tak sempatlah nak buat ketupat nasi, daun kelapa pun belum beli lagi. Semua nak buat esok tapi esok dah nak raya. Tapi aku ada bawa balik ketupat segera, cepat-cepat aku keluarkan dan rebus. Sambil tu aku mengemas apa yang patut, maklumlah baru sampai. Tunggu nasi masak untuk makan malam.

Strategi aku selama tiga tahun memang berbaloi terutama untuk tahun ini. Strategi? Ya, dah tiga kali raya aku masak rendang ayam, rendang daging dan kuah kacang beberapa hari sebelum raya kemudian aku sejuk bekukan. Tapi tahun ini aku tambah satu lagi menu iaitu Sup Tulang yang biasanya menjadi hidangan berbuka puasa pada malam raya.

Jadi aku panaskan sup untuk dimakan bersama nasi. Lega selepas makan malam.

Menyesal sungguh kerana tak singgah beli lemang yang banyak dijual sepanjang jalan tadi. Memang takde rezeki.

Tidur lambatlah malam raya ni.

Tepat pukul 12:00 malam, kedengaran bunyi mercun dan bunga api. Meriahnya percikan bunga api di udara dengan pelbagai warna. Aku hanya mampu melihat dari celah tingkap sahaja.

"Waah banyaknya duit depa. Bakar bunga api dan mercun setanding orang kota." Aku bermonolog sendirian.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,

La illaha il Allah Allahu Akbar

Allahu Akbar walilahil Hamd


Kedengaran suara takbir.

Walaupun sedih kerana Ramadan sudah berlalu namun Syawal perlu disambut. Ianya anugerah Allah SWT atas kemenangan kita melalui bulan Ramadan pada tahun ini.

Semoga direzekikan bertemu lagi Ramadan akan datang dalam keadaan yang sihat. Aamiin.

Sempat menjengah pelbagai cerita di media sosial dengan pelbagai elemen mengejutkan. 

1.Anak bulan kelihatan di Labuan, satu daripada lokasi untuk mencerap anak bulan pada petang 1 Mei 2022. Fenomena yang jarang berlaku di Malaysia. 

2.Ada yang sudah bertarawih, dikatakan berlaku di Sabah.

3.Ada yang kait daun pisag di tengah malam.

4.Ada yang mesih rumput di tengah malam.

5.Ada yang makan mi segera di hari raya.

6.Ada yang terus bakar lemang.

7.Duit kat ATM pun habis.

8.Ada tempat di mana stesen minyak yang kehabisan minyak menyebabkan kereta tidak boleh bergerak.

9.Kesesakan lalu lintas berlaku di jalan raya dan lebuh raya di hari raya pertama sehingga habis cuti raya. 

10.Kebanyakan kedai ditutup hampir seminggu terutama kedai makan, termasuk peniaga bukan Islam yang mahu meraikan hari raya yang tertangguh selama 2 tahun.

Pun begitu, ianya adalah memori indah untuk dikenang. Rugi bagi mereka yang tidak mengalami atau merasainya.

Syukur Alhamdulillah dengan nikmat ini.



Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...