Sabtu, 29 Ogos 2020

Rasa Dapur KakJee (358) - Kuih Ketayap


BismillahirRahmanirRahim





Resipi asal ialah Kuih Ketayap Menjala Hati dari FB adikfoods. Teruja apabila melihat kuih ketayap yang cantik. Sebenarnya KakJee suka juga kuih ni tapi apabila siap rupanya pasti kurang memuaskan hati. Bila nampak aje gambar Kuih Ketayap Menjala Hati di FB terus jatuh hati. 

Walau bagaimanapun KakJee tidak lah ikut resipinya 100% kerana KakJee mahu warna hijau yang asli. Sebolehnya KakJee cuba elak menggunakan pewarna tiruan. Tapi dari segi kuantiti bahan masih guna resipi yang sama bagi kulitnya. Untuk inti pun KakJee guna resipi sendiri seperti yang sedia ada di dalam blog ini.

Resipi Kuih Ketayap
Bahan2:
Inti
1 biji kelapa parut
1 cawan gula merah
1/3 cawan gula putih
1 sudu besar tepung gandum
1 helai daun pandan.
2 cawan air


1.Masak air, gula merah, gula putih dan daun pandan sehingga gula larut.Tapis.
2.Masukkan kelapa parut dan air gula dalam kuali, kacau sehingga agak kering dan masukkan tepung.Kacau lagi hingga sebati.Angkat dan sejukkan.
* boleh guna kelapa parut segera tetapi tambah  santan.

Kulit Ketayap
2 cawan tepung gandum
2 cawan air daun pandan (pandan biasa dan pandan serani)
1 biji telur
2 sudu minyak masak
200 ml kotak santan (ganti dengan susu segar)
1 sudu kecil garam.

Kisar semua bahan diatas dan tapis.
* Guna bahan yang sama kecuali air daun pandan tetapi 1/3 daripada kuantiti di atas untuk menyediakan adunan roti jala yang berwarna putih.Masukkan dalam acuan roti jala.

*Resipi asal hanya asingkan sedikit adunan untuk bahagian roti jala. Selebihnya ditambah pewarna hijau.

Cara Membuatnya:
1.Panaskan kuali, sapu sedikit minyak jika perlu. Masukkan adunan roti jala. Diikuti dengan adunan ketayap. Lenggangkan supaya sekata.Biarkan sehingga masak dan angkat.




2.Biarkan sekejap dan masukkan inti. Lipat bahagian kiri dan kanan kemudian gulungkan.



Selasa, 25 Ogos 2020

Kelas Burnt Cheese Cake & Cotton Japanese Cheese Cake


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh


Alhamdulillah KakJee dapat hadir ke kelas masakan anjuran Kolej Komuniti Hulu Langat setelah lama. Kebetulan ada kelas kek yang sedang viral iaitu Burnt Cheese Cake. Patutlah kebanyakan kedai menjual bahan-bahan kek kehabisan stok cream cheese dan whipping cream. Kelas pada hari Jumaat , bertarikh 21 Ogos 2020 bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 1.00 tengahari. Yuran RM60 amat berbaloi dengan 4 potong kek cheese dibawa balik.



Cikgu Azie memberi penerangan sebelum mengajar.

Bahan-bahan pun dah ada.

Ini hasilnya Burnt Cheese Cake. memang betul-betul burnt. Aromanya sangatlah sedap.


Cotton Japanese Cheese Cake yang dibuat cikgu 


Hasil kerja peserta


Peserta yang hadir kali ini.

Yang dibawa balik....yummy.

Ahad, 23 Ogos 2020

Rasa Dapur KakJee (357) - Kerepek Pasta Pene




BismillahirRahmanirRahim




Hari ini KakJee menyediakan sejenis makanan ringan untuk dikunyah menggunakan pasta. Pasta jenis Pene sudah dibeli beberapa hari lalu, kebetulan ada masa untuk membuatnya.

Jom kenali jenis-jenis pasta

Mudah sahaja untuk disediakan dengan menggunakan sejenis tepung segera jenama Lesung. Rasanya keras tetapi rangup, sekejap aja dah licin.

Tepung segera baharu

Resepi Kerepek Pasta Pene
Bahan2:
1/2 pek pasta pene
Tepung segera secukupnya
Beberapa tangkai daun kari
Minyak masak secukupnya
Garam

Cara Membuatnya:
1.Rendam pasta pene selama lebih kurang 45  minit.Toskan.




2.Panaskan minyak. Gaulkan pasta pene dengan tepung segera dengan rata.Goreng sehingga hampir masak dan masukkan daun kari.





3.Angkat dan toskan. Taburkan garam jika perlu dan sejukkan
4.Simpan di dalam bekas kedap udara.

Selamat Mencuba.


Sabtu, 22 Ogos 2020

Rasa Dapur KakJee (356) - Kuih Onde-Onde Bunga Telang


BismillahirRahmanirRahim




Pokok Bunga Telang yang ditanam mudah mengeluarkan bunga dalam kuantiti yang agak banyak. Jadi KakJee akan petik dan rebus untuk mendapatkan airnya yang berwarna biru. Pelbagai masakan menggunakan pewarna asli ini boleh dibuat. Antara resipi yang sudah KakJee cuba ialah Nasi Ulam, Kuih Lompang, Kuih Seri Muka Durian, Agar-agar Santan dan hari ini Onde-Onde Bunga Telang. Jom tengok resipinya yang sama seperti membuat onde-onde berwarna hijau, cuma ganti pewarna asli sahaja.

Pokok Bunga Telang yang tingi dengan antioksida.


Resipi Onde-Onde Bunga Telang.
Bahan2:
2 cawan tepung pulut
1 sudu besar tepung gandum
30 kuntum bunga telang
Gula Melaka dipotong kecil
Air secukupnya
Kelapa parut (putih sahaja)
Sedikit garam

Cara Membuatnya:
1.Rebus bunga telang bersama kira-kira 2 cawan air sehingga bunga telang hanpir hancur (untuk dapatkan warna biru terang).Tapis dan sejukkan.
2.Gaul tepung pulut dan tepung gandum dalam bekas yang sesuai. Campurkan air sambil digaul tepung tersebut. Tambah air sehingga boleh membentuk doh. Uli doh tersebut sehingga agak lembut.Rehatkan sebentar.

                                                  


3.Ambil sedikit doh, leperkan dan masukkan gula Melaka kemudian dibentuk bulat.Ulang sehingga habis.
4.Rebus air di dalam periuk sehingga mendidih (letak daun pandan). Masukkan doh bulat yang siap dibentuk tadi. Masak sehingga doh tersebut timbul di permukaan air. Angkat dan toskan.
5.Golek golekkan kuih tadi dengan kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam.



Gaul dengan kelapa parut.



Selamat Mencuba.

Khamis, 20 Ogos 2020

Salam Maal Hijrah 1442.



Assalamualaikum.



Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT yang telah mengizinkan kita melihat sinar mentari hari pertama di Bulan Muharram 1442H ini. Salawat dan salam ke atas junjungan Nabi akhir zaman Muhammad SAW serta seluruh ahli keluarga, para sahabat dan seluruh umat baginda yang mengikut jalannya.

Ingin aku imbas kembali pencapaian penuh makna sepanjang tahun sebelum Maal Hijrah 1442 menjelma. Asalnya aku hanya memiliki sebuah buku bertajuk Travelog New Zealand - Syurga Di Wajah Queenstown yang diterbitkan pada tahun 2017. Sungguh terharu rasanya apabila aku mampu menghasilkan 5 buah buku lagi menjelang Maal Hijrah 1442/2020. 


 3 buku travelog dan 3 buku antologi.

Lebih memberi makna adalah apabila 2 buku antologi membawa pula tajuk HIJRAH. Pastinya sambutan Maal Hijrah 1442 memberi kenangan yang amat manis.

BUKU HIJRAH 1: HIJRAH - PROLOG KITA BELUM BERAKHIR
Cetakan Pertama (Mac 2020)
Cetakan Kedua (Julai 2020)

Antara buku antologi terawal yang dicetak ulang. Ianya dkendalikan oleh Puan Sri Diah Shaharuddin, seorang editor terkenal. Padat dengan 30 karya yang berkisar tentang Hijrah dalam pelbagai situasi yang ada kalanya menggegarkan emosi.


Buku Hijrah

Ikuti ulasan paling lengkap berkaitan buku Hijrah ini oleh Ana Reads.






BUKU HIJRAH 2 : TEKA TEKI HIJRAH MUSLIMAH MILENIAL
Cetakan Pertama Jun 2020

Buku ini diterbitkan di Indonesia, di mana aku berkolaborasi dengan sahabat-sahabat ODOJ. Di selaraskan oleh Puan Sukmadiarti Perangin-angin, ada 31 karya dari penulis yang masih muda dengan pelbagai latar belakang. Semuanya kisah benar bagaimana mereka berhijrah untuk menjadi lebih baik dan diredhoi Allah SWT.


Seperti biasa kedatangan tahun baharu memberi peluang untuk kita membina azam baharu pula.
Inilah azam aku untuk tahun 1442H dalam bidang penulisan:
1.Travelog Bosnia & Herzegovina.
2.Travelog 30 Hari Eropah
3.Travelog Resipi
4.Antologi ketiga bersama sahabat ODOJ Indonesia.
Insya-Allah.

Buat peminat buku yang mahu mendapatkan hasil karya aku, boleh hubungi 0133645560.
Hanya 3 buku ini masih dalam stok.
Ada tawaran istimewa menanti dengan penjimatan lebih 10%.


Ya tiada kos dikenakan untuk penghantaran di seluruh Malaysia.

Jom suburkan minat membaca,
Travel.Tulis.Terbit.

Khamis, 13 Ogos 2020

Rasa Dapur KakJee (355) - Bawal Tiga Rasa


BismillahirRahmanirRahim




Biasanya Ikan Bawal dimasak kari atau Masak Masak Manis. Kali ini tukar resipi pula. Terbaik mestilah  Ikan Siakap digunakan tapi KakJee guna ikan bawal, okay juga rasanya. Kebetulan ada Mak Mentua di rumah, suka betul dia dengan masakan ini kerana dia pengemar masakan masam manis. Rasanya lebih kurang je. Resipi ini dikongsi sahabat bernama Puan Zailah.

Resipi Bawal Tiga Rasa
Bahan2:

Bahan perap
2 ekor Ikan Bawal dibersihkan dan dikeringkan
2 inci halia*
3 ulas bawang putih*
bahan* dikisar
Garam
Tepung jagung secukupnya

1.Kelar ikan dan sapukan bahan kisar dan garam ke badan ikan bawal , ratakan.
2.Sapu pula dengan tepung jagung ke seluruh badan ikan.Perap 1 jam.
3.Goreng hingga masak.



Bahan Kisar
1 inci halia
2 ulas bawang putih
1 batang serai
1/2 biji bawang besar
1/2 biji bawang Holland

Bahan Tumis
A
1 inci halia dihiris
1/2 biji bawang besar didadu
1/2 biji bawang Holland didadu
1 biji tomato didadu
4 helai daun limau purut

B
3 ulas bawang putih
1 batang serai dihiris
1 biji cili merah dihiris
1 biji cili hijau  / cili padi dihiris
1 batang akar daun ketumbar

Bahan lain
2 sudu besar cili kering kisar
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos ikan
2 sudu kecil air asam jawa
Garam
Gula
Daun ketumbar

Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan bahan tumis A. Kacau sekejap dan masukkan bahan tumis B. Kacau.
2.Masukkan bahan kisar dan kacau hingga naik bau.
3.Masukkan cili kering dan biarkan garing. Masukkan sos cili, sos tomato, sos tiram dan sos ikan. Kacau.
4.Masukkan air asam jawa, garam dan gula, kacau hingga agak pekat. Akhir sekali masukkan daun ketumbar.




5.Tuangkan ke atas ikan apabila hendak makan.



Selamat Mencuba.



Isnin, 10 Ogos 2020

Rasa Dapur KakJee (354) - Sambal Kentang Kering Rangup


BismillahirRahmanirRahim



Resipi ini menggunakan Ibu Sambal yang sedia ada di dalam peti sejuk. Resipi Ibu Sambal pun ada di sini. Jadi proses penyediaannya lebih cepat dan menjimatkan masa. Resipi kali ini hanya menggunakan kentang, lebih sedap jika ditambah ikan bilik goreng. Rangup dan perlu disimpan dalam kedap udara.

Resipi Sambal Kentang Kering Rangup
Bahan2:
4 biji kentang dibuang kulit, dihiris nipis dan ditoskan.
3 sudu besar Ibu Sambal
Minyak untuk goreng kentang.
Garam dan gula jika perlu.

Cara Membuatnya:
1.Keringkan kepingan kentang dan taburkan sedikit garam.


2.Panaskan minyak dan masukkan sekeping demi sekeping. Goreng hingga garing.Angkat.
3.Panaskan ibu sambal, masukkan garam dan gula jika perlu. Biarkan hingga kering. Sejukkan.
4.Bila sambal dah sejuk gaulkan  kentang tadi bersama sambal tadi sehingga rata.



5.Apabila sejuk masukkan dalam bekas kedap udara.


Selamat Mencuba.

Sabtu, 8 Ogos 2020

Visit My Malaysia - Kuala Terengganu


Kuala Terengganu

BismillahirRahmanirRahim

Alhamdulillah sempat bercuti ke Kuala Terengganu selepas PKPP diumumkan kerajaan. Rancangan yang tertangguh akibat PKP segera kami lunaskan. Kami bertiga bercuti pada 1 Julai hingga 3 Julai 2020. Bertolak pada pukul 9.30 pagi dengan merentasi Lebuhraya Pantai Timur2 yang begitu terasa kurangnya kenderaan. Sepanjang perjalanan, hanya ladang elapa sawit dan hutan yang kelihatan.

Mercu tanda terbaharu di Kuala Terengganu
Bertolak pada pukul 9.30 pagi dengan merentasi Lebuhraya Pantai Timur2 yang begitu terasa kurangnya kenderaan. Sepanjang perjalanan, hanya ladang elapa sawit dan hutan yang kelihatan. Tiba di destinasi pada pukul 2 petang.

Gannu kita

Tinggal di Mar Guest House milik sahabat, Puan Maryam Abdul Rahman di Gong Badak. Rumah banglo setingkat yang begitu selesa terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Kuala Terengganu.

Luas kawasannya


Rehat di ruang tamu.

Sebelah petang sempat melawat sekitar mercu tanda terbaharu Kuala Terengganu iaitu Jambatan Angkat atau Draw Bridge. Bukan kami sahaja rupanya, ramai yang mengambil kesempatan untuk bergambar di kawasan sekitarnya. Masing-masing mencari sudut terbaik untuk bergambar buat kenangan.



Atas jambatan

Malamnya kami melawat sahabat lama (senior) yang ingin aku temui setelah 33 tahun berpisah. Masing-masing membawa haluan berkeluarga dan berkerjaya. Bila jumpa kami sudahpun bersara pilihan. Rindu terlerai walaupun sekejap cuma. 

Terima kasih Th. Haji Sabri yang belanja makan malam di Seafood Garden

Buah tangan buat sahabat Puan Masita Abdullah.

Keesokannya kami ke Tasik Kenyir yang jauhnya kira-kira 55 kilometer dari Kuala Terengganu. Tidak sangka tersesat di perkampungan orang asli berkali-kali kerana tersilap meletakkan Tasik Kenyir di GPS. Sepatutnya setkan Pengkalan Gawi yang merupakan satu daripada dua pintu masuk utama ke Tasik Kenyir. Alhamdulillah jumpa juga setelah hampir berputus asa. Kami pernah ke sini pada tahun 1990an, sudah terlalu lama.

Tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara yang dibina pada tahun 1985.
Lokasi tadahan air yang juga menjadi destinasi pelancongan terkenal. Kawasan parkir kereta


Ada perkhidmatan  bot biasa dan bot laju.
Kaya dengan keindahan alam semulajadi. Ada tasik, jeram,
air terjun,sungai yang kaya dengan pelbagai spesis ikan air tawar.
Kawasannya begitu luas yang terdiri daripada pulau-pulau, banjaran bukit, gunung, gua, hutan yang penuh dengan fauna dan flora eksotik. Sempat kami terokai walaupun suasana sekitar masih begitu ramai pengunjung kerana kebanyakan tempat tumpuan belum beroperasi.


Rumah Bot yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti katil, dapur,bilik air
dan sebagainya yang memberi keselesaan seperti barada di rumah. 


Banyak Rumah Bot yang boleh disewa dengan kadar RM1000++ semalam.
Memang sesuai untuk kaki pancing.
Puas melihat kawasan sekitarnya yang memukau, kami meneruskan perjalanan ke Pantai Penarik yang terletak di Daerah Besut. Jika dari Kuala Terengganu ke Pantai Penarik berjarak kira-kira 90 km. 
Rehat sekejap di Pantai Tanjung Rhu.

Sempat ambil gambar buku buat promosi.
Singgah makan Ikan Celup Tepung yang terkenal di Pantai Penarik.
Kedai NL Celup Tepung Bira Pata menjadi pilihan
Tempat makannya yang berhampiran pantai menjadikan suasana begitu nyaman.
Jalan-jalan jap di Pantai Penarik.
Kami meneruskan perjalanan ke Kampung Mangkuk, melalui jalan yang lebih kecil sehingga ke kawasan berhampiran Hotel Terrapuri Heritage Village. Suasana begitu indah dengan pepohon nyior yang menjulang tingg melambai-lambai ditiup angin dari laut. Ada sungai lagi. Nyaman sungguh.

Pantai Kampung Mangkuk.

Letih dengan angin pantai kami kembali ke Guest House untuk berehat dan menunaikan solat. Sebelah petang keluar melihat kawasan sekitar Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man untuk melihat dengan lebih dekat Masjid Kristal.

Terapung dalam air.
Masjid Kristal...dah tutup untuk lawatan.


Malamnya ziarah ke rumah sahabat lama ketika tinggal di Melaka iaitu Keluarga Cikgu Yusuf dan Ustazah Ramzah.


Sampaikan buah tangan.

Pagi esoknya hujan renyai-renyai seolah sedih kami akan meninggalkan Kuala Terengganu yang belum puas diterokai. Banyak perubahan yang berlaku berbanding sepuluh tahun dahulu yang agak sepi dan sunyi. Mestilah singgah ke Pasar Kedai Payang untuk beli apa yang patut.

Cari keropok lekor untuk jiran-jiran.

Untuk ke kawasan parkir berhampiran sungai kita akan lalu China Town.
Tu dia...beli apa tu.
Baju batik memang banyak.

Kepok2

Gerai di luar bangunan Pasar Kedai Payang.
Selepas keluar dari Guest House kami meneruskan perjalanan untuk kembali ke Kuala Lumpur. Singgah sebentar di Pantai Buruk. 

Buaian menjadi trade mark di kawaasan pantai Terengganu.

Lalu je untuk lihat Istana Syarqiyyah.

Singgah makan tengahari di Pamtai Jambu Bongkok. Siap masak pagi tadi.

Kampung nelayan Pantai Jambu Bongkok

Indahnya pemandangan pokok kelapa di tepi pantai.

Singgah lagi di Rantau Abang, tidak jauh dari Awang Beach Resort. Pantai ini cantik tetapi angin terlalu kuat. Kami pernah tidur di Awang Beach Resort.

Macam baru je

Kampung nelayan sebelah Awang Beach Resort.

Puas tengok pantai.

Meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dan tiba pada pukul 6.00 petang. Alhamdulillah.








Ramadan Mubarak 1445H/2024M

BismillahirRahmanirRahim   Assalamualaikum. Saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan ber...