Isnin, 29 Mei 2017

Rasa Dapurku (226) - Miang Kham

Miang Kham

BismillahirRahmanirRahim

Miang Kham


Sebelum Ramadan, aku dan Pn Norhibah sempat menyediakan  hidangan yang unik ini. Sudah lama sos ikan yang diberi Pn Hibah tersimpan di dalam peti sejuk. Akhirnya aku gagahkan juga menyediakan sos yang merupakan bahan terpenting untuk resepi ini. Setelah siap, aku pun membawa sos tersebut ke kolej. Apabila diberi kelulusan oleh Pn Hibah, kami pun merancang untuk makan Miang Kham bersama rakan-rakan yang lain pada keesokan harinya. 

Hidangan secara komersil. Mahal.
Gambar diambil dari FB

Miang Kham adalah sajian dari Thailand, merupakan hidangan istimewa yang disajikan di hotel atau restoran. Selama ini aku hanya mampu mendengar akan cerita keenakannya. Tahun lepas aku berpeluang merasanya apabila Pn Hibah dan rakan-rakan lain menyediakannya. Aku terus sahaja memakannya, tidak boleh berhenti apabila suapan pertama terasa begitu enak sekali. Sehingga ditegur oleh rakan lain yang merasa takut jika tidak sempat untuk merasainya. Bekalan daun kaduk segar sentiasa ada, ianya dibawa oleh Pn Nor Acmyza dan Pn Elizabeth.

Miang Kham amat sesuai dimakan secara berjemaah bersama rakan atau saudara mara sambil bercerita. Namun jangan keliru kerana bentuk daun kaduk yang hampir sama dengan daun sirih. Jangan terambil daun sirih pula,,,,,hihihi. Cubalah....memang sedap dan berkhasiat.

Pokok kaduk subur di kawasan teduh .

Resepi Miang Kham
Bahan2:
Sos Miang Kham
2-3 ulas bawang putih - dikisar halus
2-3 sudu besar sos ikan
1 ketul gula Melaka - dimasak dengan  dan ditapis
1 sudu besar mentega
Sedikit udang kering yang dikisar (tak letak)
1 batang serai
Sehelai daun pandan

Cara Membuatnya:
1.Panaskan mentega di dalam kuali. Masukkan bawang putih
   dan goreng sehingga wangi.
2.Masukkan sos ikan, kacau sebentar.
3.Masukkan air gula Melaka, daun pandan dan serai dan masak
  sehingga pekat. Sejukkan.

Pekat tetapi boleh mengalir sosnya

Bahan lain
Daun kaduk segar
Halia segar*
Bawang besar*
Kacang Panjang*
Limau nipis*
Cili Padi*
* dipotong kecil
Kacang tanah digoreng/dibakar tanpa minyak
Kelapa yanag dipotong kecil atau kelapa parut disangai
Udang kering disangai (boleh juga letak ikan bilis)

Cara makan


Gulung daun kaduk 

Letakkan semua bahan diikuti dengan sos


Bungkuskan elok-elok dan ngap.....Nyum nyum nyum Sedapnya.
Boleh juga dimakan cara begini. Masukkan sos
 diikuti bahan-bahan lain.
Peminat Miang Kham sedang menjamu selera .

Sabtu, 27 Mei 2017

Rasa Dapurku (224) - Almond Crunchy @ Florenta Cookies



BismillahirRahmanirRahim


Almond Crunchy

Alhamdulillah, kita sudah berada di hari ke-2 dalam Bulan Ramadhan. Bulan yang dirindui oleh umat Islam. Syukur kepada Allah kerana kita masih lagi dipilih oleh untuk menjadi tetamu Allah. Zahirkanlah  rasa gembira kita kerana telah terpilih menjadi tetamu Allah dengan mengerjakan ibadah sebanyaknya. Semoga setiap perkataan, pemikiran, pendengaran, penglihatan penulisan, pembacaan, perbuatan hatta diam menjadi sebahagian dari zikir bagi melahirkan rasa syukur dan ibadah kepada Allah SWT.

Belum terlambat rasanya untuk mengucapkan Salam Ramadhan Al Mubarak.

Resepi kali ini sesuai untuk dimakan bila-bila masa, aku telah mencuba resepi yang mudah ini dua hari sebelum bermulanya bulan puasa. Bahannya sedikit namun modalnya agak mahal kerana kita perlu menggunakan tepung khas bernama Florenta. Jangan risau tepung ini dan lain-lain bahan boleh didapati di kedai menjual bahan bakeri. Rugi tau kalau tak cuba kerana ianya mudah  untuk disediakan. Resepi ini diambil dari FB Dari Dapur Seorang Amatur.

Resepi Almond Crunchy
Bahan2:
250g Tepung Florenta
250g Badam keping
100g biji kuaci hijau
1 sudu teh bijan hitam
Pemotong Pizza
Baking paper

3 bahan utama, tepung Florenta, badam dan kuaci.

Cara Membuatnya:
1.Alaskan dulang pembakar dengan baking paper.
2.Satukan tepung Florenta, badam dan kuaci dalam satu bekas. Gaul
   semuanya sehingga rata.

Tepung Florenta mengandungi gula dan mencair dan manis
seperti karamel.

3.Tuang ke dalam dulang pembakar, ratakan dan kemas. Pastikan senipis yang
   yang boleh tapi jangan sampai berlubang atau bocor pula. Taburkan sedikit
   bijan  hitam. Sedikit sahaja kerana ia akan memberi aroma tertentu. Boleh juga
   guna acuan muffin untuk mendapatkan bentuk bulat.

Dapat 3 dulang untuk sukatan di atas.

4.Bakar pada suhu 160 C selama lebih kurang 5-7 minit atau sehingga
   warna keemasan. Guna oven atas dan bawah. 
5.Keluarkan dari oven dan terus potong menggunakan pizza cutter mengikut
   saiz yang dikehendaki.
6.Sejukkan.Almond Crunchy akan mengeras dan rangup. Simpan dalam bekas
   kedap udara. Sekejap aje pasti akan licin....hihi. 

Potong dan ceraikan ketika masih panas kerana ianya
masih lembut.

Sabtu, 20 Mei 2017

Rasa Dapurku (223) - Masak Lemak Pegaga


BismillahirRahmanirRahim





Hujung minggu adalah masa yang amat sesuai untuk menikmati masakan ala kampung yang bercirikan sayur ulam ulaman. Sambil membersihkan  kebun di belakang rumah, dapat juga aku mengutip sebesen daun pegaga. Kerana kuantitinya yang agak banyak dan ada pula ubi keledek, idea untuk menyediakan masak lemak pegaga terbayang di fikiran. Habislah sepinggan dua nasi putih yang dimakan bersama ikan goreng dan sambal. Begitulah penangan masak lemak pegaga.

Pegaga Cina yang ditanam - pahitnya.

Resepi Masak Lemak Pegaga
Bahan2:
Daun Pegaga - dibersihkan dan dibuang akarnya.
2 biji keledek kuning dibuang kulit dan direbus hingga empuk
1 cawan santan pekat
1 batang serai diketuk
1 helai daun kunyit dicarik
Sedikit ikan kering dipotong kecil/ikan bilis
1/2 biji bawang besar*
2-3 ulas bawang putih*
5-7 biji cili padi*
2 inci kunyit hidup*
semua bahan * dikisar halus
Minyak masak
Garam


Cara Membuatnya:
1.Panaskan sedikit minyak masak di dalam sebuah periuk.Masukkan
   bahan kisar dan serai. Kacau sehingga naik bau.
2.Masukkan ikan kering, kacau sekejap dan masukkan keledek yang
   direbus bersama air rebusan keledek, daun pegaga dan daun kunyit.
   Kacau sehingga daun pegaga lembut atau masak.
3.Perisakan dengan garam dan masukkan santan pekat. Kacau sehingga
   mendidih dan tutup api.

Rasa Dapurku (222 ) - Apam Pisang Gebu



BismillahirRahmanirRahim






Akhirnya aku berjaya menghasilkan apam pisang yang gebu. Namun aku merasa tidak begitu puas hati dengan warnanya yang nampak begitu asli. Sedang apam pisang yang selalu dijual berwarna sedikit keperangan. Ianya terjadi kerana aku menggunakan gula pasir kerana ketiadaan gula perang di dapur. Pun begitu rasanya memang sedap terutama jika dimakan ketika masih panas. Jom lihat resepinya.

Resepi Apam Pisang Gebu
Bahan2:
6 biji pisang berangan (pisang emas pun boleh)
4 biji telur
3/4 - 1 cawan gula (perang)
3/4 cawan mentega - dicairkan
2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil soda bikarbonat
1 sudu kecil baking powder
Sedikit garam

Cara Membuatnya:
1.Panaskan kukusan, balut penutup kukus dengan kain bersih.
2.Tepung diayak bersama dengan soda bikarbonat dan baking powder di dalam
   sebuah bekas yang sesuai.
3.Pisang, telur, gula, garam dan mentega dikisar/ blend hingga hancur dan sebati.
4.Masukkan bahan kisar ke dalam bekas yang mengandungi tepung dan kacau 
   rata secara kaup balik.
5.Sapukan acuan dengan sedikit minyak. Masukkan adunan ke dalam bekas 
   kuih lompang dan letakkan hirisan pisang di atasnya dan tekan sedikit.
6.Kukus dengan api sederhana selama 15 minit.





Siap dimasak.


Jumaat, 19 Mei 2017

Travelog : Sesejuk Bosnia & Herzegovina (9) - Tuzla

Tuzla



Awal pagi kami bergerak menuju ke Tuzla yang terletak kira-kira 140 km dari Sarajevo. Bandar ketiga terbesar di Bosnia & Herzegovina selepas Sarajevo dan Banja Luka.









Sebahagian dari Bandar Tuzla

Perkarangan masjid


Jumaat, 12 Mei 2017

Rasa Dapurku (221) - Udang Goreng Butter


BismillahirRahmanirRahim.

Tambah kapsyen



Dua bulan lepas kami meraikan Profesor Dr Hamdi yang berkunjung ke Kuala Lumpur atas urusan rasmi. Rakan sekerja suamiku ketika bertugas di Riyadh ini adalah warga Tunisia. Beliau mengambil kesempatan untuk bersiar-siar sekitar Kuala Lumpur dan mahu menunggang gajah. Kami membawanya ke Al Famosa di Melaka dan turut sama merasai pengalaman menaiki gajah. Dr Hamdi begitu teruja dengan makanan Malaysia seperti satay, tomyam, durian dan udang goreng butter. Tidak ketinggalan kelapa muda. Sedap rasanya udang goreng butter lalu aku pun mahu mencuba resepinya.

Best oooo



Restoran Seafood di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Resepi dari blog Azie Kitchen menjadi pilihan kerana ditunjukkan dengan lengkap cara menyediakannya. Hidangan ini tidak sesuai untuk mereka yang sedang berdiet atau ada masalah kolesterol. Ini disebabkan ianya menggunakan  minyak dan mentega dalam kuantiti yang agak banyak dan kuning telur selain udang sendiri yang tinggi kandungan kolesterolnya. Namun sesekali apa salahnya untuk melepaskan geram.

Resepi Udang Goreng Butter
Bahagian A : Menyediakan Sarang telur/floss
2 biji kuning telur dipukul ringan
1 senduk butter
1 cawan minyak masak

Cara Membuatnya
1.Panaskan butter dan minyak masak di dalam sebuah kuali.Pastikan minyak
   betul-betul panas, dengan menggunakan senduk kacau membulat sehala tanpa
   henti. 
2.Tuangkan kuning telur,biar tinggi sikit untuk dapatkan saiz yang halus.Pusing
   atau kacau dengan laju dan tuang sehingga habis.Kacau terus sehingga telur
   masak berwarna keemasan. Angkat dan toskan.

   *Sangat mencabar untuk menyediakannya.Sebaiknya guna kuali yang besar.
     Aku mencubanya sebanyak 3 kali baru dapat hasilnya.Itu pun masih kasar
     sarang/flossnya.

Bahagian B:
9 ekor udang
Garam
Sedikit lada sulah
Minyak untuk menggoreng
2-3 ulas bawang putih dicincang/tumbuk
3-4 tangkai cili padi dihiris (boleh lebihkan)
Sedikit daun kari
Sedikit butter untuk menumis
1/4 cawan susu cair/segar

Cara Membuatnya:
1.Gaulkan udang bersama garam dan lada sulah. Goreng dengan sedikit minyak
   sehingga berubah warna dan hampir masak. Angkat dan keluarkan minyak.
2.Panaskan butter dan masukkan bawang putih, cili padi dan daun kari, kacau
   sehingga naik bau.
3.Masukkan susu dan kacau.Masukkan udang dan perisakan dengan garam dan
   lada sulah.
4.Masak sehingga agak kering. Masukkan ke dalam pingan dan taburkan floss
   di atasnya.




Ehmmm sedap.

Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...