Memaparkan catatan dengan label Doha. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Doha. Papar semua catatan

Isnin, 22 Februari 2016

Travelog : Lambaian Qatar (6) - Katara Cultural Village, Doha

Katara Cultural Village, Doha.

Merupakan kampung budaya yang terletak di antara Doha West Bay dan The Pearl. Dibuka secara rasmi pada tahun 2010. Terdapat banyak bangunan di dalam perkampungan terancang yang luas ini. Deretan bangunan yang dibina menyerupai sebuah bandar kecil yang bersambungan antara satu sama lain. Hiasan dalamannya juga begitu menarik dengan binaan parit kecil mengelillingi bangunan setingkat begitu rapi dijaga. Terletak juga pejabat Kementerian Kebudayaan dan Warisan Qatar yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal budaya dan warisan Qatar. Terdapat juga Pejabat Persatuan Jurutera Qatar, Fine Arts Qatar Society, Visual Art Centre, Qatar Photographic Society, Pusat kebudayaan kanak-kanak, Persatuan Teater dan Akademi Muzik Qatar.

Jadi tidak hairan terdapat banyak aktiviti kesenian seperti lukisan, perfileman, aktiviti mengambil gambar dan sebagainya. Galeri-galeri seni menguasai sebahagian besar ruang pejabat di sini. Terdapat juga pentas teater, auditorium dan masjid.


Senibina warisan Qatar

Masjid yang unik
Banyak lorong di celah bangunan

Pelbagai pejabat dengan bermacam aktiviti

Tidak pasti laluan mana untuk dituju, akhirnya kami mengikut laluan untuk ke pantai.
Terdapat pelbagai binaan seni kreatif seperti ini yang menggunakan
perkakas dapur seperti pinggan, cawan, piring, teko dan sebagainya



Terdapat kerusi untuk berehat sambil melihat pemandangan laut yang luas dan indah. Restoran dan kafe juga terdapat di kawasan ini.



Rehat kejap.


Seronoknya dapat melihat pantai nan membiru di depan mata. Kami mendekati kawasan pantai namun dihalang oleh petugas yang duduk tidak jauh dari kawasan tersebut. Kami tidak berpeluang menyentuh air laut, hanya mampu melihat dari jauh.

Sang petugas setia menjalankan peranannya


Pantai Katara memang cantik dan terjaga

Hanya di sini hadnya


Kehadiran perahu menambah keindahan suasana hampir senja.

Jadi tumpuan

Souq dibina berhampiran pantai dengan menjual pelbagai barangan. Namun harga yang ditawarkan agak mahal. Aku sempat bertanya harga lampu tradisi dari Turki. Kedai makanan juga agak banyak bagi menjual makanan ringan dan minuman. Namun kebanyakan penjual yang bertugas terdiri dari warga Filipina dan Indonesia. Pelbagai makanan ringan Arab disediakan. Suasana begitu meriah sekali dan ramai yang mahu duduk bersantai di kerusi yang disediakan bagi menikmati udara laut yang nyaman.
Deretan Souq terdapat di tepi pantai
Gerai menjual makanan juga banyak, lebih ringkas dan murah.
Lebih ramai pelancong dari Arab Saudi berbanding warga tempatan.
Berpusu-pusu membeli makanan dan minuman ringan untuk
dinikmati bagi melawan cuaca yang semakin sejuk.
Deretan kedai

Tidak jauh dari pantai kelihatan amphitheatre yang begitu gah.
Duduk di pentas.


Dari atas pentas amphitheatre 
Sekitar kawasan atas amphitheatre

Luas , entah bila diguna


Sempat merakam mentari terbenam dari atas pentas

Berpeluang solat di Masjid Emas yang berada di sebelah amphetheatre. Selepas solat Maghrib, kami terus meninjau kawasan Katara Village yang luas di waktu malam pula.

Golden Mosque juga di Katara Village



Pameran teledrama yang penuh kontroversi dari Turki. Kisah Sultan
Sulaiman yang diputarbelitkan

Replika pelakon dan suasana di dalam Harem Istana Topkapi
turut dipamerkan.

Penting nih.

Berdekatan dengan Katara Village, sedang berlangsung pameran kenderaan mewah oleh Harrods. Pelbagai kereta mewah model terkini dipamerkan seperti Audi, Roll Royce, BMW, Ferrari dan sebagainya. Juga barangan mewah seperti jam tangan turut mempunyai galeri tersendiri.

Bergambar dengan kereta yang diminati.



Terasa begitu letih berjalan terlalu lama, tambahan pula kami terpaksa meletak kereta pada jarak yang agak jauh. Walaupun ada perkhidmatan buggy car, namun ianya sentiasa penuh dengan orang ramai. Satu situasi yang begitu menarik ialah perkhidmatan buggy car ini terdapat di kebanyakan kawasan pelancongan utama seperti di Katara Village dan Souq Waqif.












Rabu, 10 Februari 2016

Travelog : Lambaian Qatar (5) - Souq Waqif , Doha

Souq Waqif, Doha.

Berusia melebihi seratus tahun,  souq atau pasar ini adalah salah satu pasar tradisional tertua yang ada di Qatar. Souq Waqif diperbaiki dan siap pada tahun 2008. Terletak berdekatan dengan Corniche Doha dan menjadi tumpuan pelancong serta penduduk tempatan. Bangunan-bangunan di dalam dan sekitarnya memiliki reka bentuk kuno Arab yang unik justeru menjadi daya tarikan untuk semua. Mudah untuk ke souq ini kerana ianya terletak di seberang jalan berhampiran bangunan Parlimen Qatar atau kawasan Corniche. 

Terdapat kawasan parkir kereta di bahagian bawah tanah untuk memudahkan para pengunjung yang berkereta. Bayaran adalah sebanyak QAR3.00 sekali masuk dengan tambahan QAR1 bagi setiap jam. Namun terdapat juga kawasan meletak kereta secara percuma di sekitar kawasan ini.



Laluan di dalam bangunan meletak kereta.

Di bahagian atas kawasan meletak kereta terdapat taman yang luas dengan pemandangan sekitar Corniche. Taman ini menyediakan tempat berehat dan beriadah kerana ada beberapa peralatan untuk riadah secara ringan. Juga tempat permainan kanak-kanak.

Taman yang cantik dan bersih.
Ada juga hiasan air yang berwarna-warni.

Sekitar kawasan bahagian depan Souq Waqif. Reka bentuknya memang mengagumkan seperti yang kita lihat di dalam filem2 lama. Bangunan diperbuat dari batu yang begitu tradisional dengan deretan kedai-kedai yang tidak terkira banyaknya.


Burung-burung yang jinak menjadi kesukaan kepada kanak-kanak.
Asalnya souq ini merupakan tempat menjual mutiara di zaman dahulu sebelum minyak dan gas ditemui. Pasar ini menawarkan banyak perkara yang tidak pernah aku jumpa di tempat lain. Ianya bukan sahaja menawarkan pelbagai keperluan seharian seperti rempah-ratus, makanan ringan, pakaian, kain, juga turut ada perhiasan rumah, makanan sunnah, barangan perak, jubah, tulisan khat, barang tradisional orang Arab, wangian, peralatan dapur, peralatan bertani, souvenir, mainan kanak-kanak, dan banyak lagi. Yang lebih penting ialah harga yang ditawarkan di souq ini agak murah terutama souvenir. Terdapat juga money changer namun kami tidak perlu menukar wang kepada mata wang Qatar kerana nilainya hampir sama. Jadi kami membeli barang-barang menggunakan mata wang Arab Saudi tanpa sebarang masalah.

Kedai-kedai di lorong-lorong yang tidak terkira bilangannya

Macam-macam ada
Pelbagai jenis haiwan peliharaan turut ditawarkan termasuk burung helang. Saffura begitu berminat dengan burung helang jadi kami masuk ke kawasan kedai-kedai yang hanya menjual burung helang dan keperluannya. Burung helang begitu terkenal negara-negara Arab terutama di musim sejuk. Pelbagai kegiatan berkaitan burung helang di negara Timur Tengah ini. Harganya pula sekitar QAR9000 ke atas untuk seekor burung helang. Di Malaysia amat sukar untuk bertemu dengan burung ini di zaman sekarang kerana ancaman kepupusan.


Puluhan ekor burung dipamerkan untuk dijual.


Penutup muka burung dikenakan. 
solo

Sebuah kedai kecil menawarkan perkhidmatan memperbaiki
barangan kecil seperti kasut dan sebagainya. Entah berapa
lama usianya jika dilihat keadaan fizikal binaan bangunannya.

Tidak ketinggalan hotel, kafe dan restoran yang memenuhi sebahagian besar pasar ini. Kerusi dan meja melimpah di luar bangunan sehingga ke laluan orang ramai. Shisha menjadi tarikan untuk dinikmati termasuk kaum hawa. Pelbagai tawaran makanan termasuk western, kebab, steamboat, Turki dan dikatakan ada Restoran Malaysia, Sri Kebaya di kawasan ini. Kami tidak berminat untuk mencarinya. Walau bagaimana pun kami ada mencuba shawarma berharga QAR15.00 satu. Sebenarnya kami tidak banyak makan di luar bagi perjalanan kami kali ini kerana aku sudah menyiapkan beberapa lauk yang disejukbekukan.  Ayam masak karahi, sup kambing, acar rempah timun dan sambal ikan bilis yang dibawa menjadi hidangan kami bersama nasi putih yang dimasak setiap hari.
Pelbagai hidangan disediakan.
Ais krim tradisi Turki menjadi pilihan walaupun
agak sejuk cuaca sekitarnya.

Souq Waqif beroperasi sepenuhnya selepas pukul 4 petang sehingga ke malam. Suasana di waktu lebih meriah terutama di hujung minggu kerana terdapat show.


Nyanyian dihidangkan untuk menghiburkan para pengunjung
Terdapat beberapa masjid di sekitar souq namun sewaktu azan berkumandang dan selepasnya kedai-kedai yang ada meneruskan operasinya tidak seperti di Arab Saudi. Di sini terasa benar perbezaannya. Bertuah rasanya tinggal di Arab Saudi, waktu solat terjaga dengan suasana yang diwujudkan oleh pemerintah. Semua kedai ditutup dan para pekerja akan menunaikan solat di masjid berdekatan. Tidak ada suasana tersebut di negara ini yang lain walaupun Qatar antara negara yang turut melaksana undang-undang Islam. Begitu juga dari segi pakaian, tidak bermimpi untuk melihat wanita membuka aurat sewenang-wenangnya termasuk yang bukan Islam. Ini kerana semua wanita diwajibkan memakai abaya semasa berada di tempat awam. Kecuali di lapangan terbang antara bangsa atau sekitar kediaman yang dipanggil compound.

Kami sempat berkunjung ke souq ini sebanyak dua kali. Terdapat juga galeri seni yang elegan di dalam banguan yang berusia dan unik. Pelbagai hasil karya di pamerkan termasuk lukisan dan hasil kerja tangan pelajar sekolah. Beberapa orang artis juga menunjukkan kemahiran melukis di laluan yang terdapat di dalam bangunan galeri seni ini.

Lampu-lampu dari Turki yang memenuhi bangunan ini amat menarik
minat aku.

Di kawasan luar souq terdapat satu tempat yang menempatkan kuda dan unta. Tidak pasti apa kegunaannya sama ada untuk ditayangkan atau untuk dijual. Ianya terletak di seberang jalan Parlimen Qatar .

Rumah kuda dan sekitarnya.

Berdekatan bangunan terdapat khemah hitam yang biasanya diduduki kaum Badwi. Beberapa alatan termasuk 'Majlis' di letakkan untuk dilihat oleh orang ramai bagi merasai kehidupan orang Badwi. Kuda-kudanya begitu jinak dan boleh disentuh. Terdapat juga kawasan yang dipenuhi dengan unta-unta di sebelah kandang kuda.




Souq Waqif menawarkan pelbagai sourvenir yang berpatutan harganya. Kedai-kedai menjual lampu-lampu dekorasi dari Turki juga banyak menawarkan pelbagai jenis dan saiz lampu dengan harga yang berbaloi untuk dibeli. 

Travelog : Lambaian Qatar (4) - The Museum of Islamic Art, Doha

The Museum of Islamic Art , Doha.

Muzium Kesenian Islam, Doha ini memiliki daya tarikannya yang tersendiri. Ianya adalah antara 10 tempat terbaik yang wajib dilawati jika kita berada di Doha. Muzium yang terletak di kawasan taman seluas 280,000 meter persegi ini terletak di Corniche,Doha. Di buka pada tahun 2008, muzium ini begitu unik reka bentuk bangunannya. Muzium ini mempunyai kawasan meletak kereta yang luas berdekatan dengan bangunan tersebut. Pemandangan sekitarnya yang membiru serta lambaian pokok kurma dan hamparan rumput menghijau menambahkan keindahan persekitaran muzium yang cantik  ini

Muzium Kesenian Islam, Doha
Pintu masuk dan pemandangan sekitarnya

Muzium ini direka oleh arkitek Amerika berbangsa Cina yang bernama Pei Ming @ I.M.Pei. Dibina di atas pulau buatan dengan keluasan 45,000 meter persegi dan merupakan bangunan 5 tingkat. I.M.Pei terkenal kerana beliau telah mereka bentuk piramid kaca di luar Louvre di Paris, Bank Shanghai di China dan Miho Museum di Jepun.

Sekitar Muzium
Deretan pokok buah zaitun sepanjang laluan untuk ke kawasan
parkir.
Di pintu masuk  muzium, kita akan di scan seperti di lapangan terbang. Beg juga perlu ditinggalkan di bahagian khas yang disediakan. Masuk percuma ya.



Terdapat sebuah kafe di bahagian bawah yang menawarkan makanan ringan dan minuman. Ramai juga yang mengalas perut di situ termasuk kami. Pun begitu harga yang ditawarkan amatlah mahal.

Kita boleh melihat Doha Skyline melalui cermin.
Muzium ini memiliki banyak koleksi dari kesenian Islam dan dilengkapi dengan Pusat Kajian, perpustakaan, kafe, auditorium dan kedai cenderahati. Kita dilarang mengambil gambar dengan kamera  tapi berbuat demikian dengan menggunakan telefon bimbit. Setiap tingkat mempamerkan koleksi yang tersendiri.

Tingkat 1 muzium.
Tingkat 2 menyediakan ruang galeri kekal yang menempatkan pelbagai bahan seni Islam secara umum. Manakala di Tingkat 3, koleksi di bahagikan berdasarkan negara dan zaman. Misalnya koleksi dari Mesir dan Syria pada Abad ke 12 hingga 13 atau India dan Turki di Abad 16 hingga 18. Termasuk juga koleksi dari Iran dan Asia Tengah yang lebih mendominasikan ruang pameran.


Langsir, rantai,  dan sebagainya.
Lukisan, tembikar dan mata wang.

Alat menentukan masa, topi besi, dulang dan baju.

Di muzium ini dipamerkan koleksi karya yang dikumpulkan selama 20 tahun kebelakangan ini. Ianya termasuk manuskrip, tekstil, kaca, barang kemas dan seramik. Juga memiliki koleksi paling lengkap mengenai artifak Islam dari Sepanyol, Mesir, Iran, Iraq, Turki, India dan Asia Tengah.

Bekas pewangi, tulisan ilmiah serta barang kemas.

Memiliki 800 artifak seni Islam dari pelbagai benua.

Alat memegang untuk meletakkan lilin, lampu, dulang untuk
makan beramai-ramai dan bekas.


Koleksi khas dari Turki.

Potrait Sultan Al Fateh, replika tentera berkuda dan tile.
Terdapat pameran khas dari Iran berkaitan Qajar Women yang berlangsung dari 8 April 2015 sehingga 11 Jun 2016 di tingkat 4. Tingkat 4 menempatkan koleksi yang terhad mengikut masa yang telah ditetapkan.

Lukisan mengambarkan situasi membeli belah ketika itu, koleksi
cermin milik wanita dan kotak yang diisi dengan pelbagai
barang keperluan oleh seorang wanita di zaman itu.


Waktu Melawat Muzium :-

Ahad    : 10.30 pagi - 5.30 petang
Isnin     :  10.30 pagi - 5.30 petang
Selasa   :  Tutup
Rabu    :  10.30 pagi - 5.30 petang
Khamis:  12.00 tengahari - 8.00 malam
Jumaat :  2.00 petang - 8.00 malam
Sabtu   :  12.00 tengahari - 8 malam

Muzium ditutup pada hari Raya Aidil Fitri , hari Raya Aidil Adha dan dua minggu pertama bulan Ogos.


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

  BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah, semalam berakhir PBAKL 2026 setelah berlangsung selama 10 hari. Banyak kisah menarik yang dikongsi...