Khamis, 29 Oktober 2020

Rasa Dapur KakJee (368) - Ayam Tandoori Masala


BismillahirRahmanirRahim




Rempah Tandoori Masala ini KakJee bawa balik dari Riyadh, Arab Saudi. Namun ianya tidak pernah digunakan dan berada di dalam peti sejuk sudah beberapa tahun. Setelah diperiksa, rempah tersebut masih elok untuk digunakan. Bolehlah cuba. Namun KakJee tambah serbuk cili supaya lebih pedas, resipinya memang sudah diberi pada kotaknya. Jom semak resipi.




Resipi Ayam Tandoori Masala
Bahan2:
2 keping ( 1/2 kg)  bahagian dada ayam dibersihkan dan dikelar.
1 sudu besar bawang putih kisar
1 sudu besar halia kisar
3 sudu besar rempah Tandoori Masala
1-2 sudu besar serbuk cili
3-4 sudu besar yogurt original
Limau secukupnya
Garam
Pewarna oren@merah (tak letak)
Sedikit mentega

Cara Membuatnya:
1.Lumurkan garam dan air limau pada keseluruhan badan ayam. Biarkan 15 minit.
2.Campur semua bahan di atas kecuali garam dan air limau dan kacau supaya sebati.
3.Lumurkan bahan campuran ini keseluruh ayam dengan rata. Perap sekurang-kurangnya 2 jam. KakJee perap semalaman dengan meletakkannya dalam peti sejuk.



4.Panaskan kuali / frying pan, letakkan mentega dan masak ayam sambil dibalik-balikkan sehingga masak.
5.Hidangkan bersama nasi.



Selamat Mencuba.



 

Ahad, 25 Oktober 2020

Rasa Dapur KakJee (367) - Pengat 3 Warna.


BismillahirRahmanirRahim




Cantik pula ubi keledek yang dibeli suami semalam. Seperti biasa sebelah paginya KakJee goreng keledek buat sarapan. Keledek bersalut tepung menjadi kegemaran ahli keluarga KakJee. Bagi yang nak lebih sedap KakJee sediakan sambal kicap supaya lebih ummph. Tugas lebih  mudah berbanding jika ubi tersebut dibuat kuih keria seperti selalu.

Ada lebih pula ubi keledek oren yang cantik warnanya itu. Terus KakJee buat pengat selepas selesai menyediakan hidangan untuk makan tengahari. Tidak susah sebab semuanya sudah tersedia. Baki keladi yang digunakan untuk menyediakan Masak Lemak Siput Sedut Sama Keladi ada disimpan dalam peti ais. Ianya sudah disiap didadu dan dikukus. Lebih mudah kukus keladi kerana tidak mudah hancur. Jagung pun memang ada dalam simpanan. 

Resipi Pengat 3 Warna
Bahan2:
1 biji ubi keledek oren 
1 mangkuk keladi yang siap dikukus
1 mangkuk jagung
1 cawan santan pekat
1/2 cawan sagu mata ikan - direndam
1 ketul gula Melaka.
Sedikit garam
2 helai daun pandan.
Air secukupnya

Cara Membuatnya:
1.Ubi keledek dipotong dadu.
2.Masak gula Melaka bersama air dan daun pandan sehingga semua gula larut.Tapis.
3.Masak ubi keledek bersama air gula sehingga lembut. Masukkan keladi, jagung dan sagu mata ikan. Masak sehingga sagu mata ikan kembang.
4.Masukkan santan dan garam. Kacau sehingga semuanya sebati dan agak pekat. Tutup api.


Selamat Mencuba.

Rabu, 21 Oktober 2020

Visit My Malaysia - Hulu Langat, Selangor


BismillahirRahmanirRahim





Daerah Hulu Langat memang terkenal dengan keindahan desa dan sungainya. Terletak tidak jauh dari Kuala Lumpur, ianya menjadi pilihan warga kota untuk berhibur dihujung minggu. Sebut sahaja Sungai Congkak, pasti terbayang kawasan berkelah yang nyaman dan damai. Sungai yang mengalir begitu panjang, tidak pasti di mana ianya bermula dan berakhir. Di situlah ramai pengunjung akan menghabiskan masa dengan mandi-manda serta makan minum bersama keluarga atau kawan-kawan.

Hulu Langat juga menjadi pilihan kami untuk merehatkan diri dalam jangka masa yang pendek. Biasanya kami ke Pekan Batu 18 untuk membeli Kuih Putu Piring yang sedap, sudah lebih 10 tahun kami menjadi pelangan kakak tersebut. Selepas beli kami akan ke kawasan rehat tidak jauh dari situ untuk duduk dan makan kuih yang dibeli ketika masih panas. Sambil makan aku suka memerhati aliran sungai yang mengalir deras. Memang cantik.

Minggu lepas kami ke sana lagi setelah beberapa bulan tidak merasa kuih putu piring akibat PKP. Biasanya kami akan ke sana selepas asar dan sampai di rumah sebelum maghrib. Lupa pula nak ambil gambar putu piring. Layan ajelah gambar sungai kat Batu 18 ni.







Selepas makan kami terus ke arah Sungai Congkak hingga ke Pangsun. Kelihatan banyak perubahan dengan adanya  banyak kawasan berkelah di sepanjang sungai di situ. Ramai pengunjung walaupun hari sudah beransur gelap. Dalam perjalanan balik, sempat aku dan Safffura singgah di salah satu lokasi yang bernama Lubok Manggis. Terpana sungguh dengan keindahan pemandangan air sungai di situ.

 "Cantiknya macam kat Janda Baik." Aku memberi komen kepada Saffura sambil mengambil gambar.

Suka sangat dengan gambar ni



Sesuai untuk mandi

Bersih dan segar

Pondok yang sesuai untuk aktiviti beramai-ramai.


Di kawasan ini ada disediakan kemudahan untuk berkelah, memasang khemah atau boleh sewa pondok-pondok yang disediakan. Pastinya dikenakan kos untuk setiap kemudahan yang disediakan. Insya-Allah mahu ke sana satu hari nanti.




Rasa Dapur KakJee (366) - Gulai Pisang

BismillahirRahmanirRahim



Kebetulan hantaran ke FB berkaitan pokok pisang Awak yang sedang berbuah menarik perhatian sahabat lama di kampung. Canggihkan kita mampu berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan di mana sahaja melalui FB. Puan Rosnani Ruze mencadangkan agar KakJee ambil sahaja satu sisir pisang yang sudah tua itu untuk dibuat gulai. Kebetulan KakJee memang peminat tegar gulai pisang atau masak lemak pisang.

Awal pagi KakJee sudah mulakan projek iaitu mengambil satu sisir pisang dari tandannya. Ehh okay jee, tiada hal. Balik daripada joging terus buat gulai. Hasilnya memang best!KakJee buat gulai pisang seperti buat gulai ikan saja, malas nak tumis darat bagai. Nanti menambahkan minyak lagi, dahlah baru lepas keluarkan sedikit kalori tadi. Jom layan resipi.



Pokok pisang awak memang tinggi

Dapatlah 7 biji



Resipi Gulai Pisang
Bahan2
7 biji pisang muda
3 sudu besar rempah kari ikan+ ayam jenama ADABI
1/2 sudu besar serbuk cili
Sedikit udang hidup
1/2 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
1/2 inci halia dihiris
2 tangkai daun kari
2 tangkai cili kering dipotong
Sedikit air asam jawa
1/2 cawan santan pekat
Garam
Minyak masak

Cara Membuatnya:
1.Buang kulit pisang, hiris ikut saiz yang sesuai dan rendam dalam air yang dicampur garam.



2.Rebus pisang tersebut kira-kira 1/2 masak. Toskan.




3.Panaskan minyak dalam kuali, masukkan bawang besar, bawang putih, halia  dan daun kari hingga garing.
3.Masukkan rempah kari dan serbuk cili,  cili kering, kacau sekejap dan masukkan air asam jawa. Kacau sehingga pecah minyak.
4.Masukkan air dan santan pekat. Masukkan pisang dan biarkan mendidih. Masukkan garam dan udang hidup. Perlahankan api sehingga  agak pekat dan pisang betul-betul lembut. Tutup api.




Selamat Mencuba



 

Sabtu, 17 Oktober 2020

Rasa Dapur KakJee (365) - Aiskrim Milo




BismillahirRahmanirRahim





Kebetulan ada 3 kotak Whipping Cream yang setiap satunya 250 ml, taktau nak buat apa. Jadi KakJee pun tengok-tengok kat Google. Nampak pula resipi aiskrim di FB Buat Orang Lapo. Kebetulan tengah PKPB rasa nak mengunyah aje la. Senang sangat nak buatnya, hanya perlukan 4 bahan. Yang penting  halal dan sedap pula. 

Resipi Aiskrim Milo
Bahan2:
250 ml dairy whipping cream
2 sudu besar susu pekat
7 sudu besar Milo
1/2 sudu besar ovalate

Cara Membuatnya:
1.Masukkan semua bahan dalam sebuah bekas. Guna mixer untuk putar hingga kembang dan gebu.




2.Masukkan ke dalam bekas yang sesuai dan sejuk bekukan dalam peti sejuk.





Lagi sedap nih



Selamat Mencuba.




 

Isnin, 12 Oktober 2020

Rasa Dapur KakJee (364) - Brownies Kedut



BismillahirRahmanirRahim



Resipi ini KakJee ambil dari FB Azlina Ina, nampak macam senang je. Alhamdulillah menjadi elok dan sedap rasanya walaupun derhaka sedikit rseipinya. Ini disebabkan kuantiti coklat kompaun tak cukup tapi KakJee lebihkan sikit serbuk koko. Jom tengok resipinya.

Resipi Brownies Kedut
Bahan2:
170 gram mentega
400 gram Beryls dark compound chocolate
3 biji telur B
150 -170 gram gula perang
24 gram serbuk koko
100 gram tepung self rising
Coklat chips

Cara Membuatnya:
1.Campurkan telur dan gula dalam sebuah bekas dan kacau dengan whisk.
2.Cairkan coklat Beryls bersama mentega menggunakan kaedah 'double boiler".Setelah semua cair masukkan serbuk koko ketika masih panas dan kacau dengan whisk.
3.Masukkan adunan coklat tadi ke dalam campuran telur dan gula. Kacau dan masukkan pula tepung dan kacau. Akhir sekali masukkan segengam coklat chips. Kacau rata.
4.Masukkan ke dalam loyang yang dialas dengan baking paper. Taburkan coklat chips secukupnya di atas brownies tadi.



5.Panaskan oven pada suhu 170 C selama 5 minit. Kemudian turunkan suhu kepada
 140 -150 C.
6.Bakar selama 45 minit. Permukaannya tidak melekat apabila disentuh menandakan ianya sudah masak. Tak perlu cucuk.
7.Keluarkan dan letak bawah kipas supaya kedutnya lebh cantik.

                                                                                   Dah masak.
                                               

Selamat Mencuba.






 

Sabtu, 10 Oktober 2020

Rasa Dapur KakJee (363) - Masak Lemak Siput Sedut Sama Keladi


BismillahirRahmanirRahim





Tiba-tiba suami KakJee bawa balik 1 kilogram siput sedut. Apalagi lama jugalah masa diambil untuk menyediakan Masak Lemak Siput Sedut Sama Keladi. Bermula dengan merendam dan membasuh siput sedut yang masih hidup beberapa kali. Kemudian diberus seeokor demi seekor supaya selut dan pasir dibuang sebersihnya. Tidak lupa mengerat belakangnya supaya ianya boleh disedut sewaktu makan nanti. KakJee guna cutter untuk memotongnya, mujur hanya 1 kilogram jika tidak teruk juga. Lepas itu KakJee rebus agak lama supaya betul-betul masak. Terkejut juga banyak buih-buih putih yang agak pekat dihasilkan. Puas juga membuangnya. Selepas itu KakJee bilas dengan air sekali lagi. 

Keladi juga dipotong dan direndam dalam air garam terlebih dahulu sebelum direbus hingga empuk.

                   
                                                                        
Resipi Masak lemak Siput Sedut Sama Keladi
Bahan2:
1 kilogram siput sedut
250 gram keladi
5 biji cili padi diketuk
2 batang serai diketuk
1 inci kunyit hidup dikisar
300 gram santan pekat
Garam 
1 helai daun kunyit dihiris halus

Cara Membuatnya:
1.Masak bersama kunyit hidup, cili padi, serai bersama air sehingga naik bau.
2.Masukkan siput sedut, keladi dan garam yang telah direbus. Tambah air jika perlu supaya semuanya sebati.
3.Masukkan santan dan daun kunyit. Kacau sehingga mendidih dan agak pekat. Angkat.
Hidangkan bersama nasi putih. Selamat menyedut.





 

KOLEKSI ILMU - BENGKEL PUISI BERBICARA FOTO BERCERITA


 
BismillahirRahmanirRahim



Alhamdulillah aku berpeluang hadir ke Bengkel Puisi Berbicara Foto Bercerita bersama Puan Sri Diah Shaharuddin dan Mr Stafeno Romano. Ianya berlansung pada 4 Oktober 2020 (Ahad) bertempat di Auditorium Karangkraf Seksyen 15 Shah Alam. Bengkel bermula pada pukul 9.30 pagi hingga 5.00 petang.




Bengkel bermula bersama Pan Sri Diah

Rakan semeja dan peserta lain.

Puisi adalah semua karya berbentuk bahasa berkias, kata-kata yang indah dan memenuhi ciri nahu serta kosa kata. Contohnya Pantun, Gurindam, Syair dan Nazam. Sajak ialah puisi moden. Puisi lebih luas manakala sajak pendek, padat dan tepat.

Puisi Jepun yang boleh dipraktikkan dalam bentuk suku kata

HAIKU ( 5 -7 -5 )
Tentang alam
Contoh:
Di kolam tua
Katak melompat masuk
Kecipak air.
 1 pakej ada 3 ayat, boleh buat beberapa pakej

SONIAN (6 - 5 - 4- 3)
Contoh:
Malam kubersujud
Pecahkan hening
Ada nama
Ibuku

SENYRU (5-7-5)
Santai dan ringan
Contoh
Pagi bertandang
Kau kirim salam rindu
Oh, aku mabuk.

Nilai sajak yang bagus:

PERSONAFIKASI -menghidupkan puisi
RIMA - kata yang senada hujungny
DIKSI - yang mencabar fikir
METAFORA - yang cantik
SIMILE - mengukuhkan kata-kata

Contoh:
Kita pernah di sini dulu
melihat ombak yang bukan biru
dan suara peluit seperti halilintar
menghantar sebuah angan
yang terbang ke lapis awan

Sewaktu rehat ada jualan buku dan cabutan bertuah. Aku berpeluang bertemu dengan rakan muka buku yang selama ini berbicara secara maya. Ada yang sudi membeli buku-buku karyaku. Alhamdulillah.



Terima kasih Puan Nita Drani

Terima kasih Puan Rohana

Terima kasih Puan Noraini

Sempat juga bermesra dengan rakan sekarya.

Puan Jenny

Puan Norbaini

Rakan buku Hijrah, Puan Marwani dan Puan Asmah

Antara 20 orang yang bertuah


Petangnya kami bersiaran secara live dengan Mr Stafeno Romano di Rome, Itali. Beliau memberi beberapa contoh gambar yang telah kami berikan sebelum kelas. Kami diajar bagaimana menggunakan ruang pada foto yang diambil supaya memudahkan foto tersebut bercerita dengan berkesan. Walaupun sekejap ianya amat bermanfaat.

Bersiaran langsung dengan Mr Stafeno Romano
 

Sebelum kelas berakhir, kami semua diberi tugasan untuk disiapkan dalam tempoh seminggu. Masing-masing mencabut tajuk yang diberi melalui balang kaca yang disediakan.

Cabutan balang kaca

Hadiah cabutan bertuah







Taraaa...hasil nukilanku.


Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...