Memaparkan catatan dengan label Selangor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Selangor. Papar semua catatan

Isnin, 18 April 2022

Visit My Malaysia - Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam, Selangor

BismillahirRahmanirRahim



Rabu lepas saya dan suami ke Pustaka Raja Tun Uda yang terletak di kawasan elit Shah Alam. Merupakan perpustakaan milik Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor. Ada tujuan penting ke sana iaitu untuk meminjam buku Warkah Eropah, tulisan Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said.

Buku yang dicari.


Laluan dari tempat parkir ke bangunan perpustakaan, kami dihidangkan dengan pemandangan tasik yang begitu mendamaikan. Tenang airnya dan kelihatan hijau airnya. Hasil pantulan rimbunan pohon serba hijau di sekelilingnya. Pokok teratai bertaburan di bahagian tepi kolam dengan bunga berwarna pink. Cantik sungguh, masya-Allah.

Kami terus ke tingkat 4 setelah mendapat maklumat di kaunter lobi, di mana buku tersebut berada. Sekali lagi kami dibantu oleh pegawai bertugas untuk mengambil buku tersebut di rak. Buku yang bersaiz besar dengan hard cover itu tidak boleh dipinjam bawa balik, hanya untuk rujukan sahaja. Namun dibenarkan membuat salinan, kemudahan juga disediakan.

Setelah puas membelek buku tersebut, aku mengambil keputusan untuk membelinya di Dewan Bahasa Dan Pustaka walaupun harganya agak mahal iaitu RM120.00. Aku perlukan buku tersebut untuk rujukan bagi menyudahkan manuskrip Travelog Eropah 2 yang sedang disiapkan. Secara tak langsung ianya juga sebagai sumbangan menghargai jasa besar yang telah disumbangkan oleh beliau dalam dunia sastera dan pembukuan negara.

Buku ini mengandungi catatan peribadi beliau selama enam minggu berkelana di Perancis dan England sekitar tahun 1989.

Setelah buku tersebut dikembalikan ke raknya, aku ke komputer untuk mengetahui di mana buku aku berada. Sudah setahun buku Travelog Arab Saudi : Winter D'Riyadh dan Travelog Tunisia : Semanis Kurma Deglet Nour di beli oleh PPAS. Alhamdulillan ada tapi hanya WInter D'Riaydh sahaja, mungkin buku Tunisia belum habis diproses.



Suasana di tingkat dua juga begitu tenang dengan pengunjung sibuk mentelaah di meja masing-masing. 



Kami ke rak dan mencari kedudukan buku tersebut yang dilabel 915.3804 Fa. AllahuAkbar, sukanya hati ini melihat buku tersebut berdiri gagah bersama buku-buku lain tapi hanya sebuah sahaja. Yang satu lagi sudah dipinjam orang.



Jom la ambik gambar.





Alhamdulillah hasrat agar buku-buku saya berada di perpustakaan awam sudah dicapai. Semoga lebih bersemangat untuk terus menulis. Doakan ya agar buku-buku lain pun dapat masuk ke sini dan perpustakaan seluruh negara. Amiin.

Sebaik aku letakkan kembali buku WInter D'Riyadh kat tempatnya, ada yang mengambilnya. Huuh mujur kami cepat sikit, kalau tak pasti kecewa tak boleh ambil bersama.


Ngendap jap

Dah kena ambik


Sebelum melangkah keluar dari tingkat dua, ternampak kata-kata Prof Khoo Kay Kim. 
Insya-Allah akan buat yang lebih baik lagi selepas ini.


Ingat tu!

Bagus betul layanan kaki tangan Pustaka Raja Tun Uda yang memberikan kami layanan First Class. Sehingga dihantar ke tempat parkir kereta. Terima kasih.


Dah lama perkhidmatan ini, kami yang tak tau.

Rasa teruja sebab buku berada di perpustakaan mendorong saya untuk menghubungi kenalan di Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang cawangan Taman Makok. Puan Liza membantu saya dengan mengambil gambar buku-buku saya di rak. Hanya ada buku Travelog Bosnia & Herzegovina dan Travelog New Zealand. Dua buku lagi dipinjam orang.


Sukanya


Inilah antara nikmat terbesar dalam kerjaya saya sebagai penulis buku travelog. Ialah semenjak terlibat secara sepenuh masa pada tahun 2020.

Alhamdulillah.

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan." 

Surah Ar-Rahmaan.



Rabu, 21 Oktober 2020

Visit My Malaysia - Hulu Langat, Selangor


BismillahirRahmanirRahim





Daerah Hulu Langat memang terkenal dengan keindahan desa dan sungainya. Terletak tidak jauh dari Kuala Lumpur, ianya menjadi pilihan warga kota untuk berhibur dihujung minggu. Sebut sahaja Sungai Congkak, pasti terbayang kawasan berkelah yang nyaman dan damai. Sungai yang mengalir begitu panjang, tidak pasti di mana ianya bermula dan berakhir. Di situlah ramai pengunjung akan menghabiskan masa dengan mandi-manda serta makan minum bersama keluarga atau kawan-kawan.

Hulu Langat juga menjadi pilihan kami untuk merehatkan diri dalam jangka masa yang pendek. Biasanya kami ke Pekan Batu 18 untuk membeli Kuih Putu Piring yang sedap, sudah lebih 10 tahun kami menjadi pelangan kakak tersebut. Selepas beli kami akan ke kawasan rehat tidak jauh dari situ untuk duduk dan makan kuih yang dibeli ketika masih panas. Sambil makan aku suka memerhati aliran sungai yang mengalir deras. Memang cantik.

Minggu lepas kami ke sana lagi setelah beberapa bulan tidak merasa kuih putu piring akibat PKP. Biasanya kami akan ke sana selepas asar dan sampai di rumah sebelum maghrib. Lupa pula nak ambil gambar putu piring. Layan ajelah gambar sungai kat Batu 18 ni.







Selepas makan kami terus ke arah Sungai Congkak hingga ke Pangsun. Kelihatan banyak perubahan dengan adanya  banyak kawasan berkelah di sepanjang sungai di situ. Ramai pengunjung walaupun hari sudah beransur gelap. Dalam perjalanan balik, sempat aku dan Safffura singgah di salah satu lokasi yang bernama Lubok Manggis. Terpana sungguh dengan keindahan pemandangan air sungai di situ.

 "Cantiknya macam kat Janda Baik." Aku memberi komen kepada Saffura sambil mengambil gambar.

Suka sangat dengan gambar ni



Sesuai untuk mandi

Bersih dan segar

Pondok yang sesuai untuk aktiviti beramai-ramai.


Di kawasan ini ada disediakan kemudahan untuk berkelah, memasang khemah atau boleh sewa pondok-pondok yang disediakan. Pastinya dikenakan kos untuk setiap kemudahan yang disediakan. Insya-Allah mahu ke sana satu hari nanti.




Sabtu, 7 April 2018

Visit My Malaysia (2) - Sabak Bernam, Selangor



1 April 2018, kami berpeluang menghadiri kenduri kahwin anak buah sepupu Aina Afiqah. Orang Kuala Perlis bertemu jodoh dengan orang Sabak Bernam.

Bergambar kenangan bersama pengantin

Rombongan pengantin perempuan.

Selepas selesai majlis kami bergerak kembali ke Kuala Lumpur. Perjalanan selama 2 1/2 jam untuk ke Sabak Bernam agak meletihkan. Ini disebabkan suasana jalan raya yang masih di dalam pembinaan.Dalam perjalanan pulang kami melalui Sungai Besar, Sekincan, Tanjung Karang dan Kuala Selangor.

Kami tidak melepaskan peluang untuk singgah sebentar di kampung Sungai Haji Dorani yang terletak di Sungai Besar. Kami agak terpegun dengan kebersihan kawasan sekitar kampung tersebut. Terutama tali airnya yang nampak bersih. Berbeza dengan kawasan sawah padi yang pernah kami tengok, biasanya tali airnya agak kotor.

Terdapat beberapa homestay yang dibina di tengah-tengah sawah bagi membolehkan penyewa menikmati suasana sawah padi di depan mata.Menarik dan cantik kawasan ini. Boleh datang lagi.

Taliair yang bersih 

Nampak dijaga rapi

Suasana petang yang nyaman

Banyaknya bangau.


Atas titi....hihi

Jom tengok pokok padi yang sedang membesar.....hijau!












Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

  BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah, semalam berakhir PBAKL 2026 setelah berlangsung selama 10 hari. Banyak kisah menarik yang dikongsi...