Isnin, 28 Ogos 2017

Rasa Dapurku (245) - Bingka Kentang



BismillahirRahmanirRahim






Kali ini aku mahu berkongsi satu resepi yang agak mudah tetapi hasilnya sangat sedap. Resepi ini aku snap dari buku resepi kawanku, Pn Azzah. Kebetulan ada banyak kentang di dapur yang belum sempat dimasak. Sungguh tidak disangka, enak sekali rasanya. Cuti-cuti sekolah ni bolehlah mencubanya.

Resepi Bingka Kentang
Bahan2:
2 cawan tepung gandum
4 biji kentang, direbus dan dilecek menjadi 2 cawan
1 1 /2 cawan gula
3 cawan santan (dari 1/2 biji kelapa)
1 cawan susu cair
4 biji telur
Sedikit Pewarna kuning
Sedikit bijan

Cara Membuatnya:
1.Masukkan semua bahan ke dalam blender, kisar sehingga halus.
2.Masukkan adunan ke dalam loyang pembakar. Taburkan bijan.
3.Bakar pada suhu 180 C selama 1 jam atau sehingga masak.
4.Biarkan sejuk sebelum dipotong.


Sebelum dibakar.

Sesudah masak.

Ahad, 27 Ogos 2017

Rasa Dapurku (244) - Laksa Lemak Nyonya Melaka



BismillahirRahmanirRahim



Jangan tak tahu, Melaka pun ada resepi laksa tau. Yang seronoknya orang Melaka pun tak tahu ada resepi ni. Mungkin masakannya berciri orang  Nyonya Melaka jadi orang Melayu Melaka tidak terbiasa dengan laksa ini. Aku pernah merasa laksa ini di sekolah lama. Pn Hjh Norjah Janudin kerap juga menjamu kami dengan masakan yang sedap ini. Rasa lemak diadun dengan daun kesum dan bunga kantan menjadikan hidangan ini tidak jemu dimakan. Boleh mengalahkan Mee Kari...hihi.
Namun biasanya kami makan dengan bihun tetapi setelah dimakan dengan laksa...lagi terangkat rasanya.

Teringin pula untuk membuat sendiri laksa lemak ini kerana sudah lama aku tidak menikmatinya. Aku mengambil resepi dari Blog Masam Manis tetapi banyak diubahsuai kerana ada beberapa bahan yang tidak biasa aku gunakan di dalam masakan seperti belacan dan kiub ikan bilis. Laksa ini tidak memerlukan isi ikan jadi memang mudah untuk disediakan. Laksa ini juga boleh dimakan bersama sambal tumis bagi menambahkan lagi keenakannya. Pun begitu, makan tanpa sambal tumis pun dah ok. 

Resepi Laksa Lemak Nyonya Melaka
Bahan2:
Kuah Laksa
1 biji bawang besar*
2 inci lengkuas*
1 inci kunyit hidup*
3 biji buah keras*
1 sudu besar udang kering*
2 batang serai*
15 tangkai cili kering*
bahan* dikisar halus

1 ikat daun kesum
1 kuntum bunga kantan
3 keping asam keping
1/2 - 1 cawan santan
Bebola ikan secukupnya (atau fish cake yang dihiris)
Tauhu goreng yang dipotong (pilihan)
Udang secukupnya
Sedikit gula perang
Garam
Sedikit minyak masak

Cara Membuat Kuah:
1.Panaskan minyak di dalam sebuah periuk.Tumiskan bahan kisar
   sehingga harum dan terbit minyak.
2.Masukkan air dan daun kesum, biarkan mendidih.
3.Masukkan asam keping, bunga kantan dan santan. Perisakan 
   dengan garam dan gula perang.
4.Masukkan bebola ikan dan udang. Kacau sehingga agak pekat.

Bahan untuk hidang
Laksa yang direbus hingga lembut (boleh guna bihun)
Timun yang dihiris halus
Tauge (tak letak)
Bawang besar dihiris halus
Daun kesum dihiris halus
Bunga kantan dihiris halus
Telus rebus jika suka (tak letak)
Sambal tumis (tak letak)
Hidang bersama kuah laksa.



Ini kuahnya.


Khamis, 24 Ogos 2017

Rasa Dapurku (243) - Masak Lemak Cendawan Kukur Campur Keledek


BismillahirRahmanirRahim.




Lama sungguh tidak berlauk cendawan kukur atau kulat sisir. Cendawan yang biasanya tumbuh di batang-batang kayu getah sebaik sahaja berakhir musim hujan kini sudah boleh ditanam. Waah sungguh menakjubkan. Ianya tidak aku sedari sehingga dua minggu yang lepas apabila ada seorang pengusaha cendawan kukur datang ke kolej untuk menjual hasil tanamannya itu. Teruja melihat cendawan kukur yang bersih, aku pun membelinya sebungkus dengan harga RM10.00.

Terkenang aku akan Almarhum ayah mentuaku, semasa hayatnya  sangat rajin mengutip cendawan kukur apabila musim hujan. Semenjak Almarhum tiada, aku tidak pernah merasa masakan cendawan kukur kerana agak sukar untuk mendapatkannya. Aku memasaknya bersama keledek oren, MasyaAllah sedap sungguh rasanya walaupun diratah begitu sahaja. Selain keledek, labu kuning dan pisang muda juga boleh dijadikan gandingannya. Rugi pula rasanya kerana hanya membeli satu bungkus sahaja cendawan kukur tersebut. Selain keledek, labu kuning dan pisang muda juga sesuai digunakan.

Resepi Masak Lemak Cendawan Kukur Campur Keledek.
Bahan2:
1 mangkuk cendawan kukur dibasuh dan direndam 1 jam
1 cawan santan pekat
1 biji keledek dipotong kecil
1 helai daun kunyit
1 batang serai diketuk/dibelah dua
1 keping asam keping (boleh guna belimbing buluh)
Garam
Air
1/2 biji bawang besar*
2 ulas bawang putih*
2 inci kunyit hidup*
15 biji cili api*
1 sudu besar ikan bilis* (atau ikan kering)
Kisar bahan *

Cendawan kukur atau kulat sisir yang belum dimasak.

Cara Membuatnya:
1.Masukkan bahan kisar ke dalam sebuah periuk bersama garam dan sedikit air.
   Masak sehingga naik bau.
2.Masukkan keledek dan  cendawan, masak sehingga keledek dan cendawan
   lembut. Tambah air jika perlu.
3.Masukkan daun kunyit dan santan pekat. Kacau sehingga sebati dan mendidih.
   Tutup api.

Dalam kuali... dah masak.

Isnin, 21 Ogos 2017

Travelog : Sesejuk Bosnia & Herzegovina ( 16) - Villa Lala, Jahorina






Bahagian belakang Villa Lala. Bilik kami di tingkat 2, sebelah kiri.



Villa baharu semakin banyak di sekitarnya.

Isnin, 14 Ogos 2017

Rasa Dapurku (242) - Masak Lemak Ikan Kembung Dan Belimbing Buluh.


BismillahirRahmanirRahim



Geram melihat Ikan Kembung yang begitu segar, teringin pula untuk buat masak lemak cili padi bersama belimbing buluh. Hasilnya memang tidak mengecewakan. Enak dimakan di hujung minggu.

Resepi Masak Lemak Ikan Kembung Dan Belimbing Buluh.
Bahan2:
4 ekor Ikan Kembung 
4-5 biji belimbing buluh dibelah dua
2 helai daun kunyit
1 cawan santan pekat
1 cawan santan cair
1 batang serai diketuk
Garam secukupnya
Sedikit minyak
Bahan kisar
15 biji cili padi
2 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
2 inci kunyit hidup
1 batang serai

Cara Membuatnya:
1. Panaskan sedikit minyak di dalam sebuah kuali. Masukkan bahan kisar
    dan kacau sehingga naik bau.
2.Masukkan garam, santan cair dan serai yang diketuk. Biarkan mendidih.
3.Masukkan ikan dan belimbing buluh. Kacau sehingga ikan separuh masak.
4.Masukkan santan pekat dan daun kunyit. Kacau perlahan sehingga ikan
   masak sepenuhnya.
5.Perisakan dan tutup api apabila kuahnya pekat.



Khamis, 10 Ogos 2017

Rasa Dapurku (241) - Kuih Cucoq Kembong


BismillahirRahmanirRahim



Kuih ini asyik menjelma di laman FB selama beberapa hari. Ianya  dari FB Yati Rahim dan dikongsi beberapa kali oleh rakan FB. Minggu lepas, aku sudah kekeringan idea untuk menyediakan sarapan pagi. Lalu teringat resepi kuih yang bulat-bulat dan comel je ni. Bahan-bahan yang diperlukan pun tidak banyak dan sedia ada di dalam simpanan, Memang senang untuk dibuat dan sedap dimakan begitu sahaja. Disebabkan aku mengejar masa, maklum mahu ke tempat kerja jadi cucoq kembong ni kurang seragam saiznya.

Resepi Kuih Cucoq Kembong
Bahan2:
2 cawan tepung gandum
2 cawan air panas
3 sudu besar gula (boleh kurangkan)
1/2 sudu kecil garam

Cara Membuatnya:
1.Campurkan tepung gandum, gula dan garam ke dalam bekas yang sesuai dan gaul 
   supaya rata.
2.Masukkan air panas dan kacau dengan senduk sehingga sebati dan biarkan sejuk .
3.Ambil sedikit adunan dan bulatkan ikut kesesuaian.
4.Jika doh melekat, basahkan tangan dengan sedikit air supaya proses membulatkan
   kuih cucoq lebih mudah.

Heghot pethot cucoq nih...

5.Panaskan minyak di dalam sebuah kuali, pastikan cucoq boleh tenggelam penuh.
6.Apabila minyak sudah panas, kecilkan api sedikit dan masukkan cucoq ke dalam
   minyak. Besarkan api semula dan goreng sambil kacau sehingga warna sekata.
   Angkat dan toskan.

Sedap juga jika dimakan dengan kuah kari.








Isnin, 7 Ogos 2017

Rasa Dapurku (240) - Sandwich Telor


BismillahirRahmanirRahim.





Sesekali bersarapan pagi dengan sandwich  memang sedap dan menyegarkan. Sandwich 
Telor ini  juga sesuai sangat sebagai hidangan sampingan sebarang  jenis  jamuan.
Resepi ini diambil dari FB Resepi Viral Terbaik. Memang sedap dan mudah disediakan.

Resepi Sandwich Telor
Untuk Inti :
1 bungkus roti sandwich jenama Gardenia
3 biji telur (direbus dan dibuang kulit)
1 biji bawang holland dipotong dadu (tak letak)
2-3 sudu besar mayonis
Sedikit lada hitam dan lada putih
Garam secukup rasa

Bahan lain
1 bungkus roti sandwich jenama Gardenia
2 biji tomato dihiris nipis
1 biji timun dihiris nipis
sedikit salad (tak letak)
Sedikit mentega
Paper cup
Lidi

Cara Membuatnya:
1.Lecek telor rebus sehingga hancur sempurna.
2.Masukkan mayonis dan perisakan dengan lada hitam, lada putih dan garam.
   Ketepikan.
3.Buang bahagian tepi roti. Sapukan roti dengan sedikit  mentega.
4.Lapisan pertama letakkan hirisan salad, tomato dan inti telor.
5.Letakkan sekeping roti di atasnya. Letakkan timun  dan inti telor.
6.Letakkan roti ke atasnya.
7.Cucuk dengan lidi dan potong 4. Letakkan dalam paper cup.

Cucuk dengan lidi supaya senang dipotong



Ahad, 6 Ogos 2017

Travelog : Sesejuk Bosnia & Herzegovina (15) - Mostar Memang Best


22 Disember 2016 (Hari ke-8)


Cepavi

Hari ini kami akan kembali ke Sarajevo setelah tiga hari dua malam di Mostar. Selepas berkemas kami bergambar sekeliling kawasan apartmen dan ke Stari Most sekali lagi. Tidak jemu untuk melihat dan merakam gambar-gambarnya. Sempat aku menegur satu keluarga 4 beranak dari Malaysia di tengah jambatan. Mereka juga akan meninggalkan Mostar sebentar lagi. Kami juga singgah  di atas jambatan biru untuk melihat  Stari Most dari jauh. Kelihatan dengan jelas 8 menara masjid lama yang hampir sama bentuk dan ketinggiannya menjulang tinggi. Ianya adalah bukti sejarah bahawa Islam pernah berkembang pesat di sini.

Tepat  pukul 10 pagi, suami Ramayana datang ke apartmen  untuk urusan checkout. Ramayana yang bekerja  di sebuah sekolah undang-undang tidak dapat datang bertemu dengan kami. Tidak dapat aku bergambar dengan Ramayana. Pasangan ini memiliki 4 buah apartmen  untuk disewa oleh pelancong. Apartmen yang kami duduki akan dimasuki oleh pelancong dari Korea Selatan dua hari lagi. Bisnes dalam bidang pelancongan begitu memberansangkan kerana Bosnia tidak memiliki punca pendapatan lain seperti minyak dan hasil bumi lain. Rata-rata terlibat dengan pertanian. Kaum muda banyak melibatkan diri dengan perlancongan bagi menambah pendapatan.


Suamiku membayar 90 KM untuk 2 malam dengan sedikit diskaun kerana masalah parkir kereta yang jauh. Aku perhatikan rata-rata pemilik apartmen tidak berkira sangat, mereka dengan mudah memberi diskaun. Kami diiringi sehingga ke kereta dan kami mengucapkan selamat tinggal. Tidak lama kemudian Ramayana menghantar pesanan melalui WhatsApp, beliau memohon maaf kerana tidak dapat hadir. Pun begitu beliau sempat berkunjung ke apartmen kami pada pukul 9 malam tadi tapi kami sudah tidur.

Kami tidur dengan nyenyak kerana keletihan dan kekenyangan. Malam tadi kami keluar lagi ke sekitar jambatan untuk mengambil gambar. Dalam perjalanan kami ditegur oleh seorang lelaki berkupiah putih. Berseri wajahnya. Beliau menegur aku dan Saffura yang sedang menunggu suami yang ke tandas. Sebelumnya 3 warga Malaysia sempat kami tegur , mereka dari Kuala Lumpur dan bermalam di Mostar. Semasa kami berjalan mahu menuju ke kawasan bawah jambatan, lelaki berkupian putih muncul lagi dan bersalaman dengan suamiku. Beliau begitu gembira apabila diberitahu kami dari Malaysia. Tiba-tiba beliau menyuruh kami masuk ke restoran Haan Hin, halal katanya. Beliau mengiring kami sehingga ke atas restoran. Kami pun duduk dan memesan Cepavi atau kebab....sedap juga. Dan 2 set kopi Bosnia.
Tumpang tandas je
Menjadi pilihan

Capevi atau kebab....
Kopi Bosnia lagi....

Air sedang pasang ketika kami berada di tepi sungai. Tiba-tiba azan dilaungkan....syahdu mendengarnya. MasyaALlah. Tidak lama kemudian bunyi loceng dari gereja berhampiran pula kedengaran...mahu melawan laungan azan barangkali. Walaupun kelihatan suasana masyarakat di situ  tenang, pasti rasa curiga masih membara di kalangan mereka.

Dalam perjalanan pulang ke apartmen kami singgah di PEKARA untuk membeli roti buat mengalas perut jika terasa lapar. Kami diekori oleh seorang kanak-kanak peminta sedekah sehingga ke kedai. Ramai yang masuk ke kedai tanpa menghiraukan kanak-kanak tersebut. Kami terus diekori sehingga mahu masuk ke lorong ke apartmen kami. Maaf kami tidak dapat membantu dik, kami risau juga jika ada rombongan lain pula yang akan ikut kami sehingga ke apatmen. Ketika di Blagaj juga ada seorang lelaki  tua berkerusi roda tanpa kaki meminta sedekah.

Baru aku faham kenapa Mostar begitu popular di kalangan pelancong. Bentuk muka buminya sangat cantik terutama sungainya. Seluruh kawasan bandar lamanya penuh dengan kesan sejarah Islam. Makanannya sangat sedap dan berkualiti. Penduduknya sangat peramah dan kami sempat bertemu dengan seorang saudara Islam  setiap kali kami berada di jalan raya. Beberapa kali kami ditegurnya tanpa jemu sehingga saat kami akan meninggalkan Mostar. Ketika itu dia dalam perjalanan pulang mengambil cucu-cucunya dari sekolah. Bagi yang berminat untuk melihat ladang buah-buahan, Mostar juga menawarkan pelbagai jenis buah-buahan. Ada beberapa tempat lagi yang tidak sempat kami kunjungi kerana kesuntukan masa. Seperti air terjun Kravice yang terletak di selatan Mostar kira-kira 40 kilometer dari Mostar. Ianya setinggi 26 meter di Sungai Trebizat. Berdekatan dengannya ialah Bandar Pocitelj yang terkenal sebagai Mutiara Herzegovina. Semoga ada rezeki lagi untuk kami ke sini.

Lelaki ini kami temui setiap kali kami berjalan kaki di tepi jalan.
Perjalanan kembali ke Sarajevo, kami bertemu dengan gerai-gerai menjual buah limau, delima dan sebagainya. Kami asyik sekali melayani pemandangan sungai sepanjang jalan. Di Jablanica, kami singgah di Restoran Kovacevic kerana ianya sudah dibuka dan banyak pula kereta di depan restoran tersebut. Luas restorannya, kami mencari meja berhampiran dengan tingkap untuk melihat sungai begitu hampir dengan restoran tersebut. Di sebelah meja kami adalah sepasang suami isteri dengan dua anak kecil sedang minum bersama pemandu pelancong. Aku sempat bertanya dan diberitahu mereka dari UAE.


Akhirnya dapat juga peluang makan di restoran di sini.

Menanti sajian.

Sekitar restoran

Pemandangan dari tempat duduk kami.
Kami memesan sepinggan ikan (dipanggil riba dalam bahasa Bosnian) trout dan semangkuk sup ikan bersama kopi bosnian. Sup ikannya sangat sedap dengan isi ikan dan kuah tomato tetapi pedas sedikit. Sedapnya...roti pula kurang sedap kerana agak keras. Jangan risau untuk singgah kerana harga ok aje.






Sup ikan atau Riblja corba  5KM
Supnya memang sedap.
 Trout....12KM.

Ketika mahu keluar dari restoran sempat kami melihat kambing dibakar. Kambing bakar menjadi hidangan kebanyakan restoran di sini...walaupun ada tanda halal namun kami masih belum berani mencubanya.

Kambing bakar sangat popular di Jablanica.

Pemandangan sekitar restoran.




Kami tiba di Sarajevo dan terkejut dengan suasana persekitarannya yang berkabus. Jarak pemandangan juga amat  terhad. Kami meneruskan perjalanan ke Jahorina.

Bayar tol..

Pusat Bandar Sarajevo.
zias/Bosnia/17

Ramadan Mubarak 1445H/2024M

BismillahirRahmanirRahim   Assalamualaikum. Saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan ber...