Ahad, 10 April 2016

Travelog : Oh! Riyadh (100) - Kilang Memproses Bunga Ros Al Khamal, Al Hada, Taif


Kilang Memproses Bunga Ros Al Khamal, Al Hada, Taif


Bahagian depan Kilang Al Khamal di mana terletaknya kedai menjual produk kilang.

Terdapat lebih kurang 50 kilang minyak ros dan air ros di Taif. Satu darinya adalah Al Khamal Roses Factory  yang terletak di Al Hada, Taif. Kilang ini menjadi pilihan bagi lawatan yang dianjurkan oleh agensi umrah. Seperti yang dinyatakan oleh sahabatku Pn Hjh Rosnani yang pernah berkunjung ke kilang tersebut sewaktu mengerjakan umrah bersama keluarga pada bulan Disember tahun lalu. Keluarga Abang Azmi yang sedang mengerjakan umrah pada bulan April turut dibawa melawat ke kilang ini oleh Juara Travel semasa ziarah ke Taif. Lawatan persendirian juga boleh dilakukan tanpa perlu temu janji seperti yang kami lakukan. Jadi tidak hairan kenapa pemilik dan para pekerja di kilang ini begitu mesra pelanggan kepada tetamu yang berkunjung.

Aktiviti penanaman bunga ros dari jenis 'damaskus' ini telah lama bertapak di Taif. Iaitu kira-kira 3 abad yang lalu sewaktu di bawah pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah Turki. Kedudukan Taif yang berada pada ketinggian 2000 meter  dari aras laut sesuai untuk penanaman pelbagai jenis buah-buahan, bunga dan produk tanah tinggi yang lain. Selain Taif juga menjadi pilihan sebagai kawasan peranginan bagi seluruh penduduk Arab Saudi terutama di musim panas.

Penghasilan minyak ros adalah menggunakan kaedah penyulingan air kelopak bunga ros. Kaedah ini telah direkodkan seawal abad ke 9 oleh Al Kindi. Sedang Al Razi  turut memberi penerangan terperinci akan penggunaan alat sulingan yang lengkap untuk menghasilkan wangian ros. Sekitar abad ke 13, air ros dihasilkan dengan menggunakan kaedah yang sama telah dihasilkan secara besar-besaran di Syria. Sebab itu bunga ros yang ditanam dikenali secara sainstifik sebagai  'damascena' atau 'damaskus'. Pun begitu minyak attar yang dihasilkan ketika ini bermula sekitar abad ke 16 dengan menggunakan kaedah penyulingan berganda. Taif dikenali sebagai antara pengeluar minyak ros terbaik di dunia. Bersaing bersama negara lain yang lebih besar pengeluarannya seperti Turki, Bulgaria,Rusia,China, India, Morocco dan Iran.

Bunga ros jenis 'damaskus'


Ribuan kuntuk bumga ros segar diperlukan untuk mengahsilkan air ros dan minyak ros

Bunga-bunga yang dibawa dari ladang-ladang bunga ros sekitar Taif akan ditempatkan di bahagian khas di luar kilang. Di sini kuantiti bunga ros yang akan digunakan dalam setiap bekas penyulingan ditimbang dengan penimbang khas. Satu bakul bunga akan dijadikan pemberat sedang satu bakul lagi akan dimasukkan bunga mengikut pemberat tersebut. Dianggarkan berat yang diukur mengandungi lebih kurang 2000 kuntum bunga ros. Bunga-bunga yang telah ditimbang dimasukkan pula ke dalam guni khas untuk dibawa masuk ke dalam kilang.

Kerja-kerja menimbang bunga sedang dilakukan oleh pembekal bunga
dan wakil pemilik kilang AlKhamal.
Bunga-bunga ros yang berada di dalam guni akan dimasukkan ke dalam bekas khas di dalam kilang. Bekas tersebut mengandungi lebih kurang 50 liter air di dalamnya.

Deretan bekas memanaskan bunga ros
Dianggarkan sebanyak 25,000 kuntum bunga ros diperlukan untuk memenuhi bekas ini.

Bekas tersebut kemudiannya ditutup rapat dengan alat khas seperti topi berbentuk cendawan. Pembalut khas digunakan untuk membalut bahagian penyambung antara bekas memasak dengan penutup tersebut. Ini untuk memastikan tiada wap keluar ketika proses memanas dilakukan. Pendidihan campuran tersebut berlangsung selama 10 hingga 12 jam pada suhu 200 C.

Dibalut dengan kemas. (Gambar dari YouTube)


Proses pemanasan  (Gambar dari YouTube) 

Proses pemanasan sedang berlaku.

Wap yang terhasil akan disejukkan melalui bekas khas untuk lalu terkondensasi menjadi cecair. Cecair yang terhasil adalah air mawar yang akan disalurkan terus ke bekas khas yang dipanggil  Arousa.

Bekas besar berwarna pink akan mengkondensasikan wap yang terhasil.Bekas pink tersebut
dipenuhi dengan air.
Cecair air mawar dan minyak mawar memasuki Arousa.
 (Gambar dari YouTube)


Pekerja sedang memeriksa Arousa
Bekas mengutip air mawar dan minyak mawar.
Pada masa yang sama penyulingan kedua berlaku di mana partikel attar atau minyak ros turut dihasilkan  dan terapung di atas permukaan air ros. Minyak ros kemudiannya akan disedut dengan alat khas seperti syringe. Minyak ros atau attar berwarna sedikit kehijauan memerlukan sekitar 10,000 hingga 15,000 kuntum bunga ros untuk menghasilkan satu botol kecil minyak ros. Jadi tidak hairan jika harganya mencecah ribuan ringgit untuk satu botol kecil minyak mawar. Minyak mawar digunakan untuk menghasilkan pelbagai perfum berasaskan bunga ros.

Proses mengambil minyak ros dari Arousa. 
(Gambar dari YouTube)


Dimasukkan ke dalam botol untuk pelbagai kegunaan.
 (Gambar dari YouTube)

Air mawar pula terdiri dari beberapa kategori sesuai dengan kegunaannya. Ianya juga turut digunakan dalam penyediaan pelbagai jenis makanan, manisan dan minuman.

Di sebelah kilang memproses bunga ros terdapat kedai yang menjual pelbagai produk dari air ros dan minyak ros. Kebanyakannya adalah keluaran kilang AlKhamal seperti sabun, penyembur, minyak wangi dan sebagainya. Kilang memproses minyak ros dan air ros milik AlKhamal ini sudah berusia sekitar 200 tahun.

Dr Khalid, pemilik AlKhamal Rose Factory 
(Gambar dari YouTube).

Gambar di dalam kedai.

Suasana di dalam kedai.


Penduduk tempatan pun ramai berkunjung ke kedai ini
Puas mahu memilih
Antara barangan yang dijual...semua tulisan dalam bahasa Arab.
Macam2 ada


Eau de Cologne ini SAR10 sahaja.

Pewangi ros dalam bentuk krim pun ada.

Bilik khas untuk memberi penerangan

Bilik yang lebih besar bagi menampung bilangan pengunjung yang
lebih ramai.

Mahu beli dalam kuantiti yang banyak pun boleh.

Berikut gambar keluarga Abang Azmi (abang suamiku) beserta para jemaah dari Juara Travel yang berpeluang ziarah ke kilang AlKhamal sehari selepas kami berkunjung ke sana. Gambar2 adalah dari FB Juara Travel


Baru sampai. Kelihatan bangunan Hotel Le Meridien.

Tempat menerima tetamu yang juga tempat bunga ros dihantar oleh pekebun untuk ditimbang.
Para jemaah umrah sedang 'mandi bunga' Kelihatan  Fatin Farizah di sebelah kiri
Pengalaman indah yang pasti sukar untuk dilupakan. Kak Fazidah di sebelah kanan
berdiri.
Keluarga Abang Azmi di sebelah kiri bersama rakan. Tidak lupa membeli produk bunga ros. Beg pun warna pink.
Pengalaman tinggal di Arab Saudi selama hampir tiga tahun, aku dapati rakyat di sini amat gemar menggunakan minyak wangi. Ianya disembur pada pakaian atau diasapkan melalui bekas khas yang lebih dikenali dengan Oud. Menjadi satu kebiasaan di sini di mana kita akan terhidu bau wangian apabila berada berdekatan dengan warga tempatan. Tidak kira lelaki atau perempuan yang dewasa majoriti mengenakan minyak wangi yang harum baunya. Kedai-kedai minyak wangi juga terlalu banyak, menguasai setiap ruang kedai di mall atau souk. Harga yang ditawarkan agak pelbagai, ada yang murah dan ada yang mahal. Yang paling menarik adalah bekas-bekas yang diisi dengan minyak wangi, cantik dan comel pula.

Setelah melihat pelbagai jenis minyak wangi, terasa konfius pula. Di sini aku sertakan sedikit info berkaitan dengan Minyak wangi sebagai rujukan. Label pada botol minyak wangi seperti 'parfum', 'eau de parfum', 'eau de toillette','eau de colonge' atau 'body splash' berkait rapat dengan kadar kandungan minyak wangi. Semakin tinggi peratus kandungan pati minyak wangi semakin lama wangian itu bertahan dan semakin mahal harganya. Kebanyakan produk wangian mengandungi alkohol. Semakin tinggi kadar kandungan pati parfum semakin sedikit kadar alkoholnya. Sifat alkohol yang mudah meruap membantu menyebarkan aroma parfum agar tercium oleh orang-orang di sekitar.

Parfum(Pure Perfume)
16 - 30 % patinya dan asli tanpa campuran alkohol. Pati minyak wangi yang paling kuat dan paling mahal. Tahan lebih 6-8 jam bergantung kepada jenis kulit. Boleh dihidu dari jarak yang jauh. Jangan disembut. Cukup sekadar sapu sedikit di nadi tangan atau belakang telinga.

Eau de Perfume (EDP)
8-16 % patinya.Tahan selama 3-5 jam.Mempunyai sedikit kandungan alkohol. Aroma wanginya tahan lama dan kuat. Sesuai diguna pada malam hari terutama untuk menghadiri acara formal.

Eau de Toilette (EDT)
5-8% kandungan patinya.Merupakan minyak wangi yang lazim didapati di pasaran. tahan selama 2-4 jam. Kandungan alkoholnya kurang sedikit berbanding dengan cologne.Aromanya ringan, tidak terlalu tajam dan sesuai untuk banyak acara atau ketika bersantai dengan rakan.

Eau de Cologne (EDC)
3-5% kandungan patinya. Minyak wangi paling lemah dan biasanya lebih sesuai untuk lelaki. Tahan sehingga 2 jam. Sesuai digunakan untuk menyegarkan dan memberi aroma harum selepas mandi.

Eau Fraiche/ Body Splash
Dikenali juga sebagai Perfume BodyMist atau Body Splash. Mengandungi paling rendah patinya, kurang dari 3%. Bertahan sekitar 1 jam. Wanginya tidak bertahan lama kerana kandungan alkoholnya yang tinggi menyebabkannya mudh meruap. EDC dan body splash lebih sesuai dipakai untuk mengharumkan tubuh.

Rujukan : onlinesophieboutique.blogspot.com.

Minyak atar pula merupakan haruman yang diambil dari perkataan Arab attar. Ia merupakan haruman semula jadi yang dihasilkan dari haruman bunga , biasanya dari bunga Melur atau Mawar. Kebanyakan minyak atar adalah bebas alkohol. Ianya banyak dijual di Arab Saudi terutamanya di Mekah dan Madinah.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud.

"Aku diberi kesenangan di dunia ini, yaitu wanita, harum-haruman 
 dan kesejukan mata dalam  sembahyang"
 [Hadis Riwayat Nasa'i]



                                                                                                      zias/riyadh/16















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...