Isnin, 25 April 2016

Travelog : Oh!Riyadh (102) - Farewell



Farewell

Hadiah perpisahan.
Akhirnya tiket penerbangan pulang ke Malaysia for good telah kami perolehi dan disahkan. In Shaa Allah penerbangan tersebut pada 25/7/2016, kira-kira tiga bulan dari tarikh hari ini. Berita gembira bagi saudara mara di tanah air terutama ibuku dan ibu mertuaku. Kebetulan ada sahabat kami di Riyadh juga akan pulang ke tanah air dalam masa yang terdekat iaitu di akhir bulan April. Bertugas di kedutaan Malaysia, tiba-tiba diminta pulang setelah empat tahun bertugas di Riyadh. Ustazah Hjh Norzita juga seperti aku, sedang bercuti tanpa gaji mengikut suami.

Ustazah Norzita dan Dr Fariza - orang kuat AJK program.
Sahabat-sahabat yang kami sebut ibu-ibu Riyadh mengadakan majlis perpisahan secara ringkas untuk kami berdua selepas usrah bertarikh 7/4/2016. Usrah kali ini diadakan di rooftop  apartmen SriWangi, lokasi yang diminati ramai. Alhamdulillah program usrah yang diadakan dua minggu sekali dengan kerja sama Persatuan Pelajar Malaysia Riyadh (PPMR) amat bermanafaat. Di samping mendapat ilmu berkaitan Islam , ianya mengeratkan lagi tali persaudaraan antara warga Malaysia. Terdapat beberapa program yang dianjurkan oleh persatuan dan dilaksanakan dengan kerjasama AJK yang bertugas secara sukarela. Program-program seperti kafa, usrah, liqa atau muqayyam mampu mengukuhkan silatulrahim yang sedia ada.

Antara yang hadir
Aku akui sepanjang hampir tiga tahun berada di Riyadh inilah sahaja medium yang menawarkan sesi pertemuan sesama kami secara berjadual dan berterusan. Terus terang, pertemuan yang diadakan begitu penting dan bermakna disebabkan ruang yang amat terhad untuk golongan ibu khasnya untuk bersosial. Di samping mendapat ilmu, jamuan yang disediakan secara pot luck betul-betul mengancam diet. Inilah masanya juga kita dapat menikmati pelbagai juadah bercirikan Malaysia. Tambahan pula ibu-ibu Riyadh memang pandai-pandai masak belaka.

Sedang memberi ucapan - sekejap je
Usai usrah, Ustazah Norzita dan aku diminta memberi sedikit ucapan kepada ibu-ibu yang hadir. Walaupun kehadiran pada malam tersebut kurang dari kebiasaannya, rasa meriah tetap ada. Mujur aku dapat mengawal air mata yang hampir tumpah. Terharu kerana diberi penghargaan yang sebegitu rupa, maklum aku adalah antara yang tidak konsisten hadir dalam majlis usrah. Ini disebabkan aku dan Saffura ada sesi mengaji  dan menghafal Al Quran bersama dengan Ustazah Shikin di rumah kami pada setiap hari Khamis malam Jumaat. Pun begitu pihak AJK tetap mahu aku menghadiri majlis tersebut, jadi sesi mengaji pada malam tersebut terpaksa aku batalkan.

Terima tanda mata

Suasana malam yang masih agak sejuk dan berangin di rooftop SriWangi, menjadikan suasana majlis begitu damai dan tenang. Selepas sesi memberi tanda mata, kami menikmati hidangan yang sangat enak terutama nasi tomato yang disediakan oleh Pn Jeni dan Pn Siti Zaleha.Aku pula sempat menyediakan Kuih Cara Berlauk untuk dimakan bersama. Aku berpeluang  bertemu dengan Pn Fauziah Ahmad yang baru berhijrah ke Riyadh kira-kira empat bulan yang lalu. Terima kasih  juga kepada Pn Fauziah Ahmad yang telah sudi berkongsi gambar-gambar yang diambilnya.


Pn Fauziah Ahmad, Tini dan Nora.

Bersama Jeni dan Fiza. Menjamu selera sambil terus berkenal mesra

Bersama Pn Om Mahani, setelah dua tahun tidak berjumpa.

Suasana santai

Juadah yang pelbagai dan enak untuk dipilih.

Wajah-wajah yang akan dikenang kemudian hari.

Pada malam yang sama Dr Fariza mengumumkan rancangan komuniti warga Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pelajar Malaysia Riyadh untuk menyewa serumah yang akan dikosongkan di Sri Wangi. Seluruh bangunan apartmen Sri Wangi kini dihuni oleh warga Malaysia, oleh itu mudah untuk menjalankan aktiviti yang melibatkan rakyat Malaysia. Menjadi harapan agar semua aktiviti di masa akan datang dijalankan di rumah tersebut yang bersambung dengan ruang rooftop tersebut. Jadi tidaklah perlu menyewa Istirahah atau menumpang rumah sahabat yang lain seperti yang dilakukan sekarang. Sebanyak SAR27,000 diperlukan setahun untuk menyewa rumah tersebut. Kutipan sedang diteruskan pada masa ini dan Alhamdulillah jumlahnya sudah mencapai separuh dari jumlah yang diperlukan. Ianya cukup untuk dijadikan bayaran pendahuluan kepada tuan punya bangunan tersebut.

Ikhlan turut dimuatkan di laman FB Komuniti Warga Malaysia Riyadh untuk  membolehkan lebih ramai lagi warga Malaysia di Riyadh memberi sumbangan. Rumah tersebut akan dijadikan Pusat Aktiviti Komuniti Malaysia Riyadh. Terletak di kawasan Hayyu Izdihar, Exit 7.  Pelbagai aktiviti dirancang untuk diadakan di rumah tersebut seperti Kelas Pengajian KAFA (untuk anak-anak) setiap minggu, usrah Ibu-ibu Riyadh, program pelajar yang bersifat dakwah, ilmiah dan ukhuwwah, program keramaian seperti meraikan perayaan/individu/hari/peristiwa tertentu,mesyuarat aktiviti warga Malaysia Riyadh, kelas pengajian agama dan pelbagai lagi.


Walaupun tidak berpeluang bersama ibu-ibu Riyadh lagi, aku sentiasa mendoakan agar setiap program yang telah dan sedang dilaksanakan diteruskan di masa akan datang. Pengalaman pertama tinggal di luar negara begitu bermakna apabila bersama dengan golongan yang berusaha untuk menjadi golongan Ansarullah, yakni pembantu agama Allah. Moga setiap niat dan usaha yang dilakukan adalah ikhlas dan dilaksanakan selari dengan kehendak Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Untuk mereka yang akan berhijrah ke Riyadh, usah risau, ada program untuk anda sekeluarga. Jazakumullah Khairan Katsiran (Semuga Allah SWT akan membalas kalian dengan kebaikan yang banyak) dari kami sekeluarga untuk ibu-ibu Riyadh atas kesudian meraikan kami.



                                                                                                                    zias/riyadh/16                  
                                                                                 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...