Bismillahirrahmanirrahim
Pelbagai jenis roti segar boleh dibeli dengan harga yang murah di Riyadh. Roti Arab yang berbentuk bulat dan nipis paling popular. Tortila, roti untuk burger dan banyak lagi kalau mahu disenaraikan. Tidak menghairankan kerana roti merupakan makanan utama masyarakat di sini. Rata-rata mereka akan membeli roti terutama dari mall yang menawarkan roti yang masih baru dibakar. Suku dari ruang troli biasanya diisi dengan roti yang dibeli. Ketika bersarapan pagi di kafe hotel, kita pasti terkejut melihat orang-orang Arab yang kebanyakannya akan mengambil roti dalam kuantiti yang agak banyak....penuh pingan. Jumlah yang pasti tidak mampu dihabiskan pada pandangan manusia biasa...namun itulah realitinya. Kerap kali aku perhatikan, bakinya berakhir di tong sampah. Sungguh menyedihkan.
Habis tu..kenapalah aku susahkan diri untuk membuat roti ya. Alasan pertama ialah kebiasaannya roti-roti yang dibeli kerap kali tidak habis kerana bilangannya agak banyak bagi satu pek atau bungkusan. Keduanya, aku mahu belajar membuat sendiri roti sementara masih bercuti. Jadi apabila kembali ke Malaysia nanti senang untuk aku membuatnya kerana resepi-resepi yang aku muatkan di sini semua telah dicuba dan menjadi. Ketiga, pasti roti yang aku hasilkan dengan tanganku sendiri lebih bersih tanpa sebarang pengawet.
Roti Pita sesuai dimakan dengan apa-apa kuah yang berlebihan seperti kari, asam pedas juga sambal tumis. Namun jika roti pita dimasukkan ke dalam poketnya dengan isian tertentu pasti lebih sedap. Untuk entri kali ini hanya homemade roti pita aku muatkan. Dua kali aku membuatnya, resepi ini pastinya sudah aku ubah suai supaya lebih mudah disediakan.
Resepi Roti Pita.
Bahan2:
Bahan A ( sediakan yang ini terlebih dahulu)
1 cawan tepung gandum
1 sudu besar gula
1 sudu besar yis
1 cawan air suam
Semuanya dicampur dan dikacau supaya sekata di dalam
bekas mesin pengadun roti.
Biarkan sehingga terbentuk buih
Bahan B
1 1/2 cawan tepung gandum
2-3 sudu besar tepung whole meal
2 sudu besar minyak zaitun (minyak masak)
Sedikit garam
Cara Membuatnya:
1.Masukkan semua bahan B ke dalam bahan A.
2.Pukul dengan pengadun selama lebih kurang 20
minit atau sehingga elastik (tidak melekat)
3.Tutup dengan plastik dan biar selama 40 minit
atau sehingga naik menjadi dua kali ganda.
4.Uli sekejap dan bahagikan adunan kepada 8
bahagian yang lebih kecil, 60-70 gram setiap satu.
5.Bulatkan setiap doh kecil dan masukkan ke dalam
bekas yang ditabur sedikit tepung. Tutup dan
biarkan selama 10 minit.
6.Canaikan doh menjadi bulat dan biarkan sehingga
naik di atas dulang pembakar.(15-20 minit)
7.Bakar pada suhu 220 C sehingga mengembang
dan terbalik kan roti supaya masak dengan sempurna.
Siap sudah. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan