Bismillahirrahmanirrahim
Beberapa kali aku menangguh untuk menyediakan Nasi Mandi dengan alasan ianya selalu sangat kami makan di luar. Baru-baru ini pun kami menyambut hari lahir Saffura di Restoran Romansiah, kedai makan kegemaran kami. Memang tidak jemu memakan Nasi Mandi atau Nasi Kabshah tapi perlu juga kawal diri. Bukan apa, biasanya sukar untuk menghadkan kuantiti nasi yang dimakan jika dihidang dengan Nasi Arab nih. Cukup nasi, lauk dan sambalnya, satu dulang boleh dihabiskan...ishishish.
Nasi Mandi dari Dapurku D'Riyadh |
Tidak susah untuk menyediakan Nasi Mandi. Kali ini aku memotong ayam kepada dua bahagian seperti yang selalu kami makan di Romansyiah. Selalunya aku lebih suka bakar seekor gitu, nampak lebih menggiurkan. Sehingga kini aku belum jumpa lagi rempah Nasi Mandi yang dijual di mall. Tidak seperti rempah Nasi Kabshah yang banyak dijual sama ada dalam bentuk bungkusan atau di dalam bekas juga dijual dalam bentuk timbangan. Nasi Mandi yang berasal dari Yaman ini memerlukan rempah khas yang dipanggil Hawaij. Rempah ini akan disapu kepada ayam. Pun begitu dalam resepi ini aku menggunakan Arabian Spices sebagai ganti.
Resepi asal adalah dengan membakar ayam yang dialas dengan wire rack yang diletak atas periuk yang berisi nasi. Aku ubah di mana aku memasak nasi secara biasa dan ayamnya aku bakar di dalam oven. Aku juga tidak memasukkan sebarang rempah di dalam Nasi Mandi yang aku sediakan ini kerana aku mahu dapatkan warna nasi yang agak lembut seperti yang biasa kami makan di Romansyiah. Aku letakkan pewarna supaya nampak lebih menarik. Mungkin di lain kesempatan aku akan cuba teknik tersebut kerana wire rack belum dibeli.
Nasi Mandi dan Kebab di Romansiah. |
Nasi Mandi memerlukan asap arang bagi mendapatkan aroma yang enak. Jangan risau, senang sahaja mengasapkannya. Bau bakaran arang yang menyebabkan penghuninya tidak sabar-sabar lagi mahu menikmati nasi Mandi yang disediakan. Seperti biasa Nasi Mandi dihidang bersama sambal tomato yang dikisar bersama cili dan sedikit daun pudina atau ketumbar. Perah sedikit lemon untuk mengurangkan rasa pedas. Juga salad yang dibuat dari campuran daun salad, timun dan tomato yang dipotong dadu.
Resepi Nasi Mandi Ayam Bakar.
Untuk Ayam Bakar
Menyediakan Rempah Hawaij
6 1/2 sudu besar biji lada hitam
1/4 cawan biji jintan putih
2 1/2 sudu besar biji rempah
1 1/2 sudu besar buah pelaga
1 1/2 sudu kecil biji cengkih
3 1/2 sudu besar serbuk kunyit
Sangai atau goreng tanpa minyak kesemua bahan di atas kecuali
serbuk kunyit. Sejukkan dan kisar halus, guna pengisar rempah
atau kopi. Campurkan dengan serbuk kunyit.
Simpan di dalam bekas kedap udara.Guna bila perlu.
Bahan2
1 ekor ayam (dalam 1 kg) -dibelah dua
1 sudu besar rempah Hawaij/Arabian Spices
(kuantiti rempah bergantung kepada individu)
1/2 sudu kecil kunyit
2 sudu besar mentega yang dicairkan
Garam
Cara Menbuatnya:
1.Campurkan semua bahan dan kacau supaya sebati.
2.Sapukan kepada keseluruhan badan ayam.
3.Perap semalaman atau beberapa jam.
4. Bakar ayam pada suhu 200 C ( 425 F ) sehingga kelihatan mulai
keperangan (30 minit).Kemudian turunkan suhu kepada 175 C
(325 F) sehingga ayam masak dan garing. Lebih kurang 1 jam
20 minit.
Siap Ayam Bakar |
Untuk Nasi Mandi
Bahan2
2 cawan beras basmati dibasuh dan direndam 1/2 jam
2 1/2 cawan air atau air rebusan ayam
1 biji bawang besar dipotong dadu
5 biji buah pelaga
5 biji cengkih
1/2 sudu kecil biji lada hitam
1 kulit kayu manis
1 helai daun Bay
2-3 biji cili hijau
2 sudu besar minyak sapi
Satu ketul arang (natural coal)
Aluminium foil
Garam
1 sudu kecil minyak zaitun/masak
Saffron yang direndam dengan air atau
pewarna kuning.
Cara Membuatnya:
1.Panaskan 1 sudu minyak sapi di dalam sebuah periuk.
2.Masukkan bawang besar dan goreng sehingga layu.
3.Masukkan beras dan kacau sekejap.
4.Masukkan buah pelaga, cengkih, lada hitam, kulit kayu
manis, daun Bay, cili, garam dan air.
5.Masak sehingga hampir kering.
6.Perlahankan api dan masukkan pewarna saffron dan 1 sudu
minyak Ghee
7.Biarkan sehingga nasi masak sepenuhnya mengguna
kan api yang paling kecil.
8.Panaskan arang sehingga membentuk bara api. Masukkan
arang ke dalam aluminium foil dan curahkan minyak zaitun
di dalamnya. Letakkan di bahagian tengah periuk dan tutup
periuk dengan penutup. Biarkan sehingga semua asap habis.
*Boleh juga dimasukkan ayam sekali di dalam periuk nasi
sebelum dimasukkan arang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan