Jumaat, 8 April 2016

Travelog : Oh! Riyadh (99) - Mandi Bunga Di Taif

Mandi Bunga Di Taif


Taif merupakan daerah yang cukup istimewa. Terletak di antara kawasan gurun berpasir dan bukit berbatu, Taif memiliki tanah subur serba menghijau. Kawasan sebelah timur Taif adalah Rub'al Khali juga dikenali sebagai Empty Quater yang dipenuhi dengan lautan pasir gersang yang kaya dengan sumber minyak. Sedang di sebelah barat Taif terdapat Baitullah di lembah gersang. Kawasan lembah sekitar bukit Al Hada, Taif begitu subur mungkin sebagai jawapan kepada doa Nabi Ibrahim AS. Doa sewaktu meninggalkan Siti Hajar dan puteranya Ismail agar kota itu dilimpahi air dan buah-buahan. Tidak hairan Taif menjadi pembekal keperluan buah dan sayuran untuk Kota Mekah selama berabad lamanya sehingga kini.

Bumi Taif begitu subur tanahnya sehingga mampu menghasilkan pelbagai jenis buah-buahan seperti lemon, zaitun, aprikot anggur, badam dan delima. Wilayah paling hijau di pergunungan Hijaz ialah Al Shafa tetapi seluruh Taif turut memiliki kebun-kebun sayur dan buah-buahan. Selain terkenal sebagai pengeluar buah-buahan dan sayur-sayuran, Taif juga popular dengan bunga mawarnya. Berabad lamanya, kota ini dikenali sebagai The city of roses. Bunga mawar mekar sepanjang tahun namun kemuncaknya ialah pada bulan April. Terdapat lebih 2,000 ladang mawar yang terletak di Shafa dan Hada yang akan berubah menjadi lapangan berwarna pink (merah jambu). Penanaman bunga ros ini  sebagai hasil komoditi utama untuk menghasilkan minyak wangi dari jenis atar untuk pasaran dunia.

Keinginan aku untuk melihat ladang bunga ros tidak dapat aku bendung lagi setelah beberapa kali tertangguh. Sedang kami berada di Mekah ketika bunga ros sedang mekar. Selepas singgah sebentar di gerai buah-buahan kami meneruskan perjalanan mencari kilang menghasilkan produk bunga ros. Kebetulan sahabatku yang aku panggil Kak Wan sudah singgah di kilang tersebut dua minggu lepas iaitu sewaktu cuti sekolah. Dengan panduan yang dikongsi oleh Kak Wan melalui WhatsApp Family Riyadh kami mencari Hotel Le Meridien. Menurut Kak Wan, kilang tersebut terletak berdekatan dengan hotel tersebut. Dari kawasan gerai buah-buahan kami mengambil jalan ke sebelah kanan dan terdapat papan tanda Le Meridien Hotel di tepi jalan. Hotel tersebut juga dapat dilihat dengan jelas dari tepi jalan kerana ianya merupakan bangunan paling tinggi di kawasan tersebut dengan bentuk yang agak unik.

Kawasan sekitar

Tempat tumpuan untuk piknik


Pun begitu kami tersilap masuk ke kawasan yang kami sangka kan kilang tersebut. Rupa-rupanya ianya adalah rumah penginapan berbentuk chalet. Banyak resort dan hotel kecil di kawasan tersebut.


Ingatkan kilang...rupanya resort.

Tiba-tiba aku terpandang kebun bunga ros yang terletak di kawasan hotel tersebut tapi tiada kilang di situ. Kami terus mencari kilang tersebut dengan melalui jalan berhampiran Hotel Ramada. Di situ kami berhenti sekejap kerana aku ternampak kebun pokok kaktus yang sederhana luasnya. Pokok-pokok kaktus tersebut begitu subur dan sedang sarat dengan putik bunga. Aku teringat akan Dr Hamdi dari Tunisia yang pernah bercerita berkaitan pokok kaktus yang diusahakan di ladangnya di Tunisia. Aku dan Saffura begitu seronok mengambil gambar-gambar di sekitar kawasan tersebut.


Kebun kaktus


Banyaknya putik bunga kaktus
Pasti cantik apabila semuanya kembang.MashaAllah.

Kawasan sekitarnya juga penuh dengan kebun-kebun yang ditanam dengan sayur-sayuran seperti kubis dan brokoli. Bunga-bunga liar pun begitu banyak memenuhi sekitar jalan-jalan yang kami lalui. Apa lagi aku pun mengarahkan Saffura untuk mengambil gambar-gambar tersebut untuk dimuatkan di dalam entri bertajuk Koleksi Bunga Liar Di Arab Saudi. Suamiku membenarkan kami mengambil gambar kebun bunga ros yang kami lihat dari tepi jalan tadi. Itu pun dengan arahan jangan terlalu hampir dan lama berada di situ. Maklumlah tiada kelihatan pemiliknya untuk diminta izinnya. Aku dan Saffura pun mengambil gambar dari jarak yang agak jauh kerana kebun bunga ros tersebut mempunyai pagar yang berkunci.

Kebun sayur
Bunga liar yang cantik

Kebun bunga ros di tepi hotel

Mungkin baru dipetik 


Cantik sangat

Tidak boleh hampir lagi


Kami tidak berputus asa lalu aku menelefon Kak Wan bertanya kedudukan kilang yang dinyatakan.

Kak Wan : Dari pagar utama Hotel Le Meridien Fauziah ambil jalan pertama di sebelah kanan.
                 Ada selekoh kecil di situ. Dari pagar hotel itu pun boleh terbau bunga ros yang sangat                      harum.
Aku         : Kami dah lalu beberapa kali tapi tidak nampak pula. Kilang itu dalam kawasan                                perumahan ya kak Wan?
Kak Wan : Ya, lepas turun bukit  dari pagar hotel ada jalan kecil. Terus saja sampai jumpa                              bangunan warna pink.




Kami melalui jalan yang menuju ke kawasan perumahan sehingga ternampak bangunan berwarna pink yang tertulis perkataan Al Khamal. Seronoknya. Bau semerbak bunga ros terus menyusuk hidung sebaik sahaja aku membuka pintu kereta. Terujanya.

Inilah kilangnya

Terdapat sebuah kedai di situ. Aku bertanya kepada petugas di kedai tersebut dan dia menunjukkan jalan di sebelah kiri. Terdapat kawasan parkir yang luas dan jalan tersebut menuju ke kebun bunga ros yang sederhana besarnya. Di satu bahagian bangunan terdapat ramai orang Arab yang sedang duduk bersantai. Sesekali kedengan suara mereka dengan agak kuat seperti sedang berbuat sesuatu. Jangkaku mereka sedang makan tengahari. Ketika itu baru selesai solat Zohor. Aku dan Saffura agak ragu-ragu untuk mengambil gambar di sekitar kebun bunga ros. Setelah aku yakin keadaan mengizinkan kami berbuat demikian...apa lagi...posing la.

Selamat Datang.


Bunga Ros jenis 'damaskus' @ Rosa X Damascena Trigintipetala sahaja yang ditanam di sini.

Hanya kaler pink

Seronok memandang


Hotel Le Meridien jelas kelihatan di belakang.

Cantik dan harum bau bunga ros.

Selepas puas bergambar di kebun bunga ros, kami pun kembali ke bahagian depan kilang. Kami masuk ke dalam kilang melalui pintu yang terdapat di situ. Suasana di dalam kilang amat bersih dan penuh hiasan gambar berkaitan proses bunga ros di dinding. Tidak ramai pekerja di situ, kami sekadar lalu sambil memberi senyuman kepada pekerja yang ada.

Sendiri masuk.

Di dalam kilang

Kami sampai di satu bahagian di luar yang bersambung dengan tempat untuk menerima tetamu. Kelihatan ramai pekerja berpakaian rasmi Pakistan sedang sibuk mengangkat bunga-bunga ros yang berada di dalam bakul-bakul yang kebanyakannya juga berwarna pink. Aku merasa agak kecewa kerana semua bunga ros sudah dimasukkan ke dalam bakul atau guni cantik. Beberapa orang Arab juga turut berada di situ dan suasana begitu sibuk sekali. Setelah keadaan agak reda aku mengambil kesempatan untuk memegang dan menghidu bunga ros yang masih berada di dalam satu-satunya bakul yang tinggal.

Alat untuk menimbang bunga ros

Ini sahaja yang tinggal 

Minat nampak!

Tiba-tiba seorang Arab berpakaian jubah putih dan agak berusia menyuruh aku duduk di atas alas yang dihamparkan oleh pekerjanya. "sit down, sit down" perkataan tersebut diulang berkali-kali. Suamiku menyuruh aku duduk dan dia juga turut duduk di sisiku. Tanpa diduga salah seorang pekerja  menuang satu guni bunga ros di atas ribaanku. Suamiku menemaniku dan kami rasa begitu seronok sekali. Satu guni bunga ros lagi ditaburkan kepada kami. Terasa begitu istimewa apabila ditimbuni oleh ribuan kuntum bunga ros yang cantik, wangi dan segar.Seperti pengantin baru pula rasanya tambahan lagi kami dikelilingi dengan puluhan pekerja yang sedang menyaksikan gelagat kami berdua. Lebih mengharukan ada ahli keluarga Arab tersebut yang sudi membantu kami merakamkan detik penuh kenangan tersebut dengan telefon bimbitku.

Ribuan kuntum bunga ros di atas riba.

Detik cukup indah di Arab Saudi
Setelah puas bergambar dan menikmati haruman bunga ros, kami pun beredar dengan mengucapkan 'syukran' kepada semua yang berada di situ beberapa kali. Kelihatan para pekerja kembali sibuk memasukkan bunga-bunga ros tadi ke dalam bakul-bakul berwarna pink.

Meneruskan kerja

Kerja2 dilakukan dengan cepat.

Rasa mahu minta sebakul...tapi malu la pulak.

Bunga dimasukkan ke dalam guni berbelang pink untuk dibawa ke kilang.

2 guni bunga ros yang baru sampai

Suasana sekitar tempat bekerja

Kembali menguruskan kerja-kerja.Terima kasih orang Taif yang
baik hati.

Kami kembali ke dalam kilang dan ditunjukkan bagaimana proses memasukkan bunga ros ke dalam bekas untuk tujuan penghasilan minyak ros dan air ros. Mereka begitu mesra pelanggan dan melayan tetamu yang hadir dengan baik sekali. Walaupun kami singgah di situ tanpa sebarang temu janji. Kami juga sempat singgah di kedai yang terletak di situ dan membeli beberapa produk yang ditawarkan. Semuanya akan disentuh di dalam entri berikutnya, In Shaa Allah.






                                                                                                              zias/riyadh/16

















































Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...