Bertemu Sahabat ODOJ Di Kuwait
Dari Abu Amamah ra. aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,
"Bacalah Al Qur'an kerana sesungguhnya ia akan menjadi syafa'at bagi para
pembacanya di hari kiamat" [ H.R Muslim]
Sahabat-sahabat ODOJ yang aku kenali lebih setahun itu tidak berputus asa untuk bertemu denganku. Mereka terus meminta izin untuk bertemu pada petang hari Khamis di lobi hotel. Walaupun aku merasa ianya agak menyusahkan mereka namun jauh di sudut hati, aku rasa gembira untuk bertemu mereka. Sungguh aku tidak sangka mereka sudi bertemu dengan aku sedang aku berhasrat untuk tidak menganggu mereka yang pasti sibuk dengan aktiviti seharian mereka. Pasti aku juga tidak mahu menghampakan harapan mereka yang telah bersusah payah mencari hotel kami semalam.
ODOJ adalah ringkasan dari OneDayOneJuz atau Satu Hari Satu Juz. Secara ringkasnya ianya adalah satu program yang diasaskan oleh Alumni Rumah Qur'an. Program di mana setiap kumpulan yang terdiri dari 30 orang peserta bekerjasama untuk membaca Al Quran. Setiap peserta akan diberi tugasan membaca satu juz setiap hari. Biasanya juz tersebut berturutan, jika hari ini kita membaca juz 1, esoknya kita akan membaca juz 2 dan seterusnya sehingga habis 30 juz dalam masa sebulan. Jadi setiap kumpulan akan khatam Al Quran setiap hari manakala dari segi individu pula, beliau akan khatam Al Quran setiap bulan.
Setiap peserta atau ahli diberi masa selama 24 jam untuk menghabiskan satu juz yang diberikan. Setiap peserta atau ahli diminta membuat laporan kepada pelapor sebelum pukul 4.00 petang waktu Arab Saudi. (Malaysia pada pukul 9.00 malam). Namun lebih cepat dihabiskan bacaannya lebih baik kerana ianya memudahkan urusan semua pihak. Terdapat seorang ketua yang bertanggung jawab untuk memastikan segalanya berjalan lancar. Beliau juga turut memberi motivasi dengan pelbagai kata-kata yang memberi semangat kepada para peserta atau ahli kumpulan. Beliau juga akan membantu peserta dan pelapor. Banyak informasi lain atau tazkirah turut diberikan. Semuanya menggunakan kemudahan laman WhatsApp.
Aku diperkenalkan kepada ODOJ oleh sahabat yang aku kenali di Riyadh yang kami panggil Ummi Fikri. Alhamdulillah semenjak aku melibatkan diri dengan ODOJ, aku mampu menghabiskan bacaan Al Quran sebanyak satu juz setiap hari. Sebelumnya , untuk membaca satu muka surat Al Quran pun terasa begitu banyak sekali. Pada mulanya memang terasa agak terganggu namun setelah setahun aku melaluinya, aku merasa begitu seronok. Lega rasanya apabila sudah menghabiskan bacaan untuk sehari dan mudah untuk melaksanakan tugasan yang lain. Aku berdoa supaya aku terus istiqamah melakukannya selagi hayat dikandung badan. Ini kerana ada juga yang gugur di tengah jalan.
Program ini berasal dari Indonesia, jadi majoriti para ahlinya adalah warga Indonesia. Pun begitu tidak sukar untuk memahami bahasa tersebut kerana kebanyakan perkataannya boleh difahami. Secara jujurnya tidak semua ahli di dalam kumpulan ODOJ yang aku kenali. Ini kerana ada sahaja ahli-ahli baru yang muncul dan ahli-ahli lama yang terpaksa mengundur diri. Kebanyakan ahli kumpulan ODOJ kami tinggal di Indonesia, Arab Saudi dan Kuwait. Ketua kami yang kami kenali sebagai Ummi Abdul Rahman tinggal di Kuwait. Aku diberitahu ada 8 hingga 9 orang ahli kumpulan kami yang tinggal di Kuwait. Walau tidak pernah bertemu namun terasa seperti ada aura persaudaraan yang ikhlas kerana Allah SWT.
Bersama Ukhti Widya dan Ukhti Susy |
Seperti yang dijanjikan Ukhti Widya Umu Fatimah dan Ukhti Susy berada di lobi selepas Asar. Aku ditemani Saffura turun ke lobi untuk bertemu dengan mereka. Banyak yang kami bualkan kerana sememangnya kami hanya sekadar mengenali nama dan tempat tinggal sahaja. Walaupun ada maklumat lain tetapi pasti kami tidak mampu ingat kerana bilangan ahli yang ramai. Jangkaku mereka adalah suri rumah seperti aku yang sedang bercuti. Rupanya mereka adalah perawat (juru rawat) yang bertugas di Kuwait. Aku terkejut kerana di dalam kesibukan, mereka mampu istiqamah dalam ODOJ. Ukhti Widya sudah hampir sepuluh tahun di Kuwait sedang Ukhti Susy masih baru. Kedua mereka berasal dari Bandung, Indonesia.
Anak2 comel Ukhti Widya |
Di Kuwait, wanita dibenarkan memandu. Ukhti Widya boleh memandu sendiri. |
Berpisah setelah bertemu dalam masa yang singkat. |
Banyak yang kami bualkan , tidak terasa masa terus berlalu dengan pantas. Mereka berdua yang hanya ditemani anak-anak kecil perlu pulang sebelum malam menjelang. Sebelum mereka berlalu pergi, dua beg yang padat dengan isi diberikan kepadaku. Semuanya dari rakan-rakan yang berada di Kuwait yang tidak bisa datang melawat aku di hotel. Aku begitu terharu dengan tanda mata dan hadiah yang diberikan. Terasa malu kerana tiada apa yang boleh aku berikan sebagai balasan. Kami berpisah dengan harapan dapat bertemu lagi di lain masa.
Dua beg hadiah |
Malamnya aku dihubungi pula oleh Ukhti Syahrida Mulyawan atau lebih mesra denganUmmi Abdul Rahman. Aku memang berhasrat untuk bertemu dengannya kerana sebagai ketua, aku kerap berhubungan dengannya. Malam tersebut merupakan malam terakhir kami di Kuwait sedang Ukhti Syahrida Mulyawan agak sibuk dengan tugasnya sebagai seorang juru rawat. Tambahan pula ada program oleh Dr Zakir Naik yang ketika itu berada di Kuwait. Alhamdulillah akhirnya kami bertemu pada pukul 9.00 pagi sebelum kami bertolak balik ke Riyadh. Seperti Ukhti Widya dan Ukhti Susy, Ukhti Syahrida begitu peramah. Kami berbual seperti sudah lama kenal dan aku begitu kagum dengannya. Dalam kesibukan berkerjaya, menunaikan tanggung jawab sebagai isteri dan ibu. Ukhti Syahrida juga sedang melanjutkan pelajaran di peringkat master secara separuh masa.
Bersama Ukhti Syarida Mulyani |
Aku yang pernah belajar dalam di peringkat master sambil bekerja amat memahami akan bermaknanya setiap detik masa yang dilalui. Lebih aku kagum, kerana Ukhti Syahrida antara yang terawal khalas bacaan Al Qurannya di dalam kumpulan ODOJ kami. Terasa agak malu juga dengan diri sendiri dan rakan-rakan ODOJ di Kuwait ini. Dari pertukaran maklumat aku dapati gaji juru rawat di Kuwait adalah lebih kurang sama, tidak kira dari masa asal negaranya. Tidak seperti di Arab Saudi bayaran gaji berdasarkan negara asal masing-masing. Di Arab Saudi , jururawat dari Filipina, Indonesia dan India biasanya mendapat bayaran yang lebih rendah berbanding dengan negara lain. Ramai jururawat lelaki atau perempuan yang berasal dari Indonesia di Kuwait dan ramai yang berkahwin sesama sendiri ketika bertugas di Kuwait termasuk Ukhti Syahrida sendiri. Namun kebelakangan ini lebih ramai jururawat dari India menguasai kerjaya tersebut. Tiada pula jururawat dari Malaysia di sini, menurut mereka.
Ukhti Syahrida berasal dari Kalimantan Selatan. Dari perbualan dengannya aku dapati banyak tempat menarik untuk dikunjungi di Kuwait. Dari pantai dan pulaunya terdapat juga ladang-ladang buah-buahan yang menarik untuk dilawati. Kami dipelawa untuk berada lebih lama di Kuwait supaya kami dapat dibawa ke beberapa lokasi menarik yang berada di luar Kuwait City. Apakan daya waktu percutian kami di Kuwait agak singkat. Sememangnya kami tidak berpuas hati kerana tidak berpeluang ke beberapa tempat tumpuan kerana masalah yang kami hadapi dengan GPS yang tidak berfungsi.
Walau bagaimanapun kami bersyukur kerana kunjungan kami ke Kuwait sungguh bermakna. Rehlah kami kali ini lebih kepada memanjangkan silaturrahim dan menjalin ukhuwah. Jika ada rezeki dan masa pasti kami mahu ke Kuwait lagi.
Khas Buat Sahabat ODOJ.
Khas Buat Sahabat ODOJ.
Satu purnama pun berlalu
Namun kenangan tetap di kalbu
Syukran sahabat2 Odojku
Di Riyadh...perkenalan kita
Bumi Kuwait...tempat kita bersapa
Walau baru setahun cuma
Odoj mampu mneyatukan kita
Berbeda bangsa namun satu addin
Setiap hari kita berbicara
Sama2 berkejar menunai janji
Khatam Al Quran bersama setiap hari
Walau satu juz cuma
Dalam helaan nafas seharian.
Sanggup kalian harungi
Setiap rasa payah
Lantaran mahu berukhuwah
Indahnya pertemuan
Bak saudara sedarah
Yang sudah lama terpisah.
Sungguh aku terharu...
Akan keikhlasan yang terserlah
Terasa kerdil pada diri ini yang kerap alpa
Akan erti sebuah persahabatan.
Duhai sahabat2 odojku
Nikmat mengalunkan
Ayat2 Allah, semakin terasa
Selepas bertemu mata dengan kalian
Syukur aku diberi peluang, dorongan dan kekuatan.
Hanya doa yang mampu aku tadahkan
agar Allah membalasnya dengan
Limpahan rezeki buat kalian di perantauan
Bahagia bersama keluarga tersayang
Dan istiqamah dijalanNya.
Jua dengan penuh harapan
Agar kita terus berjemaah
Melafaz kalam Allah
Dan terus bersama
Hingga ke Jannah.
Terima kasih buat semua sahabat di Kuwait termasuk termasuk yang belum aku temui iaitu:-
1. Siti Um Amal
2.Tika Um Aisyah
3.Sri Wahyuni
4.Fairoza Um Ismail
5.Mama Fahrei
6.Sri Astini
Bagi teman pembaca yang bertamu di blog ini, silalah menjadi keluarga ODOJ.Anda pasti akan jatuh cinta dengannya.
http://www.onedayonejuz.org
Tiada ulasan:
Catat Ulasan