Ulang Tahun Pertama Memory ZiaSaf
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sobahul Khair (selamat pagi) / Tobat Masauk (selamat tengahari) / Laila Sa'edah (selamat malam) dan salam ukhuwah buat tetamu Memory ZiaSaf.
Alhamdulillah Blog Memory ZiaSaf menyambut ulang tahun pertama kehadirannya. Walaupun blog Memory ZiaSaf telah diwujudkan lebih awal dari tarikh tersebut tetapi entri pertama hanya diterbitkan pada tarikh 26/4/2015. Tidak aku sangka setahun sudah berlalu. Sebelum ini aku hanya berminat membaca blog di waktu lapang atau ketika mencari maklumat tentang sesuatu. Tidak pernah terfikir langsung untuk memiliki blog sendiri. Membina blog sendiri begitu asing bagiku walaupun ramai antara kawan-kawan yang aku kenali sudah mengorak langkah ke arah itu. Mujur ada Saffura yang rajin mencari dan mencuba, lalu terhasil juga blog milik kami bersama ini.
Idea untuk mengwujudkan blog sendiri ialah bagi menyimpan dua travelog yang sudah aku siapkan sebelum berhijrah buat sementara waktu ke Riyadh. Rasa kecewa terhadap sikap tidak layan penerbit buku akan travelog yang aku hasilkan, tidak aku biarkan begitu sahaja. Aku juga amat maklum pasti penerbit mahukan penulis yang sudah ada nama untuk diberi keutamaan. Lagi pun aku masih baru di dalam bidang penulisan. Tidak mahu apa yang aku tuliskan dan hasilkan tersimpan begitu sahaja, aku mengorak langkah dengan memasukan travelog yang aku hasilkan di dalam blog. Dengan harapan ianya menjadi rujukan oleh sesiapa sahaja yang mencari maklumat berkaitan. Travelog tersebut mencatatkan pengalaman bercuti di New Zealand dan Istanbul. Banyak catatan asal di dalam buku khas setiap perjalanan yang belum aku jadikan travelog. In Shaa Allah akan aku hasilkan kemudian.
Terdapat banyak catatan pengalaman dan gambar-gambar kembara dihasilkan ketika ini namun aku juga tidak mahu melepaskan peluang untuk memberi sumbangan. Mungkin apa yang aku tuliskan atau paparkan hanya perkara-perkara biasa, namun jika dijadikan panduan dan mendatangkan kebaikan kepada si pembaca, pasti ada ganjarannya. Aku mengharapkan ganjaran pahala berterusan sehingga di alam akhirat. Sebab itu aku ingin sekali berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja. Terima kasih wahai pembaca yang sudi singgah di blogku kerana anda memberi pahala buatku.
Dapurku D'Riyadh pula untuk memudahkan aku merujuk resepi-resepi yang pernah aku cuba. Setelah usia meningkat, terasa ingatan semakin berkurangan. Asyik terlupa bahan-bahan yang perlu dimasukkan terutama masakan yang jarang disediakan. Ada juga resepi yang diturunkan oleh saudara terdekat seperti ibu mertua, emak saudara dan juga rakan rapat. Mana mungkin jika aku asyik mahu bertanya setiap kali juadah hendak disediakan. Lagi pula ada di kalangan ahli keluargaku yang agak pandai 'merasa' atau memberi komen. Tahu aje apa-apa bahan yang terkurang atau terlebih. Jadi semua resepi di bawah tajuk Dapurku D'Riyadh telah aku cuba dan sepanjang aku berada di Riyadh.
Sekarang aktiviti memasak menjadi mudah, kerana aku hanya perlu membuka telefon bimbit dan membuka blog aku sendiri. Tidak perlu lagi aku membuka helaian demi helaian buku-buku catatan yang semakin kusam dan dipenuhi warna-warni akibat ditumpahi cili, kicap dan sebagainya. Saffura juga boleh menjadikannya sebagai rujukan apabila mahu memasak makanan kegemarannya nanti. Moga pahala yang berterusan mengalir buat diriku dan sesiapa sahaja yang menjadi penyumbang secara langsung atau tanpa disedari. Walaupun sekadar satu ayat.
Sekali lagi untuk mereka yang tersesat atau sengaja menyesatkan diri di blogku ini uhibbuki (saya sayang awak untuk perempuan)
TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PEMBACA
YANG TELAH SUDI SINGGAH DI BLOG INI.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan