Ahad, 22 April 2018

Visit My Malaysia (3) - Muara Padang Temu Homestay, Melaka.


Kolam renang di Muara Padang Temu Homestay.

Alhamdulillah. Pada 14 April 2018, kami meraikan majlis perkahwinan anak saudara sebelah suami aku di Melaka. 

Bersama pengantin baru - Fatin Farhanah dan Aliff.
Esoknya kami beramai-ramai meraikan 3 pasang pengantin di Umbai, Melaka. Waah...majlisnya begitu meriah , maklumlah 3 sepupu lelaki diraikan serentak. Lebih berseri majlis tersebut dengan kehadiran warga Singapura. Salah seorang daripada pengantin perempuan berasal dari Singapura. Terima kasih wakil tuan rumah kerana memberi layanan yang istimewa termasuk pantun-pantun yang disampaikan secara spontan buat menemani kami ketika makan.


3 pasangan pengantin di atas pelamin


Kami tidak bermalam di kampung seperti biasa sebaliknya mahu merasa tinggal di homestay milik sahabat baik kami. Terletak di Padang Temu, tidak jauh dari Bandar Hilir. 


Muara Padang Temu Homestay

Laluan masuk ke homestay.

Antara kemudahan yang ada. Boleh BBQ.

Ada 2 rumah dengan 3 bilik dan sebuah rumah dengan 2 bilik
RM250 sebuah rumah.


Bilik berada dekat dengan kolam renang

Boleh mandi manda dengan bebas

Tak mampu berenang...berendam jadi la

Aku sempat ke kawasan pantai yang terletak kira-kira 1- 2 minit berjalan kaki dari homestay. Pn Junaidah yang kami panggil Pn Jun membawa aku ke sana. Ada pantai kecil dengan kawasan paya bakau. Kawasan tersebut sesuai untuk aktiviti jogging, berbasikal atau memancing. Paling menarik kita boleh menikmati pemandangan matahari terbenam.

Pantai kecil

Pemandangan matahari terbenam boleh dilihat di sini.

Lokasi memancing yang popular.

Sempat kami melihat muara sungai yang terletak tidak jauh dari kawaasan homestay ini ketika di dalam perjalanan mencari nasi lemak untuk minum pagi. Muara sungai yang dipenuhi bot-bot nelayan begitu cantik dipandang. Gerai menjual ikan segar terletak tidak jauh dari muara sungai. Pulau Besar dapat dilihat dengan jelas di sini. 

Medan Ikan Bakar juga sudah siap pembinaannya. Menunggu masa untuk dirasmikan. Malangnya aku tidak berkesempatan mengambil gambar pemandangan di sini. InshaAllah jika ada peluang di lain waktu.

Bersama Pn Jun yang dahulunya suri rumah sepenuh masa
Kini menjadi usahawan homestay pula.


Kami mendapat layanan yang begitu istimewa ketika tinggal di sini. Sebaik tiba, air kelapa muda menjadi penghilang dahaga di panas yang terik. Nasi lemak dan capati menjadi hidangan di waktu pagi. Malu rasanya dilayan begitu rupa.

Mengenai kemudahan yang ada di sini memang amat baik. Boleh aje melihat dengan lebih dekat di FB Muara Padang Temu Homestay.

Cuma diharapkan penyewa homestay bersama-sama menjaga kebersihan dan memelihara kemudahan yang disediakan.Sikap tidak bertanggung jawab seperti merosakkan kemudahan yang disediakan atau meninggalkan rumah di dalam keadaan kotor harus dielakkan. Biarlah kita sama-sama mendapat pahala kerana bersyukur dapat menikmati kemudahan yang disediakan.

Semoga Allah merahmati Pn Jun sekeluarga. InshaAllah kami akan berkunjung lagi ke Muara Padang Temu Homestay.





Jumaat, 20 April 2018

Rasa Dapurku (272) - Sayur Bayam Dan Cendawan Tiram


BismillahirRahmanirRahim



Bulan Rejab 1439H sudah kita tinggalkan namun kesan peristiwa penting pada 27 Rejab tetap diingati. Hasil daripada Israq Mikraj mewajibkan umat Islam untuk melaksanakan ibadah Solat .Ianya disampaikan Allah SWT secara khusus ketika Rasulullah SAW dipanggil mengadapNya. Ibadah yang amat besar kerana ianya mempengaruhi kehidupan insan. Solat menjadi tiket untuk masuk ke syurga.

Kali ini aku mahu berkongsi satu resepi sayur yang sedap. Suatu masa dahulu ikan bilis dan udang sentiasa menjadi perencah sayur yang aku sediakan, Namun tidak lagi sekarang ini kerana kedua-duanya boleh meningkatkan kandungan kolesterol. Ada sahabat yang memberi petua supaya aku menggunakan bawang putih kisar untuk menambahkan kelazatan masakan sayur. Memang berbeza dan sedap hasilnya.


Resepi Sayur Bayam Dan Cendawan Tiram
Bahan2
1 ikat sayur bayam- bersihkan dan disiang
1/3 barang karot- buang kulit dan potong memanjang
3-4 jagung muda- dibelah 2
1 biji cili merah - dihiris
5-6 keping cendawan tiram
3-4 ulas bawang putih - kisar
1/2 biji bawang besar - dibelah 4
Garam 
1 cawan air

Cara membuatnya:
1.Panaskan minyak di dalam sebuah kuali. Masukkan bawang putih dan goreng sehingga
   wangi dan berubah warna. Hati-hati jangan sampai hangit.
2.Masukkan bawang besar, cili, karot dan garam. Kacau sehingga karot agak lembut  dan 
   masukkan air.Biar mendidih.
3.Masukkan sayur bayam dan kacau. Apabila sudah hampir masak, masukkan cendawan
   dan kacau sehingga semuanya masak/lembut. Tutup api.







Rabu, 18 April 2018

Rasa Dapurku (271) - Oreo Cheese Cake Tanpa Bakar



BismillahirRahmanirRahim




Alhamdulillah ...akhirnya jadi juga cheese cake tanpa bakar. Pernah menyediakan Cheese Cake Mangga namun agak lembut hingga sukar untuk dipotong. Ketika itu kami masih lagi di Riyadh. Percubaan pertama yang gagal mematahkan semangat aku.

Sempena hari jadi Saffura pada hujung minggu lepas, aku nekad untuk mencuba lagi. Pasti kek hari jadi buatan sendiri lebih disukai berbanding dengan kek yang dibeli. Kebetulan pula ada biskut oreo, dapat aku gunakan untuk dijadikan base cheese cake.Kali ini aku menggunakan gelatin jenis Halagel. Lama juga gelatin tersebut tersadai di dalam peti sejuk.


Resepi Oreo Cheese Cake
Bahan2:
250 gram cream cheese (Tatura)
250 gram whipping cream
21 gram gelatin (Halagel)
1/4 cawan susu pekat
1 sudu besar perahan lemon
1 sudu teh esen vanila
1 bungkus biskut oreo
50 gram mentega - dicairkan

Cara Membuatnya:
1.Kisar biskut oreo sehingga halus.Gaulkan bersama mentega cair sehingga boleh dibentuk.
   Asingkan sedikit untuk dimasukkan ke dalam adunan atas kek.
2.Alas acuan dengan kertas pembakar (baking paper).Tekan adunan(1) di dasar loyang 
   sehingga rata. Masukkan ke dalam peti sejuk.
3.Larutkan gelatin di dalam sedikit air, ketepikan.
4.Untuk bahagian atas, pukul whipping cream sehingga bertanduk atau kembang. Masukkan
   cream cheese, susu pekat, perahan lemon dan esen vanilla dan pukul sehingga sebati.
5.Akhir sekali  masukkan bancuhan gelatin dan baki biskut   oreo yang dikisar. Kacau 
   sehingga sebati.
4.Masukkan adunan ke dalam acuan yang berisi biskut tadi. Masukkan ke dalam peti sejuk
   dan biarkan sehingga keras sehingga boleh dipotong.



Hiaslah sesuka hati.

Sabtu, 7 April 2018

Visit My Malaysia (2) - Sabak Bernam, Selangor



1 April 2018, kami berpeluang menghadiri kenduri kahwin anak buah sepupu Aina Afiqah. Orang Kuala Perlis bertemu jodoh dengan orang Sabak Bernam.

Bergambar kenangan bersama pengantin

Rombongan pengantin perempuan.

Selepas selesai majlis kami bergerak kembali ke Kuala Lumpur. Perjalanan selama 2 1/2 jam untuk ke Sabak Bernam agak meletihkan. Ini disebabkan suasana jalan raya yang masih di dalam pembinaan.Dalam perjalanan pulang kami melalui Sungai Besar, Sekincan, Tanjung Karang dan Kuala Selangor.

Kami tidak melepaskan peluang untuk singgah sebentar di kampung Sungai Haji Dorani yang terletak di Sungai Besar. Kami agak terpegun dengan kebersihan kawasan sekitar kampung tersebut. Terutama tali airnya yang nampak bersih. Berbeza dengan kawasan sawah padi yang pernah kami tengok, biasanya tali airnya agak kotor.

Terdapat beberapa homestay yang dibina di tengah-tengah sawah bagi membolehkan penyewa menikmati suasana sawah padi di depan mata.Menarik dan cantik kawasan ini. Boleh datang lagi.

Taliair yang bersih 

Nampak dijaga rapi

Suasana petang yang nyaman

Banyaknya bangau.


Atas titi....hihi

Jom tengok pokok padi yang sedang membesar.....hijau!












Rasa Dapurku (270) - Nasi Lemuni




 BismillahirRahmanirRahim



Cuti sekolah yang lepas telah mempertemukan aku dengan Cu Minah, adik bongsu Almarhum Ayahku. Ada beberapa resepi yang aku tanyakan kepada dia dalam pertemuan singkat itu. Amat besar harapan aku bahawa suatu hari nanti aku dapat meluangkan masa dengan lebih lama dengan Cu Minah supaya resepi-resepi masakannya dapat aku manafaatkan.

Antara hasil masakan Cu Minah yang masih aku ingat ialah Nasi Lemuni. Nasi Lemuni lebih dikenali di sebelah utara tanah air. Ketika itu aku masih di sekolah rendah, Nasi Lemuni bersama sambal sotong itu sangat-sangat sedap. Aku juga masih ingat pokok Lemuni yang ditanam di depan rumah Cu Minah. Daunnya berwarna ungu dan agak rendang walaupun rendah.

Aku mencuba resepi Nasi Lemuni di kampung bersama sambal sotong kering keesokannya. Sayangnya tidak sempat untuk aku ambil gambarnya kerana semua yang ada begitu teringin merasanya. Lalu aku bawa balik daun lemuni yang berlebihan balik ke rumah. Daun itu aku blender dan tapis untuk mendapatkan airnya. Aku simpan di dalam peti sejuk kerana tidak pasti bila mahu memasaknya.

Kali ini aku memasak Nasi Lemuni buat kali kedua namun menggunakan ikan bilis untuk dibuat sambal. Cara membuatnya seperti kita memasak nasi lemak, hanya ditambah air daun lemuni sahaja. Cubalah...ianya memang sedap dan berkhasiat.

Resepi Nasi Lemuni
Bahan2
1 ikat daun lemuni, dikisar bersama air dan ditapis.
2 cawan beras basmati
2-3 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1 inci halia*
bahan * dihiris halus
Sedikit halba
1 batang serai
1-2 helai daun pandan
1-2 cawan santan pekat
Garam

Cara Membuatnya:
1.Beras dibasuh dan dimasukkan ke dalam periuk elektrik.
2.Masukkan air daun lemuni dan semua bahan di atas.
3.Kacau dan biarkan sehingga masak.
4.Hidangkan bersama sambal, timun dan telur rebus seperti nasi lemak.



Daun lemuni berwarna ungu


Air daun lemuni berwarna hitam

Selasa, 3 April 2018

Rasa Dapurku (269) - Bingka Labu Kuning




BismillahirRahmanirRahim



Alhamdulillah kita sudah berada di bulan Rejab, mendekati bulan yang dinanti iaitu Ramadhan. Marilah kita berdoa agar dipanjangkan umur untuk dipertemukan dengan bulan Ramadhan. Dikurniakan kesihatan yang baik untuk melaksanakan ibadah puasa dengan sempurna. 

                           "Allahumma bariklana fii rajab wa sya'ban wa balighna Ramadhan"
                       
                      "Ya Allah, berkahilah kami pada bulan Rajab, Sya'ban dan sampaikanlah
                                    kami ke bulan Ramadhan' [HR Ahmad dan Thabrani]


Kali ini aku ingin berkogsi resepi Bingka Labu dari fizalgk.blogspot.my. Rasanya agak lemak dan manis. 

Resepi Bingka Labu Kuning
Bahan2:
2 cawan labu kuning - direbus dan dilecek*
2 biji telur
2 cawan santan
1/2 cawan susu cair
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan susu pekat manis
1/2 sudu kecil garam
1 sudu esen vanila
2 sudu besar mentega
Sedikit bijan untuk ditabur atas bingka*

Cara Membuatnya:
1. Oven dipanaskan pada suhu 200 C. Loyang disapu dengan mentega dan dipanaskan
    sebentar.
2. Masukkan semua bahan kecuali yang bertanda * ke dalam blender dan kisar sehingga
    adunan tidak berketul. Tuang ke dalam bekas besar.
3. Masukkan labu yang telah dilecek dan kacau hingga sebati.
4. Tuang adunan ke dalam loyang, taburkan bijan di atasnya dan bakar selama 1 jam
    atau sehingga masak. Sejukkan dan potong setelah betul-betul sejuk.



Ramadan Mubarak 1445H/2024M

BismillahirRahmanirRahim   Assalamualaikum. Saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan ber...