Ahad, 30 Mei 2021

Rasa Dapur KaKJee (380) - Nasi Ayam Thai


BismillahirRahmanirRahim




Didoakan semua yang rajin berkunjung ke blog KakJee ini dikurniakan kesihatan. Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada wabak yang sedang mengancam keselamatan negara, iaitu Covic-19. Semoga kita terus mengikut setiap arahan yang diberi kerajaan dalam menjaga SOP yang ditetapkan. Menjaga kemaslahan umum adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita. Pasti akan mendapat ganjaran pahala.

Resipi Nasi Ayam Thai ini sudah dimasak beberapa kali namun tidak sempat diambil gambarnya. Semenjak menggunakan resipi ini, KakJee tidak lagi masak nasi ayam seperti lazimnya. Nasi ayam ini memang sedap dan sangat menyihatkan, tanpa setitik minyak digunakan.

Rebusan ayam hanya menggunakan dua jenis bahan sahaja iaitu halia dan daun ketumbar. Biasanya KakJee guna daun ketumbar tetapi untuk kali ini KakJee guna daun sup/saderi kerana ketiadaan daun ketumbar. Namun rasanya lebih sedap.

Untuk sosnya, boleh sahaja guna sos cili Thai yang dibeli. Disebabkan sos cili Thai sudah habis, KakJee sediakan sendiri sosnya. Rasanya tetap sedap. 

Pastinya KakJee merujuk kepada beberapa resipi Nasi Ayam Thai di Google dan KakJee ubahsuai mengikut situasi semasa. Jom tengok resipinya.

Resipi Nasi Ayam Thai
Bahan2:

Rebusan ayam
1/2 ekor ayam
2-3 akar + batang daun sup/saderi/ketumbar
3 inci halia dihiris membulat dan nipis
Garam dan air secukupnya

Rebus semua bahan di atas sehingga ayam masak. Kuantiti air hendaklah mencukupi untuk digunakan bagi memasak nasi, sup dan sos cili.

Nasi Ayam
2 cawan beras basmati, direndam 30 minit dan ditoskan
3 cawan air rebusan ayam
Ayam yang telah direbus
2 tangkai daun sup/saderi/ketumbar di potong kasar
Sedikit kismis (pilihan)
Sedikit pewarna saffron (pilihan)
Sehelai daun pandan

Masukkan semua bahan di atas ke dalam periuk dan biarkan sehingga kering.
Masukkan kismis dan pewarna saffron yang ditambah sedikit air. Tutup dengan penutup periuk.
Kecilkan api dan biarkan sehingga nasi betul-betul masak.

Sup Nasi Ayam
Boleh terus sahaja guna air rebusan ayam, masukkan hirisan daun sup/bawang dan bawang goreng sewaktu hendak dihidangkan.
Boleh juga tambah sup bunjut dan didihkan jika mahu rasa berempah.

Sos Nasi Ayam Thai
1 biji cili merah*
5-7 biji cili padi hijau*
2  ulas bawang putih *
bahan * dicincang halus
Sedikit air rebusan ayam
Sos cili secukupnya
Sedikit sos ikan
Sedikit kicap
Gula perang secukupnya
Perahan air limau nipis/lemon

Campurkan semua bahan di atas dan kacau sehingga sebati, diakhiri dengan perahan limau.
Rasanya mesti manis, pedas dan sedikit masam.

Hidangkan bersama salad, tomato dan timun.



Selamat mencuba.

Khamis, 13 Mei 2021

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1442H

 

BismillahirRahmanirRahim


Salam Aidilfitri
Eid Mubarak

Taqabbalallahu Minna Wa Minkum

Semoga Allah menerima (puasa dan amal) dari kami dan (puasa dan amal) dari kalian.




Harapan kebanyakan umat Islam untuk meraikan Aidilfitri tahun ini bersama keluarga di kampung tidak kesampaian. Tahun lepas, kita beraya dalam suasana PKP1 dan tahun ini dalam suasana PKP3. PKP kali ini bermula 12 Mei sehingga 7 Jun 2021. Sedih namun redha.

Semoga tiada lagi ancaman pandemik Covic-19 pada tahun hadapan. Aamiin ya Allah.

Seperti tahun lepas KakJee membuat persediaan untuk menyediakan juadah hari raya sehari sebelumnya. Seperti biasa, suami KakJee menganyam daun kelapa untuk dibuat ketupat nasi. Dia memang pakar, sekejap sahaja sudah siap 25 sarung ketupatnya. 

Daun kelapa dan daun untuk ketupat palas boleh dibeli di pasar atau di kedai Acheh. Biasanya dibeli awal supaya tidak kehabiasan.


Siap sarung ketupat nasi

Daun palas dibuka dahulu untuk lembutkannya


Semua juadah siap sebelum berbuka puasa kecuali ketupat daun palas yang KakJee buat pada sebelah malamnya. Sebabnya ialah untuk merasa agar sesuai tahap lemak dan masinnya. Begitu juga dengan kuah lodeh, KakJee sediakan di awal pagi hari raya.


Gantung ketupat nasi selepas dimasak. Petua agar tahan lama.


Sempat buat Kek Buah Kukus, 4 jam nak masak.



Pastinya sambutan pada tahun ini lebih ketat berbanding dengan tahun lepas. Antara larangan yang dikeluarkan oleh MKN termasuklah,

1.Larangan rentas daerah dan negeri kecuali kecemasan, kesihatan, bekerja, temu janji vaksinasi, ekonomi dan pasangan jarak jauh.

2. Tidak boleh anjurkan perhimpunan sosial seperti kenduri, tahlil, majlis makan dan sebagainya.

3.Tidak dibenarkan aktiviti sukan dan rekreasi kecuali secara individu di kawasan terbuka seperti jogging, berbasikal dan bersenam.

4.Semua institusi pendidikan ditutup.

5.Hanya 3 orang sahaja dalam kereta persendirian dan teksi termasuk pemandu.

6.Tidak dibenarkan ziarah rumah ke rumah atau ziarah kubur.

7.Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dihadkan kepada 50 orang.


Aktiviti Hari Raya AidilFitri 2021

8.30      : Solat sunat Hari Raya Aidilfitri di rumah.

9.15      : Bergambar

10.00    : Menikmati juadah  hari raya

11.00    : Menyantuni saudara mara dan sahabat melalui FB dan WhatsApp

1.00     : Rehat

3.00     : Live bersama ahli keluarga melalui WhatsApp

Malam : Menyantuni saudara mara dan sahabat melalui FB dan WhatsApp


Jom menyamu selera di hari raya


Kuah Lodeh, Kuah kacang, Rendang Tok dan Rendang cili padi ayam kampung.

Semua dimasak takde order tau

Ala kadar aje

Menu yang dimasak sendiri memang sedap.

Layan gambar-gambar sempena hari raya yang diterima di WhatsApp atau dilihat di FB.


Keluarga Kakak sulung Puan Hajah Aishah di Bukit Mertajan, Pulau Pinang.



Keluarga Abang Mohd Kamis di Alor Setar, Kedah.



Emak dan keluarga Emy di Sungai Bakap.



Keluarga Almarhum Abang Abdul Razak.



Keluarga Pakcil Din, adik ayah di Felda Gemenceh Negeri Sembilan


Keluarga sepupu Jefri Din

Keluarga sepupu, Siti Zaleha Harun



Keluarga sepupu Siti Khadijah Harun dari Johor



Keluarga sepupu, Zulkafli Harun

Sepupu dan jiran di kampung, Ahmad Fathi Osman

Abang suami, Azmi Basir


Salam Aidilfitri daripada keluarga kecil kami.

Isnin, 3 Mei 2021

Nota Ramadan (6) - Tips Doa 10 Ramadan Terakhir


BismillahirRahmanirRahim




Alhamdulillah kini kita sudah berada di fasa terakhir bulan Ramadan. Melalui penghujung bulan yang dijanjikan dengan satu malam istimewa iaitulah Lailatul Qadar. Kita digalakkan menyiapkan senarai doa-doa untuk dibaca agar tidak ketinggalan mendoakan yang terbaik. Dikongsikan secara ringkas senarai doa yang bukan sahaja memberi kebaikan di dunia bahkah lebih jauh di alam abadi. Insya-Allah. Selamat berdoa.

Bahagian 1 - Pengampunan Dosa

1.Minta ampun ke atas dosa-dosa diri sendiri

2.Minta ampun ke atas dosa ibu bapa

3.Minta ampun ke atas  dosa pasangan

4.Minta ampun ke atas dosa anak-anak

5.Minta ampun ke atas dosa keluarga (sanak saudara, adik beradik)

6.Minta ampun ke atas dosa guru-guru dan ustaz/ustazah

7.Minta ampun ke atas dosa muslimin dan muslimat ( sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia.

 

Bahagian 2 - Keperluan Masa Hadapan

1.Dimurahkan rezeki

2.Diberi sakinah (ketenangan) dalam keluarga

3.Anak-anak dipelihara oleh Allah

4.Minta rezeki diberkati

5.Dijauhkan dari musibah, bala bencana dan penyakit

6.Dijauhkan dari ujian yang tidak mampu untuk kita tanggung

7.Minta hati anak-anak kita tidak berpecah belah

8.Minta orang lain kasih kepada keluarga dan diri kita

9.Dijauhkan dari orang lain yang dengki, khianat, iri hati dan cemburu kepada kita.

 

Bahagian 3- Urusan Ketika Kematian

1.Mohon mati dalam husnul khatimah

2.Mohon mati dijauhkan dari fitnah

3.Mohon dapat mengucap syahadah "Laa  ilaha illahah, Muhammadur Rasulullah"

4.Minta mati sedang dalam beribadah

 

Bahagian 4- Alam Barzakh

1.Jadikan kuburku nanti dari taman-taman syurga

2.Jangan jadikan kuburku dari lubang-kubang api neraka

3.Ya Allah aku takut gelap (terangkanlah kuburku)

4.Ya Allah aku takut sempit ( luaskan kuburku)

5.Ya Allah  Engkau lapangkanlah kuburku sejauh mata memandang

6.Engkau berikanlah rezeki pada ku di dalam kubur nanti

7.Engkau bukakanlah satu pintu nampak tempat dudukku di dalam syurga.

 

Bahagian 5 - Ketika d Padang Mahsyar

1.Ya Allah, selamatkanlah aku dipadang mahsyar

2.Jadikan aku duduk di makam mahmudah (kedudukan yang terpuji)

3.Jadikanlah aku orang yang duduk di bawah perlindungan arashMu

4.Ya Allah, jangan Engkau seksa aku di padang mahsyar

5.Berikanlah suratan amal dari tangan kanan.

6.Padamkanlah dosa-dosaku di dalam kitab-kitab amal

7.Jangan Engkau tunjukkan/tayang dosa-dosaku yang dulu aku lakukan di tayangan amal

8.Tutup dan lindungilah aib-aibku, dosa-dosaku dan kesilapan dulu.

9.Beratkan timbangan amal di sebelah kananku

10.Masukkan aku di dalam golongan yang masuk syurga tanpa hisab.

 

Bahagian 6 - Lintasan Titian Sirat

1.Permudahkanlah aku di dalam melintas titian sirat

2.Jangan jatuhkan aku ke dalam lubang neraka ketika melintas titian sirat

3.Ya Allah tolonglah aku ketika melintas titian sirat

4.Ya Allah percepatkanlah aku melintas titian sirat sepantas kilat

 

Bahagian 7 - Masuk Syurga Allah

1.Ya Allah, kurniakan aku syurga Firdaus

2.Bangkitkan aku bersama Nabi Muhammad SAW di syurga Firdaus

3.Berikan aku berganding, berdamping dengan Nabi Muhammad SAW

4.Ya Allah jauhkanlah aku dari azab api neraka

 

Aamiin.


















Ahad, 2 Mei 2021

Rasa Dapur KakJee (379) - Agar-agar Tembikai


BismillahirRahmanirRahim





Masya-Allah masa berlalu dengan begitu cepat sekali. Kini kita sudah menjejakkan diri di fasa terakhir bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Fasa yang dinanti oleh mereka yang mengharapkan rahmat Allah SWT. Sepuluh hari terakhir yang dijanjikan dengan anugerah satu malam yang amat bernilai iaitu Malam Lailatulqadar. Semoga kita semua beroleh malam tersebut dan beramal di dalamnya.



KakJee mahu berkongsi resipi yang penuh khasiat buah-buahan ini iaitu Agar-agar Tembikai. Resipi daripada KhairulAming yang semakin terkenal di tanah air. Mudah disediakan dan sangat sedap.

Resipi Agar-agar Tembikai
Bahan2:
1 paket agar-agar serbuk - 10 gram
1/2 biji buah tembikai merah
1 biji buah mangga 
3 biji buah kiwi
1 liter air
3/4 cawan gula putih
1 helai daun pandan

Cara Membuatnya:
1.Keluarkan isi buah tembikai sehingga habis. Potong ikut selera.
2.Potong buah mangga dan kiwi ikut bentuk yang disukai.
3.Masak air bersama gula dan daun pandan, apabila mendidih boleh masukkan agar-agar dan kacau sehingga semuanya larut. Sejukkan sebentar.
4.Masukkan buah tembikai, mangga dan kiwi yang dipotong tadi ke dalam bekas kulit buah tembikai. Gaulkan supaya bercampur buah-buah tersebut.
5.Tuangkan agar-agar yang sudah dimasak tadi, gaul supaya sebati/sekata.
6.Sejukkan sehingga agar-agar keras,
7.Potong seperti memotong buah tembikai sebelum dimakan.
8.Boleh dihidangkan untuk berbuka puasa.




 Selamat Mencuba.

Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...