Khamis, 26 November 2020

Rasa Dapur KakJee (371) - Rendang Ayam Cili Padi @ Negori

BismillahirRahmanirRahim





Rendang Ayam Cili Padi ini amat KakJee suka. Pernah sekali cuba buat tetapi warnanya lebih hijau berbanding kuning. Mungkin disebabkan penggunaan cili padi berwarna hijau. KakJee lebih suka warna rendang yang kekuningan. Kali ini KakJee guna cili padi yang berwarna kuning dan oren, jika ada yang merah lebih bagus. Resipi ini diberi seorang rakan, orang Negeri Sembilan. Namun KakJee ubah sedikit dengan menumis bahan yang dikisar dalam minyak. Resipi asal tidak tumis terlebih dahulu. Terus sahaja direneh ayam bersama bahan kisar dan santan cair sehingga ayam kecut.

Untuk menyediakan rendang ayam, KakJee lebih suka menggunakan ayam kampung. Teringin juga untuk guna ayam pencen namun sukar untuk didapati. Ayam Kampung jenama AzZain pun okay juga.

Resipi Rendang Ayam Negori
Bahan2:
1 ekor ayam kampung dipotong ikut saiz yang sesuai
1 1/2 inci kunyit hidup*
1 1/2 inci lengkuas* (lebihkan kepada 2 inci jika rendang daging)
1 genggam cili padi* (lebihkan jika mahu lebih pedas)
Bahan * dikisar bersama.
3 batang serai diketuk hancur (ambil agak panjang-sejengkal)
1 1/2 cawan santan pekat ( 1 1/2 biji kelapa)
2 sudu besar kerisik
1 helai daun kunyit
4-5 helai daun limau purut
Minyak masak
Garam

Cara Membuatnya:
1.Panaskan 1 senduk minyak masak dan tumis semua bahan kisar sehingga wangi.
2.Masukkan ayam dan masak sehingga ayam kecut sedikit. Masukkan santan cair dan masak sehingga ayam kecut.
3.Masukkan santan pekat, kerisik dan serai. Masak hingga agak pekat.



4.Masukkan daun kunyit, daun limau kerisik dan perisakan dengan garam.



Selamat Mencuba.

 

Isnin, 23 November 2020

Visit My Malaysia - Gunung Ledang, Tangkak, Johor.


BismillahirRahmanirRahim




Musim buah duku di Muar, Johor  mendorong kami untuk ke sana awal September. Harga buah duku di Kuala Lumpur agak mahal iaitu RM10 sekilogram. Mencekik darah betul. Rugi pula jika ke Muar hanya sekadar membeli buah duku. Jadi kami mengambil keputusan untuk ke Taman Negara Gunung Ledang yang terletak di Tangkak. 


Simpang selepas Tol Tangkak


Sampai di Pekan Tangkak, terus nampak gerai-gerai menjual buah duku. Terus singgah beli RM20 untuk 3 kilogram. Manis buahnya. Pekan Tangkak agak sunyi, tidak seperti di tahun 1990an, ianya begitu terkenal seluruh negara dengan jualan langsirnya. Selepas kewujudan Nilai 3, terus hilang kemasyuran tersebut. Ada banyak papan tanda untuk ke Taman Negara Gunung Ledang, perjalanan diteruskan ke Sagil.

Tu dia Gunung Ledang.


Info berkaitan taman ini


Bayaran RM1 untuk dewasa dan yuran parkir kereta RM2. Untuk mendaki Gunung Ledang bermula pada pukul 8.00 pagi bersama guide Taman Negara dengan bayaran tertentu. Kami tidak berhasrat untuk mendaki gunung tertinggi di selatan Semenanjung Malaysia ini. Ketinggiannya adalah 1,276 meter. 


Pokok anggerik di kawasan parkir

Terus kami melangkah masuk ke kawasan sekitar mengikut tanda arah ke air terjun. Ada taman herba namun kelihatan tidak berfungsi maklumlah lama kawasan ini ditutup akibat pandemik Covid19.  Kami mengikut sahaja laluan yang disediakan. Semakin lama kelihatan hutan dan kedengaran bunyi deruan air. Seronoknya melihat aliran air yang jernih mengalir di celah batu batan yang pelbagai saiz.

Jom masuk ke dalam hutan.

Ada kawasan mandi manda, kelihatan beberapa keluarga bersama anak-anak sedang mandi. Sekumpulan remaja sedang membakar makanan yang dibawa. Tidak disangka ramai yang ke sini untuk mandi-manda kerana lebih privasi.


Sejuk airnya

Terpegun tengok pokok-pokok besar yang berusia

Waah ada laluan ke kawasan yang lebih tinggi


MasyaAllah ada air terjun di sini.

Best!


Suasana lebih tenang

Seronoknya

Ada tempat berkelah


Ada undang2 ya


Air jernih, banyak ikan

Pokok tinggi menjadikan suasana agak gelap

Jom la turun

Tingginya

Ada kabin hutan dan chalet, namun sudah terbiar. 

Kisah Puteri Gunung Ledang

Kawasan mandi berdekatan kabin hutan dan chalet

Info lagi

Nak balik dah


Masih ada masa lagi untuk kami singgah di Hutan Lipur Gunung Ledang, tidak jauh dari Taman Negara Gunung Ledang. Tempat ini terkenal kerana ada Air Terjun Sagil. Oleh itu ianya  D menjadi tumpuan orang ramai untuk berkelah dan mandi manda bersama keluarga. Sepanjang aliran sungai penuh dengan orang ramai.


Jauh juga kena jalan masuk ke dalam dari kawasan parkir

Kawasan terbuka

Ramai betul



Kita makan dulu

Ada gerai jualan

Ada resort yang cantik


Tidak mampu lagi untuk terus berjalan ke air terjun. Kami meneruskan perjalanan ke Muar, sempat juga pusing-pusing sekitar Bandar Muar. Hasrat untuk menikmati mi bandung yang terkenal tidak kesampaian. Kebanyakan kedai ditutup. Sempat aku membeli 2 kilogram lagi buah duku dengan harga RM7 sekilo. Yang dibeli di Tangkak tadi sudah hampir habis.


Gerai menjual buah duku

Sempat singgah di Jeti Parit Jawa, Muar.





Melepasi Bandar Muar arah ke Melaka, lebih banyak buah duku dijual di tepi jalan. Kali ini harga yang ditawarkan lebih murah iaitu RM5 sekilogram. Aku pun singgah beli lagi 6 kilogram untuk dibawa balik ke Kuala Lumpur. Alhamdulillah sampai di rumah waktu malam. Puas menjamu mata melihat keindahan hutan Khatulistiwa yang masih dipelihara di Malaysia. Puas makan buah duku...11 kilogram tu.😀😂😂



 

Selasa, 3 November 2020

Rasa Dapur KakJee (370) - Kacang Buncis Masak Cili


BismillahirRahmanirRahim




 

Resipi ini KakJee dapat daripada emak saudara yang dipanggil Mak Teh @ Teh. Ianya mudah disediakan dan disukai Saffura walaupun dia tak suka makan sayur. Resipi Teh menggunakan sotong yang dihiris sebagai perencah. Namun untuk kali ini KakJee gantikan dengan udang. Lebih sedap jika guna sotong sebab KakJee memang suka sotong...hihi. Resipi asal juga ada masukkan gula namun bagi KakJee bawang besar sudah cukup untuk memaniskan masakan ini.

Resipi Kacang Buncis Masak Cili
Bahan2
1/ 2 kilogram kacang buncis segar
4 biji cili merah (boleh je tambah cili padi jika nak pedas lagi)
1- 2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
Udang atau sotong (ikut bajet)- dibersihkan
Garam secukup rasa
1/2 senduk minyak masak
1/2 cawan air

Cara Membuatnya:
1.Kacang buncis dihiris menyerong. 
2.Kisar cili merah, bawang besar dan bawang putih.
3.Panaskan minyak masak, masukkan bahan kisar dan goreng sampai wangi.
4.Masukkan kacang buncis, sotong/udang, air dan garam. Kacau sehingga semuanya masak. 
Biar berkuah sedikit. 
5.Hidangkan bersama nasi putih dan ikan goreng.


Selamat Mencuba.

Rasa Dapur KakJee (369) - Jemput-Jemput Pisang


BismillahirRahmanirRahim





Masih ingat buah pisang awak yang KakJee buat Gulai Pisang tempoh hari? Selepas 2 minggu pisang awak pun masak. Alhamdulillah, montel-montel aje. Sedap dimakan mentah namun ada sahaja permintaan oleh ahli keluarga supaya ianya dibuat kuih. Puas juga digoreng untuk sarapan dan berbuka puasa. Esoknya buat cekodoq pula. Sedapkan buah pisang yang masak secara semula jadi tanpa bahan tambahan. Manis sekali. Kali ni sedap pula kuih cekodoq yang KakJee buat sebab tulah boleh dikongsikan. Meh tengok resipi.



Resipi Jemput-jemput Pisang.
Bahan2:
7 biji pisang awak 
3 sudu besar gula perang
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil soda bikabonat
2 cawan tepung gandum
Sedikit air

Cara Membuatnya:
1.Lenyek pisang hingga sebati. 
2.Masukkan semua bahan lain kecuali air. Gaul hingga sebati, jika agak keras adunannya tambah air supaya senang dibentuk nanti. Rehatkan sekejap.
3.Panaskan minyak dalam kuali sehingga panas. Ambil sedikit adunan dengan tangan dalam bentuk membulat  dan masukkan ke dalam kuali. Goreng hingga garing. Toskan.


Selamat Mencuba.
 

Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...