Ahad, 27 September 2020

Rasa Dapur KakJee (362) - Kerabu Pegaga

 

BismillahirRahmanirRahim




Sekali lagi KakJee kongsikan resepi pegaga. Musim hujan selama beberapa minggu ini menjadikan tanaman pokok KakJee begitu menjadi. Syukur Alhamdulillah tidak perlu siram pokok-pokok yang ditanam. Pokok Pagaga Gajah pun semakin segar dan membiak dengan cepat. Jika diambil daun-daunnya yang muda pasti lebih sedap. Rezeki daun pegaga KakJee beri juga kepada jiran-jiran. Daun pegaga jenis ini agak pahit, jika dibuat ulam tidak banyak yang boleh dimakan. Jadi KakJee lebih suka buat kerabu bersama kelapa parut. Memang sedap dimakan dengan nasi, hilang rasa pahit terus.

Sedap nih



Resipi Kerabu Pegaga
Bahan2:
1 mangkuk besar pegaga segar dihiris
1/2 biji bawaang Holland - dihiris
1 biji cili merah dihiris
2 batang serai*
1/2 biji bawang besar*
2 ulas bawang putih*
5 biji cili padi*
1 biji cili merah*
1 inci halia*
Sedikit Ikan bilis/udang kering* (tak letak)
Sedikit lada hitam*
Kisar bahan *
Sedikit minyak masak
Garam
Gula perang jika perlu
1 cawan kelapa parut

Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan bahan kisar tadi bersama garam dan goreng hingga masak/naik bau.


2.Masukkan kelapa parut  dan kacau hingga sebati. Bila masak, tutup api. Biarkan sejuk.
3.Gaul kelapa goreng, pegaga, bawang Holland dan cili merah yang dihiris sehingga rata. Hidangkan.


Selamat Mencuba.


Rasa Dapur KakJee (361) - Masak Lemak Pegaga Sama Ubi Keledek


BismillahirRahmanirRahim



Pegaga memang antara ulam kegemaran kami sekeluarga. Ada banyak jenis pegaga seperti Pegaga Nyonya (Pegaga Kerinting)  yang biasanya dijual di pasar. Pegaga Kampung (Pegaga Ubi Biasa) pula agak susah untuk ditanam namun boleh didapati dengan banyaknya di kawasan berumput di kampung. Pegaga Daun Lebar pula agak jarang KakJee dapat lihat. Pun begitu jenis Pegaga Gajah banyak KakJee tanam kerana ianya mudah membiak dengan suburnya. Tetapi pegaga jenis ini agak pahit.

Banyak pula berbaki daun pegaga yang dibeli suami. Kebetulan ada stok keledek oren, apa lagi timbul idea untuk buat masak lemak. 


Pegaga Nyonya

Pegaga Gajah yang KakJee tanam.


Resipi Masak Lemak Pegaga Sama Uni Keledek
Bahan2:
1 ikat daun Pegaga Nyonya
1 biji ubi keledek dipotong dadu sederhana besar
1/2 biji bawang besar dihiris 
3 ulas bawang putih dihiris
1 helai dun kunyit
1 biji cili merah dihiris
1 cawan santan pekat
Garam
Air

Cara Membuatnya:
1.Daun Pegaga dibersihkan dan disimpulkan.
2.Satukan air secukupnya bersama keledek, bawang putih, bawang besar, cili, garam dan daun kunyit. Masak sehingga ubi keledek lembut.Tambah air jika perlu.


3.Masukkan daun pegaga dan santan. Kacau perlahan sehingga daun pegaga lembut. Tutup api.
Hidang bersama nasi putih. Lebih sedap jika ada sambal.



Selamat Mencuba.


Khamis, 17 September 2020

Rasa Dapur KakJee (360) - Masak Kicap Ikan Bawal


BismillahirRahmanirRahim




 

Ada masanya masakan yang mudah disediakan lebih digemari. Begitulah yang terjadi, tidak disangka Masak Kicap Ikan Bawal yang dimasak KakJee sedap pula. Biasanya jika KakJee kehilanga idea untuk masak lauk buat hidangan makan tengahari, masak kicap menjadi pilihan. 

Resipi Masak Kicap Ikan Bawal.
Bahan2:
2 ekor ikan bawal
3 ulas bawang putih dihiris
1 inci halia dihiris 
1/2 bawang Holland
3-5 tangkai cili padi
1/4 biji paprika hijau dipotong
1/2 biji tomato dibelah
Sedikit serbuk kunyit 
Garam
Kicap manis
Kicap masin
Sedikit air asam
Minyak masak

Cara Membuatnya:
1.Ikan bawal yang sudah dibersihkan dikelar dan digaul dengan kunyit dan garam.
2.Panaskan minyak dan goreng ikan hingga garing.Angkat.
3.Keluarkan  baki minyak goreng ikan, tinggal sedikit dalam kuali.
4.Masukkan bawang putih dan halia. Goreng hingga agak garing.Masukkan bawang Holland, cili padi dan paprika.Kacau sekejap.
5.Masukkan sedikit air asam, air , kicap manis, kicap masin dan garam. Sesuaikan rasanya.
6.Masukkan ikan bawal dan kacau supaya sekata.
7.Masukkan tomato dan kacau sekejap.Tutup api.


Selamat mencuba.

Ahad, 13 September 2020

Rasa Dapur KakJee (359) - Siakap Kengsom



BismillahirRahmanirRahim


Tambah kapsyen

Kebetulan ada Ikan Siakap dan buah nenas, apa lagi KakJee pun minta suami belikan seikat sayur kangkung. Akhirnya hasrat untuk masak resipi ala-ala Thailand pun tercapai. Bagi peminat asam rebus atau asam pedas utara pasti gemar masakan ini. Boleh ratah aje. Resipi diambil dari Azie Kitchen tapi tidak ikut semuanya la. 

Resipi Masak Siakap Kengsom
Bahan2:
1 ekor ikan Siakap
1/4 biji nenas 
1/2 ikat kangkung
2 batang serai diketuk
1 biji limau nipis (ganti dengan limau kasturi)
Garam
Gula- jika perlu
2 tangkai cili merah*
5 tangkai cili padi*
1 biji bawang besar*
5 ulas bawang putih*
Sedikit belacan* (tak letak)
1 inci kunyit hidup*
bahan * dikisar

Cara Membuatnya:
1.Masukkan air secukupnya bersama semua bahan kisar ke dalam kuali. Masak hingga mendidih.
2.Masukkan nenas dan serai. Biarkan hingga nenas lembut. Masukkan ikan dan garam.


Suka guna kuali, senang nak kacau.


3.Setelah ikan masak, tutup api dan masukkan kangkung diikuti dengan perahan jus limau. Kacau.Hidanagkan.

Jumaat, 11 September 2020

Projek 3D Jelli




BismillahirRahmanirRahim

Kali ketiga


Alhamdulillah selepas menghadiri kursus 3DJeli pada 11 Julai 2020, KakJee cuba sedaya upaya untuk berlatih menyediakan 3D Jelli setiap minggu namun tidak upaya. Pun begitu dapat jugalah 3 kali. Penyediaannya memerlukan masa yang agak lama, paling kurang 12 jam. Sabar ajelah.

Kali Pertama - saiz kecil

Kali Pertama - 8 inci


Kali kedua - 8 inci

Kali kedua - 5 inci


Kali kedua - saiz kecil

Kali ke-4
                                                                                            

Ahad, 6 September 2020

Kelas Spaghetti Bolognaise, Sherperd Pie & Lasagna


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh




Pada 24 Ogos 2020 KakJee berpeluang sekali lagi hadir ke kelas memasak di Kolej Komuniti Hulu Langat. Saffura sudah lama meminta agar KakJee belajar masak Bpaghetti Bolognaise kegemarannya. KakJee pula memang peminta Lasagna juga Sherperd Pie. Apabila melihat sahaja jadual kelas, terus sahaja mahu ke kelas walaupun baru sahaja ke sana belajar buat kek hari Jumaat lepas.

Lasagna paling sedap yang pernah KakJee nikmati ialah semasa hightea akhir tahun anjuran sekolah. Waktu itu KakJee adalah Pengerusi Kelab Guru dan kami mengadakan jamuan tersebut di Ancasa Hotel Kuala Lumpur. Masih terasa betapa sedapnya Lasagna tersebut tambahan pula ianya dihidangkan ketika masih panas...sedapnya.

Puas rasanya dapat belajar dan menyediakan sendiri ramuannya. Yuran agak murah iaitu RM80 kita dapat belajar 3 resepi sekali gus. Jom la belajar masak di Kolej Komuniti seluruh negara.


Tengah kacau sos ni..

Sos asas untuk menyediakan ketiga-tiga hidangan. Sedap kan !

Tak cukup pula sos jadi buat sekali lagi.

Tengah buat Sherperd Pie.

Dah siap Sherperd Pie

Lasagna pun dah siap...tunggu nak bakar

Sedap Lasagna buatan sendiri

Khamis, 3 September 2020

Visit My Malaysia - Hutan Lipur Jeram Toi, Jelebu, Negeri Sembilan


BismillahirRahmanirRahim




Awal  pagi 31 Ogos 2020 ketika sedang menyediakan sarapan, tiba-tiba aku mendapat ilham untuk mengajak suami  keluar. Dia terus membuat sedikit pencarian tempat yang sesuai untuk dikunjungi dalam masa sehari. Pastinya kawasan yang tidak sesak dengan orang ramai dan dekat. Akhirnya kami membuat keputusaan untuk ke Hutan Lipur Jeram Toi yang terletak di Jelebu, Negeri Sembilan.
Aku pun terus menyediakan Nasi Lemah Pandan untuk dibawa buat bekalan. 

Pukul 10.00 pagi kami bertolak dari rumah melalui lebuh raya Lekas, yang menghubungkan Kajang- Seremban. Kemudian susur keluar ke arah Jelebu menuju Kuala Klawang. Segar melihat kawasan perkampungan yang penuh dengan pelbagai jenis pokok termasuk durian yang sudah di luar musim. Terasa begitu tenang kerana tidak banyak kenderaan namun ramai yang berbasikal secara berkumpulan.

Ini anggaran masa jika dari Cheras, Kuala Lumpur pada waktu pagi hari bekerja.

Terdapat papan tanda untuk ke hutan lipur tersebut setelah berada di jalan yang lebih luas seolah lebuh raya. Tidak lama kemudian kami sampai, lebih kurang 1 jam perjalanan sejauh kira-kira 100 kilometer. Ada banyak kawasan parkir kereta berhampiran dengan pintu masuk atau lebih jauh sedikit. Masuk percuma namun perlu mendaftarkan nama dan mengambil suhu. SOP yang digunakan pakai sewaktu PKPP. Waktu dibenarkan masuk adalah antara jam 8 pagi hingga 6 petang.

Cantiknya daun macam kat oversea.

Pintu masuk

Aliran air yang cantik di tepi jalan untuk masuk.

Segarnya tengok pokok-pokok nan menghijau

Tempat ini terkenal di kalangan keluarga dan anak muda yang mahu mandi manda sambil menikmati udara yang begitu nyaman. Kami berjalan perlahan-lahan kerana hanya ada satu laluan untuk masuk ke bahagian yang lebih dalam dengan kawasan bertangga. Di bahagian bawah dipenuhi dengan kanak-kanak yang begitu riang mandi manda dengan ditemani keluarga masing-masing. Terasa lapar pula lalu kami mencari tempat yang sesuai untuk duduk menikmati bekalan yang dibawa.


Banyak tangga dan titi.

Duduk ajelah asal dapat menjamu selera

Nasi Lemak Pandan yang sedap.
Lepas makan aku dan Saffura meninjau kawasan berdekatan.

Cantiknya...sejuk sangat airnya

Bestnya kalau berendam.
Aku dan Saffura ke kawaasan air terjun pula.

Ruang mandi yang lebih luas dan dalam di kawasan ke-2.
Untuk kanak-kanak yang besar dan anak-anak muda.

Perlu naik tangga untuk ke kawasan ke-2 air terjun Jeram Toi. Kelihatan air terjun dengan lebih dekat. Hanya orang dewasa yang mandi manda di sini.

Untuk naik ke tempat yang lebih tinggi, ada tangga disediakan...tinggi la juga.
Ketika berada di kawasan ke-2, kelihatan pula air terjun dalam bebarapa tingkat. Kami berdua mengambil keputusan untuk naik melihat apa yang ada. Di kawasan air terjun tingkat ke-3, pemandangan lebih cantik. Tidak rugi menaiki tangga walaupun letih sedikit kerana tangga tersebut agak curam. Bagusnya kami boleh lebih hampir dengan kawasan air terjun di tingkat ini namun kami tidak berani terlalu dekat. Puaslah ambil gambar air terjun yang begitu deras airnya.

Dapat Massage percuma ni.

Tengok aje lah

Suasana begitu mendamaikan
Berada ditengah hutan nan menghijau
Berteman suara alam
Bunyian sang serangga yang entah di mana
Deruman air di depan mata
Aliran air mengalir sejuk
Terkadang pecah mengharung batuan yang keras
Terhasil warna nan memutih...cantik
Pepohon pokok menjulang tinggi
Dedaun hijau bergeser dilanda angin lembut
Seolah berzikir kepada Sang Pencipta
Syukur Ya Allah



Indahnya


Rupanya ada lagi tingkat ke-4. Anak-anak muda naik mandi manda di atas sana. Mulanya aku berhasrat untuk melihat juga situasi di tingkat tersebut. Malangnya hujan turun dengan agak lebat, teruslah kami turun dan mengambil keputusan untuk balik sahaja. Baju pun basah jugalah sedikit.

Nun tingkat ke-4 di atas sana.

Tempat ini menyediakan pelbagai kemudahan seperti tandas, surau dan gerai. Suasananya tidak terlalu sibuk dan sekitarnya bersih. Disebabkan masih awal, kami mengambil keputusan untuk ke Seremban yang terletak kira-kira 28 kilometer sahaja. 

Terasa lapar pula selepas menaiki anak-anak tangga yang tinggi. Apa lagi kami singgah di Nasi Arab Damsyik Empire Senawang (dahulunya dikenali sebagai Nasi Arab Damsyik yang kini sudah pindah di Bangunan Catleya). Special Mashawey Mushakal RM40 untuk dimakan dan Nasi Arab Ayam dan Kambing untuk dibawa balik untuk makan malam. Kedai ini menjadi pilihan kami jika dalam perjalanan balik dari Melaka ke Kuala Lumpur jika lapar.

Hidangan Mix grill atau Mashawey Mushakal dah sampai. Menu baru ni.
Ada lamb chop, ayam bakar, shish taouk, shish kebab,
kofta kebab,kentang goreng dan salad.
Sedap dimakan dengan 3 jenis sos

Alhamdulillah dapat menikmati keindahan bumi Malaysia yang begitu indah anugerah Ilahi. Semoga kita terus memelihara amanah ini.

Travel.Tulis.Terbit.


Selasa, 1 September 2020

Rasa Dapur KakJee (358) - Air Asam Kerisik


BismillahirRahmanirRahim






Air Asam Kerisik cara utara ini memang sedap jika dimakan bersama daging bakar, daging rebus, ikan bakar atau dimakan bersama ulam-ulaman. Sedap sangat. Jom tengok resipinya.

Resipi Air Asam Kerisik
Bahan2:
2 biji tomato segar dihiris nipis
1 biji bawang besar dihiris
2 biji cili merah besar*
5 biji cili padi*
Sedikit belacan* (tak letak)
bahan * ditumbuk bersama tambah sedikit bawang besar
Air asam jawa secukup rasa
2 sudu besar kerisik (buat sendiri)
Garam secukupnya
Sedikit gula jika perlu
Perahan air limau kasturi





Cara Membuatnya:
1.Campurkan semua bahan di atas kecuali perahan air limau kasturi. Perisakan secukupnya. Akhir sekali masukkan perahan air limau dan gaul sebati.
2.Biasanya ia akan berair selepas beberapa lama.
3.Sedia untuk dihidangkan.

Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...