BismillahirRahmanirRahim
Awal pagi 31 Ogos 2020 ketika sedang menyediakan sarapan, tiba-tiba aku mendapat ilham untuk mengajak suami keluar. Dia terus membuat sedikit pencarian tempat yang sesuai untuk dikunjungi dalam masa sehari. Pastinya kawasan yang tidak sesak dengan orang ramai dan dekat. Akhirnya kami membuat keputusaan untuk ke Hutan Lipur Jeram Toi yang terletak di Jelebu, Negeri Sembilan.
Aku pun terus menyediakan Nasi Lemah Pandan untuk dibawa buat bekalan.
Pukul 10.00 pagi kami bertolak dari rumah melalui lebuh raya Lekas, yang menghubungkan Kajang- Seremban. Kemudian susur keluar ke arah Jelebu menuju Kuala Klawang. Segar melihat kawasan perkampungan yang penuh dengan pelbagai jenis pokok termasuk durian yang sudah di luar musim. Terasa begitu tenang kerana tidak banyak kenderaan namun ramai yang berbasikal secara berkumpulan.
Ini anggaran masa jika dari Cheras, Kuala Lumpur pada waktu pagi hari bekerja. |
Terdapat papan tanda untuk ke hutan lipur tersebut setelah berada di jalan yang lebih luas seolah lebuh raya. Tidak lama kemudian kami sampai, lebih kurang 1 jam perjalanan sejauh kira-kira 100 kilometer. Ada banyak kawasan parkir kereta berhampiran dengan pintu masuk atau lebih jauh sedikit. Masuk percuma namun perlu mendaftarkan nama dan mengambil suhu. SOP yang digunakan pakai sewaktu PKPP. Waktu dibenarkan masuk adalah antara jam 8 pagi hingga 6 petang.
Cantiknya daun macam kat oversea. |
Pintu masuk |
Aliran air yang cantik di tepi jalan untuk masuk. |
Segarnya tengok pokok-pokok nan menghijau |
Tempat ini terkenal di kalangan keluarga dan anak muda yang mahu mandi manda sambil menikmati udara yang begitu nyaman. Kami berjalan perlahan-lahan kerana hanya ada satu laluan untuk masuk ke bahagian yang lebih dalam dengan kawasan bertangga. Di bahagian bawah dipenuhi dengan kanak-kanak yang begitu riang mandi manda dengan ditemani keluarga masing-masing. Terasa lapar pula lalu kami mencari tempat yang sesuai untuk duduk menikmati bekalan yang dibawa.
Banyak tangga dan titi. |
Duduk ajelah asal dapat menjamu selera |
Nasi Lemak Pandan yang sedap. |
Cantiknya...sejuk sangat airnya |
Bestnya kalau berendam. |
Ruang mandi yang lebih luas dan dalam di kawasan ke-2. Untuk kanak-kanak yang besar dan anak-anak muda. |
Perlu naik tangga untuk ke kawasan ke-2 air terjun Jeram Toi. Kelihatan air terjun dengan lebih dekat. Hanya orang dewasa yang mandi manda di sini.
Untuk naik ke tempat yang lebih tinggi, ada tangga disediakan...tinggi la juga. |
Ketika berada di kawasan ke-2, kelihatan pula air terjun dalam bebarapa tingkat. Kami berdua mengambil keputusan untuk naik melihat apa yang ada. Di kawasan air terjun tingkat ke-3, pemandangan lebih cantik. Tidak rugi menaiki tangga walaupun letih sedikit kerana tangga tersebut agak curam. Bagusnya kami boleh lebih hampir dengan kawasan air terjun di tingkat ini namun kami tidak berani terlalu dekat. Puaslah ambil gambar air terjun yang begitu deras airnya.
Dapat Massage percuma ni. |
Tengok aje lah |
Suasana begitu mendamaikan
Berada ditengah hutan nan menghijau
Berteman suara alam
Bunyian sang serangga yang entah di mana
Deruman air di depan mata
Aliran air mengalir sejuk
Terkadang pecah mengharung batuan yang keras
Terhasil warna nan memutih...cantik
Pepohon pokok menjulang tinggi
Dedaun hijau bergeser dilanda angin lembut
Seolah berzikir kepada Sang Pencipta
Syukur Ya Allah
Indahnya |
Rupanya ada lagi tingkat ke-4. Anak-anak muda naik mandi manda di atas sana. Mulanya aku berhasrat untuk melihat juga situasi di tingkat tersebut. Malangnya hujan turun dengan agak lebat, teruslah kami turun dan mengambil keputusan untuk balik sahaja. Baju pun basah jugalah sedikit.
Nun tingkat ke-4 di atas sana. |
Tempat ini menyediakan pelbagai kemudahan seperti tandas, surau dan gerai. Suasananya tidak terlalu sibuk dan sekitarnya bersih. Disebabkan masih awal, kami mengambil keputusan untuk ke Seremban yang terletak kira-kira 28 kilometer sahaja.
Terasa lapar pula selepas menaiki anak-anak tangga yang tinggi. Apa lagi kami singgah di Nasi Arab Damsyik Empire Senawang (dahulunya dikenali sebagai Nasi Arab Damsyik yang kini sudah pindah di Bangunan Catleya). Special Mashawey Mushakal RM40 untuk dimakan dan Nasi Arab Ayam dan Kambing untuk dibawa balik untuk makan malam. Kedai ini menjadi pilihan kami jika dalam perjalanan balik dari Melaka ke Kuala Lumpur jika lapar.
Hidangan Mix grill atau Mashawey Mushakal dah sampai. Menu baru ni. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan