Selasa, 31 Mac 2020

Travelog Eropah - Luxembourg



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh



Kembara ke negara Eropah selama sebulan (24/6/2019 -25/7/2019) dengan berkereta merentasi sempadan 12 negara sejauh 9500 kilometer.

Pemandangan di lebuh raya yang penuh dengan motor home.

5 Julai 2019 kami meneruskan perjalanan dari Belgium ke Perancis. Sempat kami singgah di Luxembourg.





Sekitar  Chemin de la Corniche

Kawasan ini dipenuhi dengan saki baki kubu pertahanan yang dibina pada kurun 17. Pemandangan sekitar Luxembourg boleh dilihat dari sini dengan gelaran Europe's most beautiful balcony.


Sebahagian besar kawasan di dataran tinggi.





 Notre-Dame Cathedral


Tak larat jalan boleh naik yang ni


Kelihatan pusat bandar dengan bangunan baru.





Sukar untuk mendapat tempat parkir kereta dan asyik salah jalan sahaja di pusat bandar Luxembourg.
Aku agak kecewa kerana tidak dapat membeli sebarang tanda ingatan terutamanya fridge magnet di sini.....huhu.

Tengok dari kereta sahaja.

Jumpa di Perancis.

Rasa Dapur KakJee (328) - Sambal Cili Hijau & Belimbing Buluh



BismillahirRahmanirRahim


Kita disarankan untuk memperbanyakkan makan buah atau sayur yang kaya dengan vitamin c bagi mempertingkatkan pertahanan badan bagi melawan penyakit. Terutama  sewaktu musim Covid-19 ini. Cili hijau paling tinggi kandungan vitamin c jika dibandingkan dengan cili merah atau cili paprika (yang bulat).Tidak pasti pula untuk cili padi.

Baru aku perasan kenapa Nasi Arab banyak menggunakan cili hijau mentah untuk dimakan bersama nasi. Begitu juga dengan orang Turki yang meletakkan cili hijau bersama dengan kebab. Orang Tunisia pula menyediakan salata dengan menggunakan cili hijau. Sambal hijau Indonesia pula memang teramat sedap. Orang India juga guna cili hijau untuk menyediakan nasi beriani.

Aku pun meminta suami membeli cili hijau dengan jumlah yang lebih banyak setelah mendapat tahu kelebihan cili hijau berbanding cili merah.

Kebetulan jiran sebelah rumah, Puan Salina memberi belimbing buluh yang juga terkenal dengan vitamin c yang tinggi. Aku pun mencuba resepi baru iaitu sambal cili hijau sama belimbing buluh untuk dimakan dengan ulam. Ianya tidak perlu dimasak, sedap juga la.

Pokok belimbing buluh di rumah jiran yang sentiasa berbuah

Kali ini buahnya tidak lebat seperti biasa.

Resepi Sambal Cili Hijau & Belimbing Buluh.
Bahan2:
5 biji cili hijau
5 biji buah belimbing buluh
5-10  biji cili padi
Garam secukupnya

Cara Membuatnya:
Tumbuk semua bahan diatas , tidak perlu terlalu halus. Gaul supaya sekata.
Siap untuk dimakan bersama nasi.


Teruslah berdoa.




Isnin, 30 Mac 2020

Rasa Dapur KakJee (327) - Kuih Siput


BismillahirRahmanirRahim



Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 akan berakhir esok dan disambung lagi 2 minggu bermula pada 1 April 2020. Sama-samalah kita mematuhi peraturan tersebut agar wabak yang dibawa COVID-19 segera berlalu. Jangan lupa untuk terus kekal berdoa dan melaksanakan amalan-amalan baik seperti membaca al-Quran, berzikir, bersedekah serta berbuat kebaikan.

Kali ini aku ingin berkongsi resepi Kuih Siput yang sudah sekian lama ingin aku cuba. Beberapa resepi telah aku kumpulkan namun tidak jadi untuk dicuba. Kerana aku tahu agak cerewet untuk membuatnya dan hasilnya belum pasti lagi. Pernah aku beli sebekas kuih siput dengan harga yang mencecah RM10 namun tidak boleh dimakan kerana agak keras. Tak puas hati betul.

Kebetulan stok makanan ringan sudah habis, tiada kerepek atau keropok untuk dikunyah.Lalu aku pun nekad untuk mencuba, lagi pula semua bahan yang diperlukan ada di rumah. Resepi Che Nom ini diambil dari FB. Banyak juga langkah penyediaannya namun aku puas hati dengan rasanya. 

Resepi Kuih Siput
Bahan2:
500 gram tepung gandum
150 gram majerin
2 sudu besar udang kering
2 ulas bawang putih, hiris nipis
1 sudu besar rempah kari
1 sudu besar serbuk cili
1 1/2 sudu besar serbuk jintn manis 
1 1/2 sudu besar serbuk jintan putih
1 biji telur
5 tangkai daun kari
1 sudu kecil garam
150 ml air

Cara Membuatnya:
1.Goreng bawang putih menggunakan sedikit minyak. Kemudian goreng pula udang kering. Tumbuk halus keduanya.
2.Cairkan majerin dan sejukkan.
3.Gaulkan tepung bersama serbuk rempah kari, serbuk cili, serbuk jintan manis, serbuk jintan putih dan bahan tumbuk tadi.
4.Tuang mentega cair sedikit demi sedikit ke dalam tepung. Gaul dengan tangan sehingga menjadi seperti serbuk roti. Biarkan majerin menyerap ke dalam tepung supaya kuih siput rangup.

Macam serbuk roti

5.Pukul sedikit telur dan tuang ke dalam adunan tepung, diselang selikan dengan air. Gaul sehingga doh menjadi lembut. Tambah air jika doh agak keras.

Biar jadi seketul macam ni.

6.Rehatkan doh seketika.
7.Gentelkan sedikit doh dan tekan ke atas acuan kuih siput.Buat sehingga habis.
8.Goreng di dalam minyak yang banyak. Masukkan daun kari sebelum angkat kuih siput.

Letak tepung supaya tak melekat sesama sendiri .
Mencabar weeh nak habis.

 Selamat Mencuba.

Khamis, 26 Mac 2020

Rasa Dapur KakJee (326) - Apam Pandan


BismillahirRahmanirRahim




Apam Pandan ini amat mudah disediakan, hanya memerlukan masa kira-kira 30 minit sahaja. Bahan paling penting ialah ais cream soda. Tidak perlu guna yis bagai. Cantik rupanya dan gebu. Resepi asal adalah milik Chef Asma dengan meletakkan inti srikaya di dalamnya. Kali pertama cuba aku letak srikaya namun terasa manis pula. Jadi untuk kali kedua aku buat kosong sahaja tanpa inti di dalamnya.

Sesekali guna air bergas.


Resepi Apam Pandan
Bahan2:
3 cawan tepung superfine*
3 biji telur ayam gred A / 4 biji telur gred B*
1 cawan gula putih*
1 cawan ais cream soda*
1 camca besar ovalette*
Sedikit pewarna hijau
1 sudu kecil perasa pandan
Acuan kertas
Srikaya (jika suka)

Cara membuatnya:
1.Panaskan air dalam kukusan sehingga mendidih. Balut penutup kukus dengan kain.
2.Pukul semua bahan bertanda * dengan mixer sehingga putih dan gebu.


3.Masukkan pewarna dan perasa pandan.Kacau hingga sebati.


4.Masukkan adunan ke dalam acuan sehingga paras acuan kertas. Jika mahu tambah srikaya, masukkan adunan kemudian srikaya dan diikuti dengan adunan.

5.Kukus selama 10 minit sahaja dengan api kuat.Siap.



Boleh buat 3 warna macam ni....


Senangkan.Cubalah.

Selasa, 24 Mac 2020

Rasa Dapur KakJee (325) - Petua Rebus Telur Ayam


BismillahirRahmanirRahim



Didoakan semua agar bersabar dalam berhadapan dengan ujian penyakit Covid-19 ketika ini. Sebaiknya kita patuh dengan arahan pihak berkuasa agar bencana ini segera hilang dengan izin Allah.
Semoga kita diberi peluang melalui Ramadhan yang bakal menjelang lebih kurang sebulan sahaja lagi.

Banyak resepi menggunakan telur rebus seperti nasi lemak, mi rebus, sandwic telur, salad dan macam-macam lagi. Kebanyakan kita biasa merebus telur namun mendapatkan telur rebus yang licin dan cantik agak susah. Rupanya ada petua juga bukan pakai main rebus je ya.

Aku kongsikan cara menyediakan telur rebus yang cantik dan licin.

1.Panaskan air di dalam periuk sehingga mendidih.
2.Masukkan telur ke dalam air yang sedang mendidih, sebaiknya guna penapis atau alat yang sesuai
   supaya telur tak pecah.
3.Masak selama 15 minit sahaja.


4.Terus masukkan telur yang sudah masak ke dalam bekas yang telah diisi dengan air paip.
5.Terus kupas, baru cantik kejadiannnya.



Selasa, 3 Mac 2020

Rasa Dapur KakJee (324) Ayam Masak Sate


BismillahirRahmanirRahim

Ayam Masak Sate



Diharap ada yang telah mencuba resepi Ibu Sambal yang dikongsi sebelum ini. Aku ingin berkongsi satu lagi resepi menggunakan Ibu Sambal. Iaitu Ayam Masak Sate. Begitu enak rasanya dan sesuai juga untuk hidangan di hari raya. Resepi Sate warisan ibu mentuaku yang hanya menggunakan bahan asli.

Resepi Ayam Masak Sate
Bahan2:
1/2 ekor ayam dipotong
1 senduk Ibu Sambal
3 batang serai (2 batang ditumbuk halus, 1 batang diketuk)
1 inci lengkuas - ditumbuk halus
1/2 biji bawang besar dihiris
1 cawan kacang tanah, dibakar dan dikisar halus
Air asam jawa
Gula Melaka
Garam

Cara Membuatnya:
1.Masukkan Ibu Sambal ke dalam kuali, tambahkan air, serai dan lengkuas yang ditumbuk halus.
2.Masak sehingga agak sebati dan masukkan air asam jawa, biarkan mendidih.
3.Masukkan kacang tanah yang telah dikisar, serai yang telah diketuk dan ayam.


4.Perisakan ikut. kesesuaian dengan menambah gula melaka dan garam. Tambahkan air jika perlu.
5.Kacau dan biarkan sehingga ayam betul-betul masak dan kuah menjadi agak pekat.
6.Masukkan bawang besar yang dihiris dan kacau sebentar. Tutup api.


 Boleh je makan dengan nasi impit

Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...