Selasa, 22 November 2016

Travelog : Oh! Riyadh (135) - King Abdullah Park Riyadh Dancing Fountain Show


King Abdullah Park Riyadh Dancing Fountain Show


Pintu masuk utama King Abdullah Park

King Abdullah Park Riyadh terletak di Malaz, bandar lama bagi Riyadh. Tidak jauh dari Zoo Riyadh. Kami pernah ke King Abdullah Park pada waktu siang. Kawasan di dalamnya memang luas dan penuh dengan rumput yang terjaga rapi dan pokok-pokok kurma yang menghijau. Ramai yang ke sana untuk berkelah pada waktu siang di musim sejuk. Tetapi keadaan menjadi agak sunyi di musim panas di waktu siang, namun keadaan berubah pada waktu malam. Kami ke sana pada suatu malam di bulan Julai. Di dalam kesibukan berkemas dan menanti hari untuk meninggalkan Riyadh, kami tidak mahu melepaskan setiap detik yang masih tertinggal. Sewaktu kami tiba di sana, kawasan parkir sudah memenuhi setiap ruang meskipun kawasan parkir yang disediakan agak luas. Kami terpaksa meletakkan kereta agak jauh dari perkarangan King Abdullah Park. Dari jauh terdengan suara nyanyian penyanyi nasyid terkenal, Saudara Mahir Zain. Aku dan Saffura tersenyum gembira mendengarnya dan tidak sabar untuk masuk ke sana.


Berhampiran pintu masuk...ramai peniaga menjual pelbagai
barang untuk berkelah serta makanan dan minuman ringan.

Kami dikenakan bayaran sebanyak SAR10 seorang untuk masuk ke dalam taman tersebut, jika waktu siang percuma sahaja. Sebaik sahaja masuk ke dalam taman, lagu nasyid yang kami dengar tadi sudah pun berhenti, begitu juga dengan pertunjukan air dan lampu. Kami terus menuju ke kawasan  yang tadinya penuh dengan orang ramai, kini sudah kosong.


Kami mendekati kawasan tasik yang luas.

Orang ramai mula bersurai, tidak sepadat tadi.
Orang ramai mula kembali ke dataran cantik ini

Aktiviti bergambar kelihatan di setiap penjuru dataran
Kami berjalan-jalan di sekitar taman untuk menanti pertunjukan seterusnya yang kami tidak tahu bila ianya akan bermula semula. 15 minit, 30 minit, 45 minit sehingga melebihi satu jam, tiada tanda-tanda pertunjukan akan bermula. Hampir separuh kawasan taman sudah kami terokai, udara panas yang bertiup menjadikan keadaan tidak begitu selesa. Memandangkan kami bersusah payah mengharungi kesesakan lalu lintas selama hampir satu jam untuk ke Malaz, kami tunggu juga. Lagi pula kami telah pun membayar untuk melihat pertunjukan tersebut. Suasana sekitar semakin riuh dengan kanak-kanak yang begitu seronok beraktiviti di situ. 


Masa untuk keluarga

Kanak-kanak bermain sedang ibu ayah sibuk berbual sesama sendiri

Setiap kawasan menjadi tumpuan untuk berkelah
Buah kurma sudah menguning di pohon.

Jika lapar, ada restoran makanan Arab di dalam taman ini.
Jagung rebus dan popcorn pun ada untuk mengalas perut.
Bersantai

Setiap kawasan mula dipenuhi orang ramai menanti dan menanti
bila pertunjukan akan bermula.

Sabar, sabar dan sabar.

Mercu tanda King Abdullah Park

Hampir dua jam menanti, akhirnya muncul juga apa yang dihajati. Walau hanya lebih kurang 10 minit pertunjukan tersebut namun begitu menghiburkan. Suasana sunyi sepi sepanjang pertunjukan tersebut.

Yes.....sudah bermula













Untuk melihat pertunjukan tersebut dengan lebih jelas, terdapat rakaman melalui Youtube yang dikongsi oleh mereka yang pernah berkunjung ke sana.



zias/cheras/16




Ahad, 20 November 2016

Rasa Dapurku (206) - Sambal Telur Rebus & Ubi Kayu Rebus

 Sambal Telur Rebus & Ubi Kayu Rebus



BismillahirRahmanirRahim

Ubi Kayu rebus yang begitu empuk, sedap dimakan bersama
Sambal Telur Rebus


Hari ini aku cuti dari masak makan tengahari. Kami makan tengahari di Dewan Sri Rembau sempena majlis perkahwinan kenalan kami dari Riyadh. Pn Siti Rahaman Mat Noor, isteri kepada staf yang bekerja di pejabat kedutaan di Riyadh. Tempoh perkenalan kami hanya setahun lebih, namun keramahan dan sikap rendah diri beliau membuatkan aku rasa begitu selesa berkawan dengannya. Kebiasaannya isteri-isteri staf yang bekerja di kedutaan agak sukar didekati....pengalaman orang lain yang pernah aku dengari.

Setelah 5 bulan berpisah...bersama Pn Siti Rahamah
Lantas jemputanya melalui Fb untuk meraikan perkahwinan dua orang anaknya kami terima dengan rasa senang hati. Majlisnya begitu mesra tetamu dan hidangan  juga begitu lazat terutama Daging Bakar Masak Lemak Cili Padi dan Pajeri Nenas. Ayam Panggang juga mampu mencuri selera para tetamu bersama sambal dan ulam-ulaman. Pelbagai juadah pencuci mulut disediakan seperti Cendol, Apam Balik panas, Karipap, Talam Keladi, Talam Ubi Kayu, Tepung Pelita dan Kuih Bakar. Alhamdulillah kenyang betul.

Pengantin 1

Pengantin 2
Sebelah petangnya aku terpaksa masuk bekerja di dapur kerana rasa kenyang makan kenduri sudah hilang. Aku masak Sambal Telur sahaja buat hidangan makan malam. Kebetulan ada sedikit ubi kayu, lalu aku rebus untuk dimakan bersama Sambal Telur tersebut.....ehmmm enaknya.

Resepi Sambal Telur Rebus
Bahan2:
5 biji telur
3 sudu besar cili kering kisar
1 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
Bahan-bahan * dikisar
1/2 biji bawang besar dihiris
1/2 biji bawang besar di belah 4
Air Asam Jawa
Garam
1 sudu besar air Gula Melaka
Minyak masak secukupnya

Cara membuatnya:
1.Telur direbus dan digoreng sehingga berkedut dan berwarna perang.


2.Panaskan minyak di dalam sebuah kuali. Tumis bawang yang dihiris sehingga garing.
   Masukkan bahan kisar , kacau sehingga wangi.
3.Masukkan cili kering kisar, garam dan gula dan kacau sehingga pecah minyak.
   Masukkan air Asam Jawa dan masak sehingga mendidih. Masukkan bawang
   yang dibelah.
4.Masukkan telur dan perlahankan api. Masak sehingga pekat.


Mudah disediakan dan sedap.

Rasa Dapurku (205) - Sira Ubi Keledek

Sira Ubi Keledek

BismillahirRahmanirRahim

Sira Ubi Keledek atau Sira Ubi Stelo (loghat Kelantan)

Resepi kali ini amat ringkas tetapi amat sedap. Di zaman kanak-kanak aku biasa makan Sira Ubi Kayu yang begitu sedap apa lagi jika ubi kayunya empuk dan gebu. Tetapi aku tidak pernah jumpa Sira Ubi Keledek, sehingga baru-baru ini ketika berada di Kelantan. Hidangan pencuci mulut ini dihidangkan ketika jamuan kenduri kahwin anak saudara suamiku yang berkahwin dengan orang Kelantan. Mulanya aku agak ragu-ragu untuk menjamah hidangan tersebut. Namun aku tidak mampu berhenti memakannya setelah merasainya. Aku berpeluang bertanya resepinya pada tukang masak sebelum meninggalkan majlis. Dengan bantuan beberapa blog, aku mencubanya. Mudah sangat untuk menyediakannya

Sira Ubi Keledek yang dimakan di Kelantan.


Resepi Sira Ubi Keledek
Bahan2:
Ubi Keledek berwarna oren
Gula Melaka secukupnya
Daun Pandan.

Cara Membuatnya:
1.Buang kulit ubi keledek sehingga bersih. Potong menyerong dan
   biar tebal sedikit.
2.Gula Melaka dimasak bersama daun pandan sehingga hancur dan
   ditapis.
3.Masak bersama keledek yang dipotong dengan air gula sehingga
   keledek lembut dan masak sepenuhnya.





Rasa Dapurku (204) - Ikan Siakap Bakar Bercili



BismillahirRahmanirRahim

Ikan Siakap yan dibeli begitu segar dan agak besar. Aku pasti jika ianya dibakar, pasti enak sekali. Biasanya ikan yang dibakar aku perapkan sekejap bersama bahan kisar yang terdiri dari bawang putih, bawang besar, serbuk kunyit dan garam. Kali ini aku rajin sedikit, aku masak dahulu bahan perapnya yang terdiri dari beberapa bahan yang menyedapkan rasa. Hasilnya begitu cemerlang, tidak perlu makan ikan bakar di kedai lagi...hihihi.

Ikan Siakap Bakar dan sambal kicap

Resepi Ikan Siakap Bakar Bercili
Bahan2
Ikan Siakap segar
2 sudu cili kering kisar
1 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1 inci halia*
1 inci kunyit hidup*
2 batang serai*
Sedikit lengkuas*
1 helai daun kunyit*
Bahan-bahan * dikisar halus
Sedikit daun kesum
Garam secukup rasa
Sedikit air gula Melaka
Sedikit minyak masak
Daun pisang secukupnya

Cara Membuatnya:
1.Bersihkan ikan dan kelar bahagian badannya.


2.Panaskan minyak di dalam kuali, masukkan bahan kisar dan goreng
   sehingga wangi. Masukkan cili kisar, garam dan gula. Kacau sehingga
   pecah minyak.Sejukkan.

3.Lumurkan pes yang dihasilkan tadi pada keseluruhan ikan. Taburkan
   daun kesum di atasnya dan balut dengan daun pisang.


4.Panaskan kuali di atas api menggunakan api yang perlahan,, masukkan
   sedikit minyak supaya tidak melekat. Masukkan ikan yang dibalut dengan
   daun pisang di atas kuali. Biarkan sehingga masak.
5.Terbalikkan ikan tadi dan biarkan sehingga masak. Jangan terlalu lama.



Sambal Kicap
1 biji bawang besar dipotong dadu
Cili hidup dan cili padi dihiris nipis
Limau kasturi
Kicap manis
Kicap masin

Campurkan bawang besar, cili dan kicap di dalam sebuah bekas.
Perahkan air limau ketika hendak makan ikan bakar.

Bukti sedap...biar gambar berbicara
Sekali lagi ....masukkan petai pula.

Sabtu, 19 November 2016

Travelog : Oh! Riyadh (134) - Bujairy Quater, Ad'Diriyah

Bujairy Quater, Ad'Diriyah

Ad'Diriyah merupakan daerah yang menjadi pilihan utama kami sepanjang berada di Riyadh. Tempat yang paling kerap kami kunjungi jika tidak ke tempat lain dihujung minggu. Banyak entri yang aku tulis berkaitan dengan Diriyah di dalam Travelog Oh! Riyadh. Lembah yang subur yang terletak di Wadi Hanifa ini dipenuhi dengan ladang-ladang kurma yang subur, istana keluarga As Saud, runtuhan bangunan zaman silam, taman-taman yang luas untuk berkelah , kawasan tadahan air  dan rumah-rumah yang unik. 

Ad Diriyah adalah tapak asal  pemerintahan Arab Saudi sekarang di mana negara pertama  Saudi terbentuk pada tahun 1745 (1158H). Di sinilah terbentuknya kerajaan yang diasaskan oleh  Mohammad bin Saud dengan kerjasama Imam Mohammad bin Abdulwahab. Terbahagi kepada beberapa lokasi utama seperti Turaif Quater di mana terletaknya rumah Al Saud yang terletak di atas bukit dan dikelilingi oleh tembok tinggi. Ghusaiba Quater yang menjadi ibu negera pertama bagi Saudi sehingga tahun 1683 Masihi. Bujairy Quater di mana terletaknya masjid, sekolah dan rumah Sheikh Mohammad bin Abdulwahab.


Bangunan yang sentiasa menarik perhatianku setiap kali melalui
kawasan  Bujairy Quater

Akhirnya kami berpeluang untuk singgah dan bergambar sepuasnya

Pintu dan tingkap yang unik terdapat pada bangunan lama ini

Binaan bangunan suku kaum  Najd

Pintunya begitu cantik


Bujairy Quater masih lagi di dalam proses pemulihan dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2017. Pun begitu sebahagian besar kawasan di sekitarnya seperti taman sudah siap dan boleh dikunjungi. Ianya menjadi tumpuan orang ramai terutama di hujung minggu tidak kira siang ataupun malam. Bujairy akan menjadi sebuah gerbang masuk ke daerah bersejarah Ad-Diriyah apabila siap sepenuhnya nanti.

Turaif Quater di mana terletaknya kediaman Al Saud sedang dibaik  pulih


Mendapat pengiktirafan dari UNESCO World Heritage Site



Turaif begitu luas


Di seberang jalan berhadapan dengan bangunan di atas terletak Bujairy Plaza yang menawarkan pelbagai kemudahan. Pelbagai jenama restoran dan cafe memenuhi ruang hadapan plaza ini, yang turut menawarkan kemudahan ATM, kawasan parkir di dalam dan di luar bangunan yang mampu memuatkan kira-kira 250 kereta. Tandas awam yang moden dan bersih turut dibina dan anggota kawalan keselamatan yang sedia membantu. Sebuah bangunan berkaitan Sheikh Mohammad bin Abdulwahab Foundation turut dibina  di samping sebuah masjid  baru dengan nama imam yang terkenal di dunia Arab itu. Tidak ketinggalan taman yang luas dan cantik, sesuai untuk aktiviti berkelah bersama keluarga atau sahabat handai.


Masjid Sheikh Mohammad bin Abdulwahab


Taman yang dilengkapi dengan aliran air.

Hijau , begitu mendamaikan.


Cantiknya

Pokok kurma dan pokok-pokok lain menambah seri suasana
Pintu lagi...

Sekitar Bujairy Plaza akan menjadi begitu sibuk menjelang lewat petang. Ada masanya kami terpaksa pulang begitu sahaja kerana gagal untuk mendapatkan ruang parkir kereta di sekitarnya. Kami mengambil peluang untuk melihat sekitarnya pada waktu malam di hujung minggu pada satu malam di bulan Ramadhan. Rupanya pada waktu malam juga begitu meriah dan suasana sekitarnya lebih indah dengan sinaran lampu memenuhi setiap ruang kawasan yang luas itu.

Menghampiri Bujairy Plaza

Bahagian hadapan Bujairy Plaza

Salah satu kawasan untuk masuk ke dalamnya


Pemandangan  Turaif di seberang jalan

Bnayak ruang untuk berkelah


Kawasan istana bersebelahan Turaif


Turaif di waktu malam

Begitu cantik apabila disimbah cahaya lampu

Pokok-pokok kurma menjadi tanaman hiasan

Buah kurma yang masih hijau

Boleh duduk di mana-mana sahaja

Kompleks Sheikh Mohammad bin Abdulwahab Foundation serta masjidnya

Terdapat laluan di atas bumbung bangunan yang membolehkan pengunjung melalui kawasan tersebut dalam jarak yang lebih dekat. Di atas bumbung tersebut juga terdapat ruang untuk relaks sambil menikmati pemandangan indah seperti  Turaif  di hadapannya.

Pemandangan dari atas bangunan yang dibina laluan pejalan kaki.



Menjadi pilihan untuk berkelah siang  atau malam

Indah bercahaya

Terdapaat  kedai makanan Arab popular  seperti bab el Yemen dan Najd Village


Juga kedai pencuci mulut, ais krim, kebab dan sebagainya

Tempat yang mesti dikunjungi jika berada di Riyadh dan banyak kenangan yang kami lihat di sini. Yang paling penting terdapat beberapa kedai menjual pelbagai barangan cenderahati yang dicari oleh pelancong seperti fridge magnet, key chain dan sebagainya.

Macam-macam ada.
zias/cheras/2016

Ramadan Mubarak 1445H/2024M

BismillahirRahmanirRahim   Assalamualaikum. Saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan ber...