BismillahirRahmanirRahim
Laksa Lemak Utara berlainan sedikit dari Laksa Penang atau Laksa Kedah kerana ada santan di dalamnya. Sebenarnya sudah lama aku mencari resepi yang menjadi kegemaran keluarga kakak kesayanganku, Pn Hajah Aishah Abdul Hamid. Saban minggu Laksa Lemak Utara menjadi hidangan di rumah kakak sulungku ini ketika aku di usia remaja. Pernah aku bertanya kepada kakakku akan resepi laksa yang sedap ini, malangnya kakakku tidak mampu mengingatinya kenapa ianya sudah terlalu lama. Kecewa dan masa terus berlalu.
Baru-baru ini, seorang rakan sekerja yang kami panggil Kak Aina menjamu kami dengan sejenis laksa yang rasa dan baunya seperti yang pernah aku nikmati di rumah kakak aku dahulu. Aku begitu gembira kerana hasrat untuk menikmati Laksa Lemak muncul secara tiba-tiba. Aku masih mampu mengingati aromanya. Seperti biasa, aku tidak pernah malu untuk bertanya resepi kepada tuannya jika ianya bukanlah menu untuk berniaga. Terima kasih Kak Aina kerana sudi berkongsi resepi Laksa Lemak Utara ini. Ikan Sardin adalah ikan yang paling baik untuk menyediakan laksa lemak ini namun jika tiada, boleh sahaja diganti dengan Ikan Kembung
Rupa seperti Laksa Penang tapi rasanya sungguh berbeza. |
Resepi Laksa Lemak Utara
Bahan2:
1 kg Ikan Sardin/Kembung
1- 1 1/2 senduk cili kisar
1/2 biji kelapa diambil santan
1-2 kuntum bunga kantan (dibelah 4)
2-3 batang serai
1 ikat daun kesum
1-2 biji bawang besar*
5-7 ulas bawang putih*
Bahan * dikisar bersama
Asam keping( ikut masam yang dikehendaki)
Garam
2-3 sudu besar minyak masak
Cara Membuatnya:
1.Ikan dibersihkan dan direbus bersama garam dan
asam keping.Sejukkan. Buangkan tulang dan kisar isi
ikan. Iar rebusan ikan disimpan untuk dibuat kuah.
2. Panaskan minyak di dalam periuk dan masukkan bawang
yang dikisar. Kacau sehingga berbau wangi.
3.Masukkan cili kisar dan goreng sehingga garing. Masukkan
serai yang diketuk atau dibelah dua.Kacau sekejap dan
tambahkan air rebusan ikan. Masukkan asam keping dan garam.
3.Masukkan isi ikan yang dikisar bersama daun kesum dan
bunga kantan.Masak sehingga mendidih dan berbau wangi.
4.Masukkan santan dan apabila mendidih, perlahankan api.
Biarkan sehingga masak dengan sempurna dan sedikit pekat.
Siap kuah... |
Bahan lain:
Laksa
Timun*
Salad*
Cili merah dan cili api*
Bawang besar*
Bahan * dihiris untuk ditabur atas laksa
Tak cukup semangkok...kita bagi sepinggan. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan