Jumaat, 31 Mei 2019

Rasa Dapurku (310) - Biskut Sarang Semut


BismillahirRahmanirRahim




Sudah lama aku mahu mencuba resepi ini. Hmmm kali ini aku kuatkan semangat untuk membuatnya. Resepi dari FB Azlina Ina. Tapi aku buat separuh adunan resepinya aje, untuk makan bukan untuk dijual. Dugaan untuk buat biskut ini ialah sewaktu parut dohnya. Adohhh... lama sungguh, mujur buat separuh. Janji dah buat kuih legenda di zaman kanak-kanak dahulu. Cubalah....macam serik aje.

Resepi Biskut Sarang Semut
Bahan2:
500 gram mentega/marjerin
1 1/2 cawan gula kastor
2 cawan tepung gandum
2 cawan tepung jadung
3 cawan tepung kastad
1 biji kuning telur
1 susu kecil esen vanila
Sedikit pewarna kuning lemon
Coklat rice untuk hiasan

Cara Membuatanya
1.Putar gula, mentega dan esen hingga kembang.
2.Masukkan kuning telur dan pewarna kuning, kacau sebati.
3.Masukkan semua jenis tepung, gaul dan uli sehingga jadi doh yang boleh dikepal.
Simpan dalam peti sejuk dalam 30 minit.


4.Parut doh tersebut menggunakan pemarut yang sesuai hingga habis.



5.Guna sudu kecil untuk masukkan doh yang telah diparut dalam cawan kertas yang sesuai
Taburkan coklat rice di atasnya
6.Bakar pada suhu 160 darjah celsius selama 25 minit.






Y

Selasa, 28 Mei 2019

Rasa Dapurku (309) - Biskut Arab



BismillahirRahmanirRahim




Alhamdulillah kita sudah berada di penghujung Ramadhan. Walau sedih kerana Ramadhan akan berlalu, hakikatnya Syawal bakal muncul. Masa untuk menyiapkan beberapa jenis kuih raya  yang mudah dan murah untuk disediakan. Janji sedap. Biskut pertama yang aku buat tahun ini iaitu Biskut Arab bersusu dengan 4 bahan sahaja, Resepi FB Cik Dayang. 

Resepi Biskut Arab.
Bahan2:
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula icing
Minyak sapi secukupnya
Susu tepung secukupnya

Cara Membuatnya:
1.Gaul tepung dan gula, biar sebati.
2.Masukkan minyak sapi sedikit demi sedikit sambil dikacau dengan tangan.Sehingga menjadi doh
yang boleh diuli dan tak lekat di tangan.
3.Bentukkan bulat-bulat ikut saiz yang dikehendaki.Jangan besar sangat kerana ia akan kembang 
sikit ketika dibakar.
4.Bakar pada suhu 160 darjah celcius selama 20 -25 minit.
5.Keluarkan dari oven dan terus gaul dengan susu tepung.





Ahad, 19 Mei 2019

Rasa Dapurku (308) - Mi Hailam

BismillahirRahmanirRahim



Resepi Mi Hailam ini begitu kerap dikongsi dalam ruang FB. Nampak gambarnya pun sudah menggoda, apa lagi nak try la. Resepinya agak mudah dan sangat sedap untuk juadah berbuka puasa. Dimakan sewaktu panas, berebut untuk menambah hingga licin. Peminat mi mesti cuba ni. Cuma aku tak tambah bancuhan tepung jagung dengan air sebab ada yang tidak gemar jika terlalu pekat.

Resepi Mi Hailam
Bahan2:
1 pek mi kuning
10 ulas bawang putih ditumbuk/kisar
1 sudu besar biji lada hitam ditumbuk kasar
1 mangkuk kecil daging yang telah dihiris kecil dan direbus hingga empuk
Udang segar (pilihan berapa ekor)
Air rebusan kulit udang (tak letak)
Sotong dihiris (pilihan berapa ekor)
1 biji buah tomato 
1 biji cili merah dihiris nipis
1/2 kubis dihiris nipis
Sawi dipotong
Kicap masin, kicap manis, sos tiram dan garam secukup rasa


Cara Membuatnya:
1.Panaskan kuali, tumis bawang putih dan lada hitam hingga kuning garing.Masukkan daging bersama air rebusan kulit udang atau air rebusan daging.
2.Setelah mendidih dan daging lembut, masukkan kicap, sos tiram dan garam.
3.Masukkan udang, cili merah dan tomato.Kacau sebentar, masukkan kubis.



4.Setelah mendidih masukkan sawi dan bancuhan tepung jagung (jika suka- anggaran 2 sudu besar tepung jagung dikacau dengan air).
5.Akhir sekali masukkan mi kuning, gaul rata dan angkat untuk dihidangkan.

Selamat menjamu selera.









Rasa Dapurku (307) - Kacang Tepung Berempah



BismillahirRahmanirRahim




Tak tahu nak kunyah apa selepas solat tarawih?Kacang Tepung Berempah ni memang sedap dikunyah. Sedar-sedar dah habis separuh bekas. Kesukaan saya nih. Murah dan mudah untuk disediakan. Nak lagi power letak je cili api, lagi best. Jangan sampai sakit perut sudah...cubalah.


Resepi Kacang Tepung Berempah
Bahan2:
250 g kacang tanah yang telah dibersihkan dan dikeringkan.
2- 3 ulas bawang putih
1 sudu besar serbuk cili (nak tambah lagi pun boleh)
1 sudu besar gula
1 1/2 susu kecil garam
3 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar tepung beras
1 biji telur
Minyak untuk menggoreng

Cara Membuatnya:
1.Campurkan semua bahan kecuali tepung dan gaul hingga sebati.
2.Masukkan tepung gandum dan tepung beras, gaul sebati.
3.Panaskan minyak, goreng kacang dengan api sederhana. Ceraikan kacang sebelum
masukkan ke dalam minyak supaya lebih mudah digoreng dan tidak melekat satu sama lain.
4.Goreng hingga garing, angkat dan toskan. Pastikan kacang masak sepenuhnya tetapi tidak
terlalu garing.
5.Simpan dalam bekas kecap udara selepas sejuk





Bagi mereka yang begitu bersimpati dengan nasib yang menimpa warga Palestin, inilah masanya untuk bertindak. Berkorban sedikit bajet untuk hari raya kita dengan bersedekah kepada anak-anak yatim Palestin. Semoga hari raya Aidilfitri tahun ini lebih memberi makna kepada kita juga mereka.




Jumaat, 10 Mei 2019

Rasa Dapurku (306) - Kuih Onde onde Buah Naga




BismillahirRahmanirRahim




Biasanya Kuih Onde onde atau kuih Buah Melaka berwarna hijau ya. Kali ini aku buat kuih onde-onde warna pink  pula. Memang cantik warnanya dan rasanya pun macam onde onde biasa. Paling penting warna  cantiknya adalah asli,  diambil daripada buah naga yang banyak khasiatnya. Jika ada yang tidak gemar makan buah naga secara mentah, elok juga dibuat kuih onde onde..kan...

Resepi Onde-onde Buah Melaka
Bahan2:
1/2 biji buah naga
1/2 cawan air
2 cawan tepung pulut (tambah lagi jika perlu)
Gula Gerek/Melaka ( dihiris)
Kelapa parut *(putih sahaja)
Sedikit garam*

Cara Membuatnya:
1.Kisar buah naga bersama air, tapis.
2.Masukkan tepung pulut ke dalam bekas dan tambah air buah naga sambil digaul. Masukkan air sehingga membentuk doh yang boleh diuli (tak lekat di tangan). Uli sebentar dan biarkan lebih kurang 20 minit.
3.Ambil sedikit doh mengikut saiz yang dikehendaki. Masukkan gula di tengah dan bentuk jadi bulat.
4.Rebus air di dalam periuk sehingga mendidih. Masukkan onde-onde tadi dan masak sehingga timbul, biar lama sedikit supaya gula di dalamnya betul-betul cair. Angkat dan tapis.
5.Gaulkan dengan kelapa yang dicampur garam.
Dah siap.




Khamis, 9 Mei 2019

Rasa Dapurku (305) - Popia Nestum


BismillahirRahmanirRahim



Kali ini aku ingin berkongsi satu resepi yang sesuai dibuat bila-bila masa sahaja. Juga sangat sesuai buat hidangan di hari raya nanti. Proses memotong dan mengasingkan kepingan kulit popia agak memakan masa sedikit. Namun yang lain senang sahaja prosesnya. Hmmm sedap ...sekali hadap satu balang pun tak perasan.

Resepi Popia Nestum
Bahan2:
1 bungkus kulit popia besar (50 keping)
1 1/2 cawan Nestum
1/2 cawan serbuk horlicks
1/2 cawan gula
minyak masak

Cara Membuatnya:
1.Potong kulit popia ikut saiz yang dikehendaki.Potong kulit popia kepada 4 bahagian.
Kemudian potong kepada beberapa bahagian lagi supaya berbentuk segi empat yang sesuai.
kecil.Asingkan kepingan kulit popia menjadi sekeping-sekeping.Biarkan sebentar.
2.Goreng dengan api sederhana sehingga garing atau keperangan.Tos dan sejukkan.
3.Nestum, gula dan serbuk horliks dikisar halus.
4.Masukkan kepingan popia yang digoreng dalam bekas besar. Campurkan bahan kisar tadi dan 
gaul supaya rata.


Campur semua dan gaul.

5.Simpan dalam bekas kedap udara. 





Sedap..



Selasa, 7 Mei 2019

Rasa Dapurku (304) - Coleslaw


BismillahirRahmanirRahim







Coleslaw KFC memang menjadi pilihan jika makan-makan di KFC. Semenjak mencuba Resepi Coleslaw ala KFC  dari blog Cik Epal, selalu juga la aku buat sendiri. Ada je stok kubis di dalam peti sejuk. Tersangat mudah membuatnya.Terima kasih Cik Epal.

Resepi Coleslaw
Bahan2:
1/4 bahagian sayur kobis (tengok saiz)- potong kecil
1/2 batang lobak merah- potong dadu dan kecil
1 sudu besar jus lemon
5 sudu besar mayonis
1/4 cawan susu segar
1 sudu besar gula putih
Sedikit serbuk lada hitam
Sedikit garam

Cara Membuatnya:
1.Masukkan hirisan kubis dan lobak merah ke dalam mangkuk besar.
2.Masukkan susu segar, mayonis,  jus lemon ,gula, garam, dan lada hitam.Gaul supaya sebati.
Rasa supaya sesuai dengan selera.
3.Masukkan dalam bekas yang sesuai dan tutup. Sejukkan di dalam peti sejuk.



Jom ulangkaji

Ahad, 5 Mei 2019

Rasa Dapurku (303) - Kuah Yong Tau Fu



BismillahirRahmanirRahim




Selamat Datang wahai Ramadhan, wahai bulan ibadah, wahai bulan kebahagiaan 

Alhamdulillah kita sudah melangkah ke dalam bulan Ramadhan 1440H. Semoga dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat beribadah sebaiknya. Terpenting setiap ibadah diterima Allah swt.

Kali ini aku ingin kongsikan resepi kuah Yong Tau Fu yang diambil dari FB Rasa. Setelah mendapat tahu ada kedai yang menjual bahan-bahan untuk Yong Tau Fu, aku pun tidak berlengah lagi. Terus mencari resepi untuk menyediakan kuahnya. Minat sungguh dengan Yong Tau Fu ni.





Semua bahan Yong Tau Fu ini dijual dalam pek khas yang mengandungi tauhu kering, kek ikan, bebola ikan dan macam-macam lagi. Tinggal cari kangkung sahaja.

Resepi Kuah Yong Tau Fu
Bahan2:
4 sudu besar cili kisar (boleh guna cili serbuk)
4 sudu makan gula merah
1 inci belacan- dibakar (tak letak)
3 sudu besar sos tiram
Sedikit serbuk pati ayam/perisa (tak letak)
Garam secukupnya
2 cawan air
2 sudu besar kicap pekat
Sedikit sos ikan
2 sudu besar minyak
Bancuhan tepung gandum secukupnya

Cara Membuatnya:
1.Masak gula merah bersama air sehingga larut.Tapis.
2.Masukkan air gula ke dalam periuk.Tambahkan cili kisar, sos tiram, serbuk perisa, garam, kicap
pekat, sos ikan dan minyak masak.Masak dengan api perlahan sehingga mendidih.
3.Setelah mendidih, masukkan bancuhan tepung ikut kepekatan kuah yang dikehendaki. Biar kuah masak lama sedikit supaya rasanya lebih sedap. Setelah rasanya seimbang, padamkan api.
4.Bahan-bahan Yong Tau Fu hendaklah direbus sekejap dan dipotong.Sedia untuk dihidangkan.


Ehhhmmmm  sedap la.


Kedai menjual produk Muslim yang halal dan bersih.




Jumaat, 3 Mei 2019

Rasa Dapurku (302) - Pes Tomyam



BismillahirRahmanirRahim



Didoakan agar kita semua dapat bertemu dengan Bulan Ramadhan yang dinanti. Banyak persediaan yang harus dibuat sebelum fajar Ramadhan menjelma. Ianya bagi memastikan hari-hari yang bakal dilalui diisi sebaiknya. Maklumlah ianya muncul setahun sekali. Sebaiknya aktiviti membeli baju raya, kuih raya, membersihkan rumah sudah dibuat. Agar ibadah puasa berjalan dengan lancar.

Untuk menjadikan segala perbuatan kita menjadi ibadat, ianya perlu dimulakan dengan niat atau doa.Jika tidak sempat cukup sekadar melafazkan BISMILLAH. Insya-Allah akan mendapat ganjaran dari ALLAH. Jom kita perbanyakkan ucapan BILSMILLAH di sepanjang bulan Ramadhan tahun ini.

Tomyam antara resepi yang menjadi pilihan buat kita saat berbuka puasa. Apa kata kita sediakan pes tomyam agar memudahkan urusan memasak terutama bagi mereka yang bekerja. Cuba sebaik mungkin untuk menyediakan sendiri hidangan berbuka puasa agar lebih berkat dan sihat.

Pes Tomyam ini sudah lama berada di FB, tergerak hati untuk membuatnya. Mudahnya kerja memasak tomyam apabila menggunakan pes tomyam ni. Sekadar rebus dan masukkan apa bahan yang diinginkan. Sedapppp. Jika terdesak boleh juga gunakan pes tomyam ini untuk buat Paprik tapi perlu tambah sedikit sos tomato dan kicap.Nak buat nasi goreng tomyam pun boleh. Pendek kata mudah betul kerja memasak.


Resepi Pes Tomyam
Bahan2:
2 biji bawang besar
4 biji cili merah
10 biji cili kering
2 inci lengkuas
4 batang serai
2 sudu besar udang kering
6 helai daun limau purut
2 inci belacan (tak letak)
air asam jawa,
garam
gula (pilihan)
sedikit minyak masak

Cara Membuatnya:
1.Kisar semua bahan kecuali air asam jawa, garam dan gula bersama sedikit air.
2.Panaskan minyak masak, tumis bahan kisar sehingga naik bau.
3.Masukkan air asam jawa, garam dan gula. Masak sehingga pecah minyak dan menjadi pes.
4,Sejukkan dan simpan dalam peti sejuk.

Cara Memasak Tomyam Ayam
1.Rebus ayam bersama air, serai yang diketuk, lengkuas yang diketuk dan pes tomyam (ikut
kepekatan yang dikehendaki).Masukkan juga sos ikan (pilihan)
2.Masukkan cili padi yang diketuk, sayur seperti lobak merah, jagung, bunga kubis, daun 
limau purut, hirisan bawang Holland dan perisakan dengan garam secukupnya.
3.Masukkan buah tomato yang dihiris.Perahkan air limau nipis/sambal  secukupnya dan tutup api.
Boleh letak daun ketumbar untuk aroma lebih sedap.



Pes Tomyam - baki yang tinggal.



Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...