Khamis, 22 Mac 2018

Visit My Malaysia


JANDA BAIK , PAHANG


BismillahirRahmanirRahim

Visit My Malaysia  untuk memperkenalkan tempat-tempat menarik di Malaysia. Aku mulakan dengan lawatan kami ke Janda Baik yang terletak di Bentong, Pahang. Merupakan sebuah kampung rezab Melayu yang terletak di lereng Banjaran Titiwangsa, sekitar 600 meter dari paras laut.


Pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti mandi sungai, berbasikal, meredah hutan dengan menaiki ATV atau quatbike. Boleh melawat ladang buah-buahan seperti buah tin, markisa atau durian. Banyak ladang sayur-sayuran. Ada perkampungan orang asli. Beberapa lokasi air terjun tetapi kami tidak jumpa  atau cari.

Rumah penginapan seperti chalet, resort dan homestay yang terdiri daripada pelbagai peringkat sehingga yang mewah pun ada. Dibangunkan berhampiran sungai jadi termasuk dalam pakej sungai tersebut. Ada juga kawasan mandi awam dengan disediakan pondok untuk disewa. Tidak boleh sesuka hati masuk ke dalam sungai dan mandi.

Makan minum tidak perlu risau kerana banyak kedai makan yang menawarkan pelbagai pilihan makanan bermula dari awal pagi.

Semasa berada di kebun buah tin, suasana terasa seperti di Cameron Highland. Udaranya lebih sejuk berbanding di Kuala Lumpur dan nyaman rasanya. Banyak anak sungai mengalir melalui kampung, amat sesuai untuk berkelah dan berkhemah. Deruan air sungai yang mengalir cukup menenangkan. Ada bunga berwarna kuning terang dari pokok besar sekitar sungai yang memberikan bau yang cukup harum.

Tarikh  : Mac 2018
Lokasi  : Janda Baik, Bentong Pahang.
Jarak     : 50 ++ kilometer dari Cheras.
Masa Perjalanan : 1 jam melalui Lebuhraya Karak


Cantik...kalah sungai kat New Zealand


Jalan ke Janda Baik , melalui R&R Genting Sempah.

Pintu Gerbang  ke Janda Baik


Banyak kedai makan di tepi jalan

Sungai berhampiran Sekolah Kebangsaan Janda Baik


Kebun  buah tin. Pokok buah tin untuk dijual semurah RM80 sepokok yang kecil


Pemilik kebun buah tin


Ditanam di dalam kawasan khas.

Buahnya sebesar buah epal. Daun untuk buat teh.
Sempat beli RM15 untuk 2 biji. Menyesal hanya beli 4 biji.
Manis dan sedap.Nak lagi....

Kebanyakan laluan sungai adalah milik persendirian. Perlu menyewa chalet atau pondok yang disediakan.

Melepaskan geram, makan dalam sungai sebab tak boleh mandi...huhu


Titi menghubungkan jalan dengan chalet yang disediakan

Sungai kecil berhampiran kebun buah Markisa dan sayur-sayuran.Pokok durian pun banyak.

Laluan air sungai. 
Sekitarnya sunyi....puas ambil gambar


Chengal Hill Retreat, macam best je 


Chengal Hill Retreat


Banyak sungai-sungai, tidak jauh dari Teratak Pak Lah

Kawasan berkelah terletak di tepi jalan raya utama ke Janda Baik


Ada pondok untuk disewa.

Puas tengok kehijauan dan sungai di Janda Baik. Rasa mahu pergi lagi tapi mesti bermalam supaya banyak aktiviti dapat dibuat. Dalam perjalanan balik, kami melalui jalan lama ke Bentong. Ada air terjun di sebelah kiri jalan.Waah bestnya, namun tiada orang di sekitarnya menjadikan kami takut untuk duduk lebih lama di situ.






            "Dan Dialah Tuhan yang membentangkan bumi dan menjadikan gunung-gunung 
             dan  sungai-sungai   padanya. Dan   menjadikan   padanya   semua  buah-buahan 
             berpasang-pasangan,  Allah  menutupkan  malam  kepada  siang.  Sesungguhnya 
             pada  yang   demikian  itu  terdapat   tanda-tanda  (kebesaran  Allah) bagi kaum
             yang memikirkan."     [Al Quran surah Ar Ra'd , ayat 3]












Ahad, 11 Mac 2018

Rasa Dapurku (268) - Ikan Cencaru Bakar Sumbat Sambal


BismillahirRahmanirRahim





Ikan Cencaru belah belakang yang disumbat dengan sambal atau sambal kelapa memang sedap jika digoreng. Diratah begitu sahaja pun sedap. Hujung minggu boleh membakar ikan, teringin pula mencuba ikan belah belakang yang disumbat dengan sambal. Boleh dimakan begitu sahaja atau dicicah dengan kuah kicap.

Kini aku sudah pandai membelah belakang ikan cencaru atau ikan kembung. Senang sahaja rupanya. Gunakan pisau yanag agak tajam terutama di hujungnya. Cucuk hujung pisau di bahagian atas atau bawah belakang ikan. Kemudian terus belah sehingga sampai ke kawasan perut ikan. Bersihkan ikan tersebut.

Ikan bakar dimakan bersama ulam-ulam segar yang dipetik di belakang rumah. Bertambah selera makan tengahari hari ini. Alhamdulillah , syukur ya Allah.

Kebun kecil aje
Resepi Ikan Cencaru Bakar Sumbat Sambal
Bahan2:
4 ekor ikan cencaru dibelah belakang
4 sudu besar cili kering kisar
1 biji bawang besar* 
2 ulas bawang putih* 
1 inci halia *
2 batang serai*
1 inci kunyit hidup*
Sedikit cili Padi * (jika suka)
bahan * dikisar
Garam
Gula
Asam
Daun kunyit
Daun pisang
Minyak masak

Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak di dalam kuali, masukkan bahan kisar dan masak sehingga garing.
   Masukkan garam, gula dan asam secukup rasa.Angkat dan sejukkan.
2.Sumbatkan adunan cili di bahagian belakang ikan cencaru sehingga penuh. Ikatkan
   dengan daun kunyit dan balut dengan daun pisang. Ulang sehingga habis.

Semua dah sedia ni

3.Bakar ikan tersebut di dalam kuali. Terlebih dahulu masukkan sedikit minyak ke dalam
   kuali supaya tidak melekat.
4.Pusingkan ikan supaya ianya masak dengan rata di kedua-dua belah.
Siap dibakar



Sabtu, 10 Mac 2018

Rasa Dapurku (267) - Popia Goreng Sambal



BismillahirRahmanirRahim




Popia goreng, popia basah atau popia goreng sambal memang sedap terutama jika ianya masih rangup. Tidak sedar habis sepinggan. Kali ini aku ingin berkongsi resepi popia goreng sampal yang biasa dihidang ketika kenduri. Cukup rangup walaupun sudah sejuk.

Aku hanya menggunakan dua bahan untuk inti iaitu sengkuang dan lobak merah yang dihiris halus. Rupanya sengkuang amat banyak kebaikannya kepada kesihatan dan kecantikan terutama kaum wanita. Sebelum ini aku kongsikan resepi kuah rojak di mana sengkuang amat sedap dimakan bersamanya. Sengkuang dikatakan mampu menurunkan paras kolesterol, baik untuk penyakit ulser, menguatkan tulang dan gigi kerana kandungan kalsium yang tinggi. 

Sengkuang juga boleh mencerahkan dan menegangkan kulit dengan diparut untuk dijadikan masker di muka. Caranya dengan memarut sengkuang dan sapukan hasil parutan pada muka. Biarkan selama 15 hingga 20 minit sehingga masker kering.Bilas sehingga bersih.Waah banyaknya khasiat buah sengkuang. Sila kunjungi http://sha3622.blogspot.Com untuk mengetahui lebih lanjut.

Resepi Popia Goreng Sambal
Bahan2
Kulit popia secukupnya
1 biji buah sengkuang
1 biji lobak merah
1 sudu besar tepung dibancuh dengan air 
Minyak masak

Cara menyediakan
1.Sengkuang dan lobak merah dihiris nipis memanjang, gaulkan keduanya
   di dalam sebuah bekas.
2.Ambil sekeping kulit popia, letakkan inti dan gulung.Sapu bancuhan tepung
   untuk melekatkannya.
3.Goreng dengan api sederhana sehingga betul-betul garing.Angkat.

Bahan Sambal (untuk 10 biji popia)
3 sudu besar cili kering yang dikisar
1 sudu besar bawang besar yang dikisar
3 sudu besar gula putih
3 sudu besar minyak masak
2-3 sudu besar sos cili (tak letak)


Cara Membuatnya
1.Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang diikuti dengan cili kering.
2.Kacau dan goreng sehingga pecah minyak.
3.Masukkan gula dan sos cili. Kacau sehingga sambal berbuih-buih.

Biar berbuih-buih

4.Masukkan popia dan kacau hingga rata.Tutup api. Keluarkan popia dan masukkan
   ke dalam bekas yang sesuai.



Dah rata ...terus angkat
5.Pastikan popia tidak bertindih untuk kekalkan supaya terus ranggup.Jika perlu
   sejukkan di bawah kipas.
6.Taburkan sedikit bawang goreng atau bijan yang sudah disangai untuk kekalkan
   keranggupannya.






Isnin, 5 Mac 2018

Rasa Dapurku (266) - Kuah Rojak



BismillahiirRahmanirRahim





Kali ini aku mahu berkongsi resepi bagaimana menyediakan sendiri kuah rojak. Salah satu bahan penting untuk menyediakan kuah rojak ialah belacan. Sedang aku tidak suka menggunakan belacan di dalam masakan. Mujur sepupu aku, Puan Maznah menyarankan agar menggantikan belacan dengan otak udang.

Waah otak udang dengan belacan lebih kurang sama aje.Tidak yakin untuk membeli otak udang yang bersih  tanpa ragu-ragu terutama di Lembah Kelang. Setelah dirisik, Puan Maznah terus memberi resepi otak udang dan resepi kuah rojak. Mudahnya menyediakan otak udang rupanya.

Dua hari juga aku menyediakan kuah rojak. Hari pertama aku sediakan otak udang. Beberapa hari kemudian aku sediakan kuah rojak pula.

Tidak sabar menanti peluang menikmati kuah rojak tersebut bersama tauhu goreng nenas dan timun. Jika mahu tunggu bahan-bahan lain alamat lambat lagi le nak merasa. Paling best dapat makan sengkuang calit buatan sendiri. Enaknya. Alhamdulillah.

Resepi Otak Udang
Bahan2:
1 cawan kulit dan kepala udang
2  cawan air 
1 cawan air gula merah
Sedikit garam

Cara membuatnya:
1.Bersihkan kulit udang dan kepala udang. Rebus bersama air. Sejukkan.
2.Kisar bersama air rebusan udang tadi sehingga halus dan tapiskan.
3.Masak air rebusan kulit udang bersama gula merah dan garam.
4.Kacau dan masak sehingga sedikit pekat (1/2 dari kuantiti asal)

Resepi Kuah Rojak
Bahan2:
1 cawan kicap manis (Jenama Kipas Udang)
1 cawan sos cili (Jenama Adabi)
10 - 15 biji cili padi dikisar halus
Otak udang yang telah disediakan (dalam 2 cawan)
1 senduk penuh cili kering kisar
2 sudu besar gula batu

1/2 cawan gula pasir (boleh lebih jika suka)

Kacang tanah dan bijan yang dibakar untuk ditabur ketika hendak makan

Cara Membuatnya:
1.Masukkan semua bahan-bahan di atas di dalam sebuah periuk.
2.Masak sehingga mendidih dan kuahnya agak pekat. Warna akan menjadi 
   semakin gelap dan akhirnya menjadi hitam. Boleh masukkan kacang tanah 
   dan bijan yang dikisar.

Dah pekat
3.Tutup api dan sejukkan.
4.Simpan di dalam bekas yang sesuai dan masukkan di dalam peti sejuk.


Hasilnya
Buah-buahan untuk Rojak
Nenas
Timun
Mangga
Jambu batu
Sengkuang

Makan dengan buah atau tauhu pun sedap

Sengkuan calit

Ramadan Mubarak 1445H/2024M

BismillahirRahmanirRahim   Assalamualaikum. Saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan ber...