Ahad, 15 September 2019

Rasa Dapurku (314) - Jus Sihat


BismillahirRahmanirRahim




Kali ini aku mahu berkongsi sejenis jus yang baik untuk kesihatan. Setelah beberapa kali membuatnya,  aku kongsikan di sini supaya senang untuk dirujuk. Dikatakan jus ini boleh menurunkan paras kolesterol, namun aku belum dapat mengesahkannya lagi kerana belum menjalankan ujian darah. Walau bagaimana pun kesan positifnya sudah dirasai seperti mudah berpeluh, rasa ringan tubuh badan, lawas ke tandas dan rasa sihat.

Resepi Jus Sihat
Bahan2:
500 gram bawang putih (buang kulit)
500 gram halia (buang kulit)
1 cawan perahan lemon (dalam 3-4 biji)
1 cawan apple cider
1 cawan madu Tualang (boleh lebihkan)
2 cawan air

Cara membuatnya:
1.Kisar bawang putih bersama 2 cawan air dengan menggunakan blender.
2.Tapis. Hasilnya digunakan untuk kisar halia. Tapis.
3.Masukkan hasil tapisan tadi bersama perahan lemon ke dalam periuk. Masak dengan api perlahan
   selama 30 minit. Angkat dan biarkan sejuk.




4. Campurkan dengan apple cider dan madu. Kacau hingga sekata.
5. Masukkan ke dalam bekas yang sesuai dan simpan di dalam peti sejuk.
6. Minum 1 sudu besar waktu pagi selepas bangun tidur (sebelum sarapan) dan 1 sudu besar  
    selepas makan malam atau 1/2 jam sebelum  tidur.

Hasilnya


Setelah dimasukkan ke dalam botol madu.

Selasa, 10 September 2019

Visit My Malaysia (12) - Royal Floria, Putrajaya



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh





Kali ini aku ingin  berkongsi pengalaman berkunjung ke Festival Royal Floria Putrajaya. Bermula 31 Ogos hingga 8 September 2019 di Taman Botani Putrajaya, Presint 1. Taman Botani Putrajaya tidak asing bagi kami kerana menjadi pilihan untuk berbasikal. Basikal boleh disewa dengan kadar RM8 satu jam pada hari biasa dan RM10 pada hujung minggu. Hari Selasa tutup ya. Dikatakan Taman Botani ini adalah 'Mother of All Gardens'  daripada 12 taman metropolitan di Putrajaya. 



Taman Botani yang luas dan cantik

                                                                                      RM5 untuk masuk

Depan pejabat Taman Botani

Laluan masuk ke gerai jualan dan pameran


Seluruh kawasan Taman Botani dihias indah dengan pelbagai spesis bunga dan pokok hiasan. Memang menyegarkan.







Gerai jualan pelbagai pokok pun ada



Ehhh...cam nak jatuh je





















Selain orkid pun ada

Pameran di dalam bangunan pula berlainan temanya.

Laluan yang menjadi tumpuan ramai

Orkid Diraja

Banyak sangat spesis orkid, antara yang menjadi pilihan.








Lebih 4 kilometer juga le berjalan hari ini di petang yang redup. Memang best!



Isnin, 9 September 2019

Rasa Dapurku (313) - Kuih Bom Keledek



BismillahirRahmanirRahim





Sebenarnya aku tidak perasan pun kewujudan Kuih Bom yang boleh dibuat dengan menggunakan keledek. Bukan apa kadang-kadang buntu juga untuk membuat kuih daripada keledek. Kuih Keria, Kuih Badak, Keledek Goreng, Sira Keledek, Pengat Keledek, Kuih Cek Mek Molek sudah biasa dibuat. Tetiba terpandang Kuih Bom Keledek dalam FB. Apa lagi cuba jelah.Memang sedap.

Resepi Kuih Bom Keledek

Bahan Untuk Kulit
500 g keledek oren
1 cawan tepung gandum
Sedikit garam
Bijan secukupnya
Minyak untuk menggoreng

Bahan Untuk Inti
1 cawan kelapa parut (putih sahaja)
1/2 cawan gula merah
1/2 cawan air
1 helai daun pandan
Sedikit tepung gandum

Cara Membuatnya:
1.Masak air bersama gula merah dan daun pandan sehingga mendidih. Masukkan kelapa
   parut dan kacau hingga kering. Masukkan tepung gandum dan kacau hingga rata. Sejukkan.
2.Kupas kulit keledek. Potong kecil dan kukus sehingga masak.
3,Lenyek keledek hingga tidak berketul, tambah tepung gandum dan gaulkan sebati.
   Rehatkan sebentar.
4.Ambil sedikit adunan dan leperkan, masukkan inti.Bentukkan menjadi bebola kecil dan 
   golekkan atas bijan.
5.Goreng dengan api sederhana sehingga masak. 

Sudah siap,


Mudah disediakan dan sedap rasanya

Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...