Khamis, 29 Jun 2017

Salam Aidilfitri 1438H/ 2017M

Salam Aidilfitri 1438H/ 2017M


Ramadan sudah berlalu meninggalkan kita. Semoga segala perjuangan menghidupkan setiap saat di bulan yang penuh dengan kemuliaan di terima Allah SWT. Walau sedih terasa, Ramadan tetap menghilangkan diri lagi buat setahun lamanya. Besarlah harapan kita agar dapat bertemu lagi dengan bulan yang terbaik ini pada tahun depan. 1 Syawal sudah berlalu, namun suasana hari raya masih terasa bahangnya terutama di Malaysia.  Di mana sambutan aidilfitri sebulan lamanya bahkan terkadang terlajak sehingga ke bulan Zulkaedah. 

AidilfFitri tahun ini terasa lebih meriah setelah tiga tahun kami di perantauan. Tahun ini kami beraya di Sungai Bakap, tempat aku dilahirkan. Syukur Alhamdulillah, semua adik beradik dapat berkumpul di hari raya yang pertama. Lebih bermakna pada hari raya kali ini aku sempat berjumpa dengan rakan sekolah setelah sekian lama tidak bertemu muka. Jom tengok koleksi gambar hari raya tahun ini.

Di pagi hari raya, di rumah Almarhum Tn Hj Abdul Hamid Ibrahim.


Usai solat sunat hari raya, kami terus bergambar

Keluarga kakak sulung, Pn Hjh Aishah.
Keluarga Abang, Hj Mohamad  Khamis dan Almarhum Abdul Razak.

Keluarga kakak ketiga, Pn Jamilah.

Bersama abang dan kakak kedua, Pn Azizah dan emak.

Petang hari raya pertama di rumah kakak Pn Jamilah Abdul Hamid.

Tiga beradik

Anak-anak saudara dan cucu-cucu saudara

Bestnya ...ambil angin di tepi sawah.

Hari Raya ke-2, Di rumah abang, Alor Setar, Kedah
Rehat sekejap di rumah abang.

Ehh.. sedondon la pulak!

Hari Raya ke -3

Kunjungan 2 sahabat rapat sewaktu di sekolah menengah.
Kiri, Pn Norma Din dan sebelah kanan, Pn Normah Hassan.
Banyak kenangan  bersama ketika meniti usia remaja.


Di rumah emak saudara sebelah ayah yang kami panggil Cu Minah.
Di Sungai Kerang, Perak.

Bersama keluarga bapa saudara sebelah suami , Pak Uda.



Ahad, 18 Jun 2017

Rasa Dapurku (232) - Kuih Keria Gula Melaka

Kuih keria Gula Melaka


BismillahirRahmanirRahim


Gelap sikit tapi sodap...

Tazkirah sebelum solat Tarawih di Masjid UNITEN mengajak para jemaah untuk beribadat bersungguh-sungguh di malam Laylatul Qadar. Penceramah turut memberi panduan untuk menentukan malam tersebut melalui petua yang dikemukakan oleh Imam Al Ghazali. Disebabkan kita mula berpuasa pada hari Sabtu, maka dijangkakan malam istimewa tersebut jatuh pada malam yang ke 23 bulan Ramadan. Malam tersebut sudah  dan aku tidak pasti sama ada ianya sudah berlalu atau belum. Pun begitu setiap saat di bulan Ramadan amat berharga dan harus diisi dengan sebaiknya.

Petua dan cara Imam Al Ghazali mencari malam
Laylatul Qadar
Aku mula diperkenalkan dengan Kuih Keria Gula Melaka oleh Pn Rosliza. Lebih dikenali sebagai Kuih Keria Antara bangsa, ianya begitu popular di Melaka dan Malaysia. Sedang aku yang saban bulan balik ke Melaka tidak sedar akan khabar tersebut. Pn Rosliza bertanya akan resepi tersebut dan aku mengaku tidak pernah merasainya. Aku terus mencuba dan mencuba, sangkaku ianya semudah menyediakan kuih keria gula putih. Terus terang agak sukar untuk mendapat hasil yang memuaskan terutama dari segi rupanya. Aku telah membuatnya sebanyak 6-7 kali menggunakan resepi yang tersebar luas di FB. Akhirnya inilah hasil yang terbaik  walaupun agak hitam kerana aku menggunakan gula Melaka dan gula kabung. Pun begitu aku agak berpuas hati apabila ada yang menyatakan ianya sedap sewaktu majlis berbuka puasa yang diadakan di surau. 


Resepi Kuih Keria Gula Melaka
Bahan2:
1 kg ubi keledek putih 
Sedikit tepung (anggaran 1/2 - 1 cawan)
1 sudu kecil serbuk penaik
Secubit garam
Minyak masak

Untuk Sira
1 ketul gula Melaka (saiz sederhana)
1 keping gula kabung
1 ketul kecil gula batu ditumbuk halus
1 sudu besar gula pasir
anggaran 1/2  cawan air
1 helai daun pandan

Semuanya dimasak bersama sehingga agak pekat.



Cara Membuatnya:
1.Keledek dibuang kulit, dipotong dan direbus hingga empuk. Toskan
   dan sejukkan.
2.Lenyek sehingga lumat atau hancur semuanya. Masukkan tepung
   sedikit demi sedikit bersama garan dan serbuk penaik. Gaul rata
   sehingga boleh membentuk doh yang licin dan mudah dibentuk.
3.Bentukkan adunan menjadi kuih keria mengikut saiz yang dikehendaki.


4.Goreng sehingga keperangan di kedua belah kuih keria.


Untuk Sira
1.Masukkan air gula yang disediakan tadi ke dalam sebuah kuali.
2.Masak sambil dikacau air gula sehingga berbuih dan pekat.
3.Masukkan kuih keria dan kacau hingga rata. Tutup api.
4.Angkat dan sejukkan.




Hasil menggunakan ubi keledek kuning.
Disira sehingga kering akan jadi berkerak 
seperti kuih keria gula putih. 
Apa rupa pun rasa memang best!



Rabu, 14 Jun 2017

Rasa Dapurku (231) - Sagu Gula Melaka

Sagu Gula Melaka

BismillahirRahmanirRahim





Alhamdulillah, kini kita sudah melangkah ke sepuluh hari terakhir Bulan Ramadan. Masa berlalu begitu pantas, pasti Ramadan akan meninggalkan kita. Ambillah kesempatan untuk memperbanyakkan doa di penghujung bulan yang penuh keberkatan ini. Semoga kita melangkah keluar dari bulan mulia ini dengan mendapat keampunan dari Allah SWT. Amiin.


Resepi kali ini amat sesuai bagi mereka yang mengalami masalah sakit tekak dan batuk. Sebaiknya dimakan bersama santan kerana ianya adalah resepi orang dahulu. Aku lebih suka menggunakan susu segar lebih-lebih lagi jika tidak ada stok kelapa atau apabila kesuntukan masa. 

Resepi Sagu Gula Merah
Bahan2:
Untuk Sagu
1 cawan sagu
Air secukupnya
Pewarna pink
Perisa ros

1.Basuh dan rendam sekejap sagu.
2.Masukkan sagu ke dalam sebuah periuk. Masukkan air sehingga
   menutupi sagu dan masak sambil dikacau sehingga biji sagu mula
   bertukar warna jernih.
3.Masukkan pewarna dan perisa, kacau lagi sehingga semua masak dan
   lembut.(tambah air jika perlu).Tutup api.
4.Masukkan ke dalam bekas yang sesuai. Sejukkan ke dalam peti sejuk.


Untuk Air Gula Melaka
1/2 ketul gula Melaka
Air secukupnya
1 helai daun pandan

1.Masak gula Melaka bersama air dan daun pandan.
2.Masak sehingga pekat (jangan masukkan air banyak)

Kuah
Susu segar / susu cair
Santan pekat yang dicampur dengan sedikit garam

Sedia untuk dihidang.





Ahad, 11 Jun 2017

Rasa Dapurku (230) - Kuih Bakar Manis,

Kuih Bakar Manis

BismillahirRahmanirRahim

Tazkirah malam ke 17 Ramadan memaklumkan kepada para jemaah agar berusaha mendapatkan pahala dengan mudah. Pahala yang boleh diperolehi dengan sekadar melihat sahaja iaitu melihat ayat Al Quran, memandang Kaabah,  merenung wajah ibu dan ayah serta meneguk lautan yang luas. Membaca Al Quran merupakan ibadah yang amat besar ganjaran pahalanya di bulan Ramadan. Jika tidak sempat membaca, kita boleh mendengar melalui pelbagai sumber. Jika tidak sempat juga bolehlah kita merenung ayat-ayat cinta dari Allah SWT yang terkandung di dalam Al Quran. Setiap detik di bulan Ramadan amat berharga, jangan disia-siakan begitu sahaja. Ingatan ini untuk diri yang sering lupa.




Kuih Bakar Manis antara kuih yang popular di Melaka. Alhamdulillah ada yang sudi memberi resepi yang sangat sedap ini. Namun ada bahan rahsia yang tidak dibenarkan aku menyatakannya di sini. Aku akur pada tuan punya resepi ini kerana ianya menjadi sumber pendapatan keluarganya. Semua bahan yang diberi adalah tepat kecuali bahan untuk menjadikan kuih ini berbau lebih sedap sahaja tidak aku sertakan. Lama juga aku menyimpan resepi ini kerana ketiadaan acuan sehinggalah Ramadan menjelang. Ianya menjadi juadah berbuka bersama keluarga di Melaka. Testimoninya memang A+.

Resepi Kuih Bakar Manis
Bahan2:
Untuk 3 biji kuih
1 cawan tepung gandum (jangan rata biar membumbung)
1 cawan telur (dalam 4 biji telur sederhana)
1 1/2 cawan gula
2 cawan santan*
10 helai daun pandan*
Bahan * dimesin bersama  dan  ditapis
Bijan secukupnya
Minyak masak untuk disapu pada acuan


Cara Membuatnya:
1. Kisar sehingga halus tepung gandum, telur, gula dan santan bersama
    daun pandan. Tapis adunan dan masukkan  ke dalam sebuah bekas yang sesuai.
2.Panaskan acuan dan sapukan dengan minyak.
3.Setelah acuan panas, masukkan adunan sehingga paras acuan.(guna api sederhana)
   Taburkan bijan di atasnya.
4.Masak sehingga 1/2 masak dan bahagian bawah menjadi warna perang.
5.Keluarkan dan masukkan ke dalam oven. Bakar menggunakan api atas pada suhu
   180 C. Bakar sehingga masak. 
6.Keluarkan dan ulangi sehingga adunan habis.





Kuih Bakar Manis dan Korma Ayam dibawa bersama.
Seronoknya berbuka puasa di kampung.

Sabtu, 10 Jun 2017

Rasa Dapurku (229) - Ayam Goreng Berempah.


 Ayam Goreng Berempah.

BismillahirRahmanirRahim

Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW. Baginda bersabda,
"Telah datang kepada kalian bulan Ramadan, bulan penuh berkat yang di dalamnya Allah mewajibkan puasa, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan diikat. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barang siapa yang tidak mendapat kebaikan (Ramadan)nya, sungguh dia telah rugi." [HR:Ahmad]

Enak dimakan bersama nasi lemak atau dimakan begitu sahaja.
Resepi kali ini aku sediakan atas permintaan ahli dalam rumah. Aku pun dengan yakin mencari di dalam blog milikku...Ayam Goreng Berempah Memory Ziasaf. Tidak ada rupanya. Ehhhhmmm terpaksalah merayau di google.. Aku pun mencari resepi yang memerlukan bahan-bahan yang sedia ada di dapur. Aku gandingkan dengan nasi lemak untuk berbuka puasa.Mengancam.

Resepi Ayam Goreng Berempah.
Bahan2:
1/2 ekor ayam dipotong  ikut saiz yang disukai
2 sudu besar serbuk kari daging jenama ADABI
1 sudu besar serbuk cili
Garam
2-3 helai daun limau purut dihiris halus
Daun kari
Minyak masak

Bahan Kisar Kasar
1/2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
2 inci halia
2 inci lengkuas
2 inci kunyit hidup
2 batang serai

Bahan Kisar Halus
2 sudu besar biji ketumbar
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
Disangai dan dikisar kering.

Cara Membuatnya:
1.Masukkan ayam yang telah dibersihkan ke dalam sebuah bekas.
2.Campurkan bahan kisar, rempah,serbuk cili, garam dan daun
   limau purut. Gaul rata dan perap sekurang-kurangnya selama 1 jam.
3.Panaskan minyak masak di dalam kuali. Goreng ayam sehingga
   masak bersama daun kari.
4.Angkat dan sedia untuk dihidang.








Khamis, 8 Jun 2017

Travelog : Sesejuk Bosnia & Herzegovina (11) - Perjalanan ke Mostar

Perjalanan ke Mostar






Gunung ganang dengan pepohon keperangan



Restoran kambing golek sepanjang jalan di Jablanica


zias/bosnia/17

Selasa, 6 Jun 2017

Rasa Dapurku (228) - Krim Karamel

Krim Karamel

BismillahirRahmanirRahim

Hari-hari di bulan Ramadan terasa begitu cepat berlalu. Semoga kita terus istiqamah melalui hari-hari mendatang kerana ianya lebih banyak cabaran. Rasa gembira kerana dipilih Allah SWT sebagai tetamu di bulan mulia ini seharusnya menjadikan kita insan yang bersyukur. Lantas memberi iltizam untuk kita terus membuat kebaikan walau sebesar zarah dan memperbanyakkan ibadah.

Krim Karamel memang sesuai untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Sebenarnya aku memang malas untuk menyediakan manisan ini kerana kerap kali gagal. Kebanyakan resepi yang dicuba ada sahaja masalahnya. Pun begitu aku mahu terus juga mencuba kerana ada yang amat berminat dengan manisan ini. Kebetulan ada rakan bekerja Pn Noorini yang kerap menjamu kami dengan resepi ini jika ada jamuan di bilik guru. Aku bertanya resepi dan Pn Noorini terus memberinya. Lama aku simpan resepi tersebut kerana tidak yakin ianya akan memberi hasil yang memuaskan.





Rezeki bulan puasa, menjadi pula krim karamel yang aku buat kali ini. Walaupun teksturnya tidak licin seperti yang biasa dilihat, aku tetap berpuas hati kerana rasanya yang lembut, sedap dan boleh dipotong dengan cantik. Aku tidak berani mengubah arahan yang diberi dalam resepi, mungkin di kesempatan lain aku akan cuba menggunakan teknik memasak secara water bath di dalam oven ( di mana loyang diletakkan di dalam loyang yang lebih besar berisi air dan dibakar ada suhu 170 C) bukan secara kukus.

Resepi Krim Karamel
Bahan2:
Bahan untuk karamel
5 sudu besar gula 

1.Masukkan gula di dalam loyang yang sesuai(6 inci)
2.Panaskan di atas api sehingga gula cair dan menjadi perang.
3.Ratakan gula perang sebelum ianya membeku. Sejukkan.


Bahan 
5 biji telur gred A
3 1/2 sudu besar gula
1 sudu besar esen vanila
1 tin susu cair F&N

1.Masukkan susu cair, telur, gula dan esen vanila ke dalam sebuah bekas yang sesuai, kacau sehingga gula hancur. Kacau perlahan sahaja, jangan sampai kembang.
2.Tapiskan adunan ke dalam loyang. 
3.Kusus selama 30 - 45 minit. dengan api sederhana. Pastikan penutup periuk
kukus dibalut dengan kain. Sejukkan.
4.Setelah sejuk boleh diterbalikkan.


Taadaaaa....... Terima kasih Pn Noorini!

Khamis, 1 Jun 2017

Rasa Dapurku (227) - Kuih Koci Labu



BismillahirRahmanirRahim

Alhamdulillah kita sudah berada pada hari ke 7 di bulan Ramadan, Hari Jumaat, hari terbaik dalam seminggu, yang diberikan Allah SWT. Seperti mana Bulan Ramadan adalah bulan terbaik di antara 12 bulan. Bulan dan hari yang Allah kurniakan keberkatan di dalamnya dan penuh dengan ganjaran pahala kebaikan. Bagi menzahirkan rasa syukur, teruskanlah dengan pelbagai amalan baik agar kita mencapai takwa.


Kuih Koci Labu


Sebenarnya aku tidak merancang pun untuk membuat kuih koci labu. Memandangkan masih ada buah labu kuning di dalam peti sejuk, aku tidak mahu berlaku pembaziran. Lalu teringat beberapa kali aku melihat kuih koci labu ini di majlis-majlis kenduri atau jamuan di kolej. Ianya semakin diminati ramai, teringin juga untuk aku membuatnya. Lagi pula inti kelapa sudah tersedia di dalam peti sejuk. Paling malas untuk menyediakan sapuan santan, tapi aku mahu juga mencubanya kerana belum pernah membuatnya. Tidak  susah seperti yang disangka. Rasa kuih koci labu ini.memang sedap dan lembut gitu.

Resepi Kuih Koci Labu
Bahan2:
Untuk kulit
1/4 biji buah labu yang bersaiz sederhana
( 1 cawan labu yang telah direbus dan dilenyek)
1 1/4 cawan tepung pulut  (boleh tambah jika perlu)
Sedikit garam

Cara Membuatnya:
1.Campurkan labu yang telah dilenyek bersama tepung dan 
   garam. Gaulkan sehingga sebati. Ketepikan.
2.Adunan agak lembut dan melekat. Sapukan tangan dengan
   minyak masak supaya mudah memasukkan inti dan 
   membungkusnya nanti.

Untuk Sapuan
1 cawan santan pekat
1 - 1 1/2 sudu teh tepung beras
Sedikit garam

Cara Membuatnya
1.Campurkan santan, tepung dan garam ke dalam sebuah periuk.
2.Masak dengan api perlahan sambil dikacau sehingga menjadi
   pekat.

Inti Kelapa
1 cawan kelapa parut
1 ketul  gula Melaka
2 helai daun pandan
Sedikit air.
1 sudu kecil tepung gandum

1.Masak gula Melaka bersama air dan daun pandan sehingga larut.Tapis.
2.Masukkan air gula ke dalam sebuah kuali. Masukkan kelapa parut dan
   daun pandan. Kacau sehingga rata dan masukkan tepung gandum.
3.Kacau sehingga sebati namun jangan terlalu kering. Sejukkan

3 bahan utama sudah sedia

Untuk membalutnya, kita perlukan daun pisang yang dilayur dan 
dipotong empat segi.
Letakkan sapuan santan di atas daun pisang.
Masukkan inti kedalam adunan labu dan bentukkan bulat.
Letak sedikit lagi sapuan di atas badan kuih.
Balutkan dengan kemas, buat sehingga habis.
Kukus sehingga masak ( dalam 10 minit)




Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...