Ahad, 29 Mei 2016

Dapurku D'Riyadh (179) - Nasi Mandi Kambing



Bismillahirrahmanirrahim

Tazkirah Sempena Ramadan
Matlamat kita di bulan Ramadahn ialah hati harus mengharapkan Rahmah Allah dengan sebenar-benar pengharapan.Kita harus merasakan keinginan yang mendalam yakni merasakan kita lemah dan amat miskin akan rahmahNya.Ini kerana kita tidak akan mendapat Jannah (syurga) hanya dengan amal soleh, tetapi dengan rahmahNya.KIta mesti ikhlas kerana Allah dan ianya datang dari hati yang suci. Moga kita akan dapat apa yang diharapkan dari keikhlasan kita itu.Banyakkan berdoa terutama pada waktu malam di bulan Ramadan.Kita mesti merasakan yang kita dahagakan serta amat memerlukan rahmah Allah.

                                                       ###############################




Nasi Mandi memang memang dikenali ramai dan tidak perlu diperkenalkan lagi. Ianya juga menjadi pilihan jika kami makan di luar. Semalam kami makan di Restoran ALNADEG yang terletak di lebuh raya Riyadh - Madinah. Selalu juga nampak restoran yang sentiasa dikunjungi ramai ini tetapi tidak pula kami mencubanya walaupun sudah hampir tiga tahun tinggal di Riyadh. Ada sedikit kelainan menu yang dihidangkan di sini berbanding dengan restoran  Arab lain yang pernah kami singgah seperti Lemona, Romansiah atau Cabrito.Di sini ada hidangan Tajine, sejenis masakan berkuah yang berasal dari Morocco. 

Begitu sedap menikmati hidangan di restoran ini sehingga aku tertinggal cermin mata. Alhamdulillah apabila ke sana keesokannya, aku mendapat balik cermin mata milikku itu.


Restorannya besar. Untuk family kena masuk ikut tepi bangunan dan tempat makan di tingkat
paling atas.


Hidangan yang diminta..Tagine Kambing, Nasi Mandy Kuning(ada
dua jenis, satu lagi putih) dan kebabnya yang lazat. Harga termasuk
minuman dalam SR80.
Tajine Kambing dimasak bersama labu.air.  Memang sedap,
boleh pergi lagi.

Resepi ini adalah dari Chef Ammar yang tidak memerlukan sebarang rempah khas. Memang mudah untuk disediakan dan rasanya memang sedap. Yang paling penting dalam menyediakan Nasi Mandi ialah mengasapkannya dengan bara arang yang dicampur dengan minyak zaitun. Aroma yang terhasil memang menyedapkan rasa.

Resepi Nasi Mandi Kambing
Bahan2:
Untuk rebusan Kambing
1 kilo daging kambing
1 keping kulit kayu manis
2 biji limau kering
2 keping daun Bay
5 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
Air secukupnya
2-3 sudu besar minyak zaitun

Kambing yang dibeli siap dipotong.

Cara membuatnya:
1.Panaskan minyak zaitun di dalam sebuah periuk.Masukkan
   bawang dan goreng sehingga kekuningan.
2.Masukkkan kulit kayu manis, buah limau kering, daun Bay,
   buah pelaga dan bunga cengkih.Kacau.
3.Masukkan daging kambing, kacau bersama rempah dan bawang
   lebih  kurang 5 minit.
4.Tambahkan air secukupnya.Masak sehingga daging lembut.
    Perisakan dengan garam. Tapiskan daging dan masukkan
    ke dalam sebuah periuk.
5.Panaskan seketul arang kecil sehingga berbara.Masukkan
   ke dalam aluminium foil dan letakkan di dalam periuk yang
   ada daging kambing tadi. Campurkan sedikit minyak zaitun 
   ke dalam aluminium foil yang ada bara arang tadi.(asap
   tebal akan terhasil).Dengan cepat tutup periuk dengan penutupnya.
   
Untuk Nasi Mandi
Bahan2:
2 cawan beras Basmati (dibasuh dan direndam 30 minit)
2 sudu besar minyak Ghee atau mentega
4 biji cili hijau
1 biji bawang besar didadu
1-2 sudu besar kismis
Sedikit Saffron (direndam dengan sedikit air 
sebaiknya semalaman)
1 sudu besar air mawar
2 1/2 cawan air rebusan kambing

Cara Memasaknya:
1.Panaskan 1 sudu minyak minyak Ghee di dalam sebuah periuk. 
   Masukkan bawang besar dan kacau.Masukkan beras dan 
   kacau sekejap. 
2.Masukkan air rebusan kambing bersama limau kering dan daun
   Bay.Perisakan dengan garam.
3.Masak sehingga nasi kering.Perlahankan api paling minima.
  Tutup periuk dan biarkan sehingga nasi betul-betul masak.Setelah
  nasi masak masukkan minyak Ghee atau mentega di atasnya.
  Boleh juga diasapkan nasi bersama daging kambing atau secara
  berasingan.



Hidang bersama salatah, salad dan air rebusan kambing.




Jumaat, 27 Mei 2016

Travelog : Jalan2 Australia, Melbourne (3) - Dapat Balik Kamera Yang Hilang


Dapat Balik Kamera Yang Hilang


Suamiku bertanya kepada pemuda yang bertugas di kedai tersebut, jika ada masjid berhampiran dengan kedai tersebut. Kami diberitahu terdapat sebuah prayer room di tingkat 12, Universiti Victoria yang terletak tidak jauh dari kedai Halal Kebabs tersebut. Bangunan universiti tersebut berada betul-betul di belakang kedai Halal Kebabs, hanya memerlukan lebih kurang lima minit untuk sampai. Tiada pondok pengawal keselamatan atau pegawai keselamatan yang bertugas di depan bangunan seperti yang biasa kita lihat. Kami terus masuk ke dalam bangunan dan mencari lif untuk naik ke tingkat 12. Sempat juga kami bertembung dengan beberapa staf akademik yang sedang bertugas. Mereka tidak kisah langsung dengan kehadiran kami, seolah kami juga adalah pelajar di universiti tersebut.


Universiti Victoria betul-betul di tengah bandar

Terdapat sebuah bilik sederhana besar yang lengkap dengan bilik air dan dua rak untuk diletakkan sejadah, telekung, buku dan sebagainya. Ruang solat lelaki dipisahkan dari ruang solat wanita dengan sehelai tirai yang diperbuat dari kain yang tebal. Syukur rasanya dengan kemudahan yang diberikan oleh pihak universiti kepada warga Muslim yang bekerja atau belajar di universiti tersebut. Ianya juga memberi peluang kepada orang Islam di sekitarnya untuk bersolat di surau tersebut. Moga kemudahan tersebut dimanafaat sepenuhnya. Meriah rasanya  berjalan bumi Allah ini apabila hakNya diberi pengiktirafan dan kemudahan solat tidak diabaikan.

Salah satu pintu masuk ke bangunan universiti.

Usai menunaikan kewajipan, kami meninjau sekitar bangunan universiti yang dipenuhi dengan kedai-kedai. Sekadar mencuci mata. Universiti tersebut terletak betul-betul di tengah bandar, mengherankan juga kerana ianya begitu selamat dari gangguan di sekitarnya. Orang ramai bebas masuk dan keluar tanpa memerlukan kebenaran khas atau perlu mencatatkan perihal diri di dalam buku pelawat yang biasanya kita lihat di mana-mana bangunan penting. Kami menunggu trem di stesen yang berada tidak jauh dari bangunan Universiti Victoria. Kami menaiki trem percuma sekali lagi untuk ke stesen Skybus.

Kelihatan laluan trem di atas jalan raya.



Melbourne City

Setibanya kami di stesen tersebut, suamiku terus mencuba nasib dengan bertanya kepada petugas yang masih bertugas di kaunter. Dengan penuh harapan agar kameranya yang tertinggal di atas bas dapat diperolehi semula. Aku dan Saffura duduk di kerusi yang terdapat di sekitar kaunter tersebut sambil memerhati suamiku. Kelihatan suamiku berbual dengan seorang wanita berkulit putih yang bertugas di situ. Setelah beberapa minit mereka berbual, petugas tersebut menyerahkan kamera milik suamiku. Kelihatan suamiku tersenyum kemudian ketawa, gembira la tu. Aku terus bergerak menuju ke arah kaunter dengan rasa lega dan agak terkejut dengan kejadian tersebut. Sempat aku  merakamkan gambar buat kenangan.


Di kaunter SkyBus

"Percaya pulak Minah tu dekat abang ya?Tanyaku, sebaik sahaja kami kembali duduk di kerusi berhampiran kaunter.
"Macam-macam dia tanya."Balas suamiku sambil terus membelek kameranya."Warna kamera,jenama kamera dan gambar-gambar di dalamnya." Sambung suamiku lagi.
"Ohh... serius juga ya tapi heran sungguh, tak hilang kamera tu walaupun tertinggal di atas bas.Alhamdulillah...rezeki."Aku memberi respon.
"Memanglah depa ni bertanggungjawab, jujur dan amanah.Mereka mengamalkan budaya hidup yang dibawa oleh Islam walaupun tanpa iman."Jawab suamiku. Ternyata andaiannya, kemungkinan besar boleh mendapat kembali kameranya menjadi kenyataan. Saffura yang masih di dalam keadaan hairan mampu mempelajari sesuatu yang jarang dapat dilihatnya di tanah air sendiri. Selamatkah barang kita jika kejadian tersebut berlaku di Kuala Lumpur?
"Apa lagi yang dia tanya?"Aku menyambung perbualan kami.
"Dia tanya ada gambar orang India ke di dalam kamera." Jelas suamiku lagi.
"Haah...orang India?Siapa pulak?"Tanyaku kehairanan.
"Mungkin gambar kahwin Emy kot."Jawab suamiku sambil tersenyum.Aku teingat ada banyak gambar-gambar perkahwinan anak saudaraku yang berlangsung pada beberapa bulan lepas.


Antara gambar yang terdapat di dalam kamera


"Ehh...Kakak tu tengok ke gambar dalam kamera tu tanpa kebenaran?Tanya Saffura pula dengan rasa hairan.
"Ya lah, dia mesti siasat supaya senang untuk bertanya jika ada yang datang untuk membuat tuntutan. Jadi pemilik yang sebenar dapat dipastikan."Terang suamiku kepada Saffura.
"Sebab itulah kita tidak boleh ambil gambar sebarangan seperti gambar yang tidak menutup aurat dan sebagainya. Jika berlaku kejadian tidak dijangka seperti ini , mesti bahaya."Sambungku pula.

Setelah berpuas hati dengan keadaan kamera yang baru ditemui, kami pun mengorak langkah menuju ke bas yang sedang menanti. Kami meneruskan perjalanan ke Melbourne Airport atau juga dikenali sebagai Tullamarine Airport. Sementara menunggu masa untuk penerbangan ke Christchurch, sempat kami menunaikan solat di ruang menunggu di ruang berlepas. Alhamdulillah kami tidak diganggu atau dipandang semacam oleh orang ramai di sekitar kami. Sebenarnya ada surau di kawasan lapangan terbang tersebut tetapi kami tidak dapat mencarinya disebabkan kesuntukan masa.



Hepi2...naik SkyBus semula
Bye Melbourne.Jumpa lagi nanti.

Bersambung.








Travelog : Jalan2 Australia, Melbourne (2) - Sekitar Sungai Yarra


                                                        
                                      Sekitar Sungai Yarra                             

Setelah hampir dua jam berada di atas trem, kami pun mengambil keputusan untuk turun melihat sekitar pusat  bandar Melbourne. Lagipun terasa letih pula bila duduk terlalu lama. Kami turun di Flinders Street berhadapan dengan Flinders Street Station, yang merupakan pusat utama hentian keretapi dan stesen keretapi yang tertua di Melbourne. Terdapat sebuah Pusat Informasi berhadapan dengan stesen Flinders Street yang menyediakan brosur, buku dan pamplet tentang tempat-tempat menarik dan acara-acara yang akan berlangsung di Melbourne. 



Pemandangan Melbourne City berdekatan Sungai Yarra

Kami melintas jalan untuk ke Federation Square yang dipenuhi oleh orang ramai di sekitarnya. Seni binanya agak unik dan kelihatan seperti kotak yang diperbuat dari kertas. Namun kawasan ini begitu meriah dengan orang ramai yang duduk bersantai sambil  menikmati simbahan cahaya mentari. Ada yang duduk di atas lantai dan ada juga yang membawa kerusi untuk duduk dengan lebih selesa. Kebetulan pula ada pertunjukan tarian, jadi ramai penonton yang duduk di kerusi khas yang disediakan. Kami turut serta melihat persembahan tarian tradisional tersebut buat seketika. Terdapat restoran, kafe dan bar di sekitar tempat ini. Terdapat juga pelbagai gerai menjual makanan yang mengeluarkan bau yang menyelerakan.


Kelihatan Sungai Yarra 

Kami terus berjalan menuju ke Sungai Yarra  yang  terletak berdekatan dengan Federation Square. Sungai Yarra sememangnya luas dan turut mempunyai perkhidmatan feri Yarra River Cruises. Sememangnya river cruises amat popular di negara barat dan ianya menjadi tarikan pelancong untuk melihat suasana bandar dengan merentasi laluan air. Namun kami tidak mempunyai kesempatan untuk menaiki Yarra River Cruises buat masa ini.

Kami menyeberang Sungai Yarra  melalui laluan jalan besar yang menghubungkan kedua-dua belah sungai tersebut. Kami menuju ke Arts Centre Melbourne kerana tertarik dengan  menara yang menjadi mercu tandanya. Seakan akan menara  Eiffel Tower di Paris. Terdapat jualan sempena hari Ahad yang menawarkan pelbagai jualan berbentuk seni seperti barangan kulit, kaca, wangian dan termasuk makanan di sepanjang laluan tersebut,. Yang menariknya gerai pertama yang kami temui adalah kedai warga Turki yang mempamerkan tanda Halal. Penjualnya adalah seorang wanita muda bersama dengan seorang wanita yang lebih berusia dan bertudung. Mereka begitu sibuk melayan pelangan . Mereka  menjual sejenis roti yang dibakar atas kuali nipis kemudian diletakkan isi di dalamnya lalu dilipat menjadi dua. Walaupun perut terasa lapar tetapi kami merasa agak ragu-ragu untuk membelinya.

Kemudiannya kami berjalan pula di sekitar Southgate yang dipenuhi ramai warga Melbourne yang terdiri dari pelbagai bangsa seperti Bangladesh, Indonesia, India, Cina, Korea dan Jepun. Kebanyakan mereka sedang bersantai di kafe yang banyak terdapat di sepanjang laluan Sungai Yarra.

Sekitar Sungai Yarra.

Sambil berjalan aku berbual dengan suamiku, "Semua bangsa ada di sini ya, Arab pun ramai, Bangladesh pun ada, Cina tu biasalah, satu dunia dia orang pergi."
Suamiku pula menambah, "Orang Islam adalah yang paling ramai di Melbourne, hampir 70% orang Islam di Australia tinggal di sini, majoriti dari Bosnia, Turki, Arab dan Albania."
Saffura yang turut  mendengar turut menyampuk, "Oo... Patut la ramai orang Arab masa di lapangan terbang tadi. Orang berkulit hitam pun ada. Rasa macam di Kuala Lumpur kan  ayah."
Suamiku terus bercerita lagi, "Orang India pun ramai di sini. Cuba tengok tadi banyak kedai yang menawarkan makanan India atau kari," Aku menganggukkan kepala tanda setuju. Selain kedai Fish & Chip dan makanan Cina, makanan India juga amat popular di Melbourne.

Aku meneruskan perbualan, "Orang Malaysia tak begitu ramai macam dekat London tapi orang Indonesia ramai , kadang-kadang keliru pula."
Suamiku mengiyakan,"Ya lah, jarak Indonesia dengan Australia lebih dekat,”
"Sebab tu banyak informasi dalam bahasa Indonesia, ingat tak masa kita melawat Sydney Aquarium dulu tu?" aku menambah sambil terus melangkah menaiki jambatan untuk menyeberangi sungai.

Suasana menjadi sibuk dengan orang ramai dan feri yang melalui Sungai Yarra. Terdapat pelbagai aktiviti persembahan nyanyian dan permainan alat muzik oleh pemuzik jalanan yang mencari rezeki. Kebanyakannya terdiri daripada anak-anak muda. Tidak pula kelihatan pengemis jalanan. Kami kembali menyusuri laluan sungai untuk ke Flinders Street. Kawasan tersebut kelihatan meriah dengan pelbagai kedai yang menjual pelbagai barangan. Sedang sibuk memerhati keadaan sekelilingku, aku terpandang sebuah kedai  Halal Kebabs, apalagi Saffura yang merupakan peminat makanan Arab menjerit kesukaan. Jam sudah menunjukkan pukul 3.00 petang, pastinya kami terasa lapar.

Order2....

Kami memberi salam kepada warga Bangladesh yang bertugas di kedai tersebut. Terdapat menu nasi di samping pelbagai jenis kebab yang menarik untuk dipilih. Kami memilih Nasi Beriani kambing berharga AUD10(RM32.40) dengan  air mineral percuma dan Kebab Falafel yang berharga AUD9 . Tanpa perlu menunggu lama kami dihidangkan dengan sepinggan nasi beriani  untuk dimakan oleh dua orang. Kami bertiga makan dengan rasa yang puas. Kebab pula tidak disentuh langsung. Apabila aku makan Kebab Falafel pada malaamnya, terasa begitu enak walaupun sudah sejuk. Ketika itu aku tidak tahu langsung mengenai falafel, yang aku tahu rasanya sedap sesedap kebab daging atau ayam yang pernah aku makan. Kami mengambil masa untuk berehat seketika memandangkan tidak ada pelanggan lain yang duduk dan makan di situ. Letih rasanya  selepas berjalan di sekitar bandar sebentar tadi. 

Nasi Beriani memang menjadi pilihan ramai di mana sahaja.

Bersambung.


Rabu, 25 Mei 2016

Dapurku D'Riyadh (178) - Homemade Fish Cake



Bismillahirrahmanirrahim




Tazkirah.
Sebagai persiapan sebelum Ramadhan, kita mesti memahami hakikat iman dan mengekalkan iman di dalam hati. Bagaimana cara untuk kita kembalikan keimanan dan kepekaan (kepada dosa) ke dalam hati?Kita hendahlah berpegang teguh dengan Sunnah sebagaimana firman Allah:


Image result for ayat al quran al baqarah 208

Q. Surah Ali Imran Ayat 31
Image result for ayat al quran ali imran ayat 31

Ianya juga dapat dilakukan dengan memperbanyakkan bacaan Al Quran, solat dengan ikhlas dan perbanyakkan doa dengan penuh penghayatan dan emosi kerana dengan cara begini, hati kita akan kembali suci seperti asal. Juga kita perlu jauhkan diri daripada berbuat dosa sama ada zahir atau batin agar mental dan fizikal kita juga akan turut menolak dosa. Dengan ini kita kembali memberi peluang untuk balik kembali beriman kepada Allah. Ini adalah persiapan kita untuk membersihkan hati kita, supaya bulan segala ibadah Ramadhan dapat dilaksanakan dan kita dapat menikmati kemanisan ibadah itu.


                                                            #############################


Kali ini aku mahu berkongsi resepi istimewa iaitu Fish Cake. Resepi ini aku ambil dari FB Tahrunisah Jalil ,memang menjadi dan sedap rasanya. Kebetulan ada rezeki, suamiku membeli beberapa kepingan ikan Tenggiri dari Tamimi Market. Bukan senang hendak beli ikan Tenggiri di Riyadh, maklumlah harganya yang agak mahal. Jika di pasar ikan, kita perlu membeli seekor, tidak dilayannya jika kita mahu membeli separuh kot. Bukan main besar lagi saiznya dan harganya pula mencecah ratus rial juga.
Cepat-cepat la aku membuatnya, terhasillah fish cake yang sedap dan enak untuk dibuat Mee Kari. Dah lama tak makan Mee Kari yang ada fish cake ke fish ball ke...huhu. Mudah sangat untuk membuat fish cake ini rupanya, rugi kerana tidak berani mencubanya lebih awal. Resepi yang sama boleh digunakan untuk membuat fish ball, lain kali boleh try, In Sha Allah.

Resepi Fish Cake
Bahan2:
500 g isi ikan tenggiri segar(buang kulit)
3 sudu kecil tepung jagung
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil serbuk lada sulah
Sedikit ajinomoto (tak letak)
1 cawan air sejuk (dari ais batu)

Cara Membuatnya:
1.Panaskan periuk kukus.
2.Kisar isi ikan di dalam food prosessor. Masukkan sedikit
   air dan kisar lagi.
3.Masukkan garam dan lada sulah.Kisar lagi.
4.Masukkan tepung jagung dan kisar lagi.
5.Masukkan isi ikan  ke dalam bekas yang sesuai seperti loyang
  yang dialas dengan plastik tahan panas. Ratakan dan padatkan
  dengan menggunakan minyak supaya permukaannya licin.
6.Kukus sehingga masak, lebih kurang 15 minit.
7.Terbalikkan isi ikan dan potong seperti bentuk fish cake.


8.Panaskan minyak seperti mahu goreng karipap. Goreng isi ikan 
   tadi sehingga kekuningan.Angkat dan toskan.
9.Macam-macam boleh dibuat dengan fishcake ini. Mee Kari,
   Mee Goreng atau Taufu Fah.



Bestnya Mee Kari ada fishcake

Selasa, 24 Mei 2016

Dapurku D'Riyadh (177) - Karipap Roti



Bismillahirrahmanirrahim

Bulan Sya'ban memberi banyak ruang untuk kita memotivasikan diri sebagai persediaan untuk melalui bulan Ramadhan. Antaranya ialah dengan meningkatkan apa sahaja ibadah yang sebelum ini jarang atau belum kita lakukan. Seperti (1) Solat sunat sebelum atau selepas solat fardu 5 waktu [ 2 rakaat sebelum Subuh, 4 rakaat sebelum Zohor, 2 rakaat selepas Zohor, 2 rakaat selepas Maghrib dan 2 rakaat selepas Isya'].(2) Solat Dhuha (3) Qiamullail dan Tahajud disepertiga malam.(4)Puasa sunat (5) Membaca Al Quran.(6) Tambah amalan zikir (7)Banyakkan berdoa dan (8) Solat Witir.

                                 
                                                            ###################################



Pagi tadi aku cuba resepi yang sangat senang dan sedap. Apa lagi jika dimakan sewaktu masih panas, memang rangup. Habislah sepiring. Tidak perlu susah-susah hendak menyediakan kulit karipap, sekadar menggunakan roti yang kerap kali susah untuk dihabiskan. Kebetulan inti karipap memang sudah sedia ada di dalam peti sejuk. Masa yang diambil untuk menyediakannya juga sangat singkat dan yang penting ianya habis dimakan. Kebetulan rempah kari Ayam jenama Adabi tinggal sedikit jadi untuk berjimat aku menggunakan rempah kari Ikan. Aku campurkan sedikit dengan rempah kurma daging dan sedikit serbuk Garam Masala. Aku juga menambah telur rebus bagi menyedapkan lagi rasa intinya.

Resepi Karipap Roti

Bahan2:
1 biji ubi kentang- buang kulit dan potong dadu
1 biji ubi keledek- buang kulit dan potong dadu
Sedikit isi ayam atau daging yang dipotong dadu
1 biji bawang besar yang dipotong dadu
2 sudu besar rempah kari ikan jenama Adabi
1 sudu besar rempah kurma daging/ayam jenama Adabi
1/2 sudu besar serbuk  garam Masala
Garam 
Minyak masak
Hirisan daun bawang dan daun ketumbar
Roti keping
2 biji telur rebus

Cara membuatnya:
1.Panaskan minyak di dalam sebuah kuali. Masukkan bawang
   besar dan goreng sehingga hampir garing.
2.Masukkan semua rempah dan garam Masala.Kacau sekejap
   dan masukkan sedikit air. Biarkan sambil kacau sehingga pecah
   minyak.
3.Masukkan ayam atau daging, kentang dan keledek, kacau
    sekejap dan masukkan air yang mencukupi untuk ubi empuk.
4.Perisakan dengan garam dan biarkan sehingga kering.
5.Setelah sejuk masukkan hirisan daun bawang dan ketumbar
   bersama telur yang telah dilenyek kasar.Gaul rata.
6.Potong bahagian tepi roti dan gelek dengan pencanai supaya
   roti menjadi nipis.Letakkan atas acuan karipap


7.Masukkan inti, jangan terlalu penuh nanti pecah.Tutupkan.



8.Goreng di dalam minyak panas dengan api sederhana.
9.Goreng sehingga sedikit keperangan.
    



Ahad, 22 Mei 2016

Dapurku Di'Riyadh(176 ) - Pulut Mangga



Bismillahirramanirrahim

Bulan Sya'ban memberi peluang kepada kita untuk bersedia dengan lebih bersungguh-sungguh bagi menyambut kedatangan bulan terbaik yakni bulan Ramadhan. Latihan awal secara praktikal perlu dibuat supaya kita bersedia sepenuhnya. Jika diberi peluang lagi untuk beribadah di dalam bulan yang dijanjikan Allah SWT dengan penuh kemuliaan. Antaranya ialah dengan memperbaharui taubat dan berlatih untuk cuba melakukan taubat dengan sempurna. Berusaha membersihkan hati dan bertaubat kepada Allah SWT atas dosa-dosa kita. Perkara-perkara lain yang membawa kepada taubat yag sesungguhnya ialah:
1.Berhenti dari mengumpat iaitu bercakap mengenai seseorang di belakang mereka 
   apabila mereka tidak menyukainya, walaupun apa yang dikatakan adalah benar.
2.Jauhi pembohongan - tidak ada 'tipu sunat' - Penipuan tetap penipuan.
3.Buang riak jauh-jauh(menunjuk-nunjuk/besar diri) - iaitu berbuat baik kepada 
   orang lain dengan perasaan  ingin bermegah, dan bukan ikhlas kerana Allah SWT.
4.Hindari Ujoob- perasaan bangga dan yakin akan kesempurnaan pada diri sendiri.
5.Elakkan Kibr - bongkak, merasai dirinya lebih baik daripada orang lain.
6.Hilangkan hasad dan dengki/benci .
7.Tanamkan sifat malu dalam diri -  ambil perhatian terhadap cara kita berpakaian,
   bertutur kata dan perlakuan di depan bukan mahram dan lain-lain. jangan sampai 
   menimbulkan fitnah  terhadap bukan mahram.


#########################################


Pertama kali aku melihat hidangan Pulut Mangga ialah sewaktu kenduri sempena majlis pertunangan anak saudaraku, Wan Suhanis. Peristiwa tersebut sudah lama, lebih kurang 18 tahun lepas. Heran juga aku ketika itu, kalau durian di makan bersama pulut memang la sedap. Pulut Mangga tersebut disediakan oleh kawan kakakku yang datang dari Thailand. Semuanya dibawa dan disediakan sendiri oleh pasangan suami isteri yang kami kenali sebagai Tamcai dan Dongkair. Kini Pulut mangga begitu popular, tambahan pula dengan kehadiran Mangga Harum Manis. 




Tetiba teringin pula untuk membuatnya maklumlah musim mangga sedang menyerang Arab Saudi. Ada Ekspo Mangga di Jeddah dan Pesta Mangga di Lulu Hypermarket,Murabba, Riyadh. baru bermula. Bagi yang pernah menunaikan haji dan umrah, pasti teringat jus mangga yang pekat dan sedap yang menjadi minuman kegemaran ramai. Kenangan yang sentiasa diingat. Tapi kami selalu kecewa apabila membeli buah mangga di mall kerana rasanya tidak semanis seperti yang diharapkan. Banyak sangat pilihan buah mangga jika bertepatan dengan musimnya, yang dibawa dari berbagai negara. India, Yaman, Pakistan, Kenya, Ivory Coast, Thailand, Indonesia, Brazil, Sri Lanka dan sebagainya. Buah mangga tempatan juga ada, ianya datang dari daerah Jazan yang terletak bersempadan dengan Yaman. Biasanya buah mangga dari Yaman dan Jazan dijual dengan banyaknya di tepi-tepi jalan dalam kotak dan berwarna kemerahan kulitnya. 

Teringin untuk membuat Pulut Mangga, aku pun mencuba nasib membeli buah mangga dari Jazan yang dijual di Panda Hypermarket.. Itu pun aku biarkan dahulu untuk beberapa hari supaya betul-betul ranum. Tidak mengecewakan, memang sedap pulut dimakan bersama mangga, ada pula kuah santan. Hmmm tidak terkata.

   
             
Dari Jazan
Dari India
             
Resepi Pulut Mangga

Bahan2:
2 biji buah mangga
1 cawan beras pulut, direndam
1 1/2  - 2 cawan Santan 
Garam
1 sudu tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
Gula 
Daun pandan

Cara membuatnya:
1.Kukus pulut sehingga setengah  masak. Angkat,
   masukkan ke dalam sebuah bekas yang sesuai.
2.Gaul bersama santan yang dicampur sedikit garam
   sehingga rata. Pastikan santan digaul rata dan sebati
   dengan pulut.
3.Masukkan pulut ke dalam pengukus dan kukus sehingga
   masak.


4.Untuk kuah santan: Masakkan 1 cawan santan bersama
   gula dan daun pandan.Bila mendidih, masukkan bancuhan
   tepung jagung.Kacau sehingga pekat. Tutup api.

  

Hidangkan bersama.



Ramadan Mubarak 1445H/2024M

BismillahirRahmanirRahim   Assalamualaikum. Saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan ber...