Jumaat, 27 Mei 2016

Travelog : Jalan2 Australia, Melbourne (3) - Dapat Balik Kamera Yang Hilang


Dapat Balik Kamera Yang Hilang


Suamiku bertanya kepada pemuda yang bertugas di kedai tersebut, jika ada masjid berhampiran dengan kedai tersebut. Kami diberitahu terdapat sebuah prayer room di tingkat 12, Universiti Victoria yang terletak tidak jauh dari kedai Halal Kebabs tersebut. Bangunan universiti tersebut berada betul-betul di belakang kedai Halal Kebabs, hanya memerlukan lebih kurang lima minit untuk sampai. Tiada pondok pengawal keselamatan atau pegawai keselamatan yang bertugas di depan bangunan seperti yang biasa kita lihat. Kami terus masuk ke dalam bangunan dan mencari lif untuk naik ke tingkat 12. Sempat juga kami bertembung dengan beberapa staf akademik yang sedang bertugas. Mereka tidak kisah langsung dengan kehadiran kami, seolah kami juga adalah pelajar di universiti tersebut.


Universiti Victoria betul-betul di tengah bandar

Terdapat sebuah bilik sederhana besar yang lengkap dengan bilik air dan dua rak untuk diletakkan sejadah, telekung, buku dan sebagainya. Ruang solat lelaki dipisahkan dari ruang solat wanita dengan sehelai tirai yang diperbuat dari kain yang tebal. Syukur rasanya dengan kemudahan yang diberikan oleh pihak universiti kepada warga Muslim yang bekerja atau belajar di universiti tersebut. Ianya juga memberi peluang kepada orang Islam di sekitarnya untuk bersolat di surau tersebut. Moga kemudahan tersebut dimanafaat sepenuhnya. Meriah rasanya  berjalan bumi Allah ini apabila hakNya diberi pengiktirafan dan kemudahan solat tidak diabaikan.

Salah satu pintu masuk ke bangunan universiti.

Usai menunaikan kewajipan, kami meninjau sekitar bangunan universiti yang dipenuhi dengan kedai-kedai. Sekadar mencuci mata. Universiti tersebut terletak betul-betul di tengah bandar, mengherankan juga kerana ianya begitu selamat dari gangguan di sekitarnya. Orang ramai bebas masuk dan keluar tanpa memerlukan kebenaran khas atau perlu mencatatkan perihal diri di dalam buku pelawat yang biasanya kita lihat di mana-mana bangunan penting. Kami menunggu trem di stesen yang berada tidak jauh dari bangunan Universiti Victoria. Kami menaiki trem percuma sekali lagi untuk ke stesen Skybus.

Kelihatan laluan trem di atas jalan raya.



Melbourne City

Setibanya kami di stesen tersebut, suamiku terus mencuba nasib dengan bertanya kepada petugas yang masih bertugas di kaunter. Dengan penuh harapan agar kameranya yang tertinggal di atas bas dapat diperolehi semula. Aku dan Saffura duduk di kerusi yang terdapat di sekitar kaunter tersebut sambil memerhati suamiku. Kelihatan suamiku berbual dengan seorang wanita berkulit putih yang bertugas di situ. Setelah beberapa minit mereka berbual, petugas tersebut menyerahkan kamera milik suamiku. Kelihatan suamiku tersenyum kemudian ketawa, gembira la tu. Aku terus bergerak menuju ke arah kaunter dengan rasa lega dan agak terkejut dengan kejadian tersebut. Sempat aku  merakamkan gambar buat kenangan.


Di kaunter SkyBus

"Percaya pulak Minah tu dekat abang ya?Tanyaku, sebaik sahaja kami kembali duduk di kerusi berhampiran kaunter.
"Macam-macam dia tanya."Balas suamiku sambil terus membelek kameranya."Warna kamera,jenama kamera dan gambar-gambar di dalamnya." Sambung suamiku lagi.
"Ohh... serius juga ya tapi heran sungguh, tak hilang kamera tu walaupun tertinggal di atas bas.Alhamdulillah...rezeki."Aku memberi respon.
"Memanglah depa ni bertanggungjawab, jujur dan amanah.Mereka mengamalkan budaya hidup yang dibawa oleh Islam walaupun tanpa iman."Jawab suamiku. Ternyata andaiannya, kemungkinan besar boleh mendapat kembali kameranya menjadi kenyataan. Saffura yang masih di dalam keadaan hairan mampu mempelajari sesuatu yang jarang dapat dilihatnya di tanah air sendiri. Selamatkah barang kita jika kejadian tersebut berlaku di Kuala Lumpur?
"Apa lagi yang dia tanya?"Aku menyambung perbualan kami.
"Dia tanya ada gambar orang India ke di dalam kamera." Jelas suamiku lagi.
"Haah...orang India?Siapa pulak?"Tanyaku kehairanan.
"Mungkin gambar kahwin Emy kot."Jawab suamiku sambil tersenyum.Aku teingat ada banyak gambar-gambar perkahwinan anak saudaraku yang berlangsung pada beberapa bulan lepas.


Antara gambar yang terdapat di dalam kamera


"Ehh...Kakak tu tengok ke gambar dalam kamera tu tanpa kebenaran?Tanya Saffura pula dengan rasa hairan.
"Ya lah, dia mesti siasat supaya senang untuk bertanya jika ada yang datang untuk membuat tuntutan. Jadi pemilik yang sebenar dapat dipastikan."Terang suamiku kepada Saffura.
"Sebab itulah kita tidak boleh ambil gambar sebarangan seperti gambar yang tidak menutup aurat dan sebagainya. Jika berlaku kejadian tidak dijangka seperti ini , mesti bahaya."Sambungku pula.

Setelah berpuas hati dengan keadaan kamera yang baru ditemui, kami pun mengorak langkah menuju ke bas yang sedang menanti. Kami meneruskan perjalanan ke Melbourne Airport atau juga dikenali sebagai Tullamarine Airport. Sementara menunggu masa untuk penerbangan ke Christchurch, sempat kami menunaikan solat di ruang menunggu di ruang berlepas. Alhamdulillah kami tidak diganggu atau dipandang semacam oleh orang ramai di sekitar kami. Sebenarnya ada surau di kawasan lapangan terbang tersebut tetapi kami tidak dapat mencarinya disebabkan kesuntukan masa.



Hepi2...naik SkyBus semula
Bye Melbourne.Jumpa lagi nanti.

Bersambung.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...