Jumaat, 27 Mei 2016

Travelog : Jalan2 Australia, Melbourne (2) - Sekitar Sungai Yarra


                                                        
                                      Sekitar Sungai Yarra                             

Setelah hampir dua jam berada di atas trem, kami pun mengambil keputusan untuk turun melihat sekitar pusat  bandar Melbourne. Lagipun terasa letih pula bila duduk terlalu lama. Kami turun di Flinders Street berhadapan dengan Flinders Street Station, yang merupakan pusat utama hentian keretapi dan stesen keretapi yang tertua di Melbourne. Terdapat sebuah Pusat Informasi berhadapan dengan stesen Flinders Street yang menyediakan brosur, buku dan pamplet tentang tempat-tempat menarik dan acara-acara yang akan berlangsung di Melbourne. 



Pemandangan Melbourne City berdekatan Sungai Yarra

Kami melintas jalan untuk ke Federation Square yang dipenuhi oleh orang ramai di sekitarnya. Seni binanya agak unik dan kelihatan seperti kotak yang diperbuat dari kertas. Namun kawasan ini begitu meriah dengan orang ramai yang duduk bersantai sambil  menikmati simbahan cahaya mentari. Ada yang duduk di atas lantai dan ada juga yang membawa kerusi untuk duduk dengan lebih selesa. Kebetulan pula ada pertunjukan tarian, jadi ramai penonton yang duduk di kerusi khas yang disediakan. Kami turut serta melihat persembahan tarian tradisional tersebut buat seketika. Terdapat restoran, kafe dan bar di sekitar tempat ini. Terdapat juga pelbagai gerai menjual makanan yang mengeluarkan bau yang menyelerakan.


Kelihatan Sungai Yarra 

Kami terus berjalan menuju ke Sungai Yarra  yang  terletak berdekatan dengan Federation Square. Sungai Yarra sememangnya luas dan turut mempunyai perkhidmatan feri Yarra River Cruises. Sememangnya river cruises amat popular di negara barat dan ianya menjadi tarikan pelancong untuk melihat suasana bandar dengan merentasi laluan air. Namun kami tidak mempunyai kesempatan untuk menaiki Yarra River Cruises buat masa ini.

Kami menyeberang Sungai Yarra  melalui laluan jalan besar yang menghubungkan kedua-dua belah sungai tersebut. Kami menuju ke Arts Centre Melbourne kerana tertarik dengan  menara yang menjadi mercu tandanya. Seakan akan menara  Eiffel Tower di Paris. Terdapat jualan sempena hari Ahad yang menawarkan pelbagai jualan berbentuk seni seperti barangan kulit, kaca, wangian dan termasuk makanan di sepanjang laluan tersebut,. Yang menariknya gerai pertama yang kami temui adalah kedai warga Turki yang mempamerkan tanda Halal. Penjualnya adalah seorang wanita muda bersama dengan seorang wanita yang lebih berusia dan bertudung. Mereka begitu sibuk melayan pelangan . Mereka  menjual sejenis roti yang dibakar atas kuali nipis kemudian diletakkan isi di dalamnya lalu dilipat menjadi dua. Walaupun perut terasa lapar tetapi kami merasa agak ragu-ragu untuk membelinya.

Kemudiannya kami berjalan pula di sekitar Southgate yang dipenuhi ramai warga Melbourne yang terdiri dari pelbagai bangsa seperti Bangladesh, Indonesia, India, Cina, Korea dan Jepun. Kebanyakan mereka sedang bersantai di kafe yang banyak terdapat di sepanjang laluan Sungai Yarra.

Sekitar Sungai Yarra.

Sambil berjalan aku berbual dengan suamiku, "Semua bangsa ada di sini ya, Arab pun ramai, Bangladesh pun ada, Cina tu biasalah, satu dunia dia orang pergi."
Suamiku pula menambah, "Orang Islam adalah yang paling ramai di Melbourne, hampir 70% orang Islam di Australia tinggal di sini, majoriti dari Bosnia, Turki, Arab dan Albania."
Saffura yang turut  mendengar turut menyampuk, "Oo... Patut la ramai orang Arab masa di lapangan terbang tadi. Orang berkulit hitam pun ada. Rasa macam di Kuala Lumpur kan  ayah."
Suamiku terus bercerita lagi, "Orang India pun ramai di sini. Cuba tengok tadi banyak kedai yang menawarkan makanan India atau kari," Aku menganggukkan kepala tanda setuju. Selain kedai Fish & Chip dan makanan Cina, makanan India juga amat popular di Melbourne.

Aku meneruskan perbualan, "Orang Malaysia tak begitu ramai macam dekat London tapi orang Indonesia ramai , kadang-kadang keliru pula."
Suamiku mengiyakan,"Ya lah, jarak Indonesia dengan Australia lebih dekat,”
"Sebab tu banyak informasi dalam bahasa Indonesia, ingat tak masa kita melawat Sydney Aquarium dulu tu?" aku menambah sambil terus melangkah menaiki jambatan untuk menyeberangi sungai.

Suasana menjadi sibuk dengan orang ramai dan feri yang melalui Sungai Yarra. Terdapat pelbagai aktiviti persembahan nyanyian dan permainan alat muzik oleh pemuzik jalanan yang mencari rezeki. Kebanyakannya terdiri daripada anak-anak muda. Tidak pula kelihatan pengemis jalanan. Kami kembali menyusuri laluan sungai untuk ke Flinders Street. Kawasan tersebut kelihatan meriah dengan pelbagai kedai yang menjual pelbagai barangan. Sedang sibuk memerhati keadaan sekelilingku, aku terpandang sebuah kedai  Halal Kebabs, apalagi Saffura yang merupakan peminat makanan Arab menjerit kesukaan. Jam sudah menunjukkan pukul 3.00 petang, pastinya kami terasa lapar.

Order2....

Kami memberi salam kepada warga Bangladesh yang bertugas di kedai tersebut. Terdapat menu nasi di samping pelbagai jenis kebab yang menarik untuk dipilih. Kami memilih Nasi Beriani kambing berharga AUD10(RM32.40) dengan  air mineral percuma dan Kebab Falafel yang berharga AUD9 . Tanpa perlu menunggu lama kami dihidangkan dengan sepinggan nasi beriani  untuk dimakan oleh dua orang. Kami bertiga makan dengan rasa yang puas. Kebab pula tidak disentuh langsung. Apabila aku makan Kebab Falafel pada malaamnya, terasa begitu enak walaupun sudah sejuk. Ketika itu aku tidak tahu langsung mengenai falafel, yang aku tahu rasanya sedap sesedap kebab daging atau ayam yang pernah aku makan. Kami mengambil masa untuk berehat seketika memandangkan tidak ada pelanggan lain yang duduk dan makan di situ. Letih rasanya  selepas berjalan di sekitar bandar sebentar tadi. 

Nasi Beriani memang menjadi pilihan ramai di mana sahaja.

Bersambung.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...