Rabu, 11 Mei 2016

Dapurku D'Riyadh (171) - Roti John



Bismillahirrahmanirrahim

Roti John dan Ayam Golek merupakan hidangan yang amat aku minati ketika tinggal di Melaka. Aku sudah lupa nama kedai yang kerap kami singgah itu, biasanya di  waktu malam di hujung minggu.  Kedai tersebut yang terletak berhampiran pantai, pasti menjadi daya tarikan orang ramai untuk bertamu di situ. Jika tidak silap aku, ianya terletak di Pantai Kundur. Namun semuanya sudah tidak ada lagi di situ pada masa sekarang, kesan dari pembinaan kilang milik Petronas. Pembinaan yang telah menyebabkan seluruh kawasan tersebut berubah wajah dan penuh kontroversi. Atas nama pembangunan dan keperluan yang didambakan, kita boleh lihat situasi yang amat berbeza di Melaka berbanding dua puluh tahun yang lalu. 

Jika dahulu, begitu mudah untuk berehat atau berkelah di tepi pantai yang terletak berhampiran dengan bandar Melaka. Pantainya cantik, walaupun tidak sesuai untuk mandi manda. Sayangnya sekarang, amat sukar untuk melihat pemandangan laut membiru berhampiran Bandar Melaka bahkan di seluruh negeri. Kini, kawasan pantai ditambak untuk dibina hotel, mall dan kawasan perumahan. Laut semakin jauh untuk dinikmati tiupan anginnya.



Roti John yang dikatakan berasal dari Singapura itu bersaiz panjang, berisi inti yang diperbuat dari ikan Sardin dan telur. Roti John akan dipotong dalam saiz yang lebih kecil supaya mudah dimakan bersama sos yang agak cair tetapi sedap.

Kini Roti John telah dipelbagaikan dan bagi mereka yang tidak suka akan rasa ikan Sardin boleh memilih daging sebagai ganti. Roti John juga disumbat dengan sayur, mayonis, sos cili atau sos lada hitam untuk menambah rasa enaknya. Inti yang aku sediakan sama seperti inti yang aku gunakan untuk membuat Kuih Cara Berlauk dan Murtabak. Kebetulan aku ternampak roti jenama Kudu ketika ke kedai tempoh hari. Dapatlah aku berbuka puasa dengan Roti John. Roti Kudu memang lembut sangat, ianya menambah keenakan Roti John yang aku sediakan. Kudu merupakan restoran makanan segera tempatan yang popular terutama di Riyadh. Setanding dengan jenama antara bangsa yang lain, Kudu kerap menjadi pilihan kami sepanjang berada di sini.

Hidangan untuk minum pagi.

Resepi Roti John

Untuk Inti
Bahan2:
400g -500 g isi daging  yang dikisar (mincemeat)
2-3 sudu besar rempah kari daging jenama Adabi
1 biji bawang besar*
5 ulas bawang putih *
Sedikit halia*
bahan * dikisar halus
Minyak masak
Garam
Sedikit air.

Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak di dalam sebuah kuali. Masukkan bahan
   kisar dan goreng hingga keperangan. Masukkan rempah.
2.Goreng rempah sehingga garing dan masukkan sedikit air dan
   garam. Kacau sehingga pecah minyak.
3.Masukkan daging kisar dan goreng sehingga dan agak kering.




Untuk sediakan 2 Roti John

Roti- dibelah dua tetapi tidak putus dan disapu mentega.
2 biji telur
2 sudu besar inti daging
Sedikit Daun ketumbar dihiris halus
Sedikit Daun bawang dihiris halus
1/2 biji bawang besar dihiris nipis
Sedikit garam


Cara Membuatnya:
1.Pukul telur dan masukkan semua bahan di atas
   kecuali roti.Kacau supaya sebati.
2.Panaskan frying pan, masukkan sedikit minyak.
3.Masukkan adunan telur ke dalam frying pan.Biar sekejap.
4.Letakkan roti di atas telur, pastikan telur belum masak
    sepenuhnya supaya roti melekat pada telur tersebut.



5.Biar sehingga telur masak dan terbalikkan roti sekejap
   sebelum diangkat.
6.Masukkan kobis, timun , sos cili dan mayonis jika suka
   di dalamnya. Boleh juga dihidang begitu sahaja.



Hasilnya
Jom ..buka puasa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...