Isnin, 16 Mei 2016

Dapurku D'Riyadh (173) - Chicken Chop



Bismillahirrahmanirrahim

Chicken Chop memang sedap jika dimakan ketika panas apa lagi jika sos lada hitamnya pekat dan penuh perisa. Biasanya aku beli Chicken Chop frozen keluaran Ramly Burger yang terkenal itu. Kedai Ramly Burger yang terletak di Bandar Tun Razak kerap kali aku singgah ketika di dalam perjalanan pulang dari sekolah. Dengan adanya kad ahli, aku mendapat diskaun sebanyak 10% bagi barangan keluaran Ramly Burger. Memborong sakan kalau aku ke situ maklumlah macam-macam ada. Semua produknya begitu diyakini dari segi kualiti dan halalnya. Moga perniagaannya terus berkekalan bagi memenuhi keperluan umat Islam.



Hari ini juga begitu istimewa bagi rakan-rakan yang bergelar guru atau pensyarah. Banyak ucapan bertebaran di FB dan WhatsApp seawal pagi. Walaupun bercuti, masih ada yang mengingati dan memberi ucapan ikhlas. Aku juga mulai membuat refleksi kerana tidak berapa lama lagi aku akan meneruskan kerjaya sebagai guru setelah hampir tiga tahun bercuti. Aku perlu mengaut sebanyak mungkin motivasi agar pekerjaan yang bakal aku tempuhi nanti mampu memberi ganjaran sebaiknya di dunia dan akhirat. Antara ucapan yang boleh digarap dan begitu bermakna;






Rasulullah SAW bersabda:

 Sesunggunhya Allah dan para malaikat sehinggakan semut di dalam sarangnya 
 dan ikan yang berada di lautan mendoakan kebaikan kepada mereka yang
 mengajarkan kebaikan kepada manusia.
[Al Tirmizi, katanya hadis ini hasan, sahih,gharib.Rujuk juga Sahih al Jamik 1838]

Sesungguhnya tujuan aku menulis di dalam blog juga mempunyai matlamat yang sama. Memberi ilmu setakat termampu, moga ianya memberi kebaikan untuk semua dan beroleh doa dari penghuni di langit dan dibumi. Hidangan yang aku sediakan ini juga buat suamiku yang baru balik dari universiti kerana ada kelas peperiksaan sehingga ke malam.

Resepi Chicken Chop

Untuk Ayam
Bahan2:
4 keping dada ayam tanpa tulang
3 ulas bawang putih dikisar halus*
1 inci  halia dikisar halus*
2/3 sudu besar sos BBQ*
1 sudu kecil serbuk lada hitam*
Garam secukup rasa*
1/2 sudu kecil serbuk cili (opt)*

2 sudu besar tepung gandum
1 biji telur dipukul
Serbuk roti (bread crumbs)secukupnya
Sedikit cornflakes yang dihancurkan(opt)
Minyak masak secukupnya

Cara Membuatnya:
1.Campurkan semua bahan bertanda * ke dalam sebuah
   mangkuk dan kacau supaya sebati.
2.Sapu adunan pada seluruh dada ayam.
3.Masukkan ke dalam bekas yang sesuai dan simpan
   di dalam peti sejuk selama beberapa jam (lebih baik
   semalaman)

4.Panaskan minyak di dalam kuali.
5.Ambil ayam yang diperap dan sapukan dengan tepung
   gandum sehingga rata. Sapukan pula dengan telur dan
   gaulkan dengan campuran bread crumbs dan cornflakes.
6.Masukkan ke dalam minyak dan pastikan api sederhana
   Masak sehingga keperangan di kedua-dua belah ayam.

*Cara Buat Serbuk Roti
Bakar roti di dalam oven sehingga keperangan.Biarkan
sejuk dan blend sehingga halus. Masukkan ke dalam
bekas kedap udara dan simpan di dalam peti sejuk supaya
tahan lebih lama.



Sos Perang @ Sos Lada Hitam
Bahan2
1 sudu besar mentega
2 sudu besar tepung gandum
1- 2 cawan air
1/2 cawan susu segar
3 sudu besar sos BBQ
1 sudu besar serbuk lada hitam
1 sudu besar sos cendawan
Garam
Sedikit Gula Melaka
(Jika tiada sos BBQ boleh diganti campuran sos tiram,
 sos tomato atau sos cili  dan kicap)

Cara Membuatnya:
1.Panaskan mentega di dalam sebuah periuk. Masukkan tepung
   dan kacau sehingga sebati dengan mentega.
2.Masukkan air dan kacau sehingga semua larut (tiada ketulan).
3.Masukkan semua bahan lain dan perisakan. Kacau sehingga
   sos menjadi pekat. Hidangkan ketika panas

Resepi Kentang Goreng
Bahan2
3 biji kentang dibuang kulit dan dipotong
Sedikit garam
Minyak masak

Cara membuatnya:
1.Rebus kentang yang dipotong bersama garam selama
   5-10 minit (separuh masak)
2.Angkat dan toskan.Keringkan dengan tuala dapur



3.Masukkan ke dalam bekas plastik dan simpan di dalam bahagian 
    sejuk beku selama lebih kurang 5 jam.


4.Panaskan minyak di dalam sebuah kuali. Keluarkan kentang dari peti
   sejuk dan terus masukkan ke dalam kuali.
5.Goreng sehingga keperangan.






2 ulasan:

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...