Khamis, 19 Mei 2016

Dapurku D'Riyadh (175) - Peria Goreng Tepung



Bismillahirrahmanirrahim

Rejab sudah pun berlalu, kini kita sedang meniti hari di dalam bulan Sya'ban. Bermakna bulan Ramadhan akan hadir tidak berapa lama lagi. Bulan Ramadhan adalah anugerah dari Allah SWT yang ditunggu-tunggu kerana terlalu banyak keistimewaannya. Oleh itu persediaan mesti dibuat sebelum ketibaannya supaya kita beroleh ganjaran semaksimanya dan seterusnya kembali kepada fitrah. Oleh kerana entri Dapurku D'Riyadh agak kerap aku poskan maka ingin aku masukkan beberapa tazkirah berkaitan dengan bulan ibadah ini. Semuanya dikongsi oleh rakan-rakan melalui FB dan WhatsApp, aku panjangkan di sini supaya ianya dapat dimanafaatkan oleh tetamu di blog Memory Ziasaf.

Untuk menghadapi Bulan Ramadhan yang memerlukan kita melakukan pengorbanan yang paling besar maka kita perlu kepada persediaan . Di dalam bulan yang mulia inilah kita akan memperbanyakkan ibadah melebihi bulan-bulan biasa. Ilmu dan persediaan yang mencukupi adalah penting untuk kita menyambut kedatangan Ramadhan. Apa lagi di bulan yang penuh berkat ini Allah menjanjikan bahawa syaitan dibelenggu, pintu-pintu syurga dibuka luas dan pintu-pintu neraka ditutup rapat.

Jadikan bulan Sya'ban bulan di mana kita mencari ilmu buat bekalan untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan. Menanam rasa rindu akan kedatangannya dengan berdoa dan memperbanyakkan amalan seperti puasa sunat, membaca Al Quran, memahami Al Quran dan  sebagainya.

 Ya Allah, panjangkanlah umur kami untuk bertemu dengan bulan Ramadhan
 dan berikanlah kami kekuatan dan kesihatan serta bantulah kami untuk
 beramal dengan sepenuh-penuh amal pada sepanjang bulan tersebut. 
Amin.

                                   ##############################################

Masakan Peria memang menjadi pilihan kami untuk dimakan bersama nasi. Biasanya aku buat sambal peria atau peria goreng telur. Walaupun pahit tetapi seda, tambahan pula ianya baik untuk kesihatan. Pernah aku makan peria goreng tepung yang rangup ketika program Muqqayam yang lepas. Tetapi malu pula untuk bertanya resepi kepada yang membuatnya, maklum bukan semua orang mahu berkongsi resepi. Apa lagi jika ianya sedap dan dijadikan sumber rezeki. Puas mencari di laman blog, akhirnya aku mencuba resepi dari Mamak Penang yang terkenal itu. Walaupun hasilnya  tidak serangup yang pernah aku makan ketika Muqqayam tetapi rasanya memang sedap. Habislah sepinggan dan yang bestnya, ianya boleh dimakan begitu sahaja. Tidak terasa pahitnya. Tidak sabar untuk mencubanya lagi sehingga dapat resepi yang betul-betul sedap dan rangup. Letak dulu resepi di sini supaya senang bila mahu mencuba lagi.


Tambah kapsyen

Resepi Peria Goreng Tepung

Bahan2:
1 biji buah peria cina (yang besar)
1 sudu besar serbuk cili
1/4 sudu kecil garam atau secukup rasa
1 sudu besar santan pekat (tak letak)
50 g tepung gandum
1 sudu besar tepung beras
1 sudu besar tepung ubi kayu
1 biji telur dipukul
Sedikit lada hitam
Air sejuk (ais) secukupnya.
Cara membuatnya:
1.Basuk buah peria. Buang isinya dan potong nipis.


2.Masukkan serbuk cili, tepung beras dan garam. Gaul sebati. Ambil
   hirisan buah peria dan tekap/sadur kedua-dua belah permukaan
   peria dengan tepung campuran tadi. Buat sekeping2.
3.Masukkan tepung gandum, tepung ubi dan tepung yang lebih untuk
   saduran tadi ke dalam sebuah bekas yang sesuai. Masukkan telur,
   santan, lada hitam, garam dan air secukupnya. Kacau dan dapatkan
   kelikatan bancuhan seperti untuk menggoreng pisang.
4.Panaskan  minyak di dalam sebuah kuali. Setelah minyak betul2 
   panas. Celupkan kepingan peria ke dalam adunan tepung dan
   goreng sehingga perang atau masak. Buat satu demi satu.


Siap untuk digoreng.



***
Pilihan untuk adunan tepung:
1.Tepung gandum dan tepung jagung dalam nisbah 1:2 (untuk dimakan
    ketika masih panas)
2.Untuk ranggup, bagi satu cawan tepung tambah 1/2 sudu kecil
   baking powder.

Cubaan ke 2 menggunakan bancuhan dengan baking powder
lebih rangup ketika panas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...