Isnin, 9 Mei 2016

Travelog : Oh!Riyadh (106) - Spring Semester Bakal Berakhir


Spring Semester Bakal Berakhir

Masa begitu cepat beredar dan cuaca pun semakin panas sehingga suhu mencecah 40°C. Saffura dan rakan sekelasnya sudah pun mengambil gambar sebagai kenangan. Kali ini kesemua rakan sekelasnya bersetuju untuk bergambar bersama sebagai simbolik hari konvokesyen sekolah pada tahun ini. Tahun lepas Saffura terpaksa bergabung dengan Gred 8. Tiada majlis konvokesyen di sekolah Al Alameen disebabkan bilangan murid-muridnya yang sedikit, terutama bagi kelas di gred yang lebih tinggi.

Gred 8 Al Alameen International School, Riyadh.
Eiruj, Rumaysa, Maha, Saffura, Mariam dan Nur Farhana.


Minggu lepas juga berlangsung Young Entrepreneur Day bagi sekolah Saffura. Sekali lagi baju khas diperlukan untuk dipakai ketika bertugas membuat jualan makanan di sekolah. Blazer diperlukan sebagai simbolik gaya seorang usahawan yang berjaya.... Dapatlah sehelai blazer dari Debenhams. Teacher Asma sebagai koodinator telah memberi tugasan yang tertentu kepada murid-murid yang terlibat dengan jualan iaitu murid-murid di Gred 8 dan Gred 9. Yang lain akan menjadi pelanggan pada hari tersebut. Saffura ditugaskan untuk membawa nuget ayam. Selepas Solat Subuh pada pukul 3.55 pagi, Saffura memulakan tugasnya menggoreng nuget sehingga habis kesemuanya. Rakan-rakan yang lain membawa cupcake, donut, pizza, barang hiasan, permainan dan sebagainya. Sebanyak SAR2000  dapat diperolehi hasil  dari jualan pada hari jualan tersebut.

Aku agak kagum dengan pencapaian tersebut, lagi pula semuanya dilakukan oleh murid-murid sendiri. Modal juga dikeluarkan oleh murid-murid kemudian dibayar semula selepas habis aktiviti tersebut. Murid-murid mampu pula diberi gaji sebanyak SAR35 seorang. Menurut Saffura jualan memang laris dan tidak mencukupi. Aktiviti seumpama itu diadakan buat kali pertama di sekolah tersebut sebagai pendedahan kepada murid-murid di Gred 8 dan Gred 9 yang sedang mengikuti pelajaran Business. Subjek tersebut menjadi pilihan murid-murid Gred 9 yang akan menduduki peperiksaan IGCSE (International General Certificate of Secondary Education) pada tahun depan (Gred 10)

Aku teringat akan Hari Keusahawanan yang berlangsung di sekolahku saban tahun. Guru-guru pula yang perlu bekerja lebih, menentukan menu yang akan dijual, ke kedai membeli barang keperluan dan seterusnya masak sendiri untuk mendapat untung lebih dan bersama memantau keadaan jualan pada hari tersebut. Jika hari tersebut diadakan bersama dengan sambutan lain seperti  Mesyuarat Agung PIBG, berkejaranlah guru-guru dari dewan sekolah ke tempat jualan. Bukan tidak mempercayai pelajar tetapi kebanyakan pelajar sangatlah pemurah ketika menjual kepada rakan-rakan mereka. Jika mendapat keuntungan dan mampu membayar sewa tapak jualan pun  sudah dikira berbaloi asalkan jangan rugi. Itu cerita tiga tahun yang lepas, mungkin kini situasinya sudah tidak sama lagi. Sekadar buat kenangan dan panduan di masa hadapan.


99 keping nuget ayam.

Kebanyakan universiti sekitar Riyadh juga turut mengadakan majlis konvokesyen untuk pelajar universiti masing-masing. Namun situasinya tidak sama seperti amalam biasa dimana majlis konvokesyen di Arab Saudi diadakan sebelum mahasiswa mendapat keputusan peperiksaan malah belum lagi bermula peperiksaan semester akhir mereka. Pelik bukan. Itulah hakikat yang memeningkan kepala kebanyakan pensyarah yang terpaksa bekerja keras bagi memastikan semua pelajar yang sudah pun konvo boleh lepas dalam peperiksaan. Apo nak dikato. Dan majlis juga diadakan secara berasingan antara siswa dan siswi. Kebiasaannya majlis untuk siswi diadakan sehari selepas siswa dan diadakan pada waktu malam.


Kenangan di majlis konvokesyen terakhir.

Kenangan bersama students

Di Malaysia pula, banyak majlis perkahwinan berlansung sempena cuti hujung minggu yang bersambung dengan Hari Buruh. Telah berlangsung dua majlis kenduri bagi keluarga kami iaitu keluarga Almarhum Abdul Razak, abangku dan keluarga kakakku, Pn Jamilah. Pengantin perempuan adalah Mazuin, anak sulung kepada kakakku dan Almarhum suaminya Mohamad bin Sabu.  Pasangannya ialah Wan Mohammad bin Wan Jaafar. Shafie pula adalah anak ke empat Almarhum abangku dengan Pn Jamilah (sama nama dengan kakakku) selamat berkahwin dengan pasangannya Roshidayu Ibrahim. Kedua-duanya dari Kelantan. Kebetulan warna baju pengantin pun sama...hijau.

Aku hanya mampu mengirim hadiah dan doa agar kedua pasangan pengantin ini diberkati Allah SWT dan jodoh berkekalan sehingga ke Jannah. Hanya FB dan WhatsApp menjadi wadah untuk bersama menjamu mata melihat gambar-gambar kenangan hari bahagia mereka berdua. Alhamdulillah.


Keluarga Pengantin Shafie bin Abdul Razak .

Keluarga Pengantin Mazuin binti Mohamad


Image result for doa buat pengantin baru

                                                                                                                                    zias/riyadh/16

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...