Ahad, 1 Mei 2016

Travelog : Kuwait Dihatiku (10) - Mewah, Orang Kuwait


 Mewah, Orang Kuwait






Negara Kuwait, kurang menjadi tumpuan untuk pelancong dari Malaysia. Jarang sekali aku mendengar rakan-rakan aku yang berkunjung ke sana semata-mata untuk berjalan atau makan angin. Kenalanku, Pn Rafidah yang pernah ke sana atas urusan rasmi berpendapat negara Kuwait memang terbaik jika dibandingkan dengan negara-negara Teluk Arab yang lain. Dubai dan Abu Dhabi menjadi pilihan utama bagi warga Arab Saudi atau bagi pekerja luar yang menetap di sini untuk bercuti. Bahrain pula menjadi tumpuan mereka di hujung minggu.

Dunia lebih mengenali Kuwait yang terlibat dengan Perang Teluk setelah negara tersebut diserang oleh Iraq. Cerita duka ketika perang pasti masih diingati oleh warga Kuwait. Dalam diam, Kuwait membangun dengan pesat untuk bersaing dengan negara GCC yang lain. Kami agak terkejut melihat pembangunan yang sedang rancak  berjalan di sekitar  Kuwait City. Bangunan-bangunan  tinggi semakin  banyak dibina dan yang sedang dibina seolah mengatasi bilangan pencakar langit di Riyadh.

Kuwait juga terkenal kerana memiliki mata wang tertinggi di dunia iaitu Kuwait Dinar yang diringkaskan sebagai KD. Mungkin ianya juga menjadi faktor kenapa negara Kuwait kurang popular untuk dilawati. Ketika kami berkunjung ke Kuwait 1KD=SAR13. Bayaran untuk sewa hotel juga agak mahal dan tidak banyak pilihan ditawarkan. Namun kedudukannya yang agak dekat dengan Riyadh menggamit kami untuk ke sana. 

Wang kertas Kuwait Dinar.
Wang kertas 1/2 KD dan 1/4 KD pun ada.

Kuwait merupakan sebuah negara Arab yang kaya, seperti jirannya Arab Saudi tiada cukai dikenaka kepada rakyatnya. Tiada tol, tempat meletak kereta percuma dan tiada cukai perkhidmatan atau GST di semua kedai atau mall. Setelah dua hari berapa di Kuwait, kami merasakan harga barangan termasuk makanan agak murah. Contohnya ialah harga makanan yang ditawarkan di hotel tempat kami tinggal, lebih murah jika dibandingkan dengan Qatar atau Arab Saudi. Sebenarnya kami tidak banyak makan di luar kerana aku telah menyiapkan beberapa jenis lauk yang disejukbekukan untuk dibawa ke Kuwait. Lagi pula kebanyakan makanan Arab di sini lebih kurang sama seperti yang terdapat di Riyadh. Harga minyak kereta pula juga begitu rendah nilainya di dalam KD sehingga susah untuk diingat. Aku bertanya kepada Puan salmah dan kenalan ODOJ Puan Syahrida Mulyawan harga untuk 1 liter minyak. Ternyata mereka gagal untuk mengingatinya kerana mereka membayar jumlahnya sahaja. Kami hanya mengisi minyak sekali sahaja sepaanjang berada di Kuwait City sebelum bertolak kembali ke Riyadh. Tidak silap aku harganya 0.063 sehingga 0.068 sen untuk satu liter. Puas aku mencari maklumat di dalam google namun tidak aku temui. 

Room service  menu  Kuwait International Hotel


Berada di atas jalan raya di Kuwait, terasa seperti berada di Malaysia dengan suasana kehijauan yang terdapat di sepanjang jalan raya sehingga ke sekitar pusat bandar. Pokok-pokok yang agak besar dan tinggi pasti memerlukan masa yang lama untuk hidup di bumi yang serba gersang itu. Pasti perancangan telah dibuat dengan rapi dan lama untuk menghasilkan suasana yang sebegitu rupa. Seronok melihat suasana kehijauan di bumi Arab ini.


Suasana hijau


Pokok kurma pun ada sebagai hiasan tetapi tidak begitu banyak






Banyak bas awam. Laluan ke pusat bandar.
Bangunan pencakar langit sekitarpusat bandar.
Seronok sungguh kami mencuci mata melihat pelbagai jenis kenderaan mewah di atas jalan raya. Walaupun sudah terbiasa dengan suasana sebegitu di Riyadh namun lebih banyak kereta mewah di Kuwait. Terpegun melihat kaum wanita bergaya membawa kereta mewah yang pelbagai jenama dan bentuk. Menurut Saudara Ahmad, kereta memang amat murah di Kuwait. Tidak hairan jika kita melihat deretan kereta di depan rumah mereka. Kebanyakan kereta diletak di bahagian hadapan rumah yakni di luar pagar kawasan rumah. Ada yang memasang bumbung, ada yang membiarkan begitu sahaja. Namun kawasan untuk meletak kereta agak terhad seperti yang dialami oleh Saudara Ahmad. Kejadian di mana kereta hilang akibat kecurian tidak pernah wujud kata Saudara Ahmad. Kami melopong mendengarnya.




Yang sempat diambil gambar. Tidak berani ambil gambar sebarangan di sini.

Sebuah rumah dengan deretan kereta



Kereta jenama  Bentley pun letak di luar aje...

Rumah orang Kuwait? Terdapat perbezaan antara rumah agam orang di Kuwait dengan di Arab Saudi, Oman dan Qatar. Rata-rata rumah-rumah besar di Kuwait tidak memiliki tembok tinggi dan rumah mereka boleh dilihat dari luar dengan jelas. Saiz rumah mereka juga begitu besar dengan bertingkat seolah hotel atau bangunan rumah apartmen. Halaman rumah mereka luas dan bersambung sehingga hampir ke jalan yang terletak berdekatan rumah mereka. Sesekali terdapat kawasan taman yang dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok dan bunga-bungaan. Rasanya rumah-rumah di Kuwait lebih besar dan mewah berbanding di Arab Saudi, Qatar atau Oman.

Aku pernah bertanya kepada Puan Salmah mengenai rumah-rumah orang Kuwait yang begitu besar itu. Untuk apa? Itu belum diambil kira bahagian binaan bawah tanah yang menjadi kebiasaan bagi kediaman di Timur Tengah. Seperti di negara Arab lain, bahagian bawah atau ground floor dijadikan ruang untuk menerima tetamu  atau diwan. Ruang tetamu diasingkan antara lelaki dengan wanita. Di tingkat seterusnya terdapat bilik tidur dan sebagainya. Rupanya ada yang menyewakan sebahagian dari rumah mereka atau pun untuk diberikan kepada anak-anak mereka yang sudah berkahwin. Namun sebahagian besarnya duduk bersama keluarga sahaja di rumah yang luas bak istana itu. Warga Kuwait juga ditawarkan rumah oleh kerajaan secara sewa beli...seperti yang diterima oleh Saudara Ahmad. Jom cuci mata melihat gambar-gambar rumah orang Kuwait yang sempat diambil di sekitar Kuwait City juga ketika di dalam perjalanan pulang ke Riyadh. 


Tinggi...berbentuk tradisional


Unik sikit 

Istana kecil


Villa ke istana nih


Macam apartmen - 4 tingkat tu

Tiada tembok tinggi sekitarnya

Ehmmm...tak terkomen


Lihat laman rumah mereka yang  terbuka.

Deretan kereta di depan rumah

3 atau 4 tingkat , pasti ada lif di dalamnya

Yang ini ada tembok tinggi.

Laman rumah mereka yang bersambung ke jalan awam


Yang ini betul-betul di tepi jalan raya

Ini pun tiada pagar atau tembok macam rumah2 kat USA

Menyewa rumah memerlukan belanja yang agak tinggi kerana rumah sewa di Kuwait agak mahal. Jadi ramai pekerja asing tinggal di apartmen yang terdiri dari pelbagai bentuk dan harga. Satu lagi kelainan di Kuwait ialah hospitalnya seperti sebuah hotel mewah yang terdiri dari bangunan yang tinggi. Terdapat juga premis-premis perniagaan di tingkat-tingkat tertentu di bangunan tinggi yang juga turut dijadikan kediaman.


Apartmen mewah

Kebanyakan apartmen seperti ini. Tersusun di satu kawasan.

Deretan villa yang lebih moden


Kedai-kedai seperti ini banyak terdapat di sepanjang jalan berhampiran kawasan pantai.
Klinik gigi paling banyak terdapat di bangunan seperti ini.

Emir Kuwait Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al- Sabah.
Gambarnya berada di serata tempat. (Gambar dari FB Pn Hjh Wan Salisa)

Bersambung.

3 ulasan:

  1. Aslmkm...wah cantik rumah mereka mcm rumah agam pn ye istana pn ye jgk... mewah dorg ni... syukur dpt tgok dr blog puan ni.. i like

    BalasPadam
  2. Assalam, seronok membaca pengalaman ke kuwait, boleh saya tahu di mana saya boleh dapat info mengenai harga menyewa apartment ye kerana bercadangan untuk berkerja disana dan saya tiada rakan orang kuwait. Lone ranger. Boleh tolong emailkan ke hafizuddin.faiz@yahoo.com Terima kasih banyak-banyak ye puan.

    BalasPadam
  3. kalau nak kerja sebagai grab driver di kuwait cmana

    BalasPadam

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...