Rabu, 4 Mei 2016

Travelog : Kuwait Dihatiku (12) - The Scientific Center of Kuwait & The Avenues Mall


The Scientific Center  of Kuwait & The Avenues Mall


The Scientific Center of Kuwait.



Hari terakhir kami gunakan sebaiknya untuk berkunjung ke dua tempat yang menarik yang dipromosikan oleh Saudari Maimunah dan kakak iparnya Puan Salmah. Saffura memang tidak sabar untuk ke pusat sains tersebut memandangkan terdapat IMAX 3D yang dikatakan antara yang terbaik di Middle East. The Scientific Center of Kuwait (KSC) terletak di Salmiya , kita hanya perlu melalui Arabian Gulf Street untuk ke sana. Di dalam kawasan seluas 80,000 meter persegi ini terdapat akuarium terbesar di Middle East, yang memiliki lebih dari 100 spesis hidupan. Tarikan lain di situ ialah IMAX Theatre dan Discovery Place.Di dalam bangunan seluas 18,000 meter persegi itu juga terdapat kedai cendera mata, kafe dan kedai menjual makanan ringan . 


Tiket masuk ke IMAX Theatre

Menjadi tumpuan lawatan pelajar seluruh Kuwait yang dianjurkan oleh pihak sekolah dengan kerjasama KSC. Berdekatan bangunan tersebut terdapat beberapa buah dhow yang memaparkan sejarahnya yang tersendiri, sesuai dengan kisah silam Kuwait yang terkenal sebagai negara yang menghasilkan mutiara sebagai sumber pendapatan. Satu-satunya tempat yang dikenakan bayaran untuk meletakkan kereta di kawasan parkir KSC. Kami hanya berminat untuk melihat tayangan di IMAX Theatre. Ada beberapa tayangan yang ditawarkan dan kami memilih untuk menonton Journey to Space yang ditayangkan pada pukul 10.30 pagi. Bayaran sebanyak 3.750 KD dikenakan untuk setiap seorang bagi single ticket price. Terdapat combo ticket prices yang menawarkan kombinasi lawatan bagi beberapa tempat menarik di dalam KSC ini.

Tanpa membuang masa kami terus masuk ke dalam IMAX Theatre kerana tayangan sudah bermula. Skrin yang besar, suara latar yang jelas beserta cermin mata khas, tayangan yang dilihat begitu hidup. Terasa kerdil apabila melihat suasana di angkasa lepas yang memaparkan kehebatan Sang Pencipta alam ini , Allah SWT. Teringat kali pertama aku melihat filem yang hampir sama ketika melawat Disneyland Los Angeles dua puluh tahun lepas. Betapa aku hampir menjerit apabila meteor seolah bergerak keluar dari layar dan hampir mengenai diriku. 

Tempat duduk penonton.. tak la penuh

Ok gak kamera telefon bimbit nih
Tidak puas dengan tayangan tersebut, Saffura mahu menonton satu lagi tayangan. Kami pun begitu juga terasa seronok melihat tayangan tersebut. Kami memilih untuk melihat tayangan berikutnya yang bertajuk Kenya: Animal Kingdom. Terdapat sedikit masa terluang sementara menanti tayangan tersebut jadi kami duduk di ruang yang berhampiran dengan Starbucks. Pada masa itulah, kami bertemu dengan keluarga kawan Saffura yang bernama Maria. Maria adalah anak kepada pemilik Al Alameen Islamic International School (sekolah Saffura) iaitu Dr Abdul Aziz. Maria kelihatan agak malu berdiri di sisi ayahnya manakala dua orang adik Maria mendekati Saffura kerana mereka kenal akan Saffura. Suamiku mengambil kesempatan menegur Dr Abdul Aziz yang datang ke Kuwait bersama keluarganya. Isterinya, Mrs Suzzanne Taylor (rakyat British) yang bertugas sebagi Guru besar di sekolah tersebut tidak kelihatan kerana tinggal di hotel bersama bayi yang masih kecil. Menurut Dr Abdul Aziz, mereka ke Kuwait untuk melawat KSC yang merupakan pusat sains terbaik di Middle East.  Imax Theatre menawarkan skrin besar dengan saiz 15 m X 20 m, lebih besar dari yang terdapat di Jeddah.



Keluarga Dr Abdul Azizi beratur untuk masuk ke Imax Theatre

Antara yang dijual

Sekali lagi kami masuk ke Imax Theatre. Jika tadi kami bersama golongan remaja menonton tayangan Journey to Space. Kali ini kami bersama dengan kanak-kanak tadika dan sekolah rendah pula. Suasana di dalam Imax Theatre begitu bising dengan pelbagai bunyi yang dihasilkan oleh kanak-kanak tersebut. Ada masanya guru-guru pengiring terpaksa menegur mereka. Meriah suasananya. Kami tidak beminat untuk ke akuarium memandangkan kami mempunyai masa yang agak terhad. Lagi pula kami ada temu janji di waktu petang hari tersebut.

IMAX adalah sebuah format filem wayang gambar dan piawaian tayangan panggung yang dicipta oleh IMAX Corporation. IMAX mempunyai kemampuan merakam dan memaparkan gambar dan beresolusi yang jauh lebih besar berbanding kebanyakan sistem filem biasa. Saiz sebuah skrin IMAX biasa adalah 22m x 16.1 m dan ada yang lebih besar. IMAX adalah sistem yang paling banyak digunakan untuk persembahan khas filem. Skrin IMAX terbesar di dunia terdapat di pawagam IMAX LG di Sydney, Australia dengan dimensi 35.73 m x 29.42 m.

Tayangan bermula

Satu dari beberapa pintu masuk ke KSC

Mencuri perhatian ramai..dhow

Ruang atas dhow yang dipamerkan


Perahu ...


Cuaca agak nyaman di sekitar KSC


Ruang legar KSC

Pemandangan Kuwait City dari KSC, kelihatan juga Marina.

Pada sebelah malamnya kami berkunjung ke The Avenues seperti yang disarankan oleh Saudari Maimunah dan rakan-rakan ODOJ yang sempat aku temui pada sebelah petangnya. Saudari Maimudah agak gemar ke sana dengan tujuan beriadah. Ini disebabkan kawasan mall yang sangat luas, mencukupi baginya untuk mencapai jarak berjalan kaki yang diingini. Di samping mudah untuk mendapatkan keperluan yang dicari. Mencuci mata di mall ketika bercuti di luar negara seperti Oman dan Qatar tidak menjadi minat kami. Namun untuk kali ini kami terpaksa juga ke The Avenues untuk mencari fridge magnet dan tanda ingatan yang melambangkan negara Kuwait. Tambahan pula ada yang memesannya.

Pn Salmah ada memberitahu aku bahawa di The Avenues, terdapat The Souk. Di situ kita boleh mendapatkan barangan tradisi  Kuwait juga barangan cendera hati. Jauh juga The Avenues dengan hotel kami. Hampir 1 jam juga kami berpusing mencarinya. The Avenues sangat panjang dan luas bersambung dengan bangunan IKEA dan Kidszania. Kawasan parkir juga banyak, berbumbung atau di sekitarnya. Yang penting ianya percuma. Mudah juga untuk mendapatkan tempat meletak kereta. Mula lah kami bertemu dengan orang-orang Kuwait yang kelihatan agak moden dan bergaya. Niqab tidak diwajibkan di Kuwait namun ramai yang menggenakan abaya hitam.

The Avenues Mall (357,000 meter persegi) tercatat sebagai mall yang ke 16 terbesar di dunia mengalahkan The Dubai Mall (350,000 meter persegi) di Dubai  pada kedudukan ke 17 dari segi keluasannya. Sekaligus menobatkan The Avenues Mall sebagai shopping mall terbesar di rantau Middle East. Walau bagaimana pun The Dubai Mall ialah shopping mall tersebar di dunia berdasarkan total area. New South China Mall di Dongguan, China merupakan shopping mall tersebar di dunia dengan keluasan 659,612 meter persegi. 

Mengejutkan pula apabila aku melihat data di blog kakipromo.com. Mana tidaknya,  Malaysia mempunyai 4 shopping mall terbesar di senarai top 20 shopping mall terbesar di dunia. Yang terletak di Kuala Lumpur dan sekitarnya. I Utama ( tempat ke 6 dengan 465,000 meter persegi), Mid Valley ( tempat ke 9 dengan 420,000 meter persegi), Sunway Piramid (tempat ke12 dengan 396,000 meter persegi) dan Berjaya Times Square (tempat ke 19 dengan 320,000 meter persegi). Kuat betul rupanya orang Malaysia bershopping, kalah orang Arab. Patut la orang Arab suka melancong ke Malaysia!

Asyik sesat aje.

Puas kami mencari di mana letaknya The Souq. Orang memang ramai dan aku berpeluang mencuci mata melihat pelbagai kedai di situ. Bak kata...cerah bijik mata. Barangan berjenama antara bangsa memenuhi ruang-ruang kedai yang kebanyakannya dari Eropah dan Amerika Syarikat. Sama seperti di Riyadh. Aku juga berpeluang melihat pengasuh atau penjaga anak-anak keluarga Kuwait yang berpakaian khas. Bukan seorang dua, bahkan ramai. Ada juga keluarga yang membawa lebih dari seorang pengasuh. Mereka berpakaian seperti jururawat tetapi baju dan seluarnya berwarna tanpa corak. Pengasuh ini akan mengiringi keluarga tersebut sambil menjaga kanak-kanak atau bayi yang bersamanya. Golongan remaja juga agak ramai dengan berbagai fesyen dan ragam sama ada lelaki atau perempuan. Pasti mereka bebas berbelanja...maklum mereka ada duit poket yang diberi kerajaan semenjak dilahirkan. Bestnya.

Masuk ke ruang makan
Restoran dengan pelbagai jenama dan kafe dipenuhi dengan orang ramai apatah lagi di malam Jumaat. Kedai -kedai yang menawarkan hidangan coklat dan ais krim menjadi tumpuan untuk mereka duduk makan sambil berbual. Esoknya adalah hari cuti jadi ramai yang mengambil kesempatan untuk makan-makan dan membeli belah di mall ini. Puas berjalan dan bertanya , akhirnya kami berjumpa The Souk. Sayangnya barang yang dicari tidak kami jumpai. Di The Souk juga terdapat banyak kedai-kedai makan tradisi Arab,  kedai menjual manisan, abaya dan sebaginya. Aku dan Saffura masuk ke Centre Point yang terletak di sebelah The Souk dan sempat melihat baju-baju yang dijual berharga sekitar 3, 4 atau 5 KD. Terpegun seketika dan terlupa semuanya perlu di darab 13. Puas kami mencari barang yang dihajati namun tidak juga kami temui.


The Souk sebenarnya terletak berhampiran dengan pintu masuk berdekatan parkir

Konsep kedai  di dalamnya seperti souk tradisi

Kedai makan aje

Di kawasan lain tetapi masih di The Avenues Mall

Tidak disangka masyarakat Kuwait agak prihatin orangnya. Seorang remaja lelaki tiba-tiba menegur suamiku dan menyerahkan kunci bilik hotel yang terjatuh tanpa disedari. Alhamdulillah di dalam kemewahan yang dimiliki, mereka masih memiliki jiwa besar untuk membantu insan yang bukan sebangsa dengan mereka. Ianya adalah sikap terpuji sesuai dengan ajaran Islam dan masyarakat sejagat. Jika begini sikap para remaja di sini, ternyata pendidikan yang diberi sudah berjaya mencapai matlamatnya. 

Kami tersesat pula di satu lokasi yang agak tidak ramai bilangan pengunjungnya seperti di kawasan lain. Rupanya ia adalah gedung mewah yang dipenuhi dengan kedai-kedai berjenama terkenal. Butik berjenama Prada, Louis Vuitton, Chanel, Fendi dan sebagainya, terdapat di sini. Mujur aku bukan peminat beg tangan atau kasut yang mahal-mahal seperti itu. Sekadar melihat dari jauh dan berlalu. Lagi pula kami sudah terlalu letih melakukan tawaf di dalam mall yang luas itu. Lebih meletihkan apabila barang yang dicari tidak kami jumpai sedang esoknya kami akan pulang meninggalkan Kuwait.



Gaya mewah
Bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...