Rabu, 30 Disember 2015

Dapurku D'Riyadh (114) - Jeli Kelapa


Air kelapa muda memiliki khasiatnya yang tersendiri. Isinya pula memang sedap jika lembut begitu. Terbayang banyaknya kelapa muda yang dijual di gerai-gerai tepi jalan sekitar BTHO. Namun buah kepala muda agak mahal di Riyadh, terpaksa memikirkannya beberapa kali untuk membelinya. Jika ditawarkan harga yang berpatutan di bawah SAR10, aku pasti membelinya. Ada masanya terdapat beberapa jenis buah kelapa muda dengan pelbagai harga. Biasanya aku hanya membeli sebiji buah kelapa muda tetapi kali ini harga yang ditawarkan agak murah. Jadi aku membelinya dua biji (SAR6.90 sebiji).Rasanya seperti kelapa pandan kerana berbau wangi seperti daun pandan.
Projek aku kali ini ialah untuk menyediakan Jeli Kelapa...ehmmm aku tidak pernah membuatnya. Lama aku tidak menikmati jeli kelapa yang terkenal sangat lembut dan begitu nyaman apabila dimakan. Mujurlah ada serbuk agar-agar yang dijual di Toko yang memudahkan projek aku kali ini. 
Saffura suka sangat Jeli Kelapa yang aku sediakan ini. 

Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Jeli Kelapa
Bahan2:
1 liter air kelapa muda
1 liter air
7 g serbuk agar-agar
200 g gula pasir
1 helai daun pandan
Isi kelapa dihiris nipis



Cara Membuatnya:
1.Masukkan air, air kelapa muda, serbuk agar-agar dan gula ke dalam
   sebuah periuk.Masak sehingga gula dan agar-agar larut/mendidih.
2.Masukkan isi kelapa dan tutup api.
3.Masukkan ke dalam bekas yang sesuai dan biarkan sehingga keras.


Acuan apam jadi mangsa.




Sedia untuk dimakan.


Dapurku D'Riyadh (113) - Nasi Pilau & Dalca


Ada yang sebut Pilaf, polao,pilau,pulao. Hidangan nasi yang popular di negara-negara  seperti Afghanistan, Bangladesh, Nepal, Pakistan, India, Iran , Middle East, South Amerika Selatan dan Eropah  (Cyprus, Perancis, Greece dan Turki). Aku pula seakan pertama kali mendengarnya apabila jiranku di Riyadh yang berasal dari Pakistan pernah menyebutnya. Pn Saidah menceritakan kepadaku hidangan Nasi Pilau yang dia sediakan ketika untuk hari raya atau untuk tetamu yang berkunjung ke rumahnya. Nasi Pilau tidak pedas seperti nasi biryani, katanya. Aku ingin membuatnya namun terlupa sehingga selepas aku menulis di entri Jom Pi UK (4) yang ada menyebut Nasi Pilau.
Suami: Kita makan Nasi Pilau di Sunderland?Nasi apa tu?
Aku   : Sejenis nasi orang Pakistan....ehhh awak dah lupa ke?
Suami: Tak perasan la pulak.
Aku   : Mujur ada dalam buku catatan saya ni....
Semalam aku pun membuat Nasi Pilau yang agak mudah untuk disediakan. Ianya sedap sekali apabila aku gandingkan dengan kuah dalca ayam dan sambal hijau yang masih berbaki. Lama sungguh aku tidak memasak dalca. Hidangan dalca mengingatkan aku kepada kakak aku yang ketiga bernama Jamilah. Dalca yang enak mesti boleh diratah begitu sahaja, semangkuk dua boleh habis. Kak Milah pernah memberitahu aku untuk membuat kuah dalca yang sedap, elok dimasukkan mangga muda. Resepi mamak katanya. Untuk menjadikan kuah dalca kita wangi, kita buat tumis darat. Ehmmm sedapnya.

Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Nasi Pilau
Bahan A
1 ekor ayam (900 g)- dipotong
1 biji bawang besar*
5 ulas bawang putih*
1 inci halia*
Bahan * dikisar halus
1 sudu besar biji ketumbar
1 helai daun Bay
2 keping kulit kayu manis
1 sudu besar serbuk lada hitam
5-6 biji buah pelaga
5-6 biji cengkih
1 sudu besar serbuk Masala
1 biji buah tomato- didadu  (pilihan)
1 biji cili hijau - hiris nipis (jika mahu pedas)
Garam
Air - ikut kuantiti beras (1 beras : 1 1/2 air)
1.Masukkan semua bahan di atas  ke dalam sebuah periuk dan rebus
   sehingga ayam masak. Gunakan api sederhana.

2.Keluarkan ayam.Tapiskan air rebusan yang akan digunakan untuk 
   memasak nasi.

Bahan B:
2 cawan beras basmati (direndam 30 minit)
1 biji bawang besar dihiris nipis
5 ulas bawang putih*
1 inci halia*
Bahan * dikisar halus
2 keping kulit kayu manis
1 sudu kecil jintan putih (biji- boleh lebih)
1 helai daun Bay
1 sudu kecil biji lada hitam (boleh lebih)
5 biji bunga cengkih
5 biji buah pelaga
1 sudu minyak sapi
1 sudu minyak zaitun
1.Panaskan minyak di dalam periuk, masukkan bawang besar dan 
   goreng sehingga perang. Masukkan bahan kisar dan semua bahan
   lain. Kacau sekejap.
2.Masukkan ayam, kacau dan masukkan air rebusan ayam. Kacau dan
   perisakan.


3.Masukkan beras dan masak sehingga nasi hampir kering.



4.Tutup periuk dengan penutupnya. Perlahankan api sehingga minima dan biarkan 
   sehingga nasi masak sepenuhnya.




Hidangan Nasi Pilau ... dengan sedikit hiasan.



Resepi Dalca
Bahan2
200 - 300 g ayam (daging pun boleh)
2 biji kentang
2 biji terung
1 biji tomato
2 biji cili merah
1 batang karot
1 cawan kacang dhal (direndam dan direbus sehingga lembut)
Sedikit Kacang panjang (aku tak letak)



1/2 biji bawang besar*
5 ulas bawang putih*
1 inci halia*
Bahan * dikisar halus
3 sudu besar rempah kari ayam Jenama Adabi
1 mangkuk santan sederhana pekat.
1 biji mangga muda (aku tak letak)
Penumis
Daun kari
Bawang besar, halia dan bawang putih dihiris untuk tumis
Air atau santan cair
Garam
Minyak masak



Cara Membuatnya:
1.Masukkan bahan kisar, rempah, air/santan cair, garam, kentang, ayam, terung,kacang
   dhal dan karot ke dalam sebuah periuk. Masak sehingga kentang dan terung lembut.
2.Masukkan santan yang agak pekat, cili merah dan bawang yang dibelah (jika suka)
   masak sehingga semuanya sekata.Kacau selalu.



3.Panaskan minyak di dalam kuali, masukkan penumis dan bawang besar dan kacau
   sehingga hampir bawang garing. Masukkan halia dan daun kari.



4.Curahkan semuanya ke dalam kuah dalca dan tutup periuk dengan penutupnya.
   Padamkan api.





Boleh dimakan dengan nasi, roti canai atau diratah
begitu sahaja. Sedap.


Dapurku D'Riyadh (112) - Sambal Hijau



Resepi yang mudah disediakan untuk hidangan tengahari tetapi sangat merbahaya. Kerana hidangan yang ringkas sebegini akan menyebabkan nasi seperiuk akan pasti akan licin hingga ke kerak. KihKihKih seperti yang aku jangka ianya menjadi kenyataan. Sebab itu aku malas untuk membuat sambal hijau.
Sambal hijau paling best pernah aku makan ialah ketika bercuti ke Jakarta/Bandung pada tahun 2009. Adoiih setiap kali kami dihidangkan Nasi Padang, sambal hijau pasti ada sama. Nasinya pula begitu putih bersih dan wangi, keluaran tempatan. Makan pula dalam kumpulan yang ramai...memang berselera betul. Sambal Hijau di Restoran Sari Ratu di jalan TAR pun tidak bisa menandinginya. Walau bagaimana pun  ais kacang di situ memang sedap.

Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Sambal Hijau
Bahan2
8-10 biji cili hijau (boleh tambah cili padi)
1/ biji bawang besar
Sedikit ikan bilis yang digoreng garing (aku tak letak)
1-2  biji tomato hijau (aku tak letak)
Lemon
Sedikit minyak
Garam

Cara Membuatnya:
1.Kukus atau rebus cili hijau dalam 10 minit.
2.Tumbuk cili hijau, bawang dan tomato (aku blend je tanpa air)
3.Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Masukkan semua bahan
   kisar.Masukkan lemon dan garam. Kacau sehingga sebati.
4.Akhir sekali masukkan ikan bilis, kacau sekejap dan tutup api.


Ini dia sambal hijau.

Enak dimakan dengan ikan goreng, masak lemak kubis
dan ulam sayur kangkung.

Isnin, 28 Disember 2015

Travelog : Jom Pi UK (5)


Tasik Windermere 

27/10/1996 (Sunday)

Pukul 9.00 pagi, kami berdua mulakan kembara kami dengan menaiki kereta sewa kami yang comel itu. Kami melalui lebuh raya yang lebih dikenali dengan motorway sehingga tiba di Darlington. Suamiku mengambil jalan kampung untuk membolehkan kami menikmati pemandangan yang berbeza dari biasa. Kami mahu ke Tasik Windermere yang terletak kira-kira 113 batu dari Sunderland dan memerlukan masa lebih dari dua jam dengan kereta. Antara tempat yang sempat kami lalui termasuklah Richmond dan Kirby Stephen. Di sini jalannya benar-benar jalan kampung di mana jalannya hanya mampu memuatkan dua buah kereta. Ada tempat-tempat yang hanya muat sebuah kereta sahaja. Mujurlah kereta tidak banyak jadi jarang sekali kami berhadapan dengan keadaan di mana kami terpaksa memberi laluan kepada kereta lain.



Keadaan muka bumi mula berubah dan kami melalui kawasan lereng-lereng bukit dengan pemandangan yang sangat indah. Kawasan penternakan yang begitu luas dengan padang ragut yang menghijau dan kambing biri-biri memenuhi kawasan tersebut. Kambing-kambing leka meragut rumput-rumput tanpa menghiraukan sausana sekitar. Dari kawasan sekitar kaki bukit sehingga di kawasan paling tinggi sekitar bukit, semuanya dikuasai oleh sang kambing biri-biri yang kebanyakannya gemuk-gemuk belaka. Puas membelok melalui jalan-jalan  yang dibina mengikut bentuk bukit yang bercerun, kami berhenti seketika untuk melihat suasana sekitar. Aku  begitu terpegun  dengan  pemandangan  yang  berada  di depan mata,  pertama kali melihatnya.
Di kawasan padang yang luas, ada pula binaan yang agak lama berupa bangsal untuk kambing biri-biri agaknya. Rumah-rumah yang besar saiznya dan cantik juga kelihatan di celah-celah kawasan yang dipenuhi dengan pokok-pokok besar atau taman-taman yang dipenuhi pokok bunga.



Di Kendal, pemandangan yang sama juga dapat kami lihat. Kali ini kami berpeluang melalui kawasan kampung yang dipenuhi dengan rumah-rumah yang kelihatan agak berusia. Bed & Breakfast (B&B) begitu banyak sekali di sepanjang jalan ini. B&B menyediakan kemudahan penginapan dengan harga yang berbaloi dengan sarapan pagi ala Inggeris. Kawasan untuk karavan atau berkhemah juga kelihatan terutama di kawaasan yang berdekatan dengan sungai. Sungai-sungai terpelihara dan kelihatan tidak tercemar. Tidak kira sebesar mana saiz sungai tersebut atau di bahagian mana ianya mengalir, ianya begitu cantik dipandang. Apa lagi jika disertai dengan air terjun yang menerjunkan air yang berwarna kemerahan di samping warna putih bersih disebabkan buih-buih yang terbentuk. Memang aku begitu kagum melihat kebersihan sungai-sungai di sini. Hujan turun sekali sekala di sepanjang perjalanan disertai dengan tiupan angin yang agak kuat. Ada kalanya kami melewati kawasan berbukit bukau yang tidak berpenghuni namun kelihatan orang yang agak ramai bilangannya di bahagian-bahagian tertentu kawasan tersebut. Mungkin mereka sedang melakukan aktiviti jungle traking.

Sungai yang boleh dilihat sepanjang perjalanan.

Kami sudah melalui tiga daerah utama di utara England iaitu Durham, Cumbria dan Northumberland. Sunderland dan Kendall berada di dalam Daerah Durham. Windermere sehingga ke Carlisle berada di dalam daerah Cumbria. Manakala Newcastle berada di dalam daerah Northumberland atau Northumberia. Akhirnya kami tiba di sekitar Tasik Windermere yang merupakan sebahagian dari  Lake District National Park pada waktu tengahari. Alhamdulillah tidak sukar untuk mencari tempat untuk meletakkan kereta di kawasan parkir yang luas. Kami terus mencari kedai untuk membeli Fish & Chips, cuaca yang sejuk dan berangin menjadikan kami terasa begitu lapar.


Kami duduk di bangku yang disediakan sekitar tasik sambil menjamu selera 2 in 1 itu. Kami makan sambil menikmati pemandangan tasik yang luas dan dipenuhi dengan pelbagai bentuk dan saiz bot-bot dan kapal layar milik peribadi. Tasik Windermere juga dipenuhi dengan dengan burung dan itik. Sesekali itik-itik tersebut berenang menghampiri kawasan tebing mendekati kami seolah meminta belas kasihan untuk diberi sedikit makanan. Itik angsa yang besar dan putih juga kelihatan berenang bersama itik-itik yang lain. Kawasan tasik yang diiktiraf sebagai tasik terbesar di England ini sangat luas dan terdapat aktiviti cruise untuk menikmati pemandangan tasik dan sekitarnya. Beberapa kaedah pengangkutan disediakan untuk aktiviti ini termasuk bot yang moden, atau secara tradisional, steamers atau bot yang lebih kecil. Ada pula perkhidmatan boat & train. Tasik ini begitu besar sehingga terdapat beberapa pulau di sekitarnya. Sayangnya kami tidak berpeluang untuk bersiar-siar melalui menaiki bot walaupun tambangnya sekitar 4 paun.



Pakej yang ditawarkan

Kawasan sekitar tasik juga dipenuhi dengan hutan dan kawasan bergunung. Daun-daun sudah pun bertukar warna dari warna hijau ke warna kuning namun tidak mampu menandingi kecantikan kawasan hutan yang aku lihat di Washington D.C. Daun-daun yang gugur berwarna perang juga begitu banyak memenuhi kawasan sekitar, maklum musim gugur katakan. Kebanyakan tempat dipenuhi daun-daun dan ianya dibiarkan begitu sahaja. Kalau mahu disapu teruk juga ini, bisik hati kecilku. Orang ramai berada di sekitar tasik dengan pelbagai aktiviti. Ada yang duduk bersantai bersama keluarga, berkayak, makan-makan dan sebagainya. Selepas berjalan-jalan di kawasan sekitar tasik, kami tidak melepaskan peluang melihat ke dalam kedai-kedai yang agak banyak di bandar tasik ini. Terdapat banyak barang-barang cenderahati di sini. Semuanya begitu memikat untuk dibeli namun aku terpaksa berhati-hati kerana harganya yang agak mahal. Kebanyakan barang yang dijual berupa barang kraftangan buatan tempatan. Binaan dan susunan kedai begitu menarik menyerlahkan citarasa Inggeris.


Itik dan angsa pun ada

Kami tidak boleh  lama di sini kerana suasana mulai gelap  sekitar pukul 3 dengan cuaca yang tidak menentu. Hujan renyai sentiasa turun sepanjang masa. Suamiku mengambil laluan lain untuk pulang. Iaitu melalui Ambleside - Pentrith -Carlisle - Newcastle. Ambleside terletak di penghujung Tasik Windermere, rumah-rumah di pekan ini terletak berhampiran dengan tasik. Banyak B&B sepanjang laluan dengan binaan yang cantik  serta pemandangan yang begitu mengkagumkan. Orang agak ramai memenuni setiap kawasan pekan ini. Sebelum sampai di Pentrith terdapat tempat bernama Keswick yang turut memiliki tasik yang sangat cantik di samping kawasaan hutan yang luas. Ladang ternakan dengan ribuan kambing biri-biri kelihatan di sini. Kambing biri-biri di sini memilik nombor yang ditulis dengan warna tertentu dibulunya.


Kedai- kedai sekitar Tasik Windermere

Sekitar pukul 4.00 petang, sausana semakin gelap. Kami teringat akan pengumuman yang dibuat melalui siaran radio pagi tadi. Para pendengar diminta untuk melewatkan masa 1 jam. Tempoh masa waktu malam menjadi lebih panjang berbanding tempoh masa waktu siang. Dari Carlisle kami mengambil motorway untuk mengelakkan sebarang keadaan yang tidak diingini sewaktu memandu di waktu malam. Kami mengelilingi bandar Newcastle sebelum pulang ke Sunderland. Tiba di Sunderland pad pukul 8.00 malam. Aku begitu bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada aku kerana dapat menikmati pemandangan yang begitu indah di bumi ini. Jika selama ini aku hanya mampu membacanya melalui tulisan di dalam novel berkaitan UK, kini aku sedang menerokai buminya.










Ahad, 27 Disember 2015

Travelog : Oh! Riyadh (86)-Musim Peperiksaan.

Musim Peperiksaan.

Semalam merupakan hari terakhir Saffura menduduki peperiksaan akhir semester pertama bagi tahun 2015-2016. Kebanyakan murid-murid yang sedang belajar di sekolah antara bangsa seperti Al Rowad, Al Forsan dan sebagainya turut mengalami situasi yang sama. Jadual peperiksaan pada kali ini agak lama sehingga memakan masa 7 hari. Saffura pulang ke rumah lebih kurang pukul 10.20 pagi setelah selesai peperiksaan pada pukul 9.30 pagi. Merupakan satu peraturan di sini di mana setiap hari maksima hanya dua subjek sahaja dibenarkan. Aku kurang sibuk pada waktu pagi untuk menyediakan bekalan buat Saffura kerana waktu yang agak pendek untuk Saffura berada di sekolah.

Subjek yang terlibat di dalam peperiksaan.
Seperti biasa aku memantau dan membantu Saffura untuk mengulangkaji subjek yang kritikal seperti sains dan matematik. Seminggu sebelum peperiksaan bermula, menjadi amalan juga bagi sekolah untuk menyediakan revision sheets sebagai panduan murid-murid membuat ulangkaji. Amalan ini juga dilakukan untuk peperiksaan di pertengahan semester. Ibubapa hanya perlu mencetak soalan-soalan tersebut. Guru-guru akan berbincang dan memberi jawapan kepada soalan yang diberikan. Ada masanya tidak semua soalan sempat dibincang jadi aku akan menyemak dan menolong Saffura mencari jawapan bagi soalan tersebut. Revision sheets seolah menyediakan soalan bocor kepada pelajar kerana kebanyakan soalan yang ditanya di dalam peperiksaan kerap kali sama seperti soalan yang terdapat di dalam revision sheets.

Jika berbeza pun sekadar angka atau susunan soalan sahaja. Aku dapati guru-guru begitu takut untuk memberi soalan yang lebih mencabar kepada murid-murid mereka. Terutama bagi subjek matematik dan sains. Murid-murid juga begitu fobia dengan soalan yang tidak pernah dibincangkan tetapi terdapat di dalam buku teks. Kerap kali Saffura memberi komen bahawa soalan yang aku berikan kepadanya  sebagai  latihan yakni soalan yang berbentuk penyelesaian masalah tidak ditanya. Kerap kali soalannya lebih mirip kepada latihan yang diberi. Revision sheets begitu besar peranannya kepada para pelajar dan ibubapa. Ibubapa pula yang akan fobia jika revision sheets tidak disediakan oleh pihak sekolah. Murid-murid di sini begitu suka dengan sistem yang ada kerana setiap soalan yang pernah ditanya biasanya tidak akan diulang pada masa depan.

Pada malam sebelum peperiksaan kebanyakan rakan-rakan Saffura di dalam group WhatsApp kelasnya saling meminta jawapan atau salinan revision sheet yang telah diberikan. Aku menggeleng kepala melihat bagaimana mereka kelam kelabut berbincang bagaimana jawapan bagi beberapa soalan matematik didapati. Sehingga ada yang terpaksa meminta tolong dari saudara dan sebagainya. Disebabkan telefon yang digunakan adalah milik aku jadi Saffura tidak begitu sedar akan apa yang berlaku. Pun begitu aku sentiasa menyuruh Saffura membantu rakan-rakannya dengan menghantar salinan revision sheets yang diminta. Setiap pagi aku menerima beratus pesanan yang melibatkan perbincangan di kalangan rakan-rakannya. 


Antara rakan-rakan Saffura.
Minggu peperiksaan bermakna musim cuti akan muncul tidak berapa lama lagi. Walau bagaimana pun kebanyakan sekolah awam milik kerajaan sudah pun bercuti. Begitu juga dengan murid-murid di kelas atau gred yang lebih bawah  termasuk tadika atau kindergarten si sekolah swasta. Ini berikutan dengan jangkaan cuaca yang sejuk akan melanda Riyadh pada minggu ini. Semalam pagi, sekali lagi mencatatkan suhu yang rendah sekitar 4C pada pukul 6.00 pagi. Rasa sejuk berlangsung sepanjang hari. Aku terpaksa memasang heater di bilik tempat aku menyidai baju bagi membantu baju-baju yang dibasuh supaya lebih cepat kering. 

Semester pertama akan berakhir tidak lama lagi.
Setelah bercerita mengenai peperiksaan, ada baiknya aku turut nyatakan sistem penilaian yang dibuat di sekolah Saffura. Penilaian prestasi murid di buat berdasarkan kepada beberapa kriteria untuk setiap semester (Lihat lampiran di bawah). Oleh itu setiap aktiviti akan menyumbang kepada markah keseluruhan seseorang murid. Biasanya perbincangan antara guru-guru dan ibu-ibu berlangsung selepas keputusan peperiksaan pertengahan semester yang pertama. Ianya berlaku setiap semester bagi membolehkan ibu berbincang dengan guru bagaimana membantu anak-anak di dalam proses pembelajaran. Dengan itu diharap penambahbaikan akan dilakukan supaya anak-anak boleh mencapai keputusan yang lebih baik di masa akan datang.


Aspek yang diambil kira untuk penilaian seorang pelajar.

Laporan di akhir semester.
Sekolah juga turut memberi penghargaan kepada murid-murid yang menunjukkan kemajuan atau pencapaian di dalam pelbagai bidang. Setiap bulan  student of the month bagi setiap subjek untuk setiap kelas akan diberi. Sijilnya berlainan bagi setiap subjek bergantung kepada guru subjek berkenaan. Banyak sijil yang dikumpul oleh Saffura  dan ianya amat membanggakan. Beberapa kriteria pasti diambil kira sebelum anugerah tersebut diberikan. Ianya memberikan idea kepada aku bagaimana mahu membantu murid-murid supaya lebih meminati subjek yang dipelajari. Ianya juga boleh menimbulkan semangat ingin bersaing di kalangan murid-murid.

Antara sijil yang diterima Saffura

Sijil juga diberi untuk aktiviti -aktiviti lain di luar kelas.


Selain sijil terdapat pula kertas merit yang membuktikan perkara baik yang telah dilakukan oleh murid-murid.
Aku pernah memegang jawatan sebagai Penyelaras Merit Demerit ketika bertugas di sekolah. Namun apa yang disaksikan di sini memberi lebih banyak idea kepada aku untuk membuat penambahbaikan kepada sistem yang pernah aku terlibat menyediakannya.









Sekolah Al Alameen bermula pada pukul 7.00 pagi, di mana semua pelajar diminta membuat hafazan ayat-ayat Al Quran yang telah ditetapkan. Guru Al Quran akan mendengar bacaan hafazan Al Quran dari murid masing-masing berdasarkan Surah yang telah dipilih. Ianya amat bagus sekali di dalam memastikan  anak dapat  membuat hafazan dengan baik. Hafazan  merupakan  sebahagian  dari  aktiviti  bagi  subjek Al Quran.
Proses Pengajaran dan pembelajaran  bermula pada pukul 7.30 pagi. Murid-murid juga menunaikan Solat Zohor di sekolah bersama rakan-rakan dan guru-guru.




Lebih menarik lagi,  pihak pengurusan sekolah turut memberi penghargaan kepada guru-guru yang terpilih dalam bentuk merit. Pn Hjh Hamidah Helmi adalah rakyat Malaysia yang bekerja di Sekolah  Al Alameen. Pn Hjh Hamidah aku kenali ketika kami mengerjakan haji pada tahun 2014. Penghargaan sebegini pasti memberi kesa positif kepada seseorang pekerja. Tambahan pula bagi Pn Hjh Hamidah Helmi yang masih baru di dalam bidang pendidikan.




Pn Hjh Hamidah, paling kiri.






                                                                                                                                        zias/riyadh/15


Dapurku D'Riyadh (111) - Pizza


Pizza antara makanan popular di Riyadh. Tidak pernah aku jumpa sebegitu banyak pilihan untuk menikmati pizza seperti yang aku lihat di sini. Boleh dibeli dengan harga SR10, rasanya pula sedap dan cheesenya pula banyak. Pizza berjenama Maestro, Pizza Pizza, Pizza Inn, Pizza Fusion dan banyak lagi. Bagi restoran yang berjenama pula seperti Pizza Roma dan Piatto adalah restoran citarasa Italy yang terkenal. Pizza Hut dan Domino memang tidak perlu diperkenalkan lagi.



Pizza Piatto...mahal sikit la..SAR40
Restoran berjenama Turki juga turut menyediakan sajian pizza yang tidak kurang sedapnya. Menariknya ada kedai-kedai Turki yang menjual pizza secara spesifik dan  mendapat tarikan yang begitu menggalakan. 

Pizza dari restoran Turki - SR10.

Kedai Turki yang menjual pizza. Mudah untuk
membeli secara take away. Best kalau  boleh
buka kedai seperti ini

Dari kedai Turki di atas...SR15

Hidangan pizza di hotel-hotel juga sedap dengan harga yang begitu berbaloi. 

Sofaraa Al Huda Hotel, Madinah.


Pizza juga boleh dibeli dengan mudah dari dapur-dapur yang terdapat di Panda Hypermarket, Tamimi Market dan sebagainya. Di Lulu pula disamping terdapat pizza yang dijual secara kepingan kecil, terdapat juga pizza segar yang boleh dibeli dan dibakar sendiri di rumah. 

Banyak pilihan.Segar dan sedap.

Di Malaysia, biasanya aku membeli base pizza yang di jual di Jusco dan meletakkan toppingnya mengikut citarasa sendiri. Hidangan untuk tetamu yang berkunjung ke rumah di musim perayan hari raya Aidil Fitri sememangnya sedap untuk dinikmati setelah jemu dengan hidangan ketupat, laksa, mee, satay dan sebagainya.
Di Riyadh, Pn Hjh Wan Salisa sudi berkongsi resepi menyediakan base pizza yang selalu disediakannya. Begitu mudah rupanya ...sejak itu aku mula membuat sendiri pizza di rumah. Doh pizza dari resepi ini adalah untuk 2 keping pizza yang besar dan tebal. Atau boleh diubahsuai menjadi kepingan pizza yang lebih kecil atau lebih nipis.

Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Base Pizza
Bahan2
3 1/2 cawan tepung gandum
1/4 cawan minyak zaitun
11 g yis kering
1 sudu kecil gula @ madu
1/2 cawan air suam
1 sudu kecil garam

Cara Membuat:
1.Tepung diayak dan dimasukkan ke dalam sebuah bekas.
2.Yis, gula @ madu dimasukkan ke dalam air suam, kacau dan
    biarkan yis aktif.
3.Buat lubang di tengah tepung dan masukkan minyak zaitun.Kacau.
4.Masukkan bancuhan yis sedikit demi sedikit dan uli sehingga tidak
   melekat.
5.Sapukan dengan sedikit minyak zaitun pada doh dan perap doh
   supaya naik sekali ganda.Tutup dengan kain.
6.Selepas doh membesar dua kali ganda, tumbuk2 doh untuk buangkan
    angin. Bahagikan doh kepada 2 @ 3. Canaikan untuk jadikan leper.
    Ambil garpu dan cucuk2 pada  permukaan pizza.
7.Untuk disejukbekukan base pizza, bakar pada suhi 180 C selama 5 minit
    sekadar pizza masak sahaja. Sejukkan dan masukkan dalam plastik dan
    simpan.

Base pizza untuk disejukbekukan

Resepi Inti Pizza
Daging/ayam (boleh guna burger)
Bawang putih dicincang
Minyak zaitun
Serbuk lada sulah/hitam
Bay leaf

1.Tumis bawang dan masukkan daging/ayam/burger
2.Masukkan garan, lada sulah dan daun bay.
3.Kacau sehingga masak.Angkat.


Bahan untuk ditabur atas pizza - sos tomato/cili, inti pizza,
cili benggala, cili hijau, nenas, hirisan buah zaitun, oregano,
parmesan cheese dan mozzarella cheese.


Siap ditabur2.. glis tepi doh base pizza dengan telur
yang dipukul. Bakar di dalam suhu 180 C selama
20-30 minit.
Dah masak.. sedap dimakan panas2
Jika terkurang rajin, boleh letak sosej sebagai inti.

Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...