Ada yang sebut Pilaf, polao,pilau,pulao. Hidangan nasi yang popular di negara-negara seperti Afghanistan, Bangladesh, Nepal, Pakistan, India, Iran , Middle East, South Amerika Selatan dan Eropah (Cyprus, Perancis, Greece dan Turki). Aku pula seakan pertama kali mendengarnya apabila jiranku di Riyadh yang berasal dari Pakistan pernah menyebutnya. Pn Saidah menceritakan kepadaku hidangan Nasi Pilau yang dia sediakan ketika untuk hari raya atau untuk tetamu yang berkunjung ke rumahnya. Nasi Pilau tidak pedas seperti nasi biryani, katanya. Aku ingin membuatnya namun terlupa sehingga selepas aku menulis di entri Jom Pi UK (4) yang ada menyebut Nasi Pilau.
Suami: Kita makan Nasi Pilau di Sunderland?Nasi apa tu?
Aku : Sejenis nasi orang Pakistan....ehhh awak dah lupa ke?
Suami: Tak perasan la pulak.
Aku : Mujur ada dalam buku catatan saya ni....
Semalam aku pun membuat Nasi Pilau yang agak mudah untuk disediakan. Ianya sedap sekali apabila aku gandingkan dengan kuah dalca ayam dan sambal hijau yang masih berbaki. Lama sungguh aku tidak memasak dalca. Hidangan dalca mengingatkan aku kepada kakak aku yang ketiga bernama Jamilah. Dalca yang enak mesti boleh diratah begitu sahaja, semangkuk dua boleh habis. Kak Milah pernah memberitahu aku untuk membuat kuah dalca yang sedap, elok dimasukkan mangga muda. Resepi mamak katanya. Untuk menjadikan kuah dalca kita wangi, kita buat tumis darat. Ehmmm sedapnya.
Bismillahirrahmanirrahim
Resepi Nasi Pilau
Bahan A
1 ekor ayam (900 g)- dipotong
1 biji bawang besar*
5 ulas bawang putih*
1 inci halia*
Bahan * dikisar halus
1 sudu besar biji ketumbar
1 helai daun Bay
2 keping kulit kayu manis
1 sudu besar serbuk lada hitam
5-6 biji buah pelaga
5-6 biji cengkih
1 sudu besar serbuk Masala
1 biji buah tomato- didadu (pilihan)
1 biji cili hijau - hiris nipis (jika mahu pedas)
Garam
Air - ikut kuantiti beras (1 beras : 1 1/2 air)
1.Masukkan semua bahan di atas ke dalam sebuah periuk dan rebus
sehingga ayam masak. Gunakan api sederhana.
2.Keluarkan ayam.Tapiskan air rebusan yang akan digunakan untuk
memasak nasi.
Bahan B:
2 cawan beras basmati (direndam 30 minit)
1 biji bawang besar dihiris nipis
5 ulas bawang putih*
1 inci halia*
Bahan * dikisar halus
2 keping kulit kayu manis
1 sudu kecil jintan putih (biji- boleh lebih)
1 helai daun Bay
1 sudu kecil biji lada hitam (boleh lebih)
5 biji bunga cengkih
5 biji buah pelaga
1 sudu minyak sapi
1 sudu minyak zaitun
1.Panaskan minyak di dalam periuk, masukkan bawang besar dan
goreng sehingga perang. Masukkan bahan kisar dan semua bahan
lain. Kacau sekejap.
2.Masukkan ayam, kacau dan masukkan air rebusan ayam. Kacau dan
perisakan.
3.Masukkan beras dan masak sehingga nasi hampir kering.
4.Tutup periuk dengan penutupnya. Perlahankan api sehingga minima dan biarkan
sehingga nasi masak sepenuhnya.
Hidangan Nasi Pilau ... dengan sedikit hiasan. |
Resepi Dalca
Bahan2
200 - 300 g ayam (daging pun boleh)
2 biji kentang
2 biji terung
1 biji tomato
2 biji cili merah
1 batang karot
1 cawan kacang dhal (direndam dan direbus sehingga lembut)
Sedikit Kacang panjang (aku tak letak)
1/2 biji bawang besar*
5 ulas bawang putih*
1 inci halia*
Bahan * dikisar halus
3 sudu besar rempah kari ayam Jenama Adabi
1 mangkuk santan sederhana pekat.
1 biji mangga muda (aku tak letak)
Penumis
Daun kari
Bawang besar, halia dan bawang putih dihiris untuk tumis
Air atau santan cair
Garam
Minyak masak
Cara Membuatnya:
1.Masukkan bahan kisar, rempah, air/santan cair, garam, kentang, ayam, terung,kacang
dhal dan karot ke dalam sebuah periuk. Masak sehingga kentang dan terung lembut.
2.Masukkan santan yang agak pekat, cili merah dan bawang yang dibelah (jika suka)
masak sehingga semuanya sekata.Kacau selalu.
3.Panaskan minyak di dalam kuali, masukkan penumis dan bawang besar dan kacau
sehingga hampir bawang garing. Masukkan halia dan daun kari.
4.Curahkan semuanya ke dalam kuah dalca dan tutup periuk dengan penutupnya.
Padamkan api.
Boleh dimakan dengan nasi, roti canai atau diratah begitu sahaja. Sedap. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan