Khamis, 17 Disember 2015

Travelog : Jom Pi UK (3)

 Malaysia Hall.


25/10/1996(Jumaat)

Kami keluar di awal pagi dan terus menaiki Metro untuk ke Hyde Park. Dari situ kami mengambil bas untuk melihat tempat-tempat tarikan utama sekitar London. The Big Bus Company menjadi pilihan kami dengan bayaran £10.00 seorang (£1= RM4.00). Bas tersebut merupakan bas dua tingkat di mana bahagian atas bas separuh ada bumbung manakala sebelah lagi tidak berbumbung. Sepanjang perjalanan kami diberi penerangan oleh seorang pemandu pelancong yang bertugas. Kami melalui Grosvenor Place yang juga dikenali dengan nama Mini Amerika, di sini terletaknya kedutaan Amerika Syarikat. Trafalgar Square, Houses of Parliment, Tower of London, Tower Bridge termasuk di dalam laluan tersebut. Juga laluan membeli belah sekitar London. Buckingham Palace pula hanya dapat dilihat dari jauh.



Satu pusingan melalui Red Line mengambil masa lebih kurang 2 jam. Penumpang dibenarkan untuk turun dan naik pada bila-bila masa sahaja. Penumpang boleh naik semula di tempat-tempat menunggu yang dilalui oleh The Big Bus Company. Kami tidak turun dari bas, sekadar mahu melihat juga untuk menjimatkan masa. Kami merancang untuk kembali ke tempat-tempat tersebut kemudiannya.




Petang semalam kami  ke Victoria Stesen. Suamiku membeli tiket bas untuk ke Sunderland yang terletak di utara England. Harga tiket £26.00 untuk dua orang. Keletihan kerana baru sampai dari Amerika Syarikat terubat apabila kami mengisi perut di Malaysia Hall. Aku makan nasi putih dengan dua jenis lauk berharga
£2.50 jika tiga jenis lauk pula harganya menjadi  £3.00. Suasana waktu malam di London memang meriah. Terasa begitu selamat berjalan-jalan di sini walaupun jam sudah pun menunjukkan pukul 8 malam. Sewaktu musim luruh begini, waktu malam lebih panjang berbanding tempoh waktu saing. Seawal pukul 5 petang, suasana sudah pun gelap gelita jadi pukul 8 malam dianggap sudah lewat. Aku begitu teruja melihat ramai wanita Islam yang mengenakan tudung yang terdiri dari bangsa. Ada Melayu, Pakistan, Arab dan Afrika. Mudah untuk berjumpa dengan orang Melayu di sekitar London. Keadaan yang begitu berbeza ketika berada di Washington DC, aku tidak berjumpa pula orang Melayu ketika itu.

Selepas menaiki The Big Bus Company, kami singgah di Malaysia Hall untuk makan tengahari dan urusan Solat Jumaat. Ramai masyarakat Malaysia yang datang dari seluruh UK kerana ada program khas pada malamnya. Solat Jumaat diimamkan oleh Arwah Tan Sri Abdul Hamid Othman yang ketika itu menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Suamiku sempat bertemu dengan bekas guru sekolahnya, Cikgu Karim Ujang yang sedang  melanjutkan pelajaran di peringkat master di UK. Pelbagai gelagat dapat dilihat sekitar kantin ketika makan. Ada yang peramah dan menegur sambil tersenyum. Ada juga yang buat-buat tak nampak saudara sebangsa. Jangan terkejut ya, suasananya sungguh berbeza.

Dalam perjalanan dari Malaysia Hall kami berjumpa sebuah kedai yang menjual beg, ada tawaran pula. Apa lagi suamiku pun membeli sebuah beg yang agak besar untuk mengisi barang-barang kami. Beg  besar yang berharga  £ 65  itu mampu mengurangkan bilangan beg yang akan dibawa nanti. Kami akan meninggalkan beg-beg milik  kami di Cardiff Hotel sepanjang kami berada di Sunderland nanti. Alhamdulillah pihak hotel membenarkan kami meninggalkan beg di situ tanpa sebarang bayaran dengan syarat kami booking bilik di hotel tersebut pada hari kami pulang nanti. Cardiff Hotel terletak di 5-9, Norfolk Square, Paddington, London. Dengan harga £57 semalam berkonsep B&B ( Bed & Breakfast).

Menjelang malam kami ke Malaysia Hall sekali lagi. Kami menikmati makan malam di sebuah kantin yang terletak di dalam bangunan Malaysia Hall. Malaysia Hall popular sebagai tempat makan bagi pelancong yang datang dari Malaysia. Di sini kita ditawarkan pelbagai hidangan citarasa Malaysia dengan gaya santai dan lebih murah.. Terdapat kemudahan penginapan juga di Malaysia Hall yang dibuka kepada orang ramai. Malaysia Hall merupakan pusat untuk mengurus pelajar yang belajar di luar negara. Ianya juga menjadi tempat persinggahan pelajar sebelum ke tempat belajar masing-masing. Ianya juga menjadi tempat perjumpaan para pelajar atau kursus anjuran MSD (Malaysias Students Department). Bagi aku yang tidak belajar di luar negara, ianya sesuatu yang baru bagi diriku. Dapatlah aku melihat pelajar-pelajar yang belajar di seluruh di UK yang diminta hadir ke program yang dianjurkan oleh MSD pada pukul 7.30 malam. Ianya merupakan perjumpaan rasmi dengan menteri, jadi ada di antara pelajar yang diwajibkan hadir. Kami bertolak ke Victoria Station sebelum majlis bermula.

Aku semakin senang berada di London berbanding di Amerika Syarikat. Orang Islam sentiasa kelihatan, banyak makanan halal, petugas-petugas di kebanyakan tempat awam memang peramah dan suka menolong terutama sekitar stesen Tube, sistem pengangkutannya yang memudahkan perjalanan serta banyak informasi berkaitan pelancongan disediakan. Segala-galanya menampakkan suasana meraikan kehadiran pelancong dari luar. London menerima ramai pelancong dari pelbagai negara dan pendapatan dari industri pelancongan antara sumbangan terbesar bagi negara tersebut. Suasana di kedai-kedai juga begitu baik di mana mereka suka menolong dan tidak jemu mengucapkan 'thank you' selepas kita membuat pembayaran.

Keadaan di Victoria Station agak sibuk dengan orang ramai dari pelbagai bangsa dan arah tuju. Stesennya begitu besar dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Skrin besar yang mempamerkan departure dan arrival bas dari pelbagai destinasi menjadi tumpuan kami. Pada pukul 11.30 malam kami menaiki bas National Express untuk ke Sunderland via Newcastle. Cuaca yang sejuk menjadikan perjalanan kami tidak begitu selesa pada awalnya. Namun setelah heather berfungsi sepenuhnya, kami dapat tidur denga  agak nyenyak . Bas berhenti sebentar untuk berehat  selepas 2 1/2 jam berada di dalam perjalanan. Kami terjaga ketika melewati bandar Sunderland dan suamiku begitu gembira melihat universiti, tempat dia belajar dahulu. Bas meneruskan perjalanan ke Newcastle dan tiba di sana pada pukul 6.00 pagi.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...