Keliling Dunia Dalam Masa 21 hari
Travelog Jom Pi UK mengembalikan nostalgia yang agak lama, hampir 19 tahun. Berpeluang untuk ke negara bekas penjajah Malaysia ini merupakan peluang yang diimpikan setiap orang. Aku yakin semua mahu ke UK. Memang aku turut menyimpan azam untuk menyambung pelajaran ke luar negara seperti pelajar lain ketika di sekolah menengah. Lalu aku belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai hasrat tersebut. Ketika itu peluang untuk belajar ke luar negara terbuka luas asalkan pelajar tersebut mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Iaitu mendapat Gred 1 (Bilangan A tidak diambil kira). Alhamdulillah aku beroleh Gred 1 dengan agregat di bawah 20 dan menjadi satu-satunya pelajar yang mendapat Gred 1 di sekolah aku ketika itu. Hebat, menjadi pelajar terbaik di dalam SPM. Namun aku tidak mendapat tawaran untuk ke luar negara kerana keputusan subjek Bahasa Inggeris tidak memenuhi syarat.Pulak. Sahabatku ketika di sekolah rendah, Noraida Abdul Hamid yang belajar di St George's Girls School Penang berjaya ke Amerika Syarikat. Selain Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia turut menjadi pilihan kebanyakan pelajar cemerlang ketika itu. Aku pula sekadar belajar di Sekolah Menengah Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan.
Dan Aku? Belajar di oversea juga tetapi oversea yang dekat aje iaitu Universiti Sains Malaysia. Noraida pernah mengirim surat dan gambar ketika berada di Amerika Syarikat. Aku hanya mampu melihat keindahan pemandangan melalui gambar yang dikirimkan. Juga cerita berkaitan pokok epal di belakang rumahnya...alaihai seronoknya. Kesal tidak mahu belajar Bahasa Inggeris betul-betul. Sibuk belajar dan bekerja, tidak aku sangka rezeki untuk ke luar negara muncul selepas berumah tangga. Pujian milik Allah jua akan setiap perancanganNya.
Ada yang bertanya bagaimana aku mampu ingat perjalananku yang membolehkan aku menulisnya di dalam travelog. Sebenarnya aku memang suka menulis, terutama ketika stress menghadapi SPM. Banyak sajak yang aku hasilkan tapi entah ke mana aku lempar. Aku menyediakan satu buku khas bagi setiap negara yang aku lawati. Aku menulis semua pengalaman yang aku lalui di dalam buku tersebut. Aku tampal keratan akhbar, pamplet, tiket dan sebagainya sebagai kenangan. Ini semua kerana aku sedar, bukan mudah untuk mengekalkan ingatan, juga bagiku peluang ke luar negara amat berharga. 20 tahun dahulu bukan semua orang boleh fly seperti sekarang "Now everyone can fly". Dan kita tidak pasti peluang tersebut akan berulang lagi. Tidak pula aku menyangka ianya begitu berguna buat masa ini.
Sebahagian buku catatan yang dibawa ke Riyadh. Menunggu masa untuk dibuka kembali memorinya. |
Kali pertama aku ke UK adalah pada tahun 1996 dari Amerika Syarikat. Menariknya ianya merupakan lawatan ke Amerika Syarikat bagi kali kedua(pertama tahun 1993). Jadi perjalananku kali ini aku katakan mengelilingi satu dunia kerana ianya melibatkan perjalanan udara yang melalui satu pusingan bumi. Dari Kuala Lumpur ke Amerika Syarikat merentasi Lautan Pasifik, hampir separuh bumi. Kemudian pulang ke Malaysia aku melalui pula Lautan Atlantik seterusnya Benua Eropah dan Lautan Hindi. Sehingga tiba di Kuala Lumpur , aku melangkapkan separuh bumi lagi. Perjalanan tersebut mengambil masa selama 21 hari.
Itinerary perjalanan |
Keratan tiket yang sudah kabur. |
Travelog Jom Pi UK terbahagi kepada dua bahagian iaitu pengalamanku pada tahun 1996 dan pada tahun 2009. Namun kunjungan kami pada tahun 2009 hanya sekitar London sahaja. Banyak gambar-gambar ketika di UK pada tahun 1996 tidak dapat aku masukkan kerana gambar-gambar tersebut berada di tanah air. Gambar-gambar lama pastinya tidak tersimpan di dalam pendrive. Apa pun hasrat untuk ke UK lagi tetap ada sementelahan jarak Riyadh-UK tidak terlalu jauh. Beberapa orang sahabat di Riyadh ada yang mengajak untuk ke UK kerana harga tiket yang agak murah. Aku abaikan dahulu hasrat untuk ke UK ketika berada di Riyadh kerana banyak tempat-tempat di Arab Saudi yang belum kami singgah lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan