Setelah dua tahun di Riyadh, serai dengan mudah dapat kami beli di Tamimi Market atau di Panda Hypermarket. Ketika mula-mula sampai di Riyadh, hanya di Lulu Hypermarket sahaja tempat untuk membeli serai. Di Kedai Toko Indonesia pun ada menjual serai tetapi dalam bentuk sejuk beku jadi rasanya kurang enak. Serai begitu penting untuk kebanyakan masakan Melayu dan Thailand. Dengan adanya serai dan lengkuas, mudah bagi aku untuk menyediakan resepi kegemaran kami sekeluarga ini. Daun limau purut pula dapat dibeli di Lulu Hypermarket tapi dalam kuantiti yang agak banyak. Biasanya aku menyimpannya di dalam bekas plastik dan diletakkan di dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama.
Resepi tomyam ini terhasil dari pengalaman melihat, merasa dan membaca bagaimana tomyam disediakan. Namun rahsia menjadikan tomyam lebih enak aku perolehi dari anak saudara suamiku, Mohamad Taufik Baharuddin yang kini bertugas di sebuah hotel di Melaka. Mohamad Taufik memasukkan asam keping untuk memberi rasa masam pada tomyam yang disediakan. Tomyam mesti ada rasa masam dan pedas, barulah sedap. Moga Mohamad Taufik berjaya sebagai Chef di masa depan.
Bismillahirrahmanirrahim
Resepi Tomyam Udang.
8- 10 ekor Udang besar
2 keping isi ayam (dipotong)
3 -4 batang serai (diketuk)
1 inci lengkuas (diketuk)
2 biji bawang besar
(1 biji bawang besar didadu, 1 biji lagi dibelah 4)
5 ulas bawang putih*
1 inci halia*
* dikisar halus
2 biji tomato (didadu)
1 sudu cili kisar (pilihan-jika mahu tomyam kelihatan merah)
1 sudu besar sos tomato
5 helai daun limau purut
2/3 tangkai daun ketumbar
Minyak zaitun
Garam
Sedikit serbuk lada hitam
1 batang carrot
1/2 biji bunga kubis
Baby corn
Paprika hijau
Cili padi (ikut pedas yang dikehendaki)
3-4 keping asam keping
2 mangkuk air
Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak di dalam periuk. Masukkan serai dan kacau sekejap.
Masukkan tomato dan kacau sehingga hampir layu.
2.Masukkan bawang yang didadu dan kacau sehingga tomato hancur.
Masukkan bawang putih dan halia yang dikisar, lada hitam, cili kisar
dan kacau lagi sehingga hampir sebati.
3.Masukkan ayam, carrot dan garam. Kacau sehingga ayam berubah warna.
Masukkan pula sedikit batang daun ketumbar yang dihiris halus dan sos tomato.
Kacau.
4.Masukkan air dan diikuti dengan lengkuas dan asam keping..Biar mendidih, masukkan
bunga kubis, cili padi dan jagung.Masak sehingga sayur lembut.
5.Masukkan pula bawang yang dibelah, udang, daun limau purut dan paprika yang dipotong dadu.
Perlahankan api dan biar semuanya masak sempurna.
6.Masukkan daun ketumbar dan tutup periuk dengan penutupnya dan padamkan api.
Boleh dimakan bersama nasi, mee atau bihun. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan