Selasa, 15 Disember 2015

Travelog : Oh! Riyadh (82)-Sejuk2 dan Nasi Kandar di Riyadh.

Sejuk2 dan Nasi Kandar di Riyadh.

Selasa minggu lepas (8/12/15) Riyadh mengalami penurunan suhu yang amat drastik. Suhu paling rendah dicatat sekitar pukul 6.30 pagi adalah 4C. Namun terasa suhu mencecah 1C. Aku yang teruja dengan cuaca yang sejuk kembali memulakan aktiviti  berjalan kaki  pada setiap hari Selasa dan Rabu. Mulanya aku begitu seronok apabila kepulan asap keluar dari mulut tatkala aku menghembuskan nafasku. Asap berwarna putih juga keluar dari hidungku. Fenomena yang menandakan suhu sekitar terlalu sejuk. Teringat ketika melancong ke Seoul dan Beijing beberapa tahun lalu, fenomena yang serupa kami alami. Aku hanya sekadar mampu membuat satu pusingan sekitar surau yang terletak berhampiran dengan rumahku. Aku terpaksa membatalkan hasrat apabila mukaku mula terasa seperti mahu menjadi beku kerana sejuk, mujurlah aku memakai sarung tangan
Sejuk2

Di lama FB, ada warga Riyadh yang berbicara mengenai cuaca sejuk. Kawasan utara Arab Saudi seperti Tabuk, Al Jouf dan Hail mencapai suhu sehingga -3C. Dikatakan cuaca yang sejuk disebabkan tiupan angin dari Gurun Sahara. Tiupan angin menambahkan lagi kesejukan yang dirasai. Pemanas yang dipasang bersama dengan hawa pendingin di rumahku mulai dipasang. Pihak kerajaan meramalkan cuaca  sejuk akan yang ekstrem akan melanda seperti mana cuaca panas yang ekstrem sewaktu musim panas yang lalu Di mana cuaca setinggi 50 C dicatatkan. Oleh itu cuti sekolah akan diawalkan bagi semua kelas Lower Grade dan Kindergarten. First semesters holidays bermula dari 8 Januari sehingga 16 Januari 2015. Penghujung minggu ini sehingga minggu yang berikutnya adalah hari peperiksaan bagi semester ini. Semoga Allah melindungi negara ini dari sebarang masalah cuaca yang boleh mengancam jiwa. 


Awal minggu yang sejuk
Dalam keterujaan menerima cuaca yang sejuk (sebenarnya ramai yang suka) aku terkenang saudara seagama di Palestin dan Syria. Jika kami di sini mempunyai persediaan yang lengkap, bagaimana dengan mereka di sana. Apalagi dengan keadaan peperangan di sana. Alhamdulillah ada warga Riyadh dari Malaysia yang menganjurkan aktiviti menderma Winter Clothes untuk pelarian Syria di Jordan. Apa juga kebaikan yang kita lakukan sesama umat Islam akan menjadi jawapan di Akhirat nanti. Selain doa, bantuan mesti dihulurkan kepada mereka.

Sabarlah saudara-saudara  kami di Syria dan Palestin. Kami amat menyintai kalian yang diuji Allah. Pasti ujian tersebut buat mereka yang kuat dan tabah. Pasti ada hikmah di sebalik penderitaan kalian. Allah  mahu mengangkat martabat kalian seperti yang telah dijanjikan. Yakinlah akan janji-janji Allah. Semoga kami dapat terus membantu kalian supaya kami tidak ditanya di Akhirat nanti akan apa yang kami telah lakukan untuk membantu kalian. Penderitaan yang dialami oleh kanak-kanak cukup menghiris rasa, andai kami mampu membawa kalian ke pangkuan kami. Alangkah indahnya. Namun dunia sekitar terlalu kejam sehingga buta akan penderitaan kamu. Sabarlah wahai anak-anak Syurga. Wajah-wajah ini akan sentiasa di hati.









Mekah dan Madinah menerima tetamu Allah di mana bilangannya kian bertambah setiap hari. Rakan-rakan dari Riyadh mengambil kesempatan ke Mekah atau Madinah untuk bertemu dengan saudara mara atau rakan-rakan di sana sambil berzairah atau menunaikan umrah. Suasana sekitar Kaabah menjadi padat pada hujung minggu, berbeza dengan hari-hari biasa.
"Ramai betul orang Malaysia datang umrah..berduyun-duyun."
"Macam flight ticket free je.."
Komen salah seorang sahabatku yang sedang berada di Mekah.
Dalam minggu ini juga, kelihatan kerja-kerja baik pulih sedang dilakukan di sekeliling Kaabah.

Kelihatan sekitar penjuru Hajarul Aswad ditutup.
Hujung minggu cuaca kembali melebihi 10 C, suasana yang selesa untuk keluar dan berpiknik bagi yang tidak ke Mekah, Madinah atau keluar dari Riyadh. Aku mengambil kesempatan menjemput keluarga Pn Hjh Wan Salisa untuk datang ke rumahku buat pertama kalinya. Ketika aku sibuk menyediakan beberapa juadah untuk dihidangkan kepada tetamu, aku menerima panggilan telefon dari Pn Haslina. Ibu kepada kawan sekelas Saffura yang bernama Nur Farhana. Beliau menjemput kami ke rumahnya untuk makan malam pada hari Jumaat.  Pn Hjh Wan Salisa tiba di rumahku selepas Asar. Mereka tidak lama di rumahku kerana mahu ke rumah Pn Haslina pula selepas solat Maghrib.


Bihun Sup Utara, Cupcake dan Pizza di rumahku.


Sarah, Yasmin dan Aida, anak-anak  Pn Hjh Wan Salisa.
Pelbagai aktiviti dilakukan sewaktu musim sejuk termasuk jamuan makan-makan di rumah sahabat dari satu negara. Jika ada kelapangan masa dan kebetulan tidak ke mana-mana, pasti jemputan diterima. Ini kerana ianya merupakan peluang terbaik untuk menikmati hidangan Malaysia dan bertemu dengan rakan-rakan. Ada masanya kita berpeluang bertemu dengan rakan-rakan yang baru tiba di Riyadh. Juga dapat berkenal dengan lebih rapat dengan rakan-rakan yang selama ini hanya sempat bertukar salam.

Jamuan di rumah Pn Hjh Wan Salisa

Jamuan di rumah Pn Amy
Hidangan Nasi Kandar di rumah Pn Haslina begitu menyelerakan. Semua tetamu amat berselera sekali menikmati hidangan yang disediakan oleh ibu mertua Pn Haslina. Sambal telur, kari ikan tenggiri, daging masak kandar, ayam goreng mamak, sayur kubis goreng mamak dan papadom. Semuanya mengancam selera, jangan fikir pasal diet di waktu sejuk-sejuk begini. Ramai rakan-rakan yang aku kenali turut sama seperti Pn Rosnani, Pn Amy, Pn Hamidah serta beberapa wajah lagi yang biasa aku jumpa semasa usrah. Terdapat juga keluarga berbangsa India dan Cina yang merupakan rakan sekerja Tn Hj Abdul Offar, suami Pn Haslina yang bekerja di Flynas. Para peminat Nasi Kandar pasti merasa puas hati dengan hidangan khas dari ibu Tn Hj Abdul Offar yang pernah memiliki restoran sekitar Selangor suatu masa dahulu.

Di rumah Nur Farhana
Nasi Kandar 

Keesokannya kami ke rumah Pn Hjh Wan Salisa pula untuk menikmati Nasi Kerabu. Minggu yang sungguh padat dengan jamuan makan. Semoga  murah rezeki dan persahabatan diredhai Allah.Alhamdulillah.




                                                                                                                                       zias/riyadh/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...