Tasik Windermere
27/10/1996 (Sunday)
Pukul 9.00 pagi, kami berdua mulakan kembara kami dengan menaiki kereta sewa kami yang comel itu. Kami melalui lebuh raya yang lebih dikenali dengan motorway sehingga tiba di Darlington. Suamiku mengambil jalan kampung untuk membolehkan kami menikmati pemandangan yang berbeza dari biasa. Kami mahu ke Tasik Windermere yang terletak kira-kira 113 batu dari Sunderland dan memerlukan masa lebih dari dua jam dengan kereta. Antara tempat yang sempat kami lalui termasuklah Richmond dan Kirby Stephen. Di sini jalannya benar-benar jalan kampung di mana jalannya hanya mampu memuatkan dua buah kereta. Ada tempat-tempat yang hanya muat sebuah kereta sahaja. Mujurlah kereta tidak banyak jadi jarang sekali kami berhadapan dengan keadaan di mana kami terpaksa memberi laluan kepada kereta lain.
Keadaan muka bumi mula berubah dan kami melalui kawasan lereng-lereng bukit dengan pemandangan yang sangat indah. Kawasan penternakan yang begitu luas dengan padang ragut yang menghijau dan kambing biri-biri memenuhi kawasan tersebut. Kambing-kambing leka meragut rumput-rumput tanpa menghiraukan sausana sekitar. Dari kawasan sekitar kaki bukit sehingga di kawasan paling tinggi sekitar bukit, semuanya dikuasai oleh sang kambing biri-biri yang kebanyakannya gemuk-gemuk belaka. Puas membelok melalui jalan-jalan yang dibina mengikut bentuk bukit yang bercerun, kami berhenti seketika untuk melihat suasana sekitar. Aku begitu terpegun dengan pemandangan yang berada di depan mata, pertama kali melihatnya.
Di kawasan padang yang luas, ada pula binaan yang agak lama berupa bangsal untuk kambing biri-biri agaknya. Rumah-rumah yang besar saiznya dan cantik juga kelihatan di celah-celah kawasan yang dipenuhi dengan pokok-pokok besar atau taman-taman yang dipenuhi pokok bunga.
Di Kendal, pemandangan yang sama juga dapat kami lihat. Kali ini kami berpeluang melalui kawasan kampung yang dipenuhi dengan rumah-rumah yang kelihatan agak berusia. Bed & Breakfast (B&B) begitu banyak sekali di sepanjang jalan ini. B&B menyediakan kemudahan penginapan dengan harga yang berbaloi dengan sarapan pagi ala Inggeris. Kawasan untuk karavan atau berkhemah juga kelihatan terutama di kawaasan yang berdekatan dengan sungai. Sungai-sungai terpelihara dan kelihatan tidak tercemar. Tidak kira sebesar mana saiz sungai tersebut atau di bahagian mana ianya mengalir, ianya begitu cantik dipandang. Apa lagi jika disertai dengan air terjun yang menerjunkan air yang berwarna kemerahan di samping warna putih bersih disebabkan buih-buih yang terbentuk. Memang aku begitu kagum melihat kebersihan sungai-sungai di sini. Hujan turun sekali sekala di sepanjang perjalanan disertai dengan tiupan angin yang agak kuat. Ada kalanya kami melewati kawasan berbukit bukau yang tidak berpenghuni namun kelihatan orang yang agak ramai bilangannya di bahagian-bahagian tertentu kawasan tersebut. Mungkin mereka sedang melakukan aktiviti jungle traking.
Sungai yang boleh dilihat sepanjang perjalanan. |
Kami sudah melalui tiga daerah utama di utara England iaitu Durham, Cumbria dan Northumberland. Sunderland dan Kendall berada di dalam Daerah Durham. Windermere sehingga ke Carlisle berada di dalam daerah Cumbria. Manakala Newcastle berada di dalam daerah Northumberland atau Northumberia. Akhirnya kami tiba di sekitar Tasik Windermere yang merupakan sebahagian dari Lake District National Park pada waktu tengahari. Alhamdulillah tidak sukar untuk mencari tempat untuk meletakkan kereta di kawasan parkir yang luas. Kami terus mencari kedai untuk membeli Fish & Chips, cuaca yang sejuk dan berangin menjadikan kami terasa begitu lapar.
Kami duduk di bangku yang disediakan sekitar tasik sambil menjamu selera 2 in 1 itu. Kami makan sambil menikmati pemandangan tasik yang luas dan dipenuhi dengan pelbagai bentuk dan saiz bot-bot dan kapal layar milik peribadi. Tasik Windermere juga dipenuhi dengan dengan burung dan itik. Sesekali itik-itik tersebut berenang menghampiri kawasan tebing mendekati kami seolah meminta belas kasihan untuk diberi sedikit makanan. Itik angsa yang besar dan putih juga kelihatan berenang bersama itik-itik yang lain. Kawasan tasik yang diiktiraf sebagai tasik terbesar di England ini sangat luas dan terdapat aktiviti cruise untuk menikmati pemandangan tasik dan sekitarnya. Beberapa kaedah pengangkutan disediakan untuk aktiviti ini termasuk bot yang moden, atau secara tradisional, steamers atau bot yang lebih kecil. Ada pula perkhidmatan boat & train. Tasik ini begitu besar sehingga terdapat beberapa pulau di sekitarnya. Sayangnya kami tidak berpeluang untuk bersiar-siar melalui menaiki bot walaupun tambangnya sekitar 4 paun.
Pakej yang ditawarkan |
Kawasan sekitar tasik juga dipenuhi dengan hutan dan kawasan bergunung. Daun-daun sudah pun bertukar warna dari warna hijau ke warna kuning namun tidak mampu menandingi kecantikan kawasan hutan yang aku lihat di Washington D.C. Daun-daun yang gugur berwarna perang juga begitu banyak memenuhi kawasan sekitar, maklum musim gugur katakan. Kebanyakan tempat dipenuhi daun-daun dan ianya dibiarkan begitu sahaja. Kalau mahu disapu teruk juga ini, bisik hati kecilku. Orang ramai berada di sekitar tasik dengan pelbagai aktiviti. Ada yang duduk bersantai bersama keluarga, berkayak, makan-makan dan sebagainya. Selepas berjalan-jalan di kawasan sekitar tasik, kami tidak melepaskan peluang melihat ke dalam kedai-kedai yang agak banyak di bandar tasik ini. Terdapat banyak barang-barang cenderahati di sini. Semuanya begitu memikat untuk dibeli namun aku terpaksa berhati-hati kerana harganya yang agak mahal. Kebanyakan barang yang dijual berupa barang kraftangan buatan tempatan. Binaan dan susunan kedai begitu menarik menyerlahkan citarasa Inggeris.
Itik dan angsa pun ada |
Kami tidak boleh lama di sini kerana suasana mulai gelap sekitar pukul 3 dengan cuaca yang tidak menentu. Hujan renyai sentiasa turun sepanjang masa. Suamiku mengambil laluan lain untuk pulang. Iaitu melalui Ambleside - Pentrith -Carlisle - Newcastle. Ambleside terletak di penghujung Tasik Windermere, rumah-rumah di pekan ini terletak berhampiran dengan tasik. Banyak B&B sepanjang laluan dengan binaan yang cantik serta pemandangan yang begitu mengkagumkan. Orang agak ramai memenuni setiap kawasan pekan ini. Sebelum sampai di Pentrith terdapat tempat bernama Keswick yang turut memiliki tasik yang sangat cantik di samping kawasaan hutan yang luas. Ladang ternakan dengan ribuan kambing biri-biri kelihatan di sini. Kambing biri-biri di sini memilik nombor yang ditulis dengan warna tertentu dibulunya.
Kedai- kedai sekitar Tasik Windermere |
Sekitar pukul 4.00 petang, sausana semakin gelap. Kami teringat akan pengumuman yang dibuat melalui siaran radio pagi tadi. Para pendengar diminta untuk melewatkan masa 1 jam. Tempoh masa waktu malam menjadi lebih panjang berbanding tempoh masa waktu siang. Dari Carlisle kami mengambil motorway untuk mengelakkan sebarang keadaan yang tidak diingini sewaktu memandu di waktu malam. Kami mengelilingi bandar Newcastle sebelum pulang ke Sunderland. Tiba di Sunderland pad pukul 8.00 malam. Aku begitu bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada aku kerana dapat menikmati pemandangan yang begitu indah di bumi ini. Jika selama ini aku hanya mampu membacanya melalui tulisan di dalam novel berkaitan UK, kini aku sedang menerokai buminya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan